
Pendahuluan
Kehidupan ini satu perjalanan, aku tahu ia adalah satu ungkapan prosa yang klise, tetapi ia juga satu prosa yang benar. Aku telah melalui pelbagai perjalanan dalam dunia ini, dan aku rasa perjalanan dalam dunia buku ini sesuatu yang sudah aku cintai, sebab itu aku masih ada di dalamnya, hadir, dan menghadirkan diri. Dunia buku ini bagi aku satu dunia yang berbeza, satu dunia yang memberi aku peluang untuk meneroka, keluar dari rutin biasa, meneroka idea, meneroka pemikiran orang lain, meneroka persahabatan baharu, dan meneroka bahagian diri yang aku sendiri pun tidak tahu ia wujud sebelum ini.
Salah satu yang aku rasa bermakna dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 adalah mendengar perkongsian-perkongsian yang tidak mungkin aku akan dengar dalam dunia rutin biasaku. Juga melihat benda yang aku tidak akan lihat kalau aku hanya terperuk dalan rutin yang selalu. Sebab itu aku merasa rindu kepada acara buku, ia selalu membuka perasaanku dan menyentuh akal-mindaku. Aku teringat perkongsian Salina Chrismas dan Zarina Holmes di IABF, bahawa inspirasi itu sebenarnya banyak disekeliling kita jika kita sudi merendahkan diri, merajinkan diri untuk mencari dan mengutipnya.[1] Penulis adalah pekerjaan mencari perkara-perkara menarik di sekeliling kita untuk diketengahkan. Tidak semestinya kita perlu pergi jauh, cukup kita merenung keindahan di sekeliling kita. Keindahan yang mungkin orang lain tak nampak sebab mereka semua sibuk mengejar rutin.
Bagi aku seni itu adalah satu penghargaan pada keindahan, baik keindahan visual, audio, prosa, gerakan, dan apa juga lagi yang dirasakan indah. Keindahan inilah yang menarik manusia menjadi seniman. Dalam dunia penulisan juga aku rasa satu dunia yang indah dan boleh dikatakan sebagai satu arena seni.
Kehidupan ini satu perjalanan, aku tahu ia adalah satu ungkapan prosa yang klise, tetapi ia juga satu prosa yang benar. Salah satu perenungan menarik semasa perjalanan kehidupan di PBAKL adalah mendengar perkongsian dan persembahan saudara Kimal, vokalis Margasatwa, seniman dari Paka, Terengganu. Aku ini seorang buta musik, tapi mendengar lagu dan perkongsian beliau sangat mengasyikkan. Tentang kehidupan, keazaman, kerinduan, dan perjuangan. Lagu pembukaan beliau adalah “Doa Buat Gaza”. Lepas dengar terus cair hati aku yang keras ini. Di hujung sesi, sempat borak sekejap dengan Kimal dan dapatkan buku beliau dengan tandatangan.
Kepentingan Menyimpan Kenangan

Antara yang dikongsikan oleh Kimal adalah pentingnya kita menyimpan angan-angan. Kata Kimal angan-angan itu adalah perancangan sub-conscious kita. Kita akan berusaha secara tidak sedar untuk merealisasikan angan-angan ini. Dalam tidak sedar, kita akan berada di tempat yang pernah kita angan-angankan dulu. Aku rasa betul apa yang Kimal kongsikan ini, bila aku melihat buku-buku yang aku tulis, dan terjumpa penulisan-penulisan lama, draf-draf lama, baru aku sedar, banyak tajuk-tajuknya adalah angan-angan silam aku. Aku pun tak sedar, seperti Kimal kata, bila dah sampai baru sedar yang ia adalah angan-angan aku di masa lalu. Jadi, jangan sesekali memandang enteng pada sebuah angan-angan.
