Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi
Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Lumpur yang kini berusia lebih 100 tahun bukan sahaja menceritakan pelbagai kisah bagaimana Malaysia menelusuri gelombang sebelum tercapainya kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, malah turut menyimpan kisah-kisah menarik berkaitan Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Bangunan yang terletak diatas bukit di Jalan Dato Onn (dahulu dikenali sebagai Brockman Road) dibina diatas tanah seluas kira-kira 2.8 hektar, siap dibina pada tahun 1888 dan menjadi kediaman rasmi Pegawai Residen Selangor sehingga tahun 1955 selain menempatkan Pejabat Pentadbiran British.
Bangunan dua tingkat ini dibina dengan struktur batu serta kemasan lantai marmar selain lantai kayu di tingkat atas dengan melibatkan kos sekitar RM150,739 (AS$36,000 nilai wang pada waktu itu).
Bangunan ini yang dahulunya dikenali sebagai Residensi, pernah menjadi kediaman rasmi Tunku dari tahun 1956 hingga awal tahun 70-an. Bangunan ini kekal utuh dengan reka bentuk dan struktur asalnya dan kebanyakan perabut dan hiasan yang terdapat di dalam Residensi ini adalah milik Almarhum Tunku Abdul Rahman dan keluarga semasa beliau menjadi perdana menteri.
Rumah ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri zaman kolonial. Pada tahun 1992, kerajaan, melalui Arkib Negara Malaysia telah melakukan beberapa penambahbaikan terhadap bangunan tersebut dan proses penambahbaikan ini siap sepenuhnya pada tahun 1994 dan dinamakan sebagai Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, bagi memperingati jasa serta sumbangan Almarhum Tunku kepada negara. Bangunan tersebut kini mempamerkan himpunan koleksi peribadi Bapa Kemerdekaan itu selain artifak dokumentasi perjalanan kemerdekaan Malaya untuk tatapan umum.
Di dalam Memorial ini, pengunjung berpeluang untuk melihat meja Mesyuarat Kabinet yang digunakan oleh Almarhum Tunku semasa mempengerusikan Mesyuarat Kabinet yang pertama pada tahun 1956 yang dahulu ditempatkan di Bangunan Parlimen.
Perasmian Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 November 1994. Antara barangan lain yang turut dipamerkan secara kekal di dalam memorial ini ialah foto-foto peribadi Almarhum Tunku serta keluarga, hadiah, pakaian, perabut, keratan-keratan akhbar serta kereta jenama Cardillac Fleetwood 1956.
Memorial ini merangkumi tiga bangunan iaitu bangunan Residensi sebagai bangunan utama, dan dua bangunan Blok-A dan Blok-B yang meliputi gedung simpanan, auditorium serta ruang pejabat bagi kakitangan Arkib Negara.
Dalam bangunan Residensi, selain terdapat bilik tetamu yang menempatkan perabut antik, terdapat juga beberapa bilik yang dinamakan Bilik Cairo, Bilik Makan, Bilik Rehat, Bilik Menunggu, Bilik Tidur Utama dan Bilik Tidur Keluarga.
Sudah pasti para pengunjung akan tertarik untuk melihat sendiri Bilik Makan Utama yang diguna khas bagi meraikan para tetamu kenamaan dari dalam dan luar negara serta lengkap dengan dekorasi lampu lama dan set pinggan mangkuk antik.
Secara keseluruhannya, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi simbol kegigihan perjuangan Almarhum Tunku bersama rakan-rakan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya melalui kerjasama dengan pelbagai parti politik serta rundingan dengan pihak British.
Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di RTM sebagai Penyunting Berita TV, Penerbit Berita TV, Wartawan dan Editor.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.