Wacana yang bertajuk “Sejarah Rakyat: Sejarah atau Dakyah?” oleh Dr. Azmi Arifin dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan baru-baru ini bagi saya merupakan satu wacana yang sangat segar. Ia merupakan wacana balas terhadap wacana Prof. Syed Husin Ali sendiri sebelumnya di Pusat Sejarah Rakyat yang bertajuk “Peri-Penting Sejarah Dari Bawah”.
Sebelum mengkritik isi kandungan, Azmi mengkritik posisi Syed Husin sebagai ahli politik yang menulis perihal sejarah. Ia menjadikan naratif sejarahnya senget kepada ideologi politik yang ingin dibawanya. Saya kira ada dua soalan besar di sini. Yang pertama, adakah ahli politik tidak boleh menulis sejarah? Yang kedua, adakah sesuatu ilmu yang bersifat politikal itu boleh dikatakan kebenaran?
Saya kira dua soalan ini telah dibangkitkan oleh Edward Said dalam tulisannya, Orientalism, walaupun objek kajian Said adalah representasi bukan sejarah, saya kira metodologinya seiras dan boleh digunapakai. Dalam menjawab persoalan pertama, Said menggunakan metodologi “strategic location”. Iaitu mengkaji kedudukan penulis yang menulis terhadap sesuatu subjek. Ini akan membantu kita memahami naratif, sudut pandang, dan kecenderungan penulisan.
Contohnya, jika seorang penulis itu merupakan seorang sultan, dan dia menulis perihal rakyat di bawah kuasanya, kita dapat memahami kecenderungan penulisannya. Besar kemungkinan dia menulis untuk membesarkan dirinya agar taraf kekuasaannya dihormati. Berbeza jika rakyat yang sama ditulis perihalnya oleh seorang pengembara dari sebuah negeri kecil, miskin yang jauh. Besar kemungkinan dia menulis seiring dengan apa yang dia temui dan rasai. Oleh itu penting kita menilai strategic location penulis, apa hubungan subjek dan objek tulisannya.
Ini membawa kita kepada soalan kedua, jika kita sudah tahu lokasi penulis dalam hubungan subjek dan objek, apakah kita boleh katakan tulisan yang politikal itu tidak benar? Dalam hal ini kita perlu melihat tulisannya sendiri, penggunaan sumber dalam dia menulis, dan sikapnya dalam berhadapan dengan fakta-fakta yang berlawanan dengan naratif dan ideologi penulis sendiri. Jika sudah jelas sesuatu penulisan itu bersifat politikal, tidak bermaksud ia tidak benar atau perlu dibuang. Sebaliknya ia perlu diiktiraf sebagai satu penulisan yang politikal, bukan sebagai satu sejarah yang objektif.
Berbalik kepada buku Sejarah Rakyat, Azmi menekankan bahawa posisi Syed Husin dalam parti politik tempatan tidak boleh dipisahkan dari naratif pensejarahan tulisan beliau. Penulisan beliau juga tidak dapat dikatakan sebagai akademik atau ilmiah kerana ia tidak mempunyai nota kaki, bagi Azmi ini adalah asas dalam penulisan akademik dan perlu sebagai pertanggungjawaban. Juga, bukan semua petikan dan pandangan yang dikemukakan itu asli darinya, jadi perlu kepada chain of literature untuk dikaji, diabsahkan dan dipertanggungjawabkan. Tidak boleh menyamar dengan alasan “ia buku santai” dalam masa yang sama dikatakan sebagai satu buku sejarah.
Baik, mungkin sekarang kita pergi kepada kritikan isi. Setelah kita jelas strategic location penulis serta naratif pensejarahan yang ditulis, kita boleh beralih kepada substance, iaitu objek kajian kita sekarang, iaitu sejarah Malaysia pada masa lalu.
Sejarah mestilah difahami sebagai perkara yang telah berlaku, dan diceritakan seperti mana ia telah berlaku. Dalam kata lain, kita perlulah mengikuti sejarah untuk memahami sejarah, bukan sejarah yang harus mengikuti pandangan kita. Ini adalah masalah Syed Husin menurut Azmi. Oleh kerana mungkin keperluan politik sekarang adalah untuk melahirkan masyarakat yang inklusif, jadi sejarah pun ditulis dengan inklusif walaupun apa yang terjadi adalah eksklusif. Bagi Azmi, ini bukan sejarah. Walaupun niat itu baik, tetapi kita tidak boleh lari dari menjadi objektif dalam sejarah, apa yang terjadi perlu ditulis sebagai mana ia terjadi dan seperti yang dibuktikan dalam bukti-bukti sejarah. Kita perlu mengikuti sejarah bukan sebaliknya.
Kecenderungan Syed Husin dalam menaikkan perjuangan kaum kiri juga pada Azmi menimbulkan banyak masalah. United Malays National Organisation (UMNO) yang memperjuangkan kemerdekaan dianggap parti kanan walhal pada zaman sebelum merdeka, UMNO penuh dengan golongan kiri yang melawan British untuk mendesak kemerdekaan. Sementara elit-elit kanan dalam UMNO yang banyak diangkat sebagai tokoh kemerdekaan kini sebenarnya tidak pun berjuang menuntut kemerdekaan seperti aliran kiri dalam UMNO. Menurut Azmi, UMNO dahulu tidak boleh disamakan dengan UMNO sekarang, dan pada ketika itu rakyat yang menggerakkan UMNO, bukan UMNO yang menggerakkan rakyat.
