Tulisan ini merupakan laporan hasil syarahan bersama Dato Baharuddin Ahmad yang bertajuk Pendekatan Falsafah dan Pemikiran di dalam Teks Melayu Klasik pada 21 Ogos 2022.
Dalam bidang sastera Melayu klasik kita akan mendapati kesukaran untuk memberi takrifan yang tepat kepada falsafah dan pemikiran. Hal ini kerana, sebahagian sarjana menilai karya sastera Melayu klasik dengan menggunapakai kaca mata sastera Barat moden. Sastera Melayu klasik hanya dinilai sebagai sebuah hiburan dan tak lebih hanya untuk membesarkan sesebuah kerajaan Melayu lama semata-mata. Akibatnya kita akan terlepas untuk memberi perhatian kepada peri penting makna sastera, tujuan sastera dan juga hubungan sastera dengan masyarakat.
Sebuah persoalan yang harus ditanyakan semasa menilai sastera klasik adalah mengapa orang zaman lampau menulis tentang sesuatu perkara yang tidak realistik. A.Teeuw, Ismail Hussin dan Taib Osman antara sarjana yang cuba menilai sastera Melayu klasik, namun mereka tidak menemukan pendekatan yang lurus tentang bagaimana menilai sastera klasik, apakah falsafah pemikiran di sebalik sastera dan mengapa ciri-ciri penulisan sastera klasik tidak bersifat realistik. Pusat-pusat pengajian tinggi ketika ini banyak menggunakan pendekatan moden terhadap sastera klasik. Hasilnya, perspektif yang dikemukakan oleh sarjana tersebut tidak selari dengan perspektif yang sewajarnya yang harus diletakkan ke atas sastera klasik.
Berbanding dengan beberapa buah negara lain seperti Turki dan Iran yang menghidupkan sastera klasik dalam kalangan masyarakat. Kita perhatikan bagaimana syair-syair Rumi, Yunus Emre dan Mahmud Shabistari dicetak semula malah sebahagiannya ditayangkan secara umum di jalanan. Mereka memberikan penilaian yang tinggi terhadap sastera klasik kerana sistem spiritual dan tasawuf hidup dalam kalangan masyarakat setempat.
Dalam menilai sastera Melayu klasik, fokus banyak diberikan kepada makna kehidupan, mengapa kita dihidupkan, dari mana kita datang dan ke mana kita akan kembali. Masyarakat tradisi melihat dan mengambil perhatian terhadap semua konsep utama kehidupan yang terdapat dalam sastera seperti masa, ruang, sejarah, bahasa, musik, seni bina dan lain-lain yang mana semuanya dilihat dari perspektif yang berbeza dengan apa yang kita lihat sekarang ini. Perkara inilah yang ditampilkan dalam sastera klasik berbanding sastera moden yang dilihat kurang mengangkat makna kehidupan.
Memang benar, sastera dan juga aktiviti kesenian yang lain bertujuan untuk hiburan. Tanpa hiburan, manusia tidak akan tertarik untuk melihat dan mendengar sesuatu perkara. Hiburan adalah sebuah keindahan untuk dinikmati. Walaubagaimana pun, sastera juga berperanan dalam pembangunan sesebuah negara. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Ramai yang menyangka bahawa tiang utama untuk membangunkan sesebuah negara adalah politik dan ekonomi dan menafikan peranan sastera.
Perkara ini kurang tepat. Seperti mana jatuh bangun sesebuah negara bergantung kepada perubahan keadaan politik dan ekonomi, begitu juga kebergantungannya kepada sastera. Sastera sesungguhnya memberi perubahan kepada diri insan yang membacanya. Maksud perubahan di sini adalah perubahan tentang diri manusia daripada kedudukan kefahaman manusia tentang dirinya yang rendah kepada yang lebih tinggi. Hanya diri insan yang mempunyai nilai budi yang tinggi sahaja yang dapat melahirkan masyarakat yang tinggi akhlaknya seterusnya memacu kepada ketamadunan sesebuah negara. Justeru, kita tidak menafikan sama sekali elemen hiburan yang terdapat dalam sastera tetapi yang lebih penting adalah elemen diri manusia dan perjuangan manusia dalam kehidupan.
Dalam sastera moden pula banyak menekankan sifat-sifat individualistik yang hanya menumpukan kepada kebijakan sang penulis bagi melahirkan karya-karya yang memukau. Berbeza dengan sastera klasik yang tidak hanya menghidangkan keindahan bahasa kepada manusia, tetapi juga merupakan sebuah pancaran daripada Zat yang paling tinggi ke atas manusia agar mereka mengetahui tujuan akhir kehidupan iaitu mengenal Tuhan.
Seperti mana kehidupan luaran atau zahir yang sentiasa berubah, begitu juga sastera tradisional yang sentiasa membawa perubahan dalam diri manusia dari sudut makna dan hieraki kehidupan. Disebabkan perkara ini, fahaman dan definisi tentang manusia dan kehidupan, semuanya terkandung dalam karya-karya sastera dan dijelmakan dalam kehidupan manusia. Tambahan dari itu, sastera klasik juga tidak terlepas daripada menyentuh persoalan tentang kosmologi. Antara kitab yang membahas tentang kosmologi adalah seperti kitab Qisas al-Anbiya’, Hikayat Nur Muhammad, Taj al-‘Arus, Taj al-Salatin, Hikayat Kejadian Tujuh Petala Langit dan Kitab al-Akhirah.
