Saya kira menjadi satu fesyen golongan yang merasakan diri mereka progresif, liberal, tercerah, dan lain-lain mengkritik golongan yang berfahaman konservatif. Saya bukanlah mahu menggunakan terma seperti progresif, liberal, dan tercerah ini sebagai satu terma pejoratif, tetapi bagi menggambarkan satu bentuk gaya fikir. Untuk memudahkan tulisan ini, saya akan gabungkan kesemuanya sebagai “golongan tercerah”, walaupun saya faham, setiap aliran fikir yang disebut mempunyai nuansa masing-masing.
Fesyen ini menjadi lebih hangat, apabila medan pemikiran ini tidak wujud secara isolasi, tetapi bergabung dengan medan politik dan kuasa. Di Malaysia misalnya, kritikan ini sering dihalakan kepada parti yang menggunakan jenama Islam, mereka dicemuh sebagai konservatif, terkebelakang, fanatik, jumud, dan lain-lain. Saya lama juga memerhatikan hal ini, dan termenung berfikir tentangnya. Sekarang, gerakan Islam ini digelar pula sebagai arus baharu yang menakutkan seperti “the green wave”.
Cuma dalam pemerhatian dan renungan saya, wacana, perbahasan, dan kritikan golongan tercerah ini mempunyai satu ketempangan. Mungkin laras bahasanya hebat, lenggok bahasanya bersastera seni, jargonnya setinggi menara gading, dan intelektual dan logiknya bertaraf scopus, namun adakah ia berakar dalam masyarakat dan menghasilkan gerakan massa? Atau ia hanya menjadi acara wacana yang memberikan kenikmatan pada intelektual, namun usai bicara, masing-masing pulang tidur. Adakah jurnal berimpak tinggi itu dapat dibaca dan difahami oleh masyarakat di perkampungan orang asli di Air Banun misalnya? Dalam kata lain cukupkah wacana tanpa ada kader yang menggerakkannya?
Karl Marx pernah menulis bahawa sejarah tidak mampu berbuat apa-apa, ia tidak mempunyai harta, tidak mampu berjuang dalam perang, tetapi manusialah, manusia yang hidup yang mempunyai harta dan mampu berjuang. Saya kira begitu juga dengan wacana-wacana tercerah ini, secerah mana pun idea yang dibawa, jika tiada manusia yang menggerakkannya, idea itu tiada fungsi yang praktikal. Ia akan duduk dalam helaian manuskrip, disusun pada rak almari paling tinggi dalam perpustakaan berhawa dingin tetapi tidak disentuh oleh sesiapa.
Sebab itu sejarawan Eric Hobsbawm pernah ditanya semasa temu bualnya bersama Christopher Hitchens. Penanya soalan itu bertanya perihal apa yang ditulis oleh Bertrand Russell bahawa masalah dunia adalah apabila orang-orang bodoh dan fanatik menjadi begitu yakin dan orang-orang bijak penuh dengan keraguan. Hobsbawm menolak pemikiran Russell ini, katanya dalam hal ini Russell tidak boleh dipakai. Hobsbawm yang telah melihat, memerhati, merekod, dan menulis sejarah sejak sekian lama menyatakan bahawa orang-orang fanatik yang mempunyai keyakinan yang jitu, orang-orang yang yakin dengan idea mereka, tanpa mereka, perubahan tidak akan berlaku. Dalam kata lain, perubahan hanya akan berlaku apabila ada manusia yang benar-benar yakin dengan ideanya dan bergerak menjayakannya. Mereka yakin bahawa dunia ini mampu diubah, tidak duduk diam atau sekadar berwacana, tetapi melakukan kerja-kerja sukar dalam menjayakannya. Dalam kata lain, mereka tidak hanya beridea, tetapi mereka mengotorkan tangan mereka dengan usaha yang gigih.
Masalah pada wacana-wacana tercerah ini kebanyakannya menganjur kepada fahaman yang berbentuk individualistik. Pada mereka, apa yang betul adalah apa yang dirasakan betul oleh perasaan peribadi, manusia hidup secara atom dan terpisah, dan tiada gerakan massa. Semuanya terpecah pada kelompok tercerah masing-masing. Hal ini bagus untuk kebebasan berfikir, tetapi ia tidak mampu melahirkan perubahan massa. Perubahan bukan berlaku kerana kecerahan sesuatu idea, tetapi apabila sesuatu idea dapat menggerakkan masyarakat massa. Bak kata Lenin “Politics begin where the masses are, not where there are thousands, but where there are millions, that is where serious politics begin”.
Oleh itu wacana, simposium, konferens, atau sesi diskusi paling kritis dalam seluruh cakrawala pun, jika ia tidak mampu membentuk gerakan massa, ia hanya akan tinggal sebagai satu idea. Idea tidak mempunyai darah dan air mata yang merupakan harga kepada sebuah perjuangan. Ia memerlukan manusia-manusia yang hidup yang mampu beramal.
Ini berbeza dengan pihak yang mereka gelar sebagai konservatif, mereka bukan sahaja mempunyai idea, tetapi mereka mempunyai pekerja. Mereka mempunyai sistem pendidikan yang berakar dalam masyarakat, dari tadika hingga ke universiti. Mereka bekerja dan melibatkan keluarga mereka bersama, kerana mereka tidak memisahkan agama dengan kehidupan. Natijah dari gerakan mereka bukanlah kelahiran individu tercerah dengan idea yang kritis, tetapi keluarga-keluarga yang iltizam dan istiqamah dengan perjuangan mereka. Mereka berada dalam masyarakat, hidup bersama masyarakat dalam susah dan senang, menggerakkan masyarakat, malah masyarakat menganggap mereka sebahagian dari mereka. Mereka tidak dilihat sebagai orang luar yang hanya mampu menyindir.
Saya melihat, warga-warga yang tercerah ini, jika mereka serius dengan idea mereka. Mereka perlu keluar menjadi pekerja kepada idea mereka. Bukan melepak dan tidur selepas habis wacana. Paling mereka boleh lakukan adalah menyindir di media sosial namun tiada gerakan massa. Jika mereka benar dengan idea mereka, maka mereka perlu bekerja. Jika tidak, golongan tercerah ini saya kira akan menjadi seperti apa yang ditulis oleh Slavoj Zizek dalam kritiknya terhadap kegagalan gerakan kiri pada masa kini. Mereka hanya mampu mengejek orang lain “vencereis, pero no convencereis”, tetapi akhirnya mereka tetap akan kekal kalah.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.