The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

R. Kalimuthu Setia Bersama Tunku Abdul Rahman

August 31, 2022 By Editor The Independent Insight

Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi

Disaat kita memperkatakan berkaitan Hari Kemerdekaan Negara yang disambut setiap tahun pada 31 Ogos, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat individu mahupun kumpulan selain daripada Tunku Abdul Rahman yang turut memberikan sumbangan terhadap hari yang bersejarah ini. Walaupun nama-nama mereka tidak besar dan tidak diabadikan dalam mana-mana buku sejarah, namun mereka juga beperanan penting di belakang Tunku Abdul Rahman.

Salah seorang dari mereka ialah bekas pemandu peribadi Tunku iaitu, R. Kalimuthu. Beliau yang lebih dikenali sebagai Muthu telah berkhidmat lebih 50 tahun dengan perdana menteri pertama. Beliau mula bertugas sebagai pemandu rasmi kepada Tunku pada tahun 1957 dan memperolehi pendapatan tetap sekitar RM400 sebulan.

Sebelum itu, Muthu hanya bekerja sebagai pemandu kenderaan secara sambilan sewaktu Tunku bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia di Kuala Lumpur pada tahun 1948.

Dalam satu temubual bersama Muthu pada tahun 2010 (ketika itu beliau berusia awal 85 tahun) beliau memaklumkan “Saya rasa bangga kerana pada malam 30 Ogos 1957 (sehari sebelum 31 Ogos) sayalah yang memandu kenderaan untuk membawa Tunku dan keluarga ke Padang Kelab Selangor (sekarang dikenali sebagai Dataran Merdeka) untuk majlis menurunkan bendera Union Jack sebagai tanda rasmi bahawa negara ini bebas dari dijajah.”

“Saya masih dapat membayangkan dimana ribuan rakyat pelbagai lapisan masyarakat dan umur berada di sekitar Padang Kelab Selangor itu dan mereka bersorak gembira sebaik sahaja melihat ketibaan kenderaan yang membawa Tunku” ujar Kalimuthu sambil tersenyum.

Esoknya pula, pada sebelah pagi, Muthu sekali lagi memandu kenderaan rasmi untuk membawa Tunku ke Stadium Merdeka. Tunku kelihatan segak memakai baju melayu serba lengkap dan berjabat salam dengan semua tetamu kenamaan selain kerabat-kerabat diraja.

Setiap kali apabila berpeluang menonton di televisyen program ulangsiar sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu, Muthu menyatakan beliau akan menangis kerana teringat kenangan lama semasa bekerja dahulu selain dapat menyaksikan peristiwa bersejarah negara.

Muthu juga tidak melupakan kenangan dimana pernah bertugas menjadi pemandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak jika Tunku Abdul Rahman ke luar negara atau bercuti panjang.

Berdasarkan pengalaman berkhidmat dengan Tunku selama lebih 50 tahun itu, Muthu banyak mempelajari berkaitan adat istiadat masyarakat Melayu terutama tentang adat istiadat diraja Kedah. Selepas bersara secara rasmi pada tahun 1982, Muthu masih bertugas secara sambilan sehingga Tunku Abdul Rahman mangkat pada Disember 1990. Kemudian tugas sebagai pemandu kepada keluarga Almarhum Tunku diambil alih oleh anaknya, K. Markandran.

Satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Kalimuthu adalah pada tahun 1982 semasa beliau dapat menyelamatkan Almarhum Tunku Abdul Rahman dari terjatuh terlentang di atas beberapa batu kerikil di tepi pantai berdekatan rumah rehat milik keluarga diraja itu di Pantai Batu Feringghi. Ujar Kalimuthu “Masa itu hanya saya dengan Almarhum Tunku sedang berjalan sambil menikmati suasana angin petang dan apabila Tunku secara tiba-tiba tergelincir lalu hampir jatuh tapi nasib baik saya dapat menyambar tangan Almarhum” jelasnya.

Tambah Kalimuthu, sepanjang perkkhidmatannya, beliau sangat menghormati Almarhum Tunku yang disifatkan sebagai seorang negarawan ulung dan meskipun rutin hariannya yang agak sibuk dengan pelbagai urusan rasmi negara, Almarhum Tunku tetap mencari masa untuk bersama dengan keluarga atau bermain golf.

