Buku bertajuk Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah tulisan Sadiq Salihoddin ini merupakan buku ke-4 pilihan saya untuk dibaca dari timbunan buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.1 Saya sebenarnya teruja untuk membaca buku ini kerana ia menyentuh satu topik yang begitu dekat dengan hati saya, iaitu “belajar sepanjang hayat”. Bagi saya secara peribadi, proses belajar itu merupakan satu proses yang menyeronokkan, bahkan ia merupakan objek yang menjadikan hidup saya terasa “hidup”. Malah jika diberikan rezeki umur, saya mahu menjadi pelajar sepanjang hayat.
Namun tulisan ini bukanlah omelan saya perihal “saya suka belajar”, tetapi pencernaan saya terhadap makalah tulisan Sadiq, jadi elok saya pulang ke dalam topik ini. Dalam ulasan ini saya akan sentuh beberapa perbahasan Sadiq yang saya kira menarik untuk dikongsi dan dihuraikan, kemudian saya akan utarakan beberapa kritikan sebelum membuat kesimpulan dan beransur pulang.
Diskusi Falsafah Belajar
Buku ini dimulakan dengan pembentangan perihal falsafah belajar. (12) Belajar merupakan suatu kebolehan asasi manusia, malah ia adalah satu kebolehan yang kritikal untuk survival seorang manusia. Dengan upaya belajar, seorang bayi dapat menguasai skil-skil asas kehidupan seperti mengunyah makanan dan berjalan. Kemudian dia terus belajar, dia belajar untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Belajar memegang, merasa, dan berkomunikasi. Semua ini dilakukan tanpa perlunya bayi tersebut ke sekolah. Oleh itu dapat kita fahami bahawa upaya belajar itu telah tertanam dalam diri kita sejak lahir, tanpa perlu apa-apa bantuan formal. Manusia itu memang secara fitrahnya dilahirkan sebagai makhluk yang belajar.
Oleh kerana manusia memang merupakan seorang pelajar secara fitrahnya, kita melihat bagaimana anak-anak kecil begitu cepat belajar. Mereka meresapkan apa yang ada di sekeliling mereka tanpa perlu diberitahu. Dia belajar dari persekitarannya, belajar dengan cara meniru. Mereka akan belajar dengan apa yang mereka lihat dan dengar jauh lebih banyak dari apa yang “diajarkan” kepada mereka. Selepas itu bermulalah pembelajaran secara formal, apabila anak-anak kecil ini memasuki tadika dan sekolah.
Mengkritik Institusi Pendidikan
Saya kira banyak kritikan Sadiq dihalakan kepada institusi pendidikan formal, bukan kepada proses pembelajaran. Antaranya adalah sikap institusi pendidikan dalam membenarkan pelajar melakukan kesilapan. Sama ada kesilapan itu dianggap sebagai satu metod untuk manusia belajar, atau menganggap kesilapan itu sebagai satu kegagalan. (17) Saya kira kesilapan ini juga merupakan fitrah insani. Tiada manusia yang dapat lari darinya. Oleh itu, penting bagi guru atau pendidik untuk memberi ruang kepada pelajarnya melakukan kesilapan dan belajar darinya. Namun saya kira “membenarkan” disini bukanlah maksudnya menggalakkan atau membiarkan sahaja pelajar melakukan kesilapan, tetapi melihatnya sebagai proses pembelajaran dan tidak berputus asa pada pelajar-pelajar yang melakukan kesilapan. Ini bagi saya sangat penting. Membenarkan pelajar melakukan kesilapan juga bukanlah bererti melepaskan mereka tanpa hukuman, namun hukuman yang diberikan perlulah mengambil kira bahawa ia adalah untuk mengajar, bukan untuk memalukan atau melepaskan amarah. Dalam masa yang sama, ada juga kesilapan yang sepatutnya tidak dikenakan sebarang hukuman. Apa yang penting, ada hukuman atau tidak, pelajar perlulah belajar dari kesilapannya.
Ilmu Sebagai Manfaat Sosial
Dalam membahaskan ilmu-ilmu yang perlu dipelajari oleh pelajar, Sadiq memetik tulisan John Dewey yang menyatakan bahawa ilmu yang diajarkan perlulah mempunyai manfaat sosial. (22) Dalam kata lain, ilmu tersebut boleh digunakan oleh pelajar tersebut dalam kehidupan dan interaksinya bersama masyarakat. Sadiq memberi contoh ilmu sastera dan bahasa, ia seharusnya menjadi satu ilmu yang praktikal. Digunakan dalam memberi ceramah dan khutbah misalnya. Jika ia digunakan dan dipraktikkan, ini akan menjadikan ceramah dan khutbah lebih menarik dan sampai mesejnya kepada pendengar. Jika tidak, ia hanya menjadi ilmu untuk lulus periksa, manakala orang yang mendengar khutbah dan ceramah akan tidur.
