Artis – Sil Khannaz
Tahun Keluaran – 2023
Genre – Thrash/Death Metal
Sebenarnya boleh dikatakan agak sedikit lewat untuk menulis perihal album The Madness of Fear ini. Album ini telah dilancarkan di Malaysia secara rasmi pada bulan Februari lepas. Walaupun begitu, saya tetap ingin mengambil kesempatan ini untuk menulis reviu peribadi saya kerana kumpulan Sil Khannaz ini merupakan antara band metal tempatan yang saya kagumi sehingga hari ini dan banyak lagu-lagunya sebelum ini sangat mengimbau memori kehidupan saya sewaktu dibangku sekolah.
Jika orang tanya mengapa saya sering mengatakan band ini sebagai band metal Malaysia yang unik, menurut pandangan peribadi saya, Sil Khannaz sering memuatkan elemen-elemen sejarah dan mistik alam Melayu dalam karya mereka. Transformasi ini dapat saya lihat bermula dari terbitnya album Gerbang Kayangan pada tahun 1997 hingga album yang terbaru ini. Dua buah album awal mereka iaitu Conception of Madness (1993) dan Pendita Gila (1995) bagi saya lebih menggunakan konsep barat.
Bagi album The Madness of Fear ini, Sil Khannaz telah memuatkan sebanyak lapan buah lagu. Mari saya kupaskan sedikit sebanyak tentang maksud yang tersirat di balik tajuk lagu-lagu ini.
Saktimuna
Saktimuna bermaksud haiwan mistik yang pernah dituliskan di manuskrip-manuskrip Melayu lama. Menurut legenda, haiwan ini berbentuk seperti seekor ular besar yang mendiami kawasan laut di kepulauan alam Melayu suatu ketika dahulu. Pernah dicatatkan dalam Sejarah Melayu Perak, ketika Sultan Muzaffar berlayar di kawasan ini, kapalnya telah tersangkut di Beting Beras Basah. Ketika itu Sultan Muzaffar telah melafazkan kata-kata yang merujuk kepada Saktimuna agar pelayarannya tidak diganggu. Kisah haiwan legenda ini juga ada terselit dalam buku tulisan Sherad Osborne, seorang pegawai tentera laut British yang ditugaskan untuk membantu Siam dalam perang Kedah-Siam pada 1838.
A Tremendous Sacrifice (True Seed)
Pada mulanya saya tidak dapat meneka lagu ini berkenaan apa hanya berdasarkan tajuknya sahaja. Namun apabila mendengar sahaja kalimah “Ya Ismail” dengan alunan melodi kearab-araban pada awal lagu ini, kepala saya terus terbayangkan kepada kisah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim terhadap puteranya, Nabi Ismail.
Adruja Wijayamala SInga
Adruja adalah seorang puteri, anak kepada Raja Sang Tawal yang menjadi pemerintah terakhir kerajaan Jawaka. Pada ketika itu, Adruja telah menubuhkan pasukan tentera wanita yang terdiri dari golongan balu yang diberi nama Wijayamala untuk berperang dengan Empayar Sukothai. Mengikut cerita, Adruja telah menjatuhkan Raja Ram Khamhaeng dari gajah yang ditunggangya semasa perang lalu menebas kepala raja Siam itu. Adruja lalu memeluk agama Islam dan menjadi pemerintah di kawasan selatan Kelantan. Adruja lalu diberi gelaran Cik Siti Wan Kembang yang pertama.
Lemuria (The Ancient Eastern Paradise)
Lemuria atau dikenali sebagai Benua Mu adalah sebuah benua yang hilang, yang pertama kali diperkenalkan oleh seorang pengkaji British yang bernama Philip Sclater pada tahun 1864 di dalam tesisnya yang berjudul “The Mammals of Madagascar”. Kepada sesiapa yang sering mengikuti rencana-rencana misteri dan konspirasi pasti tahu berkenaan dengan teori ini. Benua ini dikatakan telah hilang ditelan lautan India suatu ketika dahulu namun beberapa saintis terkemuka dunia mengatakan teori ini tidak lebih dari sebuah mitos.
Az Zaqqum, Nanah dan Darah
Menurut ayat Al-Quran di dalam Surah As-Saffat, Az Zaqqum adalah nama pohon yang tumbuh di dasar neraka dan buahnya seolah-olah kepala syaitan yang akan menjadi santapan oleh ahli-ahli neraka sebagai hukuman. Nauzubillah min zalik.
Mohing Asang (War Hymnn)
Mohing Asang adalah nyanyian kaum Dayak untuk menaikkan semangat para pahlawannya sebelum menuju ke medan perang. Bahasa yang digunakan dalam lagu ini juga merupakan bahasa kaum Dayak sendiri dan pendengar seperti saya tidak dapat memahami maknanya.
Terdapat dua buah lagu lagi iaitu The Madness of Fear dan Sinking Soul yang saya kira tidak perlulah dihurai lanjut kerana tiada cerita menarik yang boleh saya kupas.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.