“Almarhum Tunku juga dilihat sebagai seorang majikan yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan para pekerjanya. Saya antara insan bertuah kerana dapat berdamping dengan Almarhum. Semua kenangan itu akan sentiasa tersemat dalam memori saya” ujar Kalimuthu.

Menurut laporan dari sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris bertarikh 25 November 2013, R. Kalimuthu telah meninggal dunia pada 24 November 2012 pada usia 87 tahun kerana sakit tua. Semoga jasa-jasa yang dicurahkan oleh Kalimuthu dan orang-orang sepertinya tidak dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-65.

Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di stesen televisyen RTM sebagai Penyunting Berita TV, Penerbit Berita TV, Editor dan Wartawan.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana Tagged With: driver, keluarga malaysia, malaya, merdeka, najib razak, R. Kalimuthu, stopa, tunku abdul rahman

Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Kini Berusia Lebih 100 Tahun

August 31, 2022 By Editor The Independent Insight

Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi

Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Lumpur yang kini berusia lebih 100 tahun bukan sahaja menceritakan pelbagai kisah bagaimana Malaysia menelusuri gelombang sebelum tercapainya kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, malah turut menyimpan kisah-kisah menarik berkaitan Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Bangunan yang terletak diatas bukit di Jalan Dato Onn (dahulu dikenali sebagai Brockman Road) dibina diatas tanah seluas kira-kira 2.8 hektar, siap dibina pada tahun 1888 dan menjadi kediaman rasmi Pegawai Residen Selangor sehingga tahun 1955 selain menempatkan Pejabat Pentadbiran British.

Bangunan dua tingkat ini dibina dengan struktur batu serta kemasan lantai marmar selain lantai kayu di tingkat atas dengan melibatkan kos sekitar RM150,739 (AS$36,000 nilai wang pada waktu itu).

Bangunan ini yang dahulunya dikenali sebagai Residensi, pernah menjadi kediaman rasmi Tunku dari tahun 1956 hingga awal tahun 70-an. Bangunan ini kekal utuh dengan reka bentuk dan struktur asalnya dan kebanyakan perabut dan hiasan yang terdapat di dalam Residensi ini adalah milik Almarhum Tunku Abdul Rahman dan keluarga semasa beliau menjadi perdana menteri.

Rumah ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri zaman kolonial. Pada tahun 1992, kerajaan, melalui Arkib Negara Malaysia telah melakukan beberapa penambahbaikan terhadap bangunan tersebut dan proses penambahbaikan ini siap sepenuhnya pada tahun 1994 dan dinamakan sebagai Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, bagi memperingati jasa serta sumbangan Almarhum Tunku kepada negara. Bangunan tersebut kini mempamerkan himpunan koleksi peribadi Bapa Kemerdekaan itu selain artifak dokumentasi perjalanan kemerdekaan Malaya untuk tatapan umum.

Di dalam Memorial ini, pengunjung berpeluang untuk melihat meja Mesyuarat Kabinet yang digunakan oleh Almarhum Tunku semasa mempengerusikan Mesyuarat Kabinet yang pertama pada tahun 1956 yang dahulu ditempatkan di Bangunan Parlimen.

Perasmian Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 November 1994. Antara barangan lain yang turut dipamerkan secara kekal di dalam memorial ini ialah foto-foto peribadi Almarhum Tunku serta keluarga, hadiah, pakaian, perabut, keratan-keratan akhbar serta kereta jenama Cardillac Fleetwood 1956.

Memorial ini merangkumi tiga bangunan iaitu bangunan Residensi sebagai bangunan utama, dan dua bangunan Blok-A dan Blok-B yang meliputi gedung simpanan, auditorium serta ruang pejabat bagi kakitangan Arkib Negara.

Dalam bangunan Residensi, selain terdapat bilik tetamu yang menempatkan perabut antik, terdapat juga beberapa bilik yang dinamakan Bilik Cairo, Bilik Makan, Bilik Rehat, Bilik Menunggu, Bilik Tidur Utama dan Bilik Tidur Keluarga.

