Apa khabar umat Islam hari ini? Sering kali kita mendengar bahawa Islam hari ini berada dalam keadaan yang menyedihkan dan tertindas. Jadi mari kita perhalusi persoalan ini.
Pertama, mari kita tinjau soalan ini dari perspektif kekuasaan politik. Hari ini sistem politik dunia (world order) adalah berdasarkan negara bangsa (nation state). Dalam sistem ini, ada negara-negara yang mengakui bahawa mereka merupakan negara Islam, contohnya Iran, Pakistan, dan yang terbaru Afghanistan. Malah negara kita sendiri, Malaysia, mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Jadi kita boleh katakan bahawa ada sesetengah tempat di mana Islam mempunyai kekuasaan politik.
Bagaimana pula dengan keadaan ekonomi? Ada sesetengah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam yang sangat miskin dari sudut ekonomi, sehingga kerajaan mereka tidak mampu membantu rakyat, malah ada sesetengah kawasan yang tidak berkerajaan (failed state), contohnya Libya. Negara-negara ini bergantung kepada bantuan-bantuan masyarakat antarabangsa bagi membantu rakyat mereka meneruskan hidup. Situasi ini dapat kita lihat contohnya di Somalia dan Yaman. Tetapi ada juga negara yang secara relatifnya dari negara-negara yang kita sebutkan tadi, merupakan negara yang mapan dari sudut ekonominya, seperti Turki, Qatar, dan sedikit sebanyak, negara kita, Malaysia.
Bagaimana pula dari sudut keamanan? Ada di sebahagian geografi, umat Islam tinggal dalam keadaan yang represif, sentiasa diancam oleh serangan dan penindasan. Kita boleh melihat perkara ini berlaku di Syria, Palestin, dan Turkistan Timur (Xinjiang). Manakala di sebahagian besar dunia Islam yang lain, umat Islam dapat hidup dengan bebas dan aman, dapat bekerja mencari kehidupan, dapat belajar untuk meningkatkan diri, dan dapat mengamalkan agama mereka.
Jadi, kembali pada persoalan awal kita tadi, apa khabar umat Islam hari ini? Jawapannya bergantung kepada bahagian geografi mana kita ajukan soalan tersebut. Namun, secara umumnya, kita boleh katakan bahawa terdapat banyak masalah yang berlaku dalam umat Islam pada hari ini. Termasuklah kemiskinan, kemunduran, peperangan, dan juga penindasan. Namun menurut Muhammad Ahmad Ar-Rashid dalam kitabnya Al-Muntalaq, segala masalah ini bukanlah bermakna sinar Islam bakal berakhir di muka bumi ini. Pada pandangan beliau apa yang berlaku hanyalah gerhana bukan tenggelamnya matahari.
Ciri Pemuda yang Diperlukan Menurut Hassan Al-Banna
Jadi sebagai pemuda dan pemudi Islam pada hari ini, apakah peranan kita dalam memperbaiki keadaan umat pada hari ini?
Peranan kita sebagai pemuda adalah untuk menjayakan semula Islam di ke semua batas-batas geografi ini. Untuk kitu kita perlu mempunyai satu kefahaman yang jelas perihal semangat persaudaraan antara umat Islam di mana segala penindasan dan kesengsaraan saudara kita di tempat yang lain dirasai sebagai kesengsaraan yang menimpa diri kita sendiri. Untuk menjayakan kefahaman ini, menurut Imam Hassan Al-Banna dalam risalahnya Wahai Pemuda, perlu ada golongan yang boleh menjadi teras bagi pembangunan umat (core group).
Kata Imam Hassan Al-Banna “Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka ke arah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda”.
Jadi inilah empat ciri yang perlu ada pada diri kita, para pemuda untuk menjayakan semula Islam. Yang pertama adalah keyakinan pada kebenaran Islam, yakin bahawa Islam dapat memberikan penyelesain terhadap masalah-masalah manusia. Jika umat Islam sendiri tidak yakin akan kebenaran Islam, tidak yakin akan kemampuan Islam, siapakah lagi yang boleh kita harap untuk membangunkan umat yang sedang dilanda kelemahan dan perpecahan pada hari ini? Oleh itu pemudalah yang harus mempersiapkan diri dalam menjadi barisan hadapan memperbaiki umat.
Ciri yang kedua adalah kejujuran dan keikhlasan. Hal ini yang membezakan pemuda Islam dengan pemuda-pemuda gerakan lain. Pemuda Islam seharusnya ikhlas berjuang tanpa dipesongkan matlamat perjuangan untuk meraih perkara-perkara lain. Gerakan lain mungkin matlamatnya terbatas kepada objektif material dan dunia, sedangkan gerakan Islam perlu mempunyai matlamat yang lebih besar dan suci. Sekiranya ini tidak ada, sekiranya masing-masing mempunyai niat-niat peribadi dalam perjuangan, barisan perjuangan akan mudah rapuh, mudah dipecahkan musuh dan tidak bernafas panjang.
