
Kajian sejarah sebenarnya merupakan satu kajian yang sangat menyeronokkan, ia bukan sahaja merupakan eksplorasi kepada peristiwa di masa lalu, ia juga adalah satu eksplorasi tentang konsep, idea, pemikiran, dan imaginasi manusia pada masa lalu yang bersambung hingga ke hari ini. Oleh itu bidang sejarah sebenarnya boleh dikatakan sebagai bidang kajian pemikiran yang mampu melahirkan pemikiran yang lebih kritis dan kritikal.
Mengkaji sejarah membolehkan kita memahami imaginasi-imaginasi orang dahulu tentang masyarakat yang mereka lihat, fahami, dan cuba digambarkan. Banyak imaginasi yang telah difikirkan dan dihasilkan. Sebahagiannya merupakan konsep yang sangat berguna dan patut dikembangkan, sebahagian yang lain pula perlu dilihat dengan kritikal untuk diabsahkan kebenarannya dalam memaparkan keadaan sebenar di masa lalu, dan ditapis sesuai dengan kefahaman dan ilmu-ilmu baharu. Maka tulisan Azmi Arifin dalam buku yang bertajuk Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan ini merupakan satu kajian yang sangat menarik untuk diteliti dari perspektif ini. Ia merupakan sebuah wacana kritis yang menilai semula konsep dan imaginasi yang pernah dihasilkan serta cuba membuat penilaian tentang kesesuaian konsep tersebut dalam memperihalkan sesebuah masyarakat.
Konsep yang dibahaskan dalam buku ini adalah konsep feudalisme yang hari ini digunakan secara meluas dan longgar dalam mengkritik apa sahaja yang dilihat buruk dalam masyarakat. Azmi melihat telah berlaku salah faham dalam konsep yang digunakan ini. Istilah yang muncul di Eropah Barat itu sebenarnya merupakan istilah yang menggambarkan satu fenomena yang positif apabila kerajaan berpusat di Eropah runtuh dan tanggungjawab menjaga rakyat diambil alih oleh kelas hulubalang. Namun konsep ini kemudian telah diseludup masuk dalam menggambarkan masyarakat peribumi Melayu walaupun tiada kajian mendalam pernah dihasilkan bagi mengkaji kesesuaian konsep ini dalam menggambarkan orang Melayu.[1] Kekusutan inilah yang cuba dileraikan oleh Azmi Arifin dalam kajiannya.
Menurut Azmi Arifin, perkataan feudalisme itu muncul di Eropah Barat pada kurun ke-15. Namun ia merupakan istilah yang digunakan untuk memaparkan fenomena yang berlaku di Eropah Barat yang telah runtuh sejak kurun ke-13. Istilah ini tidak digunakan oleh pemikir dan pemerintah pada kurun tersebut sebaliknya ia digunakan jauh selepas itu iaitu pada kurun ke-15. Oleh itu, istilah ini tidak dapat difahami dari kaca mata masyarakat yang dipaparkan itu sendiri kerana mereka juga tidak pernah mendengarnya.[2] Walaupun istilah ini muncul di Eropah, tidak semua sarjana menerimanya sebagai sebuah istilah yang tepat dan bermakna. Elizabeth Brown misalnya memerhatikan bahawa ia ditakrifkan dengan sangat luas dan longgar sehingga tidak dapat digunakan sebagai satu mekanisme analisis. Sarjana seperti Susan Reynolds pula merasakan ia hanyalah istilah khayalan yang dicipta oleh ahli politik dan ahli sejarah moden. Ia sebenarnya tidak berlaku dan tidak diamalkan.[3]
Namun bagi Azmi Arifin, penggunaan konsep dan generalisasi itu satu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kajian sejarah. Semua ahli sejarah menggunakannya sama ada mereka mengaku atau tidak.[4] Oleh itu, apa yang perlu dilakukan bukanlah penolakan total terhadap konsep feudalisme, tetapi mengkaji apakah sifat-sifat asas dan fundamentalnya sebagai sebuah konsep. Kemudian baru boleh diukur sama ada sesebuah masyarakat boleh digambarkan dengan konsep tersebut. Dalam kajiannya, Azmi mendapati, feudalisme itu mempunyai empat ciri utama. Pertama adalah hubungan persendirian berbentuk ketenteraan, kedua elemen ketenteraan persendirian, ketiga monopoli kuasa pemerintahan dan undang-undang oleh hulubalang, dan keempat adalah penguasaan ekonomi oleh golongan hulubalang.[5] Sebuah sistem masyarakat perlu mempunyai elemen-elemen teras ini untuk dinisbahkan sebagai masyarakat feudal. Azmi telah meninjau elemen ini di Eropah, selain itu, bentuk pemerintahan ini turut dapat dilihat di Jepun terutamanya semasa era Tokugawa sekitar kurun ke-14.