Sudah pasti para pengunjung akan tertarik untuk melihat sendiri Bilik Makan Utama yang diguna khas bagi meraikan para tetamu kenamaan dari dalam dan luar negara serta lengkap dengan dekorasi lampu lama dan set pinggan mangkuk antik.

Secara keseluruhannya, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi simbol kegigihan perjuangan Almarhum Tunku bersama rakan-rakan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya melalui kerjasama dengan pelbagai parti politik serta rundingan dengan pihak British.

Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di RTM sebagai Penyunting Berita TV, Penerbit Berita TV, Wartawan dan Editor.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana Tagged With: Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Mahathir, malaya, merdeka

Mengenali Tunku Abdul Rahman Dari Lensa Anak dan Keluarganya

August 31, 2022 By Editor The Independent Insight

Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi

Setiap kali membicarakan mengenai kemerdekaan negara, nama Almarhum Tunku Abdul Rahman akan turut diperkatakan. Segala jasa, kegigihan serta sumbangan Bekas Perdana Menteri Pertama itu dalam mengusahakan jalan bagi mendapatkan kemerdekaan, sememangnya patut dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia, apatah lagi generasi muda masakini. Pada 31 Ogos 2022 tahun ini, Malaysia sekali lagi akan menyambut Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan Ke-65 dengan tema “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama”.

Almarhum Tunku yang juga terkenal dengan gelaran Bapa Kemerdekaan berserta tokoh-tokoh negara yang lain telah melakar sebuah sejarah negara yang tidak akan dilupakan sama sekali. Dalam temu bual bersama salah seorang anak kepada Almarhum Tunku, iaitu Tunku Dato Paduka Khadijah dan anak saudara kepada Almarhum Tunku iaitu, Dato Tunku Mukminah Tunku Mohd Jiwa beberapa tahun lalu, kedua-dua individu ini telah berkongsi pelbagai memori manis berkaitan Almarhum Tunku Abdul Rahman serta beberapa perkara menarik menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 1957.

Menurut Dato Tunku Mukminah yang mesra dengan panggilan Mak Ungku, sepanjang ingatan beliau, menjelangnya hari kemerdekaan negara, ramai tetamu terutamanya dari kalangan pemimpin parti politik termasuk orang kenamaan akan datang berjumpa dengan Tunku di Rumah Residensi (kediaman rasmi Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn atau nama lamanya Brockman Road, Kuala Lumpur). Ujarnya, “Seingat Mak Ungku, semasa tinggal di Residensi itu, para tetamu yang datang itu berbincang bersama Tunku hinggalah ke larut malam… mereka juga makan minum bersama-sama … Jadi suasana mereka ketika itu sangat akrablah”.

Sementara itu, ujar Tunku Dato Paduka Khatijah, “ayah saya tu sentiasa sibuk bersama rakan-rakan seperjuangannya, demi untuk mencapai kata sepakat kearah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ini… dan antara pemimpin negara yang datang berjumpa ialah Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Selalunya para tetamu pada waktu makan tengah hari, diraikan di sebuah khemah khas yang didirikan di perkarangan Rumah Residensi itu dalam suasana nyaman lagi mesra”.

Jelas Dato Tunku Mukminah pula, apabila meluangkan masa bersama anak-anak dan kaum keluarga, terutama dihujung minggu, Almarhum Tunku (Ayah Tam) akan memasak sendiri beberapa menu makanan istimewa untuk sajian mereka. ”Selalunya bila ada waktu lapang di petang hari, Almarhum Tunku bersama pembantunya, akan ke kedai atau supermarket untuk membeli sendiri segala bahan kelengkapan untuk memasak. Ayah Tam memang suka buat macam tu”, ujar Dato Tunku Mukimah sambil tersenyum. Makanan kegemaran Almarhum Tunku ialah Daging Lembu Bakar, Itik Golek dan Puding Yorkshire.

Dato Tunku Mukminah juga masih dapat mengingati bagaimana bersemangatnya Almarhum Tunku sehari sebelum tibanya 31 Ogos 1957, dimana Almarhum Tunku bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk melakukan segala persiapan sebelum menghadiri majlis sambutan hari kemerdekaan di Stadium Merdeka pada pukul 8 pagi.

