Eugene V. Debs pernah mengungkapkan satu kata-kata yang terkenal, katanya “While there is a lower class, I am in it, while there is a criminal element, I am of it, and while there is a soul in prison, I am not free”. Jika kita membaca ungkapan Debs ini secara selapis, kita akan beranggapan bahawa beliau menggalakkan unsur jenayah. Tetapi bagi saya ia membawa erti yang lebih dalam, persoalan falsafah jenayah, persoalan adakah ia disebabkan fitrah atau sejarah.
Persoalan antara fitrah dan sejarah ini merupakan perbahasan panjang dalam bidang antropologi. Sesetengah ahli akademik berpegang bahawa manusia tidak punyai fitrah, mereka hanya mempunyai sejarah. Manakala di kem satu lagi, mereka berpegang bahawa apa yang terjadi dalam sejarah adalah hasil dari fitrah manusia, fitrah manusia yang mencorak bagai mana sejarah terbentuk.
Dalam persoalan jenayah, golongan pro-fitrah berpegang bahawa jenayah itu dilakukan atas pilihan individu. Manusia fitrahnya tahu baik dan buruk dan dikurniakan akal untuk memilih. Manakala golongan pro-sejarah berpegang bahawa pilihan yang dilakukan oleh manusia itu dipengaruhi oleh faktor sekeliling manusia tersebut. Keadaan sosial, ekonomi, pendidikan ia memaksa manusia untuk membuat pilihan yang salah. Jadi mereka bukanlah membuat keputusan berdasarkan fitrah tetapi berdasarkan duduk letaknya dirinya dalam kondisi sejarah.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes penangkapan seorang pemuda yang menjalankan aktiviti mencuri sport rim di sekitar Cromwell dan Sungai Corby. Daripada kes ini terjadi perbincangan yang hangat dalam satu platform perihal falsafah jenayah, adakah ia fitrah atau sejarah. Ikuti perbahasannya di bawah. Nama individu dan latar tempat telah diubah bagi mengelakkan sebarang litigasi dan untuk mengelakkan daripada penerimaan surat saman.
Morrie: Suspek telah ditangkap selepas sebulan lebih kes kehilangan tayar di taman.
Feynman: Kesiannya, mungkin dia buat sebab kesempitan hidup.
Morrie: Ikut laporan, curi sebab nak beli syabu. Ada 7 rekod, pecah rumah, curi, dadah. 3 serangkai.
Feynman: Mungkin dia lahir dari keluarga bermasalah, jadi itu sahaja jalan hidup yang dia tahu, nampak macam masih muda.
Morrie: 30 tahun.
Feynman: Muda lagi, moga dia bertaubat dan berubah.
Morrie: Keluarga bermasalah tak boleh dijadikan alasan. Ada budak dari Yorkshire mai Brownsville, gunting rambut on call. La ni ada kedai sendiri, sara adik-adik kat kampung. Barber yang aku selalu potong. Memang kemas, dekat 40 minit potong. Bayar RM 10 sahaja. Ini dia sebat sport rim orang dari Cromwell sampai Sungai Corby.
Feynman: Boleh jadi alasan, tengok kes Rosemary West, daripada broken family melahirkan serial killer. Adik ni saya rasa tak sampai level Rose West lagi.
Morrie: Info dari ahli surau Kenstown, family dia sendiri roger pihak berkuasa, bukan salah keluarga. Aku sokong dia masih ada harapan, apa pun dia muda lagi, perjalanan jauh lagi. Harap-harap insaf la, meniaga ka apa, lagi bagus.
Feynman: Kita tak tahu jalan hidup dia macam mana, tak semua orang ada peluang dapat biasiswa MARA, kawin dengan doktor, kerja dengan company international, jadi kita tak dapat nak judge.
Morrie: Tak boleh la nak salahkan takdir macam tu. Kita kena usaha jugak. Buktinya berapa ramai yang tak dapat belajar semua tu masih berjaya walaupun tak tinggi. Contoh brader Ackerman tukang gunting tadi. Dia ada kedai gunting from zero. Kita pun tak boleh buat macam tu brader.
Feynman: Tak semua orang ada peluang camtu, contohnya Joker, dia dah usaha, tapi dunia tak menyebelahi dia, terpaksa lawan dengan Batman.
Morrie: Kes samun talifon bimbit mahal dekat bus stop Baker Street tu, kira kita tak boleh salahkan penyamun tu ke macam mana?
Feynman: Ya, kita tak boleh salahkan dia 100%.