Walaupun apa yang diutarakan Sadiq ini saya kira ada benarnya. Namun saya kira belajar bahasa dan sastera sahaja tidak cukup untuk melahirkan penceramah dan pengkhutbah yang baik. Kerana pengucapan awam ini adalah skil yang memerlukan latihan, ia tidak boleh dipelajari dengan hanya mempelajari sastera dan bahasa sahaja. Ceramah dan khutbah yang menarik bukan sahaja menggunakan kekuatan bahasa, ia juga perlu menggunakan variasi tona suara, bahasa badan, dan juga kemahiran mengenali audiens.
Apakah matlamat pendidikan?
Dalam membentangkan matlamat bagi pendidikan, Sadiq memetik buah fikir Jean Piaget dan menulis bahawa “matlamat utama pendidikan itu adalah untuk buat benda baharu”. (27) Saya tidak berapa bersetuju dengan hal ini. Ya, kita memerlukan perkara-perkara baharu dalam hidup. Tapi saya kira itu bukan matlamat pendidikan, tidak semua perkara yang lama itu tidak bagus, malah kebenaran itu tidak bergantung kepada masa, sama ada lama atau baharu. Kita tidak boleh samakan perkara baharu dengan kebaikan atau kebenaran. Jika satu kebenaran itu telah lama dijumpai dan dibuktikan, tidaklah bermakna tugas kita hari ini untuk mencari kebenaran yang lebih baharu.
Bagi saya matlamat pendidikan adalah untuk manusia mengenal dirinya, seterusnya mengenali alam sekelilingnya. Pendidikan haruslah bermatlamatkan kebenaran, seorang yang terdidik perlu bersedia mengikuti kebenaran berdasarkan bukti-bukti yang dipelajarinya. Pendidikan juga harus melahirkan pelajar yang jujur, yang bersedia mengikuti bukti-bukti yang ada untuk sampai kepada kebenaran. Bukan memanipulasi bukti untuk memilih kebenaran. Bukan juga memilih bukti-bukti yang dia mahu sahaja untuk disesuaikan dengan pemikirannya. Sebaliknya jika bukti itu mencabar pemikirannya yang sedia ada, dia harus bersedia menukar posisinya. Bagi saya inilah pendidikan, iaitu kesediaan kita mengubah pandangan seiring dengan bukti-bukti yang baharu.
Wacana Kritis Dalam Pendidikan
Antara elemen yang penting yang perlu ada dalam diri pelajar adalah sifat kritis. Sadiq menulis bahawa pemikiran yang kritis akan menghasilkan lebih banyak pembaharuan. (31) Saya bersetuju dengan pernyataan ini. Bagi saya, kritikan-kritikan yang lahir dalam perdebatan ilmiah itu sangat banyak melahirkan keilmuan yang baharu. Kritikan Edward Said terhadap penulisan cendiakawan Barat yang menulis perihal Timur misalnya, ia melahirkan cabang ilmu baharu yang mengkaji sifat-sifat penulisan Barat terhadap subjek Timur.2 Bidang kajian yang disebut sebagai post-colonialism ini mengkaji hubungan kuasa dengan subjek kajian mereka, bagaimana penguasaan itu mempengaruhi penulisan perihal sesuatu subjek.
Dalam hal ini saya bersetuju dengan Sadiq bahawa kita perlu berani membuka ruang wacana kritis kerana dengan pembukaan ruang ini kita dapat meninjau idea yang lebih bermacam dan rencam. Kerencaman ini akan melahirkan sudut pandang yang pelbagai, memberi kita pandangan yang lebih menyeluruh terhadap sesuatu subjek. Ini penting agar kita dapat melihat sesuatu secara keseluruhan. Jika kita menyempitkan ruang penglihatan kita, kita hanya akan melihat sesuatu dari hanya satu sudut, pandangan kita tentulah tidak kaya dan kita tidak dapat memahami sesuatu masalah dengan terperinci.
Metodologi Pembelajaran
Saya berpandangan, dalam memberi solusi kepada masalah pendidikan, kita harus berhati-hati dari membuat generalisasi. Contohnya Sadiq ada membawakan pemikiran Paulo Freire dan mencadangkan bahawa metodologi dialog digunakan di dalam kelas, dengan guru menjadi fasilitator, bukan sebagai “tuan yang tidak boleh dicabar dan dibangkang”. (33) Saya kira hal ini praktikal dilakukan jika pelajar mempunyai sedikit pengetahuan dalam sesuatu subjek. Atau sesuatu subjek itu bersifat topikal yang memungkinkan ia dibincangkan.