Aku memang menulis untuk diri, aku bukan menulis sangat untuk pembaca teruja dengan aku atau menjadi peminat aku. Sebab itu bila Amier Suhaimi tanya semasa sesi di Pentas Merdeka adakah aku risau pembaca kecewa dengan penulisanku, aku menyatakan bahawa itu tidak termasuk dalam perkiraanku.[2] Seperti yang Jack Malik sebutkan dalam bicara puisinya di IABF, bahawa puisi yang baik adalah puisi yang jujur.[3] Begitu juga penulisan, bagi aku penulisan yang paling menyeronokkan adalah yang jujur. Aku tidak suka diikat sesiapa, baik diikat oleh penerbit atau pembaca. Aku meraikan pembaca, tapi tidaklah mengikut arus mereka. Jadi aku tidak kisah jika tiada siapa yang beratur membeli buku aku seperti penulis-influencer, sebab itu bukan tujuan perjalananku. Aku hendak berjalan di jalan yang lain. Jalan aku yang penuh dengan kejujuran sahaja.
Kerja Seni dan Cabaran Berkeluarga
Kehidupan ini satu perjalanan, aku tahu ia adalah satu ungkapan prosa yang klise, tetapi ia juga satu prosa yang benar. Aku bertanya Kimal apa cabaran yang paling besar dia hadapi dalam menjadi seniman? Dia kata cabaran terbesar adalah untuk menyara keluarga dengan melakukan kerja-kerja seni sahaja. Perlu banyak kerja ke luar dan meninggalkan anak isteri. Jawapan Kimal ini sekali lagi menyerap masuk ke dalam dada hatiku. Aku rasa betul, bila kita bekerja mengejar apa yang kita suka, memang memerlukan pengorbanan, berenggang dengan keluarga bukan satu benda yang mudah.
Aku juga pernah bersembang dengan seorang sahabat. Ayahnya merupakan professor ulung. Tapi apabila disebut padanya, dia mengatakan dia tidak suka dengan kawan-kawan ayahnya di universiti. Kerana dia merasakan merekalah yang mencuri ayahnya sejak dia kecil. Ayahnya hampir tiada dalam perjalanan kehidupan pendewasaan dia. Aku sangat terkesan dengan sembang ini. Anak-anak aku sendiri kini sudah semakin sedar aku menulis, kadang mereka menyebut dan membaca juga buku-buku aku. Tapi jarang sekali aku bawa mereka ke acara. Kerana aku merasakan umur mereka belum sesuai. Dan kadang aku berada lama di acara, takut mereka tidak tahan. Tapi PBAKL kali ini aku bawa juga mereka bersama walaupun sebentar, menunjukkan kepada mereka reruai-reruai yang ada buku tulisanku. Ambil gambar bersama sebagai kenangan. Moga satu hari nanti mereka merasakan mereka juga adalah sebahagian dari perjalanan kehidupan menulisku.

Perseteruan Agama dan Seni?
Kehidupan ini satu perjalanan, aku tahu ia adalah satu ungkapan prosa yang klise, tetapi ia juga satu prosa yang benar. Selain Kimal, antara sesi menarik yang sempat aku ikuti adalah sesi bersama Adam John di mana beliau berkongsi koleksi majalah-majalah dan komik yang menjadi bacaan kanak-kanak semasa tahun 1980-an dan 1990-an. Bagi aku, perkongsian Adam John ini menarik kerana ia memberi satu latar budaya kepada kanak-kanak di Malaysia pada zaman dahulu. Bagaimana mereka membesar dan apa bahan-bahan budaya yang ada disekeliling mereka yang mempengaruhi pendewasaan mereka. Bagi aku perkongsian latar ini sangat penting dalam kita memahami masyarakat kita, dengan latar ini kita dapat memahami bentuk pemikiran mereka dan bagaimana pemikiran itu terbentuk. Pengaruh kebudayaan ini bagiku merupakan satu elemen yang kurang dikenali terutamanya dalam masyarakat Islam di negara ini.
Adam John juga ada berkongsi perihal sebuah buku berkenaan P. Ramlee.[4] Di dalam buku tersebut ada dikongsikan temubual bersama P. Ramlee yang menyedihkan di mana beliau sudah tidak lagi mendapat sambutan. Apabila ditanya mengapa ini berlaku, P. Ramlee menjawab bahawa “peminat saya semua sudah berkahwin, sudah beranak, dan dah sembahyang”. Jawapan ini sangat menusuk hati saya, seolah-olah agama itu membuang seni. Seolah ada perseteruan antara agama dan seni.
