Di permulaan tahun 2021, kita melalui pelbagai cabaran. Virus pandemik yang merebak ke seluruh negara tanpa kawalan melumpuhkan sistem kesihatan negara, hingga memaksa kerajaan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) ditambah dengan perintah darurat.
Tidak cukup dengan itu, di beberapa negeri di Malaysia, bencana banjir melumpuhkan kehidupan normal rakyat, harta benda musnah, malah banyak mangsa kini perlu menginap di pusat penempatan sementara. Ini belum kita tambahkan lagi dengan keadaan kucar kacir politik, isu-isu viral semasa, isu kerosakan alam sekitar hasil pembalakan, juga pelbagai masalah-masalah dunia. Ini semua bukan filem, bukan drama rekaan, ini adalah keadaan semasa, realiti hari ini.
Di masa yang kucar kacir ini, di masa konflik dan kesusahan, merupakan masa yang subur untuk menggerakkan imaginasi. Sejarah membuktikan bagaimana ketika perang dunia, aksi kekejaman, bencana alam, bencana yang dibuat manusia, masa-masa sukar ini memaksa manusia lari ke alam imaginasi. Mereka mula menulis, berkarya, menyanyi perihal harapan, perihal dunia yang aman dan selamat. Masa-masa genting ini banyak melahirkan karya-karya agung, epik, yang akhirnya dikenang dan digenang dalam sungai sejarah.
Mengambil semangat dari situasi ini, zine ini dilahirkan, yang diberi nama Skazka. Dari sudut bahasanya, Skazka adalah perkataan yang diambil dari kosa kata bahasa Rusia iaitu “сказка” yang membawa maksud hikayat, kisah dongeng, ataupun perkataan ini jika diterjemah secara literal membawa maksud cerita. Edisi pertama Skazka ini merupakan sarana kepada penulis yang terperangkap dalam keadaan dan situasi kucar kacir ini untuk mengekspresikan kisah dan cerita mereka. Ada kisah yang diriwayatkan dalam zine ini yang merupakan sebahagian dari pengalaman hidup para penulis, dan ada juga yang keseluruhannya merupakan tulisan dari imaginasi penulis.
Zine ini memuatkan 7 cerpen dan 3 travelog yang ditulis oleh Mel Van Dyk. Juga 3 cerpen yang ditulis oleh Syed Ahmad Fathi.
Untuk membeli zine Skazka #1, anda boleh memesannya di talian Whatsapp 013-5952166 (Ahmad).
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.