“Almarhum Tunku kelihatan gelisah bercampur rasa tidak sabar untuk ke Stadium Merdeka… kerana beliaulah yang akan membaca watikah perisytiharaan kemerdekaan negara dan melaungkan kata-kata ‘MERDEKA’ untuk pertama kali dihadapan seluruh rakyat serta para tetamu dari dalam dan luar negara. Malah detik bersejarah itu juga disaksikan oleh seluruh dunia. Saya masih ingat pada waktu tengah malam 30 Ogos 1957, Almarhum Tunku bangun mundar-mandir di dalam rumah lalu menunaikan solat bagi memohon kepada Allah semoga acara sambutan perisytiharaan kemerdekaan negara di Stadium Merdeka, berlangsung dengan lancar”, ujar Dato Tunku Mukminah lagi.

Selain itu, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Almarhum Tunku telah menetapkan jadual wajib untuk menonton televisyen terutama siaran berita. Ini diakui oleh Dato Tunku Mukminah. “Ayah Tam tak suka diganggu apabila sedang menonton siaran berita di televisyen yang disiarkan oleh RTM… Dia cukup marah jika ada sapa-sapa termasuk ahli keluarga yang menganggu konsentrasinya semasa menonton siaran berita” jelas Dato Tunku Mukminah dalam loghat Kedah.

Disisi lain pula, Almarhum Tunku seorang yang meminati muzik terutamanya lagu-lagu Melayu Asli dan Tradisional. Antara lagu Melayu Asli yang digemarinya ialah Bunga Tanjong dan Cinta Sayang. Setiap kali diadakan majlis keramaian di Rumah Residensi, Almarhum Tunku akan mengundang penyanyi lagu Melayu Asli, Kamariah Noor serta abangnya, penggesek biola, Hamzah Dolmat untuk membuat persembahan.

Almarhum Tunku Abdul Rahman mangkat pada 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun dan jenazah beliau dikebumikan di Makam Diraja Langgar di Alor Setar, Kedah. Jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh Almarhum Tunku akan terus kekal dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia.

Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di stesen televisyen RTM sebagai Penyunting dan Penerbit Berita TV, wartawan.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Politik Tagged With: biografi, british, Malaysia, merdeka, nasionalis, politik, sejarah, tunku abdul rahman, umno

Pemuda HALUAN Kedah Bantu Penduduk Kampung Setar Membaiki Saluran Paip Air di Gunung Jerai

September 4, 2021 By Editor The Independent Insight

Kampung Setar, Yan, Kedah, 04 September 2021 – Anggota Pemuda HALUAN Negeri Kedah hari ini bersama-sama dengan penduduk Kampung Setar, Yan, Kedah bergotong-royong untuk memasang paip air di Gunung Jerai. Program ini merupakan program di bawah Biro Misi Kemanusiaan (BMK) HALUAN dengan bantuan tenaga dari Biro Pemuda HALUAN Negeri Kedah dan HALUANSiswa Kedah.

Gotong-royong ini adalah untuk membaiki paip yang rosak akibat fenomena kepala air dan banjir yang melanda Yan pada 18 Ogos 2021. Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Setar Dalam dan Kampung Setar Luar. Dianggarkan 120 buah rumah terjejas bekalan air akibat musibah ini, turut terjejas adalah Masjid Al-Kautsar, Sekolah Kebangsaan Kampung Setar, Surau, Tadika, dan Klinik Desa. Pihak HALUAN Cawangan Kedah telah membiayai kos saluran paip yang rosak dengan kos sebanyak RM11,600.

Sesi penyerahan Paip telah diadakan pada jam 9 pagi oleh wakil HALUAN Kedah, Haji Abdul Kadir Mahamood selaku Timbalan YDP HALUAN dan diterima oleh Pengerusi Kampung Setar, Yusoh Yahya sambil disaksikan oleh penduduk setempat.

Operasi bermula sekitar jam 9.15 pagi dimana paip-paip air ini dibawa menggunakan lori ke kaki gunung. Dari kaki gunung anggota HALUAN bersama penduduk kampung bersama-sama memikul paip ini mengikut trek hutan selama lebih kurang satu jam untuk sampai ke punca air di sebuah air terjun di Gunung Jerai. Operasi memikul ini dijalankan beberapa kali kerana jarak yang jauh dan bilangan paip yang banyak yang diperlukan untuk memastikan saliran air sampai ke kampung. Setelah tiba di kawasan punca air, operasi menanam kepala paip bermula. Paip-paip ini turut diikat bagi memastikan ia tidak mengganggu aliran air sungai.