Perkara ini lama bermain dalam fikiranku. Semasa di PBAKL, di reruai Rabak-Lit, aku selalu duduk bersama Mohd Jayzuan yang merupakan seorang seniman dan penyanyi. Dengan pakol Afghannya, aku lihat Jayzuan ini rajin ke surau dan mengajak aku sembahyang, selain itu dia juga sibuk berdebat perihal mazhab salafi-wahabi di reruai. Malam itu, ketika kami makan di Restoran Tomyam Rosdet aku bertanya akan hal ini kepada Jayzuan.[5] Perihal apakah pandangan beliau, tentang seperti adanya perseteruan/percanggahan antara agama dan seni.
Menurut Jayzuan, P. Ramlee mungkin sekadar mengutarakan sesuatu realiti yang berlaku, di mana masyarakat mula serius beragama dan tidak begitu menghiraukan seni. Itu tidak bermaksud ada percanggahan atau perseteruan, tetapi satu observasi objektif tentang apa yang berlaku. Jayzuan juga berpandangan bahawa pada ketika itu wacana agama masih belum berkembang, ustaz-ustaz pada zaman itu adalah ustaz lama (banyak yang garang). Suasana ini kemudian sudah berubah, ustaz-ustaz generasi baharu kebanyakannya mempunyai wacana agama dan seni yang lebih luas.
Wacana Pinggiran dan Wacana Marginal
Kehidupan ini satu perjalanan, aku tahu ia adalah satu ungkapan prosa yang klise, tetapi ia juga satu prosa yang benar. Banyak wacana pinggiran menarik yang aku lihat di PBAKL, aku guna istilah wacana pinggiran sebab wacana macam ini tidak dapat slot pentas, dibuat kecil-kecilan di reruai. Boleh juga disebut wacana marjinal. Salah satu yang aku sempat sertai adalah wacana bersama Hishamuddin Rais di reruai Kawah Buku. Aku bukanlah peminat Isham, tetapi dahulu, aku pernah juga beberapa kali membaca blog beliau yang diberi nama Tukar Tiub.[6]
Banyak benda yang aku tidak setuju dengan Isham dalam wacananya. Misalnya apabila dia menyebut tentang keperluan kita membina wacana nasional bertunjang Melayu, kita perlu mengikut arus kanan yang sedang melanda Eropah seperti di Jerman (AfD), Perancis (Le Pen), United Kingdom (Reform), Itali dan lain-lain. Aku tertanya kenapa pula kita kena mengikuti arus Eropah? Apa kena mengena kita dengan orang-orang Eropah ini?
Tetapi aku tidak bertanya soalan itu. Aku lebih suka bertanya soalan-soalan sejarah. Apabila Isham menyebut persoalan nasional kita rosak apabila UMNO bersubahat dengan British dalam memberi kerakyatan pada imigran, aku merasakan hujah ini mempunyai kelemahan. Bagi aku memang zaman British sememangnya satu zaman yang menyaksikan paling besar kemasukan imigran luar. Tetapi tidak boleh dinafikan, orang Melayu juga menggunakan imigran luar sebelum kedatangan British, dan sebelum wujudnya UMNO. Misalnya Long Jaafar, ayah kepada Ngah Ibrahim, apabila dia membuka lombong bijih timah di Larut, beliau membawa masuk imigran Cina bekerja.[7] Itu fakta sejarah. Dan kenapa kita mahu menyerang UMNO sedangkan yang mengetuai kerajaan sekarang bukan UMNO? Pada pendapatku, ketua kerajaan pada hari inilah yang perlu didesak agar membawa agenda nasional, bukan parti yang sudah tidak lagi berkuasa. Dua kali aku tanya, tapi bagi aku Isham tidak menjawab soalanku, sebaliknya dia berpusing-pusing.

