Antara sumber sejarah yang terawal dan didokumentasikan dengan baik di negera ini adalah dari sumber penulisan dari golongan kolonial Inggeris. Sumber-sumber ini boleh didapati dalam bentuk laporan, dokumen rasmi kerajaan dan juga jurnal peribadi. Kemajuan Barat dalam penulisan secara tidak langsung membentuk satu naratif sejarah yang digunapakai oleh orang ramai sehingga hari ini. Namun pernahkah kita terfikir mengapa mereka mempunyai rekod yang begitu hebat sejak dari kurun ke-15 sedangkan kita juga pada waktu itu sudah mempunyai sistem penulisan? Berikut adalah berberapa sebab mengapa pihak kolonial Inggeris begitu minat menulis dan merekod jurnal.
Peningkatan tahap literasi dan pendidikan
Pada abad ke-16 dan ke-17, kadar literasi di Inggeris telah meningkat dengan mendadak. Antara faktor utama yang memacu peningkatan ini adalah penemuan mesin cetak pada abad ke-15. Bahan bacaan lebih mudah untuk dicetak dan diakses oleh masyarakat Inggeris. Institusi pembelajaran telah menyelaras buku-buku sekolah dengan lebih mudah dan dengan kos yang lebih murah, melahirkan lebih ramai golongan yang mampu membaca dan menulis. Menulis jurnal pada ketika itu menjadi satu cara untuk mengasah kemahiran literasi.
Amalan keagamaan dan kerohanian
Penulisan jurnal juga menjadi salah satu cara yang diterapkan oleh institusi gereja pada waktu itu untuk tujuan refleksi diri. Golongan-golongan yang berkhidmat di bawah gereja digalakkan untuk merekod perjalanan rohani mereka dalam jurnal peribadi. Ini termasuklah tentang merenung perkembangan moral dan agama, atau pengakuan diri dan disiplin dalam beragama.
Selain itu, golongan Puritan dari fahaman Kristian Protestan memberikan tekanan yang kuat kepada ahli mereka dalam proses introspeksi diri. Bagi mereka, setiap individu perlu menulis setiap kesalahan mereka yang bertentangan dengan aliran agama demi menjamin kesucian jiwa mereka.
Aliran pemikiran dan falsafah
Kebangkitan humanisme dan Renaisans pada abad ke-16 telah menghidupkan kembali minat penulisan klasik dikalangan masyarakat Inggeris. Idea-idea tentang individualisme, subjektiviti dan ekspresi peribadi semakin berkembang, banyak diperbahaskan dalam penulisan-penulisan ahli falsafah Inggeris seperti John Locke dan George Berkeley. Tidak hanya terhad kepada penulis dari Inggeris, antara penulisan yang dibaca dengan meluas pada ketika itu adalah karya seorang ahli falsafah Perancis, Michel de Montaigne yang mana eseinya mempengaruhi pemikiran masyarakat Inggeris untuk mewujudkan penulisan berkonsep eksplorasi diri atau jurnal.
Evolusi dunia sains
Pada abad ke-17, dunia sains mengalami evolusi yang cukup besar di dunia barat. Kaedah saintifik menjadi semakin kukuh dan ramai ahli sains dan pemikir seperti Sir Isaac Newton dan Robert Hooke mula mendokumentasikan penemuan mereka dengan sangat terperinci didalam jurnal mereka. Kaedah merakamkan pemikiran peribadi ini menyumbang kepada tabiat menulis untuk tujuan saintifik. Seiring dengan kemajuan saintifik ini juga, masyarakat diterapkan dengan amalan memerhati dan mendokumentasi sosiobudaya dan alam semula jadi lebih-lebih lagi jika berada di tempat baharu yang dilakukan oleh pihak kolonial di negara kita
Perubahan politik dan sosial
Pada tempoh abad ke-16 dan ke-17, England mengalami kekacauan politik yang besar. Perang saudara yang berlaku pada ketika itu antara Parlimen Long dan Raja Charles I, diikuti pula dengan perang antara Parlimen Rump dan Raja Charles II telah berlarutan selama 9 tahun. Selepas sesi peperangan yang panjang, Revolusi Glorious pula terjadi yang melihatkan penggulingan Raja James II dari takhta England oleh kerabat Orange-Nassau.
Tempoh masa yang kritikal ini membuatkan sesetengah individu merekod segala peristiwa yang berlaku dalam jurnal peribadi masing-masing. Mereka juga mula meluahkan pendapat mereka tentang politik dan perubahan sosial yang berlaku pada ketika itu dalam bentuk penulisan. Ini merupakan satu usaha mereka untuk memelihara peristiwa sejarah yang berlaku kerana penyebaran berita dalam bentuk lisan sangat perlahan dan tidak terjamin keasliannya.
Etika sosial dan golongan intelektual
Masyarakat Inggeris ketika itu telah terpecah dalam beberapa kelompok. Golongan bangsawan dilihat sebagai golongan yang harus dihormati dan intelektual. Menulis jurnal ketika itu menjadi salah satu cara mereka untuk membuktikan status sosial mereka dalam masyarakat.
Dalam pada masa yang sama, golongan wanita pula menjadikan penulisan jurnal sebagai cara mengekspresikan diri kerana peluang pendidikan formal dan peluang kerjaya profesional sering ditutup untuk mereka. Dengan menulis jurnal, golongan wanita ini merasakan mereka lebih bebas untuk mencurahkan pendapat dan menyebarkan pemikiran mereka. Disebabkan itu, lahirnya tokoh sastera dikalangan wanita seperti Anne Bradstreet dan Lady Mary Montagu.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.