Pada 28 April 1996, seorang lelaki melepaskan tembakan rambang ke atas pelancong di Tasmania, Australia menggunakan senapang semi-automatik. 35 orang maut dan 19 orang cerdera dalam kejadian yang dikenali sebagai Port Arthur Massacre. Kejadian ini merupakan kejadian berdarah pembunuhan beramai-ramai yang tragis dalam sejarah Australia.
Selepas tragedi ini, Australia memperkenalkan gun control law, mengharamkan automatik, semi-automatik dan self-loading rifles dan shotguns untuk kegunaan awam. Perdana Menteri Australia ketika itu adalah John Howard, walaupun polisi ini tidak popular, ia ditentang oleh rakan-rakan dalam koalasi politiknya sendiri, beliau juga ditentang beberapa kerajaan negeri, namun beliau tetap tegas melaksanakan polisi ini. Akibatnya, pada pilihanraya 1998, kerajaannya kehilangan 12 kerusi kepada parti lawan, parti pro-gun One Nation.
Sejak dari itu, tiada lagi mass shooting dilaporkan di Australia. Keadaan ini berbeza dengan Amerika Syarikat yang sehingga hari ini masih melaporkan kejadian mass-shooting di sekolah. Elit politik Amerika masih belum berjaya keluar dari cengkaman lobi dari National Rifle Association (NRA) yang menunggang Second Amendment Rights untuk memastikan industri senjata kekal terpelihara. Melawan NRA akan menjadikan ahli politik tidak popular dan terkuburnya kerjaya politik mereka.
Dari hal ini, kita memahami bahawa ada kalanya kerajaan perlu untuk mengambil langkah tidak popular untuk keselamatan dan kesejahteraan jangka panjang. Melihat situasi Covid-19 yang sudah tidak dapat dikawal kerajaan di India hari ini, membuatkan saya merasakan tidak dapat balik raya merupakan pengorbanan yang kecil jika dibandingkan dengan bencana yang bakal menyusul. Keadaan di India sekarang sudah tidak terkawal hasil mutasi variant Covid-19 terbaru. Perkhidmatan kesihatan awam mereka telah lumpuh, pesakit tidak mampu lagi dirawat dan terpaksa mencari sendiri tanki-tangki oksigen bagi kes-kes serious. Malah crematorium mereka kini membakar mayat tanpa henti.
Ya, kita boleh salahkan kerajaan hari ini kerana tidak dapat membendung penularan wabak Covid-19 selepas kejayaan kecil yang kita kecapi semasa PKP 1.0. Banyak tindakan kerajaan yang tidak cekap menyumbang kepada gelombang baharu Covid-19 hari ini, bermula dengan PRN Sabah, polisi PKP separuh masak, teladan yang tidak baik dari pimpinan perihal pematuhan SOP, semuanya menyumbang kepada faktor kegagalan polisi kerajaan. Namun saya kira, keadaan hari ini memaksa kita untuk melakukan pengorbanan, tidak guna lagi untuk kita bertelingkah mengapa keadaan ini berlaku, kerana ia sudah berlaku dan sedang berlaku. Yang kita perlukan adalah solusi untuk menyelesaikannya. Kita berdepan dengan kemungkinan PKP 3.0.
Namun ini tidak bermakna kita tidak boleh mengkritik jika implementasinya nanti berbentuk hipokrit, selektif, dan tiada nilai kasih sayang. Semua polisi yang berat sebelah wajib dikritik, setiap ketidak adilan perlu dibela. Dalam masa yang sama juga kita harus menimbang antara kebebasan dan keselamatan. Terlebih bebas sehingga situasi tidak lagi selamat pun salah, terlebih ketat sehingga keselamatan tidak dapat memberi erti juga salah. Maka oleh itu kita harus meniti diatas tali dengan berhati-hati.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.