“Orang perempuan senang aja, bila takdak ayat call kami, ni Mat awat takdaq ayaq? kami yang kena panjat gunung, cari punca masalah dan baiki paip” terang seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat sambil berseloroh. Beliau merupakan anggota pasukan maintenance bagi saluran paip air penduduk kampung. Beliau naik bersama alatan untuk membaiki paip. Operasi mengusung paip, menanam kepala paip, dan mengikat paip selesai kira-kira jam 2 petang.

Semua ahli gotong royong termasuk orang kampung dan anggota HALUAN kemudiannya dijamu oleh penduduk tempatan untuk makan tengahari. Antara menu yang disajikan termasuklah nasi, bihun goreng, gulai ayam, ikan masin, telur masin dan juga rebung rebus. “Selain bekalan air SADA, penduduk setempat bergantung pada bekalan air gunung, setiap rumah membayar sekitar RM60 setahun untuk bekalan air gunung, jika ada keperluan untuk membaiki dan menyelenggara kami akan mengumpul duit bersama penduduk kampung dari masa ke semasa” terang seorang penduduk kampung bernama Haji Radzi.

“Alhamdulillah, lama tak rasa suasana hutan sebegini, tengok keadaan batu besar yang berselerakan amat menginsafkan. Penduduk kampung ni tau mana batu yang dulu ada dan tak ada, serta lokasi batu di sungai. Air sungai pun masih berbau lumpur meski telah hampir sebulan kejadian banjir berlaku” komen Fauzul Hasny, seorang ahli sukarelawan HALUAN dari Kampung Bukit Kechil.

“Harap bantuan sedikit dari kami ini mampu meringankan beban orang-orang kampung” tambah Zulhilmi Romazi pula, seorang sukarelawan dari Biro Pemuda HALUAN cawangan Kampung Berapit, Tikam Batu.

Pihak Haluan cawangan Negeri Kedah turut bercadang membuat satu lagi projek paip dan telah berbincang untuk membantu  membaiki saluran Paip Masyarakat di Kampung Setoi ,Yan,Kedah. Anggaran jauh punca air dan kawasan kampung adalah sepanjang 4-5 kilometer. Rumah yang mengguna paip ini sebanyak 200 buah rumah. Projek ini melibatkan anggaran pembelian seperti berikut:

1. Paip 2″(Sirim) – 30 gulung =900×30 = RM27,000

2. Paip 3″(Sirim) – 10 gulung = 900×10=RM9,000

3. Penyambung paip pelbagai saiz =RM500

4. Sangkar utama di pusat tadahan= RM250

Jumlah anggaran kos adalah sebanyak RM36,750. Menurut Tuan Haji Abdul Kadir Mahamood, selain Kampung Setar dan Kampung Setoi, pihak HALUAN Kedah turut membantu kampung-kampung lain termasuklah Kampung Acheh (2 gulung paip 2 inci sumbangan Pertubuhan Brigade Prihatin) dan Kampung Singkir.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita

Kultura Podcast #23 : Aktivis Malaysia ke Palestin – sebuah perkongsian pengalaman dan pandangan

May 20, 2021 By Editor The Independent Insight

Pada bulan Ramadhan 2021 yang lalu, kita dikejutkan dengan sebuah berita yang kini tular di media-media sosial. Saudara seagama kita di Palestin kini sedang diuji dengan dugaan yang berat dan zalim dari puak Zionis laknatullah. 

Pada episod kali ini, Syed Ahmad Fathi akan menemu ramah seorang aktivis Palestin, Saudara Umar Ismail yang bergiat aktif dalam misi bantuan dan kemanusiaan. Beliau juga akan berkongsi pengalaman ketika misi di Gaza, pembersihan etnik di Sheikh Jarrah dan pandangan terhadap penjajahan yang berlaku.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Podcast

Kultura Podcast #22 : Cabaran Wanita Abad ke-21

April 20, 2021 By Editor The Independent Insight

Hak sama rata antara jantina atau “gender equality” merupakan salah satu filosofi moden yang selalu dibincangkan tidak kira di universiti, forum-forum sosial mahupun di tempat kerja. Fahaman ini juga tidak dapat dipisahkan dengan gerakan feminis yang kian aktif di dalam dan di luar negara Malaysia.

