Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi
Setiap kali membicarakan mengenai kemerdekaan negara, nama Almarhum Tunku Abdul Rahman akan turut diperkatakan. Segala jasa, kegigihan serta sumbangan Bekas Perdana Menteri Pertama itu dalam mengusahakan jalan bagi mendapatkan kemerdekaan, sememangnya patut dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia, apatah lagi generasi muda masakini. Pada 31 Ogos 2022 tahun ini, Malaysia sekali lagi akan menyambut Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan Ke-65 dengan tema “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama”.
Almarhum Tunku yang juga terkenal dengan gelaran Bapa Kemerdekaan berserta tokoh-tokoh negara yang lain telah melakar sebuah sejarah negara yang tidak akan dilupakan sama sekali. Dalam temu bual bersama salah seorang anak kepada Almarhum Tunku, iaitu Tunku Dato Paduka Khadijah dan anak saudara kepada Almarhum Tunku iaitu, Dato Tunku Mukminah Tunku Mohd Jiwa beberapa tahun lalu, kedua-dua individu ini telah berkongsi pelbagai memori manis berkaitan Almarhum Tunku Abdul Rahman serta beberapa perkara menarik menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 1957.
Menurut Dato Tunku Mukminah yang mesra dengan panggilan Mak Ungku, sepanjang ingatan beliau, menjelangnya hari kemerdekaan negara, ramai tetamu terutamanya dari kalangan pemimpin parti politik termasuk orang kenamaan akan datang berjumpa dengan Tunku di Rumah Residensi (kediaman rasmi Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn atau nama lamanya Brockman Road, Kuala Lumpur). Ujarnya, “Seingat Mak Ungku, semasa tinggal di Residensi itu, para tetamu yang datang itu berbincang bersama Tunku hinggalah ke larut malam… mereka juga makan minum bersama-sama … Jadi suasana mereka ketika itu sangat akrablah”.
Sementara itu, ujar Tunku Dato Paduka Khatijah, “ayah saya tu sentiasa sibuk bersama rakan-rakan seperjuangannya, demi untuk mencapai kata sepakat kearah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ini… dan antara pemimpin negara yang datang berjumpa ialah Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Selalunya para tetamu pada waktu makan tengah hari, diraikan di sebuah khemah khas yang didirikan di perkarangan Rumah Residensi itu dalam suasana nyaman lagi mesra”.
Jelas Dato Tunku Mukminah pula, apabila meluangkan masa bersama anak-anak dan kaum keluarga, terutama dihujung minggu, Almarhum Tunku (Ayah Tam) akan memasak sendiri beberapa menu makanan istimewa untuk sajian mereka. ”Selalunya bila ada waktu lapang di petang hari, Almarhum Tunku bersama pembantunya, akan ke kedai atau supermarket untuk membeli sendiri segala bahan kelengkapan untuk memasak. Ayah Tam memang suka buat macam tu”, ujar Dato Tunku Mukimah sambil tersenyum. Makanan kegemaran Almarhum Tunku ialah Daging Lembu Bakar, Itik Golek dan Puding Yorkshire.
Dato Tunku Mukminah juga masih dapat mengingati bagaimana bersemangatnya Almarhum Tunku sehari sebelum tibanya 31 Ogos 1957, dimana Almarhum Tunku bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk melakukan segala persiapan sebelum menghadiri majlis sambutan hari kemerdekaan di Stadium Merdeka pada pukul 8 pagi.
“Almarhum Tunku kelihatan gelisah bercampur rasa tidak sabar untuk ke Stadium Merdeka… kerana beliaulah yang akan membaca watikah perisytiharaan kemerdekaan negara dan melaungkan kata-kata ‘MERDEKA’ untuk pertama kali dihadapan seluruh rakyat serta para tetamu dari dalam dan luar negara. Malah detik bersejarah itu juga disaksikan oleh seluruh dunia. Saya masih ingat pada waktu tengah malam 30 Ogos 1957, Almarhum Tunku bangun mundar-mandir di dalam rumah lalu menunaikan solat bagi memohon kepada Allah semoga acara sambutan perisytiharaan kemerdekaan negara di Stadium Merdeka, berlangsung dengan lancar”, ujar Dato Tunku Mukminah lagi.
Selain itu, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Almarhum Tunku telah menetapkan jadual wajib untuk menonton televisyen terutama siaran berita. Ini diakui oleh Dato Tunku Mukminah. “Ayah Tam tak suka diganggu apabila sedang menonton siaran berita di televisyen yang disiarkan oleh RTM… Dia cukup marah jika ada sapa-sapa termasuk ahli keluarga yang menganggu konsentrasinya semasa menonton siaran berita” jelas Dato Tunku Mukminah dalam loghat Kedah.
Disisi lain pula, Almarhum Tunku seorang yang meminati muzik terutamanya lagu-lagu Melayu Asli dan Tradisional. Antara lagu Melayu Asli yang digemarinya ialah Bunga Tanjong dan Cinta Sayang. Setiap kali diadakan majlis keramaian di Rumah Residensi, Almarhum Tunku akan mengundang penyanyi lagu Melayu Asli, Kamariah Noor serta abangnya, penggesek biola, Hamzah Dolmat untuk membuat persembahan.
Almarhum Tunku Abdul Rahman mangkat pada 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun dan jenazah beliau dikebumikan di Makam Diraja Langgar di Alor Setar, Kedah. Jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh Almarhum Tunku akan terus kekal dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia.
Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di stesen televisyen RTM sebagai Penyunting dan Penerbit Berita TV, wartawan.
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.