Namun jika subjek itu bersifat pengenalan, yang para pelajar langsung tidak mengetahuinya, maka dalam hal ini tugas guru adalah menyampaikannya, dan pelajar perlu menerimanya. Contohnya jika pelajar itu baharu hendak mengenali ABC, bagaimana guru mahu berdialog dengan pelajar yang masih tidak mengenali huruf ini? Bagaimana jika pelajar itu sendiri masih belum mampu berdialog? Jadi saya kira ada keperluan pembelajaran itu bersifat didaktik dan hafalan selagi ia sesuai dengan keperluannya. Jika pelajar itu sudah sampai ke tahap mampu berdialog dan berbincang, maka pada ketika itu metod dialog sesuai digunakan. Tugas guru saya kira adalah menggunakan kaedah yang paling sesuai, yang menepati tahap dan kemampuan pelajarnya. Sebab itu tugas guru yang pertama adalah untuk mengenali muridnya, selepas itu barulah dia dapat menggunakan metod yang sesuai.
Hal ini ada juga disentuh oleh Sadiq, iaitu akan keperluan seorang pendidik memahami level pelajar. (52) Seorang guru harus sedar kemampuan pelajar, agar pendekatan yang digunakan sesuai dengan tahap penyerapan pelajar. Saya kira ini adalah sebab mengapa sesetengah sekolah mengasingkan pelajar mengikut kemampuan, ada pelajar kelas depan dan belakang. Walaupun mungkin kadangkala ia menjadi satu stigma, bahawa pelajar kelas belakang dianggap tidak pandai. Saya kira ia lahir dari keperluan yang praktikal, agar guru dapat menggunakan kaedah pengajaran yang berbeza untuk murid di tahap yang berbeza. Jika kita campurkan semua pelajar dan guna satu pendekatan, kita akan dikatakan menzalimi kemampuan pelajar yang lambat penyerapannya. Jika kita asingkan ikut kemampuan, kita dikatakan mencipta kasta dalam pendidikan. Oleh itu saya kira kita perlu berhati-hati juga dalam memberi kritikan dan membuat timbang tara dari sudut praktikaliti. Kita perlu sedar apa yang kita mahu capai.
Perasaan Ingin Tahu Sebagai Enjin Pembelajaran
Antara perkara menarik yang disentuh oleh Sadiq dalam membahaskan persoalan-persoalan pembelajaran dan pendidikan bagi saya adalah perasaan ingin tahu dalam diri manusia atau curiousity. Menurut beliau hal ini merupakan motivasi bagi manusia untuk mengingati satu perkara dalam usahanya memproses informasi. (68) Dalam kata lain, jika kita curious akan sesuatu perkara, kita akan cuba mencarinya dan kemungkinan besar kita akan lebih mampu mengingatinya berbanding satu informasi yang tidak menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri kita. Bagi saya, perasaan ingin tahu ini sememangnya merupakan motivasi besar dalam diri manusia. Kata Carl Sagan, manusia itu memang dilahirkan sebagai wanderer, fitrah kita memang ingin tahu dan ingin memahami, sebab itu manusia meneroka alam, cuba memahami rahsia-rahsianya.3
Juga perbahasan yang menarik yang diketengahkan oleh Sadiq adalah perihal gred. Dimana beliau menulis:
“Orang boleh bersaing gred, tetapi orang tidak boleh bersaing belajar. Tidak ada persaingan dalam pembelajaran. Pendidikan itu bukan suatu perlumbaan.” (90)
Saya kira quote ini sangat menarik dan benar. Pembelajaran adalah satu perjalanan untuk kita nikmati, ia bukan satu perlumbaan. Jika kita belajar untuk menikmati ilmu, kita akan menjumpai kebahagiaan dalam perjalanan kita. Menikmati ilmu pengetahuan dan juga menajamkan akal fikiran kita. Sebaliknya jika ia dijadikan perlawanan dan perlumbaan, kenikmatan itu akan hilang, ia akan menjadi satu aktiviti yang kering dari nilai-nilai yang membahagiakan. Pencarian ilmu adalah upaya manusia mengenali diri dan alam, semakin dalam pencariannya, semakin dia sedar bahawa saujana ilmu itu semakin luas terbuka untuknya dan semakin menarik untuk diterokai.
Pembangunan Karakter, Etika, dan Moral
Perkara akhir yang saya ingin sentuh, yang saya rasakan menarik adalah apa yang dibahaskan Sadiq sebagai “pembangunan karakter”. Menurut beliau pencapaian-pencapaian akademik boleh dicapai dengan cara yang tidak jujur, tetapi pembentukan karakter seseorang tidak dapat dicapai dengan cara yang tidak jujur. (111) Dalam kata lain, seseorang itu tidak dapat menipu akan perihal karakternya. Oleh itu bagi Sadiq, pendidikan juga harus mengambil kira persoalan pembangunan moral, etika, dan akhlak manusia.