Morrie: Macam mana cara nak salahkan 99%. Habaq mai.
Feynman: Mungkin dia hidup dalam keadaan sosial atau ekonomi yang tak mengembangkan potensi baik dia. Cara dia, kita hukum kesalahan dia, tapi lepas tu bagi peluang kedua untuk mulakan hidup baru. Macam Malcolm X. Tak semua orang diterima masuk MRSM dan dapat pendidikan yang baik.
Morrie: Kalau hidup dalam sosial dan ekonomi yang teruk ni, then dia ambik keputusan ambik syabu. Takdak duit, curi. Salah sosial ke kehendak diri?
Feynman: Kita mungkin nampak macam dia ambil keputusan, tapi mungkin keadaan yang memaksa dia buat keputusan tu, keadaan hidup, saya yakin kalau dia diberi kesedaran dan peluang, dia akan pilih jalan hidup yang lebih baik dan bermanfaat, kecuali jika dia ada masalah mental.
Morrie: Aku boleh terima lagi kalau mencuri makanan yang seadaanya sebab lapar atau takdak duit. Curi because of dadah which is clearly pilihan sendiri is another level.
Feynman: Pernah tengok cerita Catch me if you can?
Morrie: Pernah. Aku sokong Leonardo ditangkap and semua crime tu atas kehendak materialistik dia. Bukan keadaan.
Feynman: Ok, sekarang dengar cerita asal Frank Abagnale, dia cerita pengalaman hidup dia. Dia jadi macam tu sebab dia lost waktu remaja, mak ayah dia cerai, tapi lepas dia diberi peluang dan kesedaran dia jadi agen FBI.
Hange Zoe: Bagi aku matlamat tak menghalalkan cara. Kita ada pilihan. Sama ada baik atau buruk. Jadi jika kita berada dalam keadaan persekitaran yang tak sihat, ia tidak menjadi halangan untuk kita jadi baik. Kita dikurniakan akal fikiran. Jadi perlu digunakan sebaik mungkin. Dan ya manusia tidak terlepas dari melakukan kesalah. Peluang kedua seperti lagu Nabila terkucil layak diberikan kepada semua orang.
Morrie: Ok, so life dia lost then what? Adakah itu justification yang adil untuk messed up orang lain? No brader.
Feynman: Memang tak adil, frank sendiri mengaku dia salah dan perlu dihukum.
Morrie: Macam hang salahkan “keadaan yang memaksa”. Seolah-olah macam dia pi kata dekat brader yang hilang tayar macam ni “maaf bang, keadaan paksa saya curi tayar abang”. Aku tak pernah faham kenapa orang salahkan “keadaan” macam dia je paling teruk sampai kena aniaya orang lain.
Feynman: Aku ada kawan dulu dia geng kongsi gelap, kena tangkap, lepas tu jadi informer, sekarang dia jadi pegawai SPRM.
Morrie: Dia jagi kongsi, sebab sapa? Keadaan or pilihan dia?
Feynman: Susah nak letak garis pemisah antara keadaan dan pilihan, kadang kita rasa benda tu pilihan, tapi kalau kita duduk dalam situasi dia maybe kita akan faham macam mana keadaan paksa dia buat pilihan tu. Contoh lain macam child soldier dekat Afrika, kecik-kecik dah pegang senapang bunuh orang.
Morrie: Aku percaya setiap manusia atas muka bumi ni ada pilihan sebab tu Allah kata Dia tak ubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri. Tapi aku tak deny yang manusia makhluk lemah dan kadang-kadang tersalah jalan tapi semuanya bermula dengan pilihan sendiri, bukan keadaan semata-mata.
Feynman: Aku pulak percaya bahawa pintu taubat masih terbuka, ada ketika manusia terpaksa buat pilihan yang salah atas faktor persekitaran dia. Jadi selepas dihukum setimpal kesalahan, wajarlah dia diberi peluang untuk mulakan hidup yang baru.
Morrie: Contoh macam muslimin Mekah zaman nabi hijrah ke Madinah yang dipaksa ucap keluar Islam dengan pedang. Dia orang terpaksa mengaku kafir sedangkan hati masih beriman sehingga turun ayat Al-Qur’an yang kata tindakan tu acceptable dan tak dikatakan murtad. Fair enough, aku setuju pilihan dengan keadaan yang menghimpit tapi kalau nak banding dengan kes syabu ni, agak tak berapa nak relevan dari segi severity-nya.