Pokok kritikan utama Azmi kepada Syed Husin adalah takrifan “rakyat”, siapa yang dikatakan rakyat yang sejarahnya ditulis? Syed Husin menjawab bahawa rakyat ini adalah golongan bawahan termasuk juga buruh imigran pada ketika itu dan juga pembesar-pembesar yang dekat dengan rakyat (pro-rakyat). Bagi Azmi definisi ini bermasalah. Buruh imigran pada asalnya bukan rakyat, jika berbicara tentang sejarah rakyat, mereka harus dikira setelah mendapat kerakyatan. Memasukkan buruh imigran sebagai rakyat juga merupakan satu yang mengelirukan, adakah hari ini kita juga harus mengatakan bahawa buruh-buruh imigran yang ada di negara kita termasuk dari Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Myanmar, sebagai rakyat kita? Jika ya, adakah mereka dilayan dan diberikan hak sebagaimana rakyat lain? Bagi Azmi, Syed Husin ingin memasukkan mereka dalam sejarah rakyat agar wujudnya sejarah inklusif yang boleh digunakan untuk tujuan politik hari ini. Namun seperti yang telah ditulis, kita patut mengikuti sejarah, bukan sejarah yang perlu diubah bagi kepentingan kita hari ini.
Konsep Sejarah Rakyat atau Sejarah Dari Bawah ini bukanlah perkara baharu. Di Malaysia sendiri, menurut Azmi, telah banyak penulis yang menulis perihalnya, malah lebih baik dari Syed Husin Ali, cuma ia tidak sampai dan tidak meluas kepada masyarakat dan hanya diketahui oleh golongan akademik dan pengkaji. Sementara di luar negara, antara sarjana tersohor yang menulis sejarah dari bawah ini adalah Howard Zinn, yang menulis A People’s History of the United States. Jika kita membaca karya Zinn ini, ia dimulakan dengan kisah kaum Arawak yang menyambut kedatangan pelayar Eropah yang kemudian membunuh mereka. Kajian Zinn mengetengahkan golongan peribumi asal di Amerika (native American). Namun Sejarah Rakyat yang ditulis oleh Syed Husin Ali sebaliknya mengetengahkan golongan bukan peribumi.
Bagi Azmi, sejarah yang ditulis oleh Syed Husin Ali masih mempunyai kerangka kolonial, cuma bezanya dengan sejarah rasmi (propaganda kerajaan), naratifnya memihak kepada golongan kiri dan bukan pemerintah. Beliau mengkritik juga pandangan-pandangan sarjana tempatan yang banyak bergantung kepada sumber British. Walhal negara lain kebanyakannya sudah menukar posisi sejarah mereka, bukan lagi Euro-centric atau British-centric, tetapi sejarah penduduk asal, manakala kedatangan British hanya sejarah kecil dan sampingan.
Contoh kritikan beliau dalam hal ini adalah mengaitkan pemerintahan Melayu sebelum kedatangan British dengan sistem feudal atau feudalisme. Bagi Azmi, ini adalah ejekan British kepada peribumi yang diulang-ulang oleh sarjana-sarjana tempatan yang bergantung kepada sumber pensejarahan British. Menurut Azmi, sarjana-sarjana tempatan ini tidak mengkaji pun konsep feudalisme dengan mendalam, malah tidak dibuktikan bahawa masyarakat Melayu mengamalkan sistem feudalisme. Azmi pergi lebih jauh dengan mengatakan sistem yang diamalkan orang Melayu dahulu (sebelum merdeka) adalah Raja Berpelembagaan. Ini boleh didapati dalam sumber-sumber sejarah, raja tidak berkuasa mutlak. Banyak raja yang dibunuh, diturunkan, malah ada yang dipecat oleh pembesar kerana mencagar tanah tanpa persetujuan pembesar-pembesar. Ini semua tidak diketengahkan oleh sarjana-sarjana yang mulutnya sibuk mengumat-kamit “feudalisme” dalam kritik politik mereka, yang mana dalam tidak sedar mereka hanya mengulangi ejekan British terhadap masyarakat peribumi.
Akhir sekali, mungkin point terakhir yang saya rasa menarik untuk diketengahkan adalah perbezaan antara gambaran dalam tulisan dengan keadaan realiti. Kadang kala penulisan itu tidak menggambarkan realiti sebenar dari segi kesan dan impak. Oleh itu Edward Said ada memberi amaran dalam bukunya Orientalism perihal apa yang dipanggil beliau sebagai textual attitude, yang mana kita mengambil sesuatu penulisan sebagai satu kebenaran yang mutlak. Dalam kritikan Azmi terhadap Syed Husin, beliau ada menyebut tentang pengaruh Chin Peng dan Parti Komunis Malaya (PKM) yang sering dibesarkan dalam penulisan terutamanya dalam penulisan kiri dan juga British. Walhal realiti sejarah sebenar, PKM sendiri tidak mendapat sokongan majoriti rakyat hatta tidak mendapat sokongan dari majoriti kaum Cina ketika itu.
Sebagai kesimpulan, kritikan Azmi Arifin terhadap Syed Husin Ali merupakan kritikan dari aspek sejarah, Azmi sebagai ahli akademik cenderung kepada pensejarahan objektif yang berasaskan sumber-sumber primer. Manakala Syed Husin Ali menulis dalam usaha untuk menonjolkan sisi-sisi yang lebih inklusif dalam sejarah sesuai dengan komposisi masyarakat yang ada pada hari ini. Walaupun begitu, tidaklah semua pandangan Azmi terhadap Syed Husin bersifat negatif, ada juga beberapa titik persetujuan dan beliau masih menganggap ia sebagai satu buku dan usaha yang baik namun tidak boleh dikatakan sebagai satu buku sejarah yang objektif atas hal-hal yang telah kita bentangkan. Bagi memahami keseluruhan kritik-kritik ini, wajarlah sidang pembaca menyemak sendiri wacana tokoh-tokoh ini.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.