Oleh: Mohd Hazri
Terlebih dahulu aku memohon maaf sekiranya post ni terlalu panjang. Ini hanyalah sebuah coretan untuk kenangan diri sendiri dan juga sebagai motivasi kepada mereka di luar sana. 15 August 2016 merupakan tarikh keramat buat aku kerana inilah kali pertama aku berpeluang menjejakkan kaki ke negara matahari terbit yakni Jepun. Post ini bukanlah untuk memberitahu kelebihan negara Jepun yang seringkali bermain di bibir rakyat Malaysia. Post ini lebih kepada bagaimana aku berpeluang untuk ke sana.
Anda semua tentu pernah dengar tentang kelebihan bersedekah. Perkara ini seringkali diulang tidak kisahlah jika anda berada di bangku sekolah mahupun sudah bekerja. Jadi apa kaitannya bersedekah dengan negara Jepun? Mari aku ceritakan. Pada tarikh 6 August 2016, seperti kebiasaan aku akan menghantar tunangku (kini sudah bergelar isteri ya tuan-tuan dan puan-puan) ke kelas menjahitnya di Giat Mara Bagan. Selepas menghantarnya, perutku terasa lapar dan aku membuat keputusan untuk bersarapan di warung mamak berhampiran.
Setelah memastikan kenderaan berkunci, aku bergegas ke warung tersebut. Aku tidak menggunakan kenderaan ke sana kerana kawasan tersebut agak sibuk pada waktu pagi dan kekurangan tempat meletak kenderaan. Dalam perjalanan ke sana, aku perasan ada seorang pemuda yang memerhatikan aku dari arah yang bertentangan. Dalam hatiku sudah dapat menduga, jika tidak menjual barang sudah pasti orang ini memerlukan bantuan.
Telahan aku benar kerana apabila dia berada berdekatan, dia mula meminta belas ihsan. Katanya dia mahu meminta sejumlah wang. Nilai tersebut tidaklah besar namun aku tergerak hati untuk memberikan sesuatu yang lebih. Aku mengajak dia mengikutiku untuk bersarapan bersama. Dia bersetuju dan kami pun bergegas ke sana.
Apabila sampai di warung mamak tersebut, aku memesan roti canai, sebungkus nasi lemak dan secawan teh tarik. Dia juga memesan sarapan yang sama. Sewaktu menjamah, aku memulakan bicara. Aku bertanya perihal dia dan cuba untuk mengetahui apa yang terjadi. Dia memberitahuku bahawa dia sedang mencari pekerjaan sebagai pengawal keselamatan. Katanya di sini semua kemasukan telah pun diisi dan dia mahu mencuba nasib di Bandar Sunway. Tambahnya lagi, wang yang dia pinta adalah untuk menampung kos pengangkutanya.
Aku terus betanya dari mana dia berasal. Dia memberitahuku yang dia berasal dari Selangor. Dia baru kehilangan ayahnya. Kerana waktu silam dia yang tidak berapa baik, jadi dia berhijrah ke Pulau Pinang untuk memulakan kehidupan baru. Aku menghormati keputusannya dan tidak menyoal lebih. Lagipun aku dapat lihat dari kaca matanya yang dia sedang berusaha menahan sebak. Aku kemudiannya menghulurkan wang untuk dia membayar kesemua sarapan kami, dan memberitahunya untuk mengambil lebihan baki. Dia mengucapkan terima kasih dan aku terus bergegas pulang ke rumah.
Pada 8 August 2016, seperti kebiasaan aku memulakan waktu kerja pada jam 10 pagi. Dalam kesibukan, aku tiba-tiba dipanggil oleh bossku Gary. Aku kira Gary mahu memberikan aku tugas rutin seperti biasa. Namun tekaan aku meleset kerana Gary menawarkan aku untuk terbang ke Jepun untuk satu projek mega. Aku tanpa banyak bicara terus bersetuju dengan tawaran tersebut dengan hati yang berbunga-bunga.
Dalam perjalan pulang dari tempat kerja, aku terfikir kenapa dalam ramai-ramai rakan IT, aku yang terpilih untuk projek mega ini. Semasa otak aku ligat mencari jawapan, aku tiba-tiba teringat perihal pertolongan yang aku hulurkan kepada pemuda tempoh hari. Maka benarlah, kelebihan bersedekah ini sangatlah besar. Dari sini, aku amat yakin bersedekah ini dapat meluaskan dan membukakan pintu rezeki kepada kita. Jadi kepada mereka yang di luar sana, jangan berhenti untuk bersedekah dan anda mungkin akan berperoleh rezeki yang tidak di sangka-sangka. Jika bukan menggantikan hal yang sama, pasti digantikan dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam keluarga, kesenangan dalam bekerja dan sebagainya. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas. Sekian coretan aku untuk kali ini.
Tulisan ini pertama kalinya dikongsi oleh Mohd Hazri di laman Facebook miliknya.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.