Hakikatnya, sastera klasik harus dibaca oleh semua golongan kerana bacaan seperti ini dapat mengembalikan diri kita kepada satu pemikiran yang memberi fokus terhadap pencarian makna diri dan perjuangan spiritual. Dalam sastera klasik juga, manusia sentiasa diingatkan tentang asal-usul dirinya kerana perbincangan tentang diri sendiri adalah wacana yang paling penting sekali dalam sesebuah kehidupan.
Segalanya akan kembali kepada agama termasuklah sastera klasik. Tanpa agama, boleh jadi orang Eropah akan terus-menerus berperang. Namun melalui agama, terdapat kewaspadaan dalam diri manusia daripada terus-menerus membunuh berjuta-juta lagi nyawa yang tidak berdosa. Agama merupakan dinding dan pelindung kepada tindak-tanduk manusia. Agama mesti ada dalam sesebuah masyarakat dan untuk ada dalam masyarakat, sastera menjadi jalan yang terbaik untuk menyampaikan agama. Makanya kita harus menilai sastera klasik secara berterusan.
Berbicara tentang karya Hamzah Fansuri pula, kita akan mendapati terdapat nilai-nilai intelektual, universal, diri individu dan rasional. Namun kita tidak boleh mengatakan bahawa karya beliau tergolong dalam karya sastera moden kerana ciri-ciri sastera klasik menebal dalam karya-karya beliau. Bagaimana pula dengan Abdullah Munsyi? Apakah karya-karya beliau tergolong dalam sastera klasik atau moden? Bagi menjawab persoalan ini, jika kita melihat dari segi jurnal, ia boleh dikategorikan sebagai klasik kerana memakai judul ‘Hikayat’ dan ‘Kisah’. Begitu juga dari sudut bahasa penulisannya yang masih dalam kategori klasik. Tetapi dari segi pemikiran, beliau telah memasukkan pemikiran moden.
Kerana itulah Abdullah Munsyi dipuji oleh segolongan sarjana Barat kerana beliau telah berjaya keluar dari satu zaman dan memasuki ke satu zaman yang baharu. Satu rombakan telah berlaku dalam dunia sastera Melayu apabila memasuki zaman moden. Mana-mana ayat yang tidak memberi makna dan bersifat pengulangan akan dipadamkan dari sastera Melayu moden. Perkara ini diakui sendiri oleh Winstedt dengan mengatakan bahawa karya-karya klasik Melayu banyak membicarakan perkara-perkara yang tidak masuk akal.
Jika ditanya apakah karya Abdullah Munsyi setanding dengan karya Hamzah Fansuri? Jawabnya Tidak. Abdullah Munsyi bukan seorang teolog. Beliau seorang pengkritik sosial dan kritikan yang beliau berikan terhadap masyarakat Melayu agak berlapik. Beliau tidak bermaksud untuk menghina orang Melayu tetapi bertujuan membuka fikiran orang Melayu. Kerana itulah beliau jarang sekali menghasilkan karya-karya berunsur kesufian seperti Hamzah Fansuri. Hamzah merupakan seorang yang luas ilmu pengetahuannya dan mendalami beberapa bidang seperti fiqh, akidah dan tasawuf disamping mendalami aspek-aspek miskital dalam Islam. Walaupun Abdullah Munsyi tidak mendalami bidang tasawuf, beliau juga ada memuji dan meminati karya-karya klasik yang berunsur kesufian seperti Taj Salatin dan Kalilah wa Dimnah. Abdullah Munsyi juga tidak bercakap secara konseptual kerana jurnal yang dibawa beliau lebih kepada bentuk novel walaupun dinamakan hikayat.
Sebelum kemunculan karya-karya Hamzah, pemikiran agama telah lama memasuki ke dalam kesusasteraan Melayu terutamanya pada zaman Hindu Buddha. Kehebatan bangsa Melayu itu bukan hanya berkisar tentang DNA atau asal-usulnya sahaja. Jika kita hanya menitikberatkan fasal DNA semata-mata, ia tidak membawa apa-apa makna. Perkara yang bernilai dalam mengangkat identiti Melayu adalah dengan mengangkat budaya, pemikiran, fahaman, bahasa, dan sastera Melayu. Pemikiran orang-orang Melayu itu dapat dijelmakan dalam penulisan sastera mereka.
Kesimpulannya, karya-karya sastera Melayu klasik yang dikatakan sebahagian sarjana tidak mengandung apa-apa makna dan tidak bersifat rasional, sesungguhnya menyimpang 1001 nilai-nilai falsafah dan kebudayaan orang Melayu. Melalui sasteralah orang-orang Melayu menyampaikan ajaran agama dan nilai-nilai murni dengan susunan kata yang indah dan manis kerana hanya dengan keindahan yang mampu memikat hati pendengar dan pembaca untuk menghargai sesuatu karya.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.