Saya masih ingat perbahasan yang ditulis oleh Francis Fukuyama ketika membahaskan kemajuan material dan budaya German. Beliau menulis bagaimana German merupakan satu negara bangsa yang begitu maju dalam bidang perindustrian, sangat tinggi kedudukannya dalam bidang falsafah dan kebudayaan. Namun kemajuan material dan budaya ini melahirkan satu kuasa Fasis yang kejam dan rasis. Oleh itu menurut Fukuyama, pembangunan material dan budaya perlu diiringi dengan pembangunan moral dan etika.4
Disebabkan itu dalam pendidikan Islam ditekankan soal adab dan akhlak, dan perkara ini tidak boleh dipisahkan dengan keimanan. Dengan berimannya manusia terhadap dosa, pahala dan hari pembalasan, manusia akan berlaku jujur dalam kehidupan walaupun tidak dilihat manusia. Ini merupakan karakter yang penting dalam pendidikan manusia. Seperti yang dibahaskan Sadiq dalam persoalan karakternya, jika ia tidak dibangunkan, kita akan melahirkan manusia yang cerdik menipu.
Kritikan Terhadap Buku
Saya sudah membahaskan beberapa perkara yang saya dapati menarik dari buku yang ditulis oleh Sadiq Salihoddin ini. Ada beberapa bahagian yang saya sertakan kritikan ringan, agar isinya boleh diperbaiki. Saya ingin menjurus fokus saya seterusnya pada kritikan terhadap buku ini.
Bagi saya, walaupun buku ini mengangkat tema yang begitu dekat dengan hati saya, saya dapati banyak perbahasannya tidak dihuraikan dengan begitu lumat. Sepertinya, Sadiq menyentuh beberapa persoalan, kemudian meninggalkannya dengan soalan-soalan retorik. Saya sedar, bukan semua kritikan itu dapat diberi solusi, kerana mungkin objek yang ingin diketengahkan adalah perbincangan terhadap suatu masalah. Tetapi saya kira, paling kurang, diberikan alternatif-alternatif yang mungkin boleh menjadi solusi, walaupun penulis tidak mengambil mana-mana posisi dalam alternatif yang dicadangkan. Bagi saya ini lebih memuaskan berbanding meninggalkan pembaca dengan soalan-soalan retorika.
Tetapi mungkin juga ini merupakan stail Sadiq dalam menulis. Mungkin ia dapat diterima oleh sebahagian pembaca, namun saya secara peribadi agak terganggu dengan gaya penulisan sebegini. Seolah-olah penulis pun tidak dapat mengenggam subjeknya dengan kejap dan hanya melontar-lontar soalan. Walaubagaimanapun, keberanian Sadiq untuk mengetengahkan isu-isu yang penting ini sudah melayakkan beliau untuk dipuji, cuma kritik saya adalah perihal cara perbahasannya, yang saya kira tidak begitu holistik dalam membincangkan sesuatu tajuk.
Kritik saya yang terakhir adalah buku ini tidak mempunyai ISBN. Sayang sekali buku yang bagus seperti ini tidak didaftarkan dan dikatalogkan. Harapan saya penerbit dapat mendaftarkannya agar ia tersimpan sebagai khazanah literasi untuk membentuk akal bangsa bagi generasi seterusnya.
Kesimpulan
Buku ini saya kira mengangkat satu topik yang malar segar. Isu-isu pendidikan dan pembelajaran bagi saya merupakan isu yang akan senantiasa sahaja relevan. Dan setiap zaman ia wajar disemak dan diulang fikir, agar pendidikan itu bersesuaian dengan keadaan zamannya dan mampu melahirkan generasi yang dapat menyelesaikan masalah yang mendesak di zamannya, bukan menyelak-nyelak persoalan retorik yang sudah ketinggalan zaman. Wajar juga menurut kira saya, timbul wacana-wacana yang agresif, kerana jika kritikan yang diberi longlai sahaja mungkin ia tidak mendapat perhatian sewajarnya. Bagi saya buku ini sedikit sebanyak mengisi wacana yang lompong dalam masyarakat kita hari ini perihal pembelajaran dan pendidikan, untuk itu saya ucapkan tahniah pada Sadiq Salihoddin.
Rujukan:
- Sadiq Salihoddin. Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah. Republik Buku, 2022.
- Edward W. Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin Books, 1991.
- Carl Sagan, Ann druyan. Pale Blue Dot: A Vision of the Human Future in Space. Ballantine Books, 1997.
- Francis Fukuyama. The End of History and the Last Man. Free Press, 2006.
Nota:
Bagi memudahkan rujukan, setiap isi yang disentuh dan dihuraikan dalam penulisan ini disertakan dengan nombor mukasurat dalam kurungan dari naskah buku asal. Versi yang dirujuk adalah buku yang bertajuk Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah. Karangan Sadiq Salihoddin. Terbitan Republik Buku, Mei 2022.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.