Ahli falsafah Perancis, Roger Garaudy ada menulis buku yang bertajuk The Case of Israel: A Study of Political Zionism.
Sebelum kita masuk ke dalam isi buku ini, elok kita tinjau sedikit latar belakang penulis. Roger Garaudy lahir di Marseille, Perancis pada tahun 1913. Beliau memegang dua PhD, pertamanya dalam bidang falsafah dari Sorbonne yang kedua dari Institute of Philosophy dari Russian Academy of Sciences. Dalam bidang politik, beliau merupakan ahli Parti Komunis Perancis, pernah menang undian dan menjadi ahli parlimen Perancis, dan pada tahun 1970 beliau menjadi senator. Beliau memeluk Islam pada tahun 1982 dan berkahwin dengan seorang wanita dari Palestin. Beliau pernah dijatuhkan hukuman di bawah akta Gayssot kerana menafikan Holocaust, tetapi beliau menafikan tuduhan ini kerana menurut beliau bukunya memperihalkan bagaimana Israel menggunakan Holocaust sebagai justifikasi polisi kolonial mereka. Beliau meninggal dunia pada tahun 2012 pada umur 98 tahun.
Buku ini diterbitkan pada tahun 1983 oleh Shorouk International, ia merupakan terjemahan dari naskah asal yang bertajuk L’Affaire Israël: le sionisme politique yang diterbitkan oleh SPAG-Papyrus di Paris pada tahun yang sama. Prakata untuk naskah bahasa Inggeris ini diantar oleh Peter Mansfield.
Dalam pendahuluannya, Garaudy membawakan bagaimana topik Israel dan Zionis ini menjadi begitu taboo dalam masyarakat Perancis yang kononnya sekular dan sangat mendokong kebebasan bersuara. Bagaimana baru-baru ini timbul semula isu kebebasan bersuara di Perancis apabila seorang cikgu menunjukkan gambar karikatur Nabi Muhammad di sekolah, dalam mempertahankan kebebasan bersuara ini, Presiden Emmanuel Macron membuat kenyataan bahawa “agama Islam hari ini dalam krisis”. Menurut Garaudy di Perancis masyarakat dibenarkan mengkritik apa sahaja sama ada dogma Katolik atau teori Marxis, menyerang ateis atau nasionalis, mengutuk regim seperti Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat atau Afrika Selatan, juga dibenarkan untuk menyebarkan fahaman anarki atau monarki, semua ini boleh dilakukan tanpa terjatuh ke dalam polemik dan kontroversi. Namun apabila masyarakat mengkritik polisi kolonial Zionis, tiba-tiba ia bukan lagi dibawah kebebasan bersuara tetapi dibawah undang-undang, dituduh sebagai seorang “Nazi” dan “anti-Semite”.
Tuduhan “anti-Semite” ini memang merupakan senjata besar Israel dalam membunuh karakter pemimpin-pemimpin Eropah yang memperjuangkan kebebasan Palestin. Anti-semite ini satu label yang sangat buruk, sebaris dengan fasis, nazi dan juga rasis. Kalau kita tengok pilihanraya United Kingdom tahun 2019, apabila pemimpin Parti Buruh ketika itu Jeremy Corbyn yang pro-Palestin masuk pilihanraya, golongan pelobi Israel ini mainkan sentimen “anti-Semite” kepada Corbyn hinggalah dia kalah dalam pilihanraya. Penggunaan “anti-Semite” sebagai senjata ini bukanlah perkara baru, di Amerika Syarikat pun kita lihat perkara yang sama, bagaimana pemimpin pro-Palestin diserang pelobi Israel seperti Ilhan Omar, Alexandria Ocasio-Cortez (AOC), Bernie Sanders, Betty McCollum, Rashida Tlaib, mereka ini menjadi sasaran pelobi Israel. Dan isu penggunaan “anti-Semite” ini sebagai senjata untuk melindungi polisi barbarik Israel ini dah lama dikupas oleh ahli akademik. Antara buku yang baik adalah Beyond Chutzpah tulisan Prof. Norman Finkelstein.