Selepas adanya niat yang ikhlas, pemuda harus mempunyai semangat yang tinggi. Semangat dan ketekalan ini merupakan bahan penting untuk mencapai kejayaan. Angela Duckworth, seorang ahli psikologi moden dalam kajiannya mendapati, ketekalan dan semangat itu lebih penting dari bakat dalam melahirkan sebuah kejayaan. Oleh itu, pemuda Islam perlu mempunyai semangat, kecekalan, dan ketekalan dalam memperjuangkan Islam. Perlu bersifat tahan lasak dan tidak mudah berputus asa. Perlu berani bangun semula setiap kali jatuh dari kegagalan. Semangat dan sifat tidak berputus asa ini akan membantu umat untuk bangkit semula dari keadaannya hari ini.
Tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Maka ini adalah ciri pemuda yang keempat yang digariskan oleh Imam Hassan Al-Banna. Perjuangan menuntut dari kita masa, tenaga, dan harta. Jika pemuda-pemuda Islam tidak mampu mengorbankan semua ini, tinggallah perjuangan itu sebagai retorik-retorik kosong, hanya slogan yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Apa yang kita yakini perlu diperjuangkan dengan amal dan tindakan. Seorang pemuda itu tidak boleh berdiam diri saat bangsanya dan umatnya berada dalam kelemahan. Sebaliknya dia akan mengetengahkan dirinya, dia akan memberikan dirinya untuk bekerja, bukan menunggu-nunggu orang lain untuk bekerja untuknya. Jika semua pemuda-pemuda Islam mempunyai sifat proaktif ini, sentiasa mahu ke hadapan mengisi kekosongan barisan Islam, kita akan melihat umat ini dapat bangkit semula dari kelemahan-kelemahannya.
Kepentingan Ilmu Dalam Membawa Cahaya Perubahan
Sesuatu perjuangan itu juga tidak dapat tertegak tanpa adanya ilmu. Perjuangan menegakkan Islam juga tidak terkecuali. Oleh itu pemuda Islam perlu menguasai bidang-bidang ilmu, di mana pun ilmu itu berada, mereka perlu bersedia untuk berangkat dan menguasainya. Prof. Syed Hussein Alatas pernah membincangkan akan falsafah ilmu dalam makalah beliau yang bertajuk Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Di dalamnya beliau menjernihkan kefahaman perihal falsafah ilmu. Beliau membetulkan fahaman salah di kalangan umat Islam bahawa ilmu itu terpisah kepada ilmu dunia dan akhirat. Sebaliknya menurut beliau semua ilmu itu adalah ilmu Allah, tiada pemisahan. Di dalam Al-Qur’an sendiri ayat-ayat perihal alam lebih banyak dari ayat-ayat perihal ibadah khusus. Islam mementingkan umatnya menguasai ilmu alam dan ilmu manusia, dan ilmu-ilmu ini tidak kurang pentingnya, bahkan ia adalah ilmu-ilmu agama menurut Islam, tiada pemisahan. Hari ini kita melihat orang-orang lain yang menguasai keilmuan. Malah nilai-nilai Islam juga dilihat lebih banyak berada di luar dari negara yang majoritinya adalah umat Islam.
Syeikh Muhammad Abduh sebagai contoh. Selama tinggal di Perancis, beliau melihat negara itu begitu rapi, berdisiplin, dan bersih. Jauh berbeza dengan pemandangan di tanah kelahirannya, Mesir. Di Mesir, yang majoriti penduduknya adalah orang Islam, ternyata jauh tertinggal dibandingkan dengan Perancis, yang jumlah muslimnya sangat sedikit. Dari hal ini, ia mengatakan suatu perkataan yang cukup terkenal hingga hari ini. Ia berkata:
“Dzahabtu ilaa bilaad al-ghorbi, roaitu al-Islam wa lam aro al-muslimiin. Wa dzahabtu ilaa bilaad al-‘arobi, roaitu al-muslimiin, wa lam aro al-Islam”.
Bermaksud: “Aku pergi ke negara Barat, aku melihat Islam namun tidak melihat orang muslim. Dan aku pergi ke negara Arab, aku melihat orang muslim namun tidak melihat Islam”.
Oleh itu, pemuda-pemuda Islam perlu mencari ilmu serta memasyarakatkan ilmu tersebut di latar geografinya. Islam itu tidak boleh hanya tertinggal dalam nota-nota pelajaran mahasiswa Islam, tetapi hendaklah dibumikan di negara mereka. Pemuda-pemuda yang menuntut ilmu atau sering digelar sebagai mahasiswa Islam juga perlu mempelajari sejarah supaya kerja-kerja melakukan perubahan dapat dilakukan dengan berkesan, sejarah juga membantu kita mengenali diri agar kita mampu berfungsi dengan peranan yang sewajarnya.
Kesimpulan
Maka inilah tugas pemuda Islam hari ini. Pertama ia perlu memahami ehwal dan permasaalahan umat bukan sekadar dalam batas geografi negerinya, tetapi dalam skala global. Pemuda Islam kemudian perlu berjuang membaiki keadaan umat dengan sifat-sifat yang digariskan oleh Imam Hassan Al-Banna. Mereka perlu beriman dan yakin dengan Islam, ikhlas dalam perjuangan, bersemangat dan tidak mudah putus asa, dan bersedia untuk berkorban tenaga, masa, dan harta mereka. Pemuda Islam juga perlulah melengkapkan dirinya dengan ilmu ke tahap yang paling tinggi, kerana tanpa ilmu tiada perjuangan yang bermakna boleh dicapai.
Klik di sini untuk mendownload artikel ini.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.