Oleh: Nabihah Insyirah
Baru-baru ini, saya ada membaca satu posting panjang, ia seolah-olah analisa politik seorang rakyat Malaysia terhadap keputusan Museum Aya Sofya ditukar semula kepada Masjid.
Katanya keputusan berikut dibuat oleh Presiden Turki Racep Tayyep Erdogan demi kesejahteraan politik beliau. Kebetulan, posting tersebut dibaca oleh sebahagian pelajar-pelajar berbangsa Turki dan mereka bertanya kenapa orang Malaysia begitu yakin bercakap soal mempolitikkan Aya Sofya?
Apa bukti beliau mengatakan pertukaran Aya Sofya kepada Masjid semula adalah sesuatu yang menguntungkan Erdogan?
Beliau tahu atau tidak yang sudah sekian lama masyarakat di Turki menuntut Aya Sofya menjadi Masjid semula? Ia bukan isu baru. Ia adalah tuntutan daripada masyarakat Turki berzaman-zaman.
Ia bukan idea Erdogan, tapi tuntutan dan desakan daripada rakyatnya. Meskipun golongan sekularis menentang idea tersebut, namun majoriti masyarakat di Turki menuntut pertukaran tersebut.
Saya teringat seorang kawan saya di Istanbul pada tahun lepas. Saya berhajat untuk menziarahi Aya Sofya dan mengajaknya bersama kawan kawan lain. Dia meminta maaf dan menyampaikan rasa hatinya:
“Saya minta maaf. Saya tak mampu untuk melihat Aya Sofya. Setiap kali saya ternampak Aya Sofya, ada satu perasaan yang menggigit jiwa saya. Saya berasa sedih teramat sehingga terasa sakitnya di hati. Saya terasa tak aman jiwa selagi mana dia menjadi museum. Aya Sofya adalah hadiah daripada Allah untuk Fatih Mehmet Sultan sekaligus hadiah untuk kita semua bersujud di dalamnya.”
Untuk pengetahuan pembaca, dia merupakan rakan sekelas, lelaki berbangsa Turki.
Semalam saya ada video call bersama kawan-kawan Turki, saya memetik sebahagian daripada perbualan mereka.
“Malaysia jauh daripada Turki. Rakyat Malaysia mungkin tak tahu betapa ada sentimental value Aya Sofya di hati kami. Janganlah tertipu dengan pandangan dan idea yang membenci Erdogan walaupun kami sendiri bukan pendokong parti beliau. Tapi isu Aya Sofya bukan isu Erdogan. Itu isu kita semua, semua kaum dan bangsa muslim. Pertukaran Aya Sofya kepada masjid semula tak menguntungkan Erdogan apa apa pun kerana pilihan raya lambat lagi, lagi 3 tahun. Dan parti sekular takkan memandang kebaikan apa apa pun dalam hal ini. Malah mungkin akan merugikan beliau.”
Kata mereka lagi.
“Kalau Erdogan bukan pemimpin kami dan ditukar dengan presiden yang lain dari parti yang lain, kami akan tetap mendesak dan menuntut kepada beliau untuk menukar Aya Sofya kepada Masjid kembali. Dan sekiranya beliau melakukan hal yang sama, kami tetap akan bergembira dan bersyukur dengan tindakannya.”
Saya ajak kawan-kawan pembaca untuk kita melihat dari sudut masyarakat di Turki sendiri. Bila kita nak melontarkan komen mengenai pertukaran semula Aya Sofya, saya mengharapkan kita lebih berhati-hati kerana masyarakat sana boleh membaca komen-komen kita.
Kebetulan semalam seorang rakan sekelas saya di Istanbul pada tahun yang lalu menghantar mesej mengenai betapa gembiranya dia Aya Sofya bertukar menjadi Masjid semula dan meminta saya mendoakan moga ia kekal begitu selamanya.
Tulisan ini diterbitkan petama kalinya di laman Facebook Nabihah Insyirah.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.