Tetapi yang aku boleh respect Isham adalah disebabkan dia humble, dia tak suka orang panggil dia encik ke tuan ke pak ke pakcik ke. Cukup Isham sahaja. Aku senang dengan orang sebegini, hendak bersembang tidak perlu berfikir banyak hendak menggunakan correct salutation. Sembang bersahaja. Isham pegang bahu aku bila bersembang selepas habis wacana, macam kawan-kawan. Walaupun still aku rasa hujah dia lemah, tapi seronok bersembang.
Bagi aku penulis perlu begitu. Tidak mempunyai perasaan bahawa mereka adalah selebriti dan semua orang memuja mereka. Bagi aku kita serius dalam wacana, namun dalam persembangan kenalah mesra. Intelektual yang serius sahaja, gelak pun tidak mahu, senyum pun tidak pandai, bagi aku membosankan. Sebab itu aku suka sarjana seperti Howard Zinn. Jika dilihat syarahan beliau, beliau banyak memasukkan unsur tidak formal dan jenaka.[8] Walaupun dia merupakan sosok sejarawan besar. Di reruai Kawah Buku juga aku berjumpa dengan Mad Koy, sedap sembang dengan beliau pasal sejarah. Selepas itu baru aku tahu bahawa dia adalah pelajar Anthony Milner, patut sedap semacam bicara pasal hikayat bersama beliau.
Perlukah Semua Orang Menjadi Penulis?
Kehidupan ini satu perjalanan, aku tahu ia adalah satu ungkapan prosa yang klise, tetapi ia juga satu prosa yang benar. Dalam perjalanan mencari makna kehidupan antara metodologi yang selalu akan kita gunakan adalah metodologi dialog. Seperti yang pernah digunakan oleh Socrates.[9] Di PBAKL, antara persembangan lain yang menarik adalah dengan Amier Suhaimi di Pentas Merdeka, bagi aku, Amier banyak bertanya soalan-soalan yang membuahkan fikir.[10] Antara yang ditanyakan adalah perlukah semua orang menjadi penulis?
Bagi aku semua orang boleh boleh menjadi penulis jika mereka mahu, tetapi tidak semua orang mahu. Namun aku masih merasakan bahawa semua orang mempunyai sesuatu yang unik untuk diceritakan. Ketika diskusi tersebut, sebenarnya aku sedang membaca buku perihal sejarah Majapahit yang ditulis oleh Herald Van Der Linde.[11] Di dalam buku tersebut ada diceritakan tentang kisah Mpu Prapanca yang menulis buku Desawarnana. Bagi aku kisah Prapanca ini sangat menarik. Berbeza dengan penulis di zamannya yang menulis perihal dewa-dewi, pertarungan dengan elemen hero dan percintaan, Prapanca menulis perihal keadaan di desa semasa pemerintahan Hayam Wuruk. Walaupun tulisan Prapanca ini tidak mengikut standard zamannya, namun ternyata ia kemudian menjadi teks yang sangat penting dalam memahami sejarah Majapahit. Di sini kita dapat pelajari bahawa walaupun sesuatu penulisan itu mungkin dirasakan biasa pada hari ini, di kemudian hari, ia mungkin menjadi satu penulisan emas yang sangat penting bagi peradaban manusia. Sebab itu, tiada satu pun penulisan yang harus kita rendah-rendahkan.
Bagi aku begitulah nilai penulisan. Penulisan tidak perlu perihal orang-orang besar atau orang politik yang hidup zaman ini sahaja. Kisah mereka sudah banyak diabadikan oleh para wartawan, buat apa kita mahu menyibuk lagi. Sebaliknya kita perlu menulis perihal kehidupan dan persekitaran kita. Penulisan seperti ini yang nanti akan dicari di zaman kemudian. Anak-anak kita pasti mahu mengetahui perihal pemikiran kita, mereka tidak mahu sangat tahu pasal pemikiran orang lain yang tiada kaitan dengan mereka. Sebab itu kita perlu menulis, untuk mereka.