Selepas tinjuan ini dilakukan, soalan lanjut yang muncul adalah apakah feudalisme itu wujud dalam sistem pemerintahan orang Melayu pra-kolonial? Terdapat ahli sejarah yang sebenarnya cuba mengkaji persoalan ini. Ini dapat dilihat misalnya dalam penulisan Cheah Boon Kheng. Beliau membawa dua takrifan perihal feudalisme. Namun pada pandangan saya, takrifan Cheah yang pertama terlalu umum dan tidak dapat digunakan. Takrifan kedua lebih spesifik di mana Cheah memaknai feudalisme dengan kewujudan perjanjian vassalage di mana seorang vassal memberi khidmat ketenteraan kepada hulubalang dan sebagai timbal balasnya, vassal tersebut akan diberikan fief atau feud. Kelemahan utama Cheah adalah konsep feudalisme Melayu yang cuba dibina itu bergantung penuh kepada catatan kolonial British sahaja. Cheah juga pada pandangan saya tidak berjaya membuktikan wujudnya ciri feudalisme asas dalam masyarakat Melayu, sebaliknya apa yang wujud hanya ciri-ciri umum dan sampingan.[6] Ciri-ciri sampingan inilah yang telah digunakan oleh penulis British dalam memburukkan kaum peribumi dengan gelaran feudal.
Bagi Azmi Arifin, setelah beliau melakukan kajian dan penelitian yang mendalam, beliau mendapati bahawa feudalisme Melayu itu tidak wujud. Sebaliknya ia hanya merupakan imaginasi kolonial British yang digunakan dalam penulisan mereka bagi memburukkan orang Melayu yang dijajahnya.[7] Feudalisme Melayu itu dicipta sebagai justifikasi penjajahan.[8] Namun konsep feudalisme ciptaan British ini telah diterima dan digunakan oleh gerakan kiri di Tanah Melayu kemudiannya bagi mengkritik golongan kanan dan tradisional dalam politik orang Melayu. Istilah dan konsep ini digunakan oleh tokoh perjuangan kiri seperti Ahmad Boestamam untuk mengkritik musuh politiknya.[9] Azmi Arifin kemudian telah membahaskan penggunaan konsep ini dalam kalangan ahlis sains sosial seperti Syed Hussein Alatas, Chandra Muzaffar, Syed Husin Ali, dan Shaharuddin Maaruf yang dilihatnya sebagai dipengaruhi oleh ideologi dan sentimen, bukannya didasari oleh sejarah yang objektif.[10]
Secara keseluruhan, saya merasakan buku Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan merupakan satu kajian yang sangat penting dalam usaha kita cuba hendak memahami bentuk pemerintahan sebenar orang Melayu. Azmi Arifin berjaya menonjolkan sisi kekeliruan yang wujud dalam konsep-konsep yang dibawa oleh penulisan kolonial yang kemudiannya dicedok sebagai senjata politik bagi sesetengah sarjana tempatan yang mempunyai kecenderungan politik. Gabungan antara naratif kolonial dan elemen ideologi tempatan ini memperlihatkan seperti konsep feudalisme itu wujud dalam kalangan orang Melayu. Namun kajian Azmi Arifin ini telah merungkai persoalan ini dan membuktikan bahawa ia sebenarnya tidak wujud. Yang ada hanyalah sifat-sifat sampingan yang dikaitkan secara tempelan sahaja. Buku ini juga telah menyumbang dari sudut penelitian terhadap konsep pengamalan feudalisme yang sebenar seperti yang berlaku di Eropah dan juga Jepun. Perbahasan mendalam ini pastilah merupakan satu perbahasan penting yang akan menjadi rujukan buat pengkaji dan sarjana di hari kemudian nanti.
Bibliografi
Azmi Arifin. 2023. Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Cheah Boon Kheng. 1995. “Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya.” In Isu-Isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam), by Cheah Boon Kheng and Abu Talib Ahmad, 1-24. Pulau Pinang: Penerbit USM.
Syed Ahmad Fathi. 2022. “Kelemahan Hujah Cheah Boon Kheng Perihal Konsep Feudalisme Melayu.” Pengantar Sejarah.
[1] Azmi Arifin, Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2023)., hlm vii-x.
[2] Azmi Arifin, Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan, hlm. 1.
[3] Ibid, hlm. 3-5.
[4] Ibid, hlm. 8.
[5] Ibid, hlm. 35.
[6] Lihat perbahasan Cheah Boon Kheng dalam bab buku bertajuk ‘Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya’ dalam Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad, Isu-Isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam) (hlm. 1-24). Pulau Pinang: Penerbit USM. Lihat juga analisa saya perihal tulisan Cheah ini dalam artikel bertajuk ‘Kelemahan Hujah Cheah Boon Kheng Perihal Konsep Feudalisme Melayu’. Pengantar Sejarah, 2022.
[7] Azmi Arifin, Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan, hlm. 282.
[8] Ibid, hlm. 337.
[9] Ibid, hlm. 368.
[10] Ibid, hlm. 400.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.