Pada episod kali ini, Syed Ahmad Fathi akan membincangkan cabaran yang dihadapi oleh wanita dizaman ini bersama Salida Baharum yang merupakan seorang penganalisis data dan aktivis wanita.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Podcast

Kultura Podcast #21 : Pembedahan & Perbincangan Sekitar Buku “Kembara Darus Senawi 1963″

April 4, 2021 By Editor The Independent Insight

Pada episod kali ini, Syed Ahmad Fathi membedah sebuah buku hasil karangan Izzat Ibrahim dan Ustaz Darus Senawi yang bertajuk “Kembara Darus Senawi 1963” bersama saudara Izzat Ibrahim.

Izzat Ibrahim merupakan seorang aktivis sepenuh masa dan penulis yang pernah menerbitkan sebuah buku yang berjudul “Camp De Calais”. Izzat Ibrahim juga merupakan penulis bersama buku “Travelog M.I.T.Y”. Beliau juga berkongsi kisah penerbitan buku beliau disamping sedikit ilmu teknikal dalam penulisan buku.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Podcast

Kultura Podcast #20 : Polemik Kalimah Allah di Malaysia

March 28, 2021 By Editor The Independent Insight

Pada awal bulan ini, mahkamah tinggi Malaysia telah membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan pendidikan bagi penganut Kristian secara bersyarat. Keputusan mahkamah ini telah mengundang pelbagai persepsi dikalangan masyarakat terutama yang beragama Islam di Malaysia. 

Pada episod kali ini, Syed Ahmad Fathi akan membincangkan isu ini dengan lebih terperinci bersama Ustaz Mohammad Umar Aiman Osman yang merupakan seorang penulis kitab, guru tafsir dan Exco Biro Dakwah bagi organisasi HALUAN.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Podcast

Kultura Podcast #19 : Suami vs. Isteri – Siapa yang lebih pandai memasak?

March 20, 2021 By Editor The Independent Insight

Bidang memasak atau kulinari sering dikatakan telah didominasi oleh golongan lelaki. Pada masa yang sama, tanggungjawab memasak di rumah pula lebih dominan dengan peranan seorang isteri. Benarkah begitu?

Pada kali ini, Syed Ahmad Fathi akan berdiskusi dengan Ikram Zulkaflee yang merupakan seorang pemain ragbi semi-pro bagi pasukan ALSPEN Stingers RC dan pada masa yang sama merupakan pengasas/chief baker untuk syarikat bakeri Baekers Cookies.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Podcast

Kultura Podcast Episod #18: Penulisan Puisi Moden & Perbincangan Sekitar Antologi Puisi “Maka Kitab Itu Pun Menyanyi”

March 12, 2021 By Editor The Independent Insight

Pada penghujung tahun 2019, Mel Van Dyk bersama Syed Ahmad Fathi dan Tulip Ungu telah memuatkan hasil tulisan puisi mereka dalam sebuah antologi puisi moden yang bernama “Maka Kitab Itu Pun Menyanyi”. Antologi ini merupakan cubaan untuk bereksperimentasi dengan menampilkan tiga tema yang berbeza dalam satu naskah. Pada episod kali ini, Mel Van Dyk bersama Syed Ahmad Fathi berbincang perihal penulisan puisi Melayu moden juga perihal antologi “Maka Kitab Itu Pun Menyanyi”.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Podcast

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6
  • …
  • 9
  • Next Page »

Recent Posts

  • Forum Warisan Pulau Pinang Singkap Asal-Usul Sejarah Awal Pulau Pinang
  • Teks Penuh Perjanjian Dagang Amerika Syarikat – Malaysia 26 Oktober 2025
  • Book Review: A Short Mental Break with Ibnu Khaldun
  • Diskusi Ilmiah dan Pelancaran Buku “Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida” di Astaka Fikir
  • Kita Tidak Akan Sujud Mencium Kaki Anjing Imperial Jahiliyah

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight