
Kita berasa amat pelik apabila mufti menjadi propagandis untuk memberi legitimasi kepada jemputan kepada Donald Trump, seorang penjenayah yang membekalkan bom kepada zionis yang telah membunuh 66,000 rakyat Gaza termasuk anak-anak kecil. Amat pelik apabila maqasid syariah digunakan untuk membela bapak genosida yang membunuh orang Islam. Adakah itu tujuan agama?
Sepatutnya maqasid syariah itu digunakan untuk berjihad memelihara nyawa umat Islam di Gaza! Sebab itu kita melihat sistem yang ada ini adalah sistem jahiliyah. Letaklah nama jawatan dan gelaran itu apa pun, mufti agung, mufti langit dan bumi, hatta mufti sekalian alam sekali pun, sepatutnya tidak menyilaukan kita. Mulut dan fatwa mereka digunakan untuk melindungi sistem imperial jahiliyah yang membunuh umat Islam. Fatwa mereka bukan untuk jihad mempertahankan nyawa umat, sebaliknya untuk memberi legitimasi kepada anjing imperialis yang membunuh ribuan nyawa umat. Anjing-anjing imperialis yang membakar dan menghancurkan negara-negara umat Islam.

Golongan orientalis lama sudah boleh berpencen dengan tenang, kerana mereka sudah berjaya menanam neo-orientalis dalam kalangan umat Islam, yang memakai fez merah dan berjubah. Bahasa mereka hanya mengguna ulang bahasa Orientalis lama, tiada idea baru. Imperialis yang membunuh 66,000 nyawa umat itu tidak ekstrem, tetapi yang menentang penjajahan dan pembunuhan itulah yang dituduh radikal, ekstrem, takfiri. Kita kenal benar dengan idea orientalis yang mahu kita menjadi hamba yang taat kepada anjing imperialis, tidak kira jubah apa yang mereka pakai. Kita melihat anak seperti Greta Thunberg itu lebih berfungsi dari mufti yang memakai fez merah yang menjadi propagandis untuk memberi legitimasi pada bapak pengganas pembunuh anak-anak Gaza. Kemudian ada yang menyuruh kita menghormati mufti seperti ini. Yang ingin menjemput pembunuh umat Islam menggunakan dalil-dalil maqasid syariah? Kita katakan maaf. Kita tidak akan sujud di kaki manusia, biar pun mereka berjubah dan memakai fez merah.
Kita tidak perlu takut berkata benar dalam hal ini, kerana Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution telah memberi kebenaran berjihad bercakap benar. Maka, ayuh kita berjihad berkata benar, ulil amri sudah mengeluarkan kebenaran untuk kita berjihad berkata benar. Kita katakan kita tidak bersetuju dengan jemputan kepada Donald Trump, bapak pengganas yang membunuh umat Islam. Jika tidak dibatalkan jemputan kepada bapak pengganas ini, kita perlu berhimpun menjadi lautan, menolak Donald Trump.
Mungkin ada yang mengatakan tindakan kita menolak kehadiran pengganas seperti Trump satu tindakan radikal. Kita katakan pada mereka, jika pembunuhan 66,000 manusia tidak menjadikan kalian radikal, mungkin kalianlah puncanya genosida ini berterusan. Kerana kalian membiarkan ia berlalu tanpa tentangan.
Kita bukan sahaja menolak kedatangan Trump, kita juga menolak pelan penjajahan Trump yang beliau gelar sebagai “20 Points Peace Plan”. Dua tahun sistem jahiliyah imperial tidak dapat menewaskan para pejuang, senjata mereka tidak berjaya dipadamkan. Maka musuh membuat rancangan baru, memaksa melalui perjanjian apa yang tidak berjaya dicapai melalui peperangan senjata. Thoghut yang membunuh anak-anak umat ini kemudian hendak dijemput dengan penuh kehormatan oleh para penjilat imperialis. Jika pun maruah itu satu yang asing bagi mereka, tidakkah mereka ada perasaan malu? Tidak malukah mereka dengan negara Colombia yang mengusir diplomat Israel dari negara mereka? Pemimpin-pemimpin Islam dan Arab itu pun tidak halau diplomat Israel, sebab itu kita katakan mereka ini mengamalkan amalan jahiliyah.
Kita perlu menentang penjajahan dan imperialisme dengan apa cara pun. Bak kata Yasser Arafat: “The revolution is not merely the rifle of a fighter; it is also the farmer’s hoe, the doctor’s scalpel, the writer’s pen, and the artist’s brush.”
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.