Untuk tidak jatuh ke lembah anti-semitism, Garaudy dalam pendahuluannya amat berhati-hati, disini beliau membuat beberapa perbezaan, agar pembaca dalam kefahaman yang jelas bahawa serangan beliau bukanlah ditujukan kepada bangsa Yahudi secara pukal, atau kepada agama Judaism, tetapi serangan beliau adalah spesifik terhadap pemikiran kolonial Zionis. Beliau memulakan dengan membezakan zionis agama dan zionis politik. Zionis agama adalah berbentuk spiritual dan merasakan keterikatan hati dengan tanah-tanah sejarah yang ada disebut dalam teks-teks Yahudi. Perasaan spiritual ini tidak menimbulkan ketegangan dengan masyarakat Muslim atau Kristian, dan mereka mampu hidup bersama selama ratusan tahun.
Apa yang menjadi masalah adalah Zionis politik yang dimulakan oleh Theodor Herzl bermula tahun 1882. Idea Herzl ini disusun dalam bukunya Der Judenstaat (1896). Herzl sendiri bukanlah seorang yang beragama, beliau merupakan seorang agnostik dan menentang keras penakrifan Judaism sebagai sebuah agama. Sebaliknya beliau melihat bangsa Yahudi dalam lensa nasionalis. Dari Herzl lahirlah gerakan politik Zionis yang tidak berakarkan agama. Menurut Garaudy, idea Herzl merupakan idea kolonial sejak awal, antara penasihat beliau adalah Cecil Rhodes yang menjalankan aktiviti kolonial di Afrika Selatan. Herzl pada mulanya tidak mempunyai sebarang preference kepada geografi tempat untuk mendirikan Judenstaat-nya. Namun kemudian dia memilih Palestin kerana dia boleh menunggang sentimen spiritual Zionis agama walaupun beliau sendiri secara peribadi tidak mempercayai agama.
Perbezaan yang kedua yang dibahaskan oleh Garaudy adalah perbezaan antara Zionisme dan Judaisme. Setelah menunggang agama untuk menjayakan projek kolonial Zionis. Taktik kedua adalah menyamakan Judaisme dan Zionisme, melalui persamaan ini, sesiapa yang mengkritik polisi kolonial Zionis akan dengan mudah dilabel sebagai anti-semitik. Sebenarnya, dalam masyarakat yahudi sendiri, terdapat banyak penentangan terhadap projek kolonial Zionis, namun tidak mendapat perhatian yang besar. Antaranya adalah mazhab ortodoks Yahudi Heredi, Naturei Karta, mereka sangat lantang menentang projek kolonial Zionis dan selalu bersama dalam perarakan pro-palestin. Kumpulan yang lebih liberal adalah Jewish Voice for Peace, manakala barisan muda progresif yang selalu berkempen menentang kekejaman Israel adalah kumpulan seperti IfNotNow.
Penggunaan label “anti-semitism” secara salah ini sebenarnya berbahaya kepada kaum Yahudi sendiri, sebab itu ia ditentang oleh banyak orang Yahudi seperti kumpulan yang disebut sebelum ini. Kerana dengan menggunakannya secara salah, abuse of the word, ia akan menjadikannya perkataan yang tidak bermakna. Contohnya dalam masyarakat Malaysia, sering apabila agamawan bergaduh mereka akan melemparkan label “Wahabi”, sehingga perkataan itu hilang relevan dan sekadar menjadi mainan mulut untuk menyerang lawan. Ini akan menyusahkan proses melawan anti-semitism yang benar, kerana ia telah bercampur aduk.
