Oleh: Iqbal Imaduddin
Zine ini adalah escapism. Setidaknya itulah yang terlintas di kepala saya usai menamatkan naskah ini. Escapism dari realiti hidup di waktu-waktu pademik ini. Escapism kerana kita dibawa jauh meninggalkan planet bumi, supaya spesis homo sapien dapat meneruskan kelangsungan hidup.
Zine ini, saya fikir, adalah pelengkap kepada dua sisi bagi sosok penulis. Jika satu sisi adalah ilmiah dengan perimeter formaliti, zine ini adalah sisi kedua, sisi pentas untuk imaginasi berdansa riang tanpa ada sekatan, membuatkan saya terfikir, sejauh manakah kita boleh menolak batas daya fikir manusia, dan sekaligus melihat ‘soft-side/human-side/another side’ dalam diri penulis disebalik penulisan-penulisan serius.
Tema masa kini dan masa hadapan, dapat dilihat melalui dua karya pendek pilihan saya iaitu Konfesi Perokok Tegar (Mel Van Dyk) dan Rumi Terbang Ke Circinus (Syed Ahmad Fathi).
Konfesi Perokok Tegar
Catatan betapa strugglenya seorang yang ingin berubah dari sepuntung rokok kepada vape. Jika rokok hanya perlu dinyalakan dengan sumber api/bara, maka vape lebih kepada pemahaman mekanikal untuk menjadikannya berfungsi dengan baik. Sub-ohm, wicking, dawai kanthal, tweezer. Kedengaran kompleks? Ya. Bagi pemula, ini adalah kompleks. Dan menyempurnakan sesuatu yang kompleks adalah kepuasan. Sama seperti menewaskan lawan permainan catur yang berfikiran kompleks.
Mungkin sesuatu yang kompleks seperti vape, menjadikan kita kembali sahaja kepada yang asas seperti sebatang sigeret ‘halal’ (bercukai), atau sigeret illegal, atau sigeret BMF (balut daun dengan tembakau jawa).
Sigeret vs Vape, mengingatkan saya kepada K-Drama ‘Start Up’, bilamana Helmoni si nenek lebih senang menggunakan anak kunci pintu berbanding kesukaran melihat butang kekunci digital atas faktor usia. Bak kata Dal-Mi..”sesuatu yang kita anggap ‘cool’ dan sepatutnya lebih memudahkan (teknologi), mungkin tidak pada orang lain”.
Rumi Terbang Ke Circinus
Mengingatkan saya kepada filem ‘Passengers’, di mana manusia merentasi angkasa raya menuju ke planet baru bagi kelangsungan hidup. Dan filem ‘Interstellar’..sebelum saya terlupa. Ini adalah sisi kedua penulis, yang dikenali umum menerusi naskah serius seperti ‘Berfikir Tentang Pemikiran’. ‘Rumi Terbang Ke Circinus’, adalah karya futuristik yang masih bersandar pada logik. Jika bumi tidak lagi sesuai untuk dihuni, apa daya kita untuk terus hidup? Maka terpaksalah kita berpindah ke planet lain. Tidak seperti melawan makhluk asing yang nampak tidak logik (mungkin kerana selalunya menyerang Amerika terlebih dahulu), berpindah ke planet adalah lebih logik.
Mungkin kerana itu Billionaire seperti Jeff Bezos dan Elon Musk melalui syarikat masing-masing berlumba-lumba membina rocket sebagai perintis kepada spacecraft agar suatu hari nanti manusia dapat merentasi ruang angkasa dengan cara paling efisyen, demi mencari tapak koloni manusia yang baharu. Idea bagaimana manusia pada masa hadapan perlu mencari alternatif untuk terus survive, dan untuk itu usaha-usaha perlu dimulakan dari sekarang.
Jika itu kita merasakan sukar, yang lebih mudah adalah dengan menjaga planet kita agar terus mampan dan boleh didiami.
Zine ini bukan titik-titik bersambung dengan satu tema yang lurus. Selain dari ‘Jurnal Dari Turki’ yang berturutan dalam tiga siri, tiga belas karya lainnya berdiri dengan tema tersendiri. Mengajak kita berfikir tentang kehidupan masa dahulu..antaranya (Chistyakov Bertemu Amelie-Syed Ahmad Fathi), Masa kini (Syukur, Burger Cheese-Mel Van Dyk) dan masa hadapan (Rumi Terbang Ke Circinus).
Secara keseluruhan, saya merasakan naskah sulung terbitan Skazka Zine ini berjaya meletakkan tanda aras bagaimanakah nanti persembahan tema di dalam edisi kedua, ketiga dan seterusnya. Saya senang dengan konsep seperti sedia ada ini. Lebih dari itu, saya juga senang melihat satu sisi yang lain bagi seseorang penulis yang mungkin saya tidak tahu.
Tidak mengejutkan jika edisi seterusnya akan lebih ‘berani’ untuk menolak sempadan daya fikir para penulis. Ini adalah pentas experimentasi kerana saya merasakan naskah zine jarang menetapkan sempadan formaliti.Jika anda ingin berekperimentasi bersama-sama, maka bolehlah menghubungi Skazka Zine kerana mereka membuka ruang untuk anda. Mana tahu karya anda berpeluang untuk diterbitkan dalam edisi-edisi Skazka yang seterusnya.
Tahniah buat Mel Van Dyk dan Syed Ahmad Fathi atas terbitan sulung Skazka Zine. Terima kasih atas peluang untuk saya escapism sebentar.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.