Penulisan-penulisan dunia dari kaca mata awam, bagaimana masyarakat awam berfikir, dan bagaimana mereka hidup. Jika ramai yang menulis, maka kita akan boleh mengkaji perbezaan kehidupan manusia dengan lebih sistematik kerana wujudnya banyak data. Kita boleh buat perbandingan kehidupan di Kuala Lumpur dan di Kedah misalnya. Merekodkan hal-hal lokal ini bagi aku tidak kurang pentingnya. Misalnya Jack Malik yang menulis perihal makanan-makanan di Ipoh dalam buku puisinya.[12] Bagi aku itu satu rekod yang sangat berharga.
Menulis Dengan Jiwa
Kehidupan ini satu perjalanan, aku tahu ia adalah satu ungkapan prosa yang klise, tetapi ia juga satu prosa yang benar. Perjalanan penulisan bagiku menarik sekiranya ia lahir dari jiwa. Sebab itu aku sering merasakan penulisan akademik yang mahu bersifat objektif dengan membuang diri pengarang dari karangannya sebagai sesuatu yang membosankan. Soal menghilangkan diri penulis dalam penulisan saintifik dan akademik ini turut dikritik oleh sarjana seperti Rupert Sheldrake.[13] Semasa PBAKL, ada satu soalan menarik yang ditanya oleh sekumpulan anak muda yang singgah di reruai The Biblio Press. Perihal perkaitan antara penulisan dan aktivisma.
Pada pandanganku, seperti tidak semua orang ingin menjadi penulis, tidak semua juga minat beraktivisma. Sebahagian penulis itu hanya minat bersenang-lenang dan menulis dari kerusi-kerusi yang selesa. Ini termasuklah golongan akademik itu sendiri. Namun, seperti juga penulisan yang menghilangkan diri penulis itu membosankan, penulisan yang bermain dengan akal sahaja tanpa adanya pasakan realiti juga bagiku sering membosankan.
Pastilah tidak sama penulisan aktivis yang bergelumang dengan anak-anak orang asli yang tidak terbela, melihat sendiri mata dan air mata mereka, dengan penulisan ahli akademik perihal subjek yang sama namun hanya menulis berdasarkan laporan dan data. Tidak sama kerana data-data itu tidak mempunyai jiwa.
Semasa pulang dari PBAKL pada satu malam, ketika turun di stesen LRT Sentul Timur, aku melihat seorang lelaki yang penat setelah bekerja hingga larut malam. Apabila sampai ke stesen LRT, dia disambut oleh isterinya dengan pelukan erat. Permandangan tersebut sangat melarut ke dalam jiwaku. Satu pemandangan yang tidak mungkin aku akan lihat jika aku hanya duduk menulis di rumah sahaja. Aku merasakan jika lelaki tersebut menulis perihal cinta, pastilah jiwanya akan mengalir bersama dalam bait-bait penulisannya. Kerana dia merasainya dan melaluinya. Dia merasai kesusahan dan pengorbanan seharian yang akhirnya dibalas dengan sebuah pelukan. Sebab itu bagiku satu penulisan yang menyeronokkan adalah penulisan yang ditulis ketika penulis sedang beremosi, sedang sedih atau marah, kerana pada ketika itu jiwanya akan mengalir. Penulisan itu akan menjadi satu penulisan yang membekas. Subjek yang sama, jika ditulis oleh seorang professor yang sekadar menganalisis jurnal-jurnal akademik perihal cinta, pastilah sengatnya tidak sama. Jiwa penulisannya pasti berbeda.
Penutup
Kehidupan ini satu perjalanan, aku tahu ia adalah satu ungkapan prosa yang klise, tetapi ia juga satu prosa yang benar. Seperti yang pernah aku catatkan perihal PBAKL tahun 2023, dunia buku itu satu dunia yang tersendiri.[14] Perjalanan aku di PBAKL pada tahun ini sedikit sebanyak mengubati kerinduanku kepada dunia ini. Satu dunia yang aku kemudian terpaksa tinggalkan untuk kembali ke dalam rutin harian.