Garaudy juga menolak teori konspirasi “Judeo-Masonic” yang sering berlegar dalam masyarakat, beliau menolak teori konspirasi bahawa Yahudi dan Freemason ingin menguasai dunia, dalam hal ini beliau menolak naskah Protocols of the Elders of Zion yang merupakan fogery yang dilakukan oleh polis rahsia Rusia. Sebaliknya Garaudy memuji tradisi Judaism yang memberi banyak sumbangan kepada kemanusiaan. Dalam setiap agama, termasuk Islam dan Kristian menurut Garaudy, ada tendensi yang berlawanan antara satu sama lain.
Contohnya dalam Islam ada ayat-ayat perihal persaudaraan, keampunan, juga persefahaman. Tetapi Islam bukan agama yang pasifis, dalam keadaan tertentu, Islam mengiktiraf perlunya kekuatan dalam konflik persenjataan. Ayat Al-Qur’an ada diturunkan dalam situasi perang. Tetapi ada organisasi-organisasi yang menggunakan ayat-ayat dalam konteks peperangan ini sebagai justifikasi keganasan yang dilakukan mereka. Jadi menurut Garaudy, perkara yang sama yang dilakukan oleh gerakan politik Zionis, yang menggunakan ayat-ayat agama dalam menjustifikasikan keganasan program kolonial mereka, petikan dalil agama ini memberi bayangan bahawa gerakan kolonial Zionis itu adalah sama sahaja dengan agama Judaism.
Beliau memuji tokoh-tokoh yang memberi sumbangan kepada kemanusiaan seperti Spinoza dan Martin Buber. Menurut pandangan Garaudy, Zionis politik bukanlah berakar dari Judaism, tetapi ia adalah satu fahaman berbentuk nasionalis dan kolonialis yang lahir dari rahim nasinalisma dan kolonialisma Eropah pada abad ke-19. Penggunaan dalil dari Bible secara selektif dengan penafsiran yang berbentuk perkauman adalah taktik Zionis politik dalam menutup kekejaman polisi dan objektif mereka.
Perbezaan yang terakhir yang diketengahkan oleh Garaudy dalam pendahuluannya adalah perbezaan antara Israel di dalam Bible dan negara Israel hari ini. Negara moden Israel pada hari ini merupakan negara ketenteraan dengan 50 peratus dari bajetnya digunakan untuk ketenteraan. Israel merupakan negara yang mengamalkan aspirasi expantionist dengan objektif untuk memecahkan negara-negara Arab menurut Garaudy. Pemimpin-pemimpinya menggunakan Bible sebagai alasan polisi ini, antara negara yang ingin dimakan oleh Israel dengan alasan historic right adalah Lubnan, Syria, Jordan, Turki, Mesir dan Cyprus.
Antara bahaya lain dalam menyamakan Zionisme dengan Judaism dengan memetik dalil-dalil dari Bible adalah lahirnya anti-semitisme yang sebenar. Kerana kekejaman, pembunuhan, polisi kolonial, dan penghapusan etnik yang dilakukan Zionis juga akan disamakan dengan Judaism dan bangsa Yahudi. Ini akan menjadi justifikasi kebencian dunia kepada bangsa Yahudi dan Judaism, bukan lagi kepada Zionisme. Oleh itu menurut Garaudy, penyebab kepada anti-semitisme bukanlah kritikan terhadap polisi kolonial Zionisme tetapi sokongan membuta tuli terhadap polisi tersebut.
Dalam bab yang pertama dalam buku ini, Garaudy cuba untuk membahaskan propaganda bahawa Israel mempunyai hak sejarah “historical right” ke atas tanah Palestin, propaganda ini adalah dogeng menurut Garaudy. Dan propaganda ini sering dikaitkan dengan hak yang sakral “devine right” atau tanah yang dijanjikan “promised land” menurut Bible. Namun dalam naskah ini Garaudy memisahkan dua dakwaan ini, historical claim dan divine claim, dan dalam bab pertama beliau hanya berbincang persoalan hak menurut sejarah. Hal ini tidak susah untuk dilakukan, kerana tidak ada bukti sejarah dalam teks-teks purba masyarakat Timur Tengah di luar Bible atau tinggalan arkeologi yang mengabsahkan kisah yang berlaku pada tahun 10 sebelum Masehi berkenaan wujudnya masyarakat Yahudi, penindasan mereka di Mesir, dan juga penaklukan yang mereka lakukan kepada Kaum Kanaan.
