Antara buku awal yang saya tekuni perihal propaganda dan manipulasi media adalah buku tulisan Herman dan Chomsky berjudul Manufacturing Consent, naskah milik saya direka agar pembaca dapat melihat tajuk tersebut dengan dua makna, makna lain boleh dilihat sebagai “manufacturing content”. Buku tersebut adalah analisa Herman dan Chomsky perihal tingkah laku media perdana Amerika yang dianggap “bebas” dalam mempertahankan kekejaman dan kejahatan yang dilakukan kerajaan mereka terutamanya semasa perang di Indo-China. Menurut Herman dan Chomsky, media-media ini tidaklah bebas seperti yang disangka, sebaliknya mereka menjadi alat propaganda kerajaan, bukan alat untuk memberi kebenaran pada masyarakat. Antara yang dibahaskan adalah penggunaan perkataan, pemilihan ayat, dan bagaimana ia dapat digunakan dalam menyampaikan berita yang mempunyai isi yang sama dengan impresi dan naratif yang berbeza.
Hari ini kita melihat pelbagai wacana yang ingin membebaskan masyarakat secara keseluruhannya dari cengkaman kolonialisma. Walaupun negara kita sudah pun bebas dari menjadi sebuah tanah koloni British, banyak pemikir yang beranggapan banyak lagi kesan-kesan kolonial yang wujud dalam masyarakat di negara kita. Contohnya bagaimana sejarah negara sendiri ditulis, kebanyakannya memfokuskan apa yang berlaku semasa penjajahan British dan apa yang British buat semasa mereka menduduki Malaya. Walhal sejarah tanah air jauh lebih panjang sebelum kedatangan British. Dari lensa ini banyak pemikir yang merasakan sejarah kita terlalu memfokus pada sejarah kolonial, sepatutnya fokusnya adalah pada sejarah tanah air. Kolonial British bagi mereka selayaknya dilayan sebagai titik kecil sahaja dalam lautan sejarah kita yang lebih luas.
Tetapi sebenarnya, dunia hari ini masih belum bebas sepenuhnya dari kolonialisma. Walaupun sering kita bawakan wacana pasca-kolonialisma, ada negara yang masih bergelut dengan kolonialisma sehingga hari ini. Antara yang paling lama, brutal, dan komprehensif didokumentasikan adalah settler-colonialism yang berlaku di Palestin yang kini memasuki tahun ke-74. Bagaimana dunia yang moden, yang sering mengangkat nilai keadilan dan kemanusiaan di abad yang ke-21 ini masih wujud di dalamnya kolonialisma yang masih aktif? Yang sepatutnya sudah berkubur dan hanya dibaca dalam helaian-helaian kitab sejarah?
Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana wujudnya sistem propaganda yang efektif.
Seperti mana Herman dan Chomsky yang menganalisa kandungan media di Amerika semasa peperangan di Indo-China, saya kira media arus perdana Barat hari ini tidak kurang tingkah lakunya dalam menjadi ejen propaganda. Walaupun di dalam korpusnya ada wartawan-wartawan yang jujur. Contohnya Robert Fisk, sosok yang saya kagumi, yang meninggalkan The Times apabila ia dibeli oleh Rupert Murdoch. Ketokohan Robert Fisk ini ada saya coretkan dalam buku terbaharu saya Lalang di Lautan Ideologi. Tingkah laku media arus perdana Barat terutamanya dari Amerika banyak dikritik oleh Fisk sendiri. Tingkah laku mereka sebagai ejen propaganda begitu jelas ketika berlakunya pembunuhan keatas wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh baru-baru ini. Shireen telah ditembak tepat di kepala oleh sniper tentera kolonial Israel pada 11 Mei 2022 ketika membuat liputan keganasan tentera kolonial Israel di Kem Pelarian Jenin. Shireen pada ketika itu jelas berpakaian vest wartawan yang memaparkan perkataan “PRESS” dan juga berhelmet.
Kementerian Luar Kolonial Israel pantas mengeluarkan sebuah video bagi menimbulkan keraguan dalam pembunuhan Shireen, kononnya Shireen ditembak oleh pejuang Palestin. Walhal bukti video kejadian jelas menunjukkan Shireen berada di kawasan lain yang lebih terbuka, dan wartawan lain yang ada di tempat kejadian mengesahkan tembakan tersebut datang dari tentera kolonial Israel. Malah persatuan kemanusiaan kolonial Israel, Bt’selem sendiri mengeluarkan kenyataan mustahil peluru yang membunuh Shireen datang dari pejuang Palestin seperti propaganda yang dikeluarkan oleh video Kementerian Luar Kolonial.
Walaubagaimanapun, strategi propaganda kolonial Israel ini terbukti berkesan dan ditelan bulat-bulat oleh jaringan media perdana Barat. The Associated Press misalnya menulis “Shireen was killed in gunfire in West Bank”. Dari tulisan ini kita dapati nama penjenayah tidak disebutkan. Shireen mati ditembak, tetapi tidak diberi tahu siapa yang menembaknya? Begitu juga laporan dari The New York Times yang menulis Shireen “Dies at 51” dalam tajuk mereka. Ini lebih parah. Tidak dinyatakan terus sebab kematiannya. Adakah dia mati kerana serangan jantung semasa memancing atau terkena wabak Covid-19? Tidak ditulis dalam tajuk. Nama penjenayah tidak disebut, kerana kononnya tak dapat dipastikan siapa yang membunuh beliau. Saksi di tempat kejadian tidak diambil kira kerana pejabat Menteri Kolonial Israel tidak (mahu) mengesahkan fakta ini. Walhal, logiknya, mengapa pengesahan perlu didapatkan dari penjenayah sendiri?
Ini diulang oleh pelbagai media-media gergasi. Contohnya BBC menulis dalam tajuknya “leading Palestinian journalist shot dead”, sekali lagi, siapa yang menembak dihilangkan. Jika pun dinyatakan bahawa yang menembak adalah tentera kolonial Israel, ia ditulis dengan penuh ambiguiti dan keraguan. Contohnya, The Guardian menulis dalam tajuk berita mereka “Al Jazeera accuses Israeli forces of killing journalist in West Bank”. Beritanya bukan perihal kolonial Israel membunuh wartawan, tetapi tentera kolonial Israel “dituduh” membunuh wartawan. Jadi fokusnya bukan pada pembunuhan tapi pada “tuduhan”.
Jadi disini kita dapat melihat bagaimana kolonial Israel menggunakan propaganda dalam menutup jenayah mereka. Mereka pantas bertindak dalam memasukkan kekaburan dalam laporan rasmi mereka. Ia kemudiannya akan “dimakan” oleh media-media Barat yang menjadi penyambung lidah dan ejen propaganda buat mereka. Beginilah sebenarnya teknik dalam mengekalkan kolonialisma dalam dunia pasca-kolonialisma hari ini. Fakta-fakta perlu dikaburkan, keyakinan perlu disuntik dengan keraguan, dan media perlu digunakan sebagai alat untuk menanam didalam minda masyarakat bahawa projek kolonial mereka tidaklah seburuk yang disangka. Lebih menjengkelkan adalah negara-negara Barat yang kononnya begitu “tercerah”, inklusif, egalitarian, dan pelbagai jargon bombastik lain, dapat menerima projek kolonial ini. Kolonial Israel malah dibenarkan masuk ke dalam pesta dan temasya Eropah seperti Eurovision dan UEFA Euro Cup. Jika kita gemar membaca tulisan-tulisan Nelson Mandela yang melawan apartheid, kita seharusnya mempunyai semangat yang sama dalam menolak propaganda dan kolonial Israel yang rasis ini.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.