Aku merasakan perjalanan tahun ini satu perjalanan yang bermakna, meski pun aku hanya sempat menghadirkan diri selama 3 hari. Aku sempat bertemu dengan ramai rakan-rakan penerbit, penjual buku, penulis, penterjemah, editor, pembaca dan pengunjung. Banyak lagi sebenarnya perenungan yang berjaya ditimbulkan dalam perjalanan kali ini, namun mungkin tidak kesemuanya ditakdirkan untuk ditintakan. Tinta ini hanyalah sekadar satu rekod perihal perjalanan kehidupanku yang sebentar ini. Walaupun ia klise, aku merasakan ia benar dan wajar direkodkan.
Bibliografi
Andaya , Barbara Watson , and Leonard Y. Andaya. 2001. A History of Malaysia. Palgrave.
Daniyal Kadir. 2015. Membedah P. Ramlee. DuBook Press.
Jack Malik. 2023. Gampang! Kumpulan Pomes Jack Malik 2019-2022. Seremban: Rabak-Lit.
Sheldrake, Rupert. 2013. The Science Delusion. London: Coronet.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah.
Syed Ahmad Fathi. 2025. “Koleksi Refleksi Di IABF: Merayakan Seni Dan Sastera.” Refleksi Acara Seni 1-8.
—. 2023. “Apakah Makna Pesta Buku Buat Seorang Penulis?” Suara Muhammadiyah, 27 Jun.
Van der Linde, Herald. 2024. Majapahit: Intrigue, Betrayal and War in Indonesia’s Greatest Empire. Monsoon Books.
[1] Syed Ahmad Fathi. “Koleksi Refleksi Di IABF: Merayakan Seni Dan Sastera.” Refleksi Acara Seni, 2025., hlm. 3.
[2] Sesi perkongsian Syed Ahmad Fathi perihal buku “Malam Dalam Aksara Yang Panjang” bersama Amier Suhaimi (penulis buku Nakal-Nakal) sebagai moderator di Pentas Plaza Merdeka, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di WTCKL pada 31 Mei 2025 anjuran Rabak-Lit dan The Biblio Press. Rakaman boleh diakses di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=zM6itrzEId8&t=2435s
[3] Syed Ahmad Fathi. “Koleksi Refleksi Di IABF: Merayakan Seni Dan Sastera”., hlm. 4.
[4] Daniyal Kadir, Membedah P. Ramlee. DuBook Press, 2015.
[5] Majlis makan lewat malam di Restoran Tomyam Rosdet, Chow Kit pada 31 Mei 2025 yang dibelanja oleh bos Rabak-Lit, Izzat Amir.
[6] Blog ini ditutup pada 27/02/2025 selepas 17 tahun. Pautan: https://www.youtube.com/shorts/Byb65y8mI_Y
[7] Pada tahun 1848, Long Ja’afar yang merupakan pembesar di Larut, Perak telah menjemput pelombong Cina untuk membangunkan lombong bijih timah. Lihat Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, A History of Malaysia (Palgrave, 2001), hlm. 153.
[8] Lihat misalnya syarahan beliau di Google. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=lHthW6kh-N8&t=1821s
[9] Socrates adalah ahli falsafah yang sangat gemar beragumentasi menggunakan dialog. Lihat Syed Ahmad Fathi. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah, 2023.
[10] Sesi perkongsian perihal buku “Malam Dalam Aksara Yang Panjang” bersama Amier Suhaimi. Rakaman boleh diakses di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=zM6itrzEId8&t=2435s
[11] Herald van der Linde, Majapahit: Intrigue, Betrayal and War in Indonesia’s Greatest Empire. Monsoon Books, 2024.
[12] Jack Malik, Gampang! Kumpulan Pomes Jack Malik 2019-2022. Seremban: Rabak-Lit, 2023.
[13] Lihat tulisannya dalam Rupert Sheldrake. The Science Delusion. Coronet, 2013.
[14] Syed Ahmad Fathi. “Apakah Makna Pesta Buku Buat Seorang Penulis?”. Suara Muhammadiyah, 27 Jun 2023. Pautan: https://web.suaramuhammadiyah.id/2023/06/27/apakah-makna-pesta-buku-buat-seorang-penulis/
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.