Mungkin bagi siapa yang tak familiar dengan kisah ini adalah kisah bagaimana Bani Israel diselamatkan dari kekejaman dan penindasan Fir’aun di Mesir. Kemudian mereka lari dan sampai ke Palestin, Tuhan menjanjikan mereka bumi tersebut. Mereka pun memerangi Bangsa Kanaan (Cananite), jika dibaca dalam Bible dalam Book of Joshua dan Deuteronomy ia adalah satu siri pembunuhan yang kejam, yang mana tiada nyawa ditinggalkan, semua dibunuh lelaki, wanita, dan kanak-kanak.
Tetapi tinggalan rekod sejarah amat berbeza dengan apa yang diceritakan dalam Bible. Pada zaman ini tulisan telah pun wujud. Mesir purba mempunyai sistem tulisan Hieroglyphs, dan sistem tulisan ini walaupun telah pupus, ia telah dikaji dan pengkaji telah decipher bahasa purba ini. Zaman sekarang tulisan Hieroplyphs ini boleh dipelajari di Youtube. Bahasa purba Sumer di Mesapotamia juga telah di decipher oleh pengkaji, sebab itu hari ini kita boleh membaca Epic of Gilgamesh yang ditulis dalam bahasa Sumerian yang sudah pupus. Jadi kita boleh membaca sejarah pada zaman tersebut. Berdasarkan tinggalan sejarah ini tiada langsung rekod perihal kerajaan Israel, malah perkataan Israel yang dijumpai melalui rekod zaman tersebut hanya ayat “Israel telah dimusnahkan, tidak wujud lagi bangsa Israel”. Rekod ini juga tidak dijumpai dalam kerajaan-kerajaan lain sekitar timur tengah yang bersaing dengan Mesir Purba. Rekod yang ada adalah perihal ketamadunan bangsa Kanaan pada zaman tersebut.
Dari bukti-bukti sejarah ini, Garaudi menyimpulkan dua perkara.
Yang pertama, Israel tidak mempunyai “hak sejarah” keatas Palestin, kerana sebelum kedatangan bani Israel sudah wujud bangsa-bangsa lain termasuklah Canaanites, Hittites, Ammonites, Moabites, dan Edomites, juga kedatangan bangsa Philistines. Bangsa Arab datang kemudian pada kurun ke-7, mereka kemudian berasimilasi dengan masyarakat yang ada dan memperkenalkan budaya mereka. Jadi apa yang disebut sebagai Bangsa Palestin itu bukanlah merujuk pada etnik tapi lebih kepada fenomena budaya, yang mana mereka merupakan keturunan bangsa-bangsa asal termasuklah Bangsa Kanaan.
Kesimpulan yang kedua, bangsa Israel yang datang, sama ada melalui penghijrahan atau penaklukan, adalah satu dari pelbagai bangsa yang pernah menjajah tanah ini termasuklah bangsa Babylon, Hittites, Mesir, Parsi, Yunani, Roman, Arab, Turki, dan British. Hanya selepas kurun ke-13, kita boleh menyatakan bahawa Israel itu sebuah bangsa kerana tiada rekod bertulis akan kewujudan mereka sebelum itu melainkan rekod Bible. Semasa penjajahan Rom, bangsa Israel tidak lagi wujud di Palestin dalam bentuk komuniti, tetapi mereka sudah menjadi diaspora di Eropah dan Timur Tengah. Bani Israel atau bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal, tetapi satu dari pelbagai etnik yang ada di tanah Palestin.
Buku ini sangat menarik dibaca namun mungkin sedikit sukar untuk didapati di Malaysia. Insya-Allah dalam bahagian seterusnya kita adakan membincangkan tajuk-tajuk lain dari kajian Garaudy ini dengan lebih lanjut.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.