Feynman: Mungkin sebab kita dari kecil dalam keluarga baik, sekolah baik, dapat isteri baik, kerja yang baik, kita boleh bezakan baik dan buruk, boleh buat pilihan. Tapi ada setengah orang tak dapat peluang tu, tak kenal baik atau buruk, tak diajar, keluarga tak jaga, lepas je anak berkeliaran, dia pun tak kenal mana baik mana buruk. Macam mana dia nak buat pilihan yang betul?
Morrie: Macam aku kata, aku setuju la dengan idea pilihan atas sebab faktor keadaan sekiling. Tapi, bukan semua case dan keadaan. Secara logik, macam kes syabu ni. Dia asal Sungai Corby, bukan Sungai Amazon yang sampai tak kenal erti baik buruk. Macam saudara ni, jadi macam tu atas pilihan dia, keluarga dia ok, kalau tak dia orang tak report polis. Hidup dalam komuniti, civilized, beragama. Still salah keadaan sosial dan sekeliling?
Feynman: Kena tengok jugak keadaan keluarga dia, pendidikan dia, peluang ekonomi dia, kalau semua ok, mungkin kita boleh kata dia jadi begitu atas pilihan. Jangan kata Sungai Corby, Sungai Weser pon kadang belah kampung aku tengok ada anak-anak yang tak dijaga, dilepas berkeliaran, entah sekolah entah tak, dok berkawan dengan mat dadah, mat motor, bila aku nampak macam tu, aku tak rasa salah dia 100 peratus, ada faktor sekeliling yang sebabkan dia jadi begitu. Bila aku tengok rumah depa, kadang kesian, dua tiga family duduk dalam satu rumah kecil, jadi aku faham kenapa dia pon tak mau duduk rumah. Mak aku dulu cikgu, bukan di Sungai Corby, tapi High School tengah ibu kota London, ada budak bermasalah mai tidur kat sekolah sebab rumah sempit sangat, dua famili satu PPR, kalau balik pon dia tak dok rumah, dia akan melepak dengan kawan-kawan mat motor, sebab rumah tak selesa, mak ayah kerja siang malam sebab terpaksa, civilized ke? itu belum belah kampung yang mak ayah isap dadah dalam rumah depan anak-anak. Civilized ke? Budak tu membesar dalam suasana macam tu, dia tahu ke baik dan buruk?
Morrie: Aku teringat masa Ustaz Albert Liao pi jumpa budak-budak jalanan yang melepak tak tentu hala. Sama la kes, kata duduk rumah beramai-ramai, takdak tempat nak tido jadi dia memilih untuk berada di jalanan dengan kawan-kawan yang senasib dengan dia. Memang betul masalah ni faktor sekeliling dan keluarga. Aku setuju. Apa yang Ustaz Albert nasihat, dia kata dekat budak-budak ni, kita manusia ada pilihan. Nak terus lepak di jalanan atau nak perbaik diri. After all pilihan ada, lagi-lagi brader yang umur 30, bukan budak-budak. Aku rasa dia pun ada berfikir sampai bila nak hisap dadah. Tapi dia tak pilih jalan berubah. Salah sapa? Salah sosial ka?
Feynman: Itu okay la depa jumpa Ustaz Albert Liao, kalau yang tak jumpa?
Morrie: Macam aku kata, bukan semua case kita pukul rata. Kes budak-budak ni, dengan tiada bimbingan dan pendapatan memang la kita boleh kata salah keluarga dia, salah sosial. Back to main point brader pencuri Sungai Corby ni lagu mana?
Feynman: Itulah aku kata, kena tengok background dia, tak boleh pukul rata kata dia bersalah 100%. Ada faktor sekeliling, disamping faktor pilihan. Macam anak-anak yang dari kecik tengok mak ayah isap dadah dalam rumah, aku tak rasa dia bersalah atas pilihan dia. Dan aku takkan pergi kata kat dia “eh kau kenapa isap dadah? orang lain boleh bukak kedai gunting rambut! ini semua salah ko sebab buat pilihan!”. Kalau dia boleh pilih, aku rasa dia akan pilih untuk lahir dalam Istana Buckingham di England.
Morrie: Ok. That is fair enough. Aku tetap tak setuju yang kalau mak bapak isap dadah, anak boleh jadi penagih jugak, lagi-lagi yang dah berakal umur 30. Kita always ada pilihan untuk jadi orang yang macam mana, jalan yang mana kita nak tuju.
Feynman: Kalau dari kecik dah isap dadah, dari kecik akal dia takkan sama macam manusia lain. Dadah tu sendiri menghilangkan akal.
Morrie: OK.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.