Setelah sekian lama parti Islam yang dominan di Malaysia diejek dengan pelbagai nama, mereka diejek bahawa hanya pandai beretorik dan tidak realis sebab itu mereka tidak pernah menjadi sebahagian dari kerajaan pusat. Namun dari segi sejarah ejekan ini tidak begitu tepat, PAS pernah berada dalam kerajaan dalam kerajaan campuran Perikatan dari tahun 1973 hingga 1974 dan dalam kerajaan Barisan Nasional dari tahun 1974 hingga 1977. Dan kini setelah 43 tahun parti Islam ini kembali di dalam kerajaan.
Namun artikel dan analisis ini bukan tentang parti Islam semata-mata, tetapi untuk meninjau dalam kacamata yang lebih luas, iaitu gerakan politik Islam yang mana parti Islam merupakan sebahagian darinya, dan adakah dengan kemasukan mereka di dalam kerajaan perjuangan politik Islam telah berjaya.
Politik Islam melahirkan pelbagai wadah, ada yang langsung menubuhkan parti, ada yang moderat, ada yang mempunyai pendekatan yang perlahan, ada yang mahu kembalikan sistem Khalifah, ada yang berpendapat ia perlu dimulakan dengan ekonomi, dan mungkin seribu satu penafsiran lagi. Persoalan adakah Islam perlu ditegakkan sebagai kuasa politik, adakah Islam itu sebenarnya adalah agama bukan perjuangan yang bermatlamatkan politik, adalah perbahasan klasik yang telah didebatkan lebih seribu tahun. Namun mungkin apa yang pasti adalah politik merupakan sebahagian dari Islam, atau sekurang-kurangnya Islam memberi panduan berkenaan dengan kaedah berpolitik.
Slogan yang digunakan oleh gerakan Islam hari ini merupakan slogan-slogan lama, yang mungkin relevan pada zaman kolonial, tetapi kedengaran janggal pada zaman dan situasi masa kini. Kebanyakannya membawakan pemikiran bahawa sistem politik kita belum cukup-Islam. Untuk kekal relevan gerakan politik Islam perlu mencari gaya fikir yang baharu.
Dengan mengatakan kita perlu mencari gaya fikir baharu bukan bermakna kita menolak pemikiran-penulisan generasi awal gerakan Islam seperti Syed Qutb, Hasan Al-Banna, Maududi dan sealiran dengannya, kita masih boleh membaca, mengambil ibrah, dan mengkaji penulisan mereka. Tetapi dalam masa yang sama kita harus sedar generasi, geografi, dan keadaan kita hari ini tidak sama dengan mereka, jadi pendekatan kita tidak boleh ditiru 100 peratus, ia perlu disesuaikan dengan waqi semasa.
Situasi Islam di Malaysia hari ini sudah jauh berbeza dari era kolonial. Ustazah hari ini tidak lagi free-hair seperti zaman dahulu. Pelajar sekolah tidak lagi memakai seluar pendek. Bank-bank sudah mempunyai pilihan untuk pembiyaan patuh syariah. Malah simpanan KWSP juga sudah punyai pilihan simpanan patuh syariah. Dalam konteks negara Islam hari ini bukan lagi Islam yang ada pada zaman kolonial.
Baik, mari kita kembali kepada persoalan asal kita.
Francis Fukuyama dalam kitabnya perihal berakhirnya sejarah ada membincangkan tentang dilemma yang dihadapi manusia. Manusia mahukan sesuatu untuk diperjuangkan, sesuatu yang lebih besar dari dirinya. Apabila dunia telah aman, tiada lagi perbezaan, diskriminasi, tiada lagi penindasan, atau dalam kata lain manusia telah sampai ke puncak perjuangan, atau dalam bahasa Fukuyama “manusia telah sampai ke hujung sejarah”, tiada apa lagi yang perlu diperjuangkan. Hidup akan terasa biasa, lama kelamaan manusia akan bosan dan mereka akan mencari semula sesuatu untuk diperjuangkan, kemudian peperangan dan penindasan bermula semula.
Mungkin apa yang dikatakan oleh Fukuyama ini hanya falsafah, tetapi ia merupakan soalan yang menarik untuk ditinjau, ketika parti politik yang mengaku mewakili Islam telah sampai ke puncak kuasa adakah boleh kita katakan perjuangan telah selesai? Adakah aspirasi politik Islam telah berjaya?
Jika dilihat dari sudut Islam itu sendiri, tentulah jawapannya tidak, kerana Islam bukan hanya politik, politik hanya sebahagian dari Islam. Masih ada banyak ruang dalam Islam yang perlu dijayakan, kerana Islam merangkumi semua bidang hidup, ini bermakna ia termasuk ruang ekonomi, pendidikan, sosial, kebudayaan, keilmuan dan lain-lain.
Namun dalam bidang politik adakah kita boleh katakan kita telah berjaya? Parti Islam sudah berada dalam kerajaan, Islam diiktiraf dalam perlembagaan negara sebagai agama rasmi. Institusi-institusi Islam telah diwujudkan baik dalam bidang pendidikan, dakwah, undang-undang, makanan. Jika kita kata kita sudah berjaya ini akan membuatkan kita mengatakan sudah tiada apa yang perlu diperjuangkan.
Jika anda membaca artikel ini dan merasakan ia berpusing-pusing dan tidak menjawab soalan asas yang ditanyakan jangan gelisah. Kerana persoalan ini mustahil dijawab oleh artikel pendek ini. Artikel ini hanya ingin meletakkan soalan ini di meja perbincangan. Melarikan diri dari menjawab persoalan ini akan menyebabkan gerakan Islam semakin hari hilang relevannnya dalam masyarakat, menjadikan mereka memperjuangkan perjuangan lama dan menyebabkan mereka hilang semangat dan idealisme golongan muda yang merasakan perjuangan mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
Namun jika persoalan ini dibincangkan, jika ia cuba dijawab dengan serious, ia akan memberi nafas baru kepada gerakan Islam, membantu mereka dalam proses transisi dari ideologi politik lama kepada pemikiran politik yang lebih segar, yang lebih murni dengan idealisme generasi muda, sesuai dengan keadaan dan kehendak zamannya. Semoga kita diberi kesempatan untuk melihat hari-hari yang lebih baik pada masa hadapan.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.