Dengan perlantikan perdana menteri baharu maka secara rasmi kita menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang hanya mampu bertahan 22 bulan. Selepas menyaksikan “drama” dan “plot twist” yang berlaku, kita dapat gambaran yang lebih tepat berkenaan dengan situasi ini apabila habuk telah mendarat “dust have settled”.
Setelah perletakan jawatan perdana menteri, adegan kejar mengejar, drama air mata setia berprinsip, adegan lopat melompat, pertandingan matematik mengira kerusi, mesyuarat tengah malam, adengan video “bye-bye PKR”, akhirnya kita sampai ke titik equilibrium dengan pembentukan kerajaan baru hasil proses tawar menawar dan kompromi beberapa parti.
Bagi yang terjatuh dari buaian takhta, ia adalah aksi pengkhianatan kepada “mandat rakyat”. Bagi yang menerima kuasa dan laba, mereka berhujah bahawa mereka mengikut perlembagaan dengan mengumpulkan sokongan ahli-ahli yang sudah menang pilihanraya, mereka selaku ahli parlimen mewakili rakyat untuk menyokong seorang perdana menteri. Apa pun pendirian kita, saya bersetuju dengan saranan Tun Mahathir dalam wawancara terbarunya bersama Sinar Harian bahawa rakyat perlu belajar dengan episod ini. Ia adalah kuliah demokrasi yang praktikal bagi mereka yang mahu menjadi pelajar kepada sejarah.
Jika benar kuasa politik direbut melalui perang persepsi, ia memerlukan lebih 60 tahun untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan UMNO-BN, dan hanya 22 bulan untuk membina persepsi dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. Dalam bahasa matematik hanya 3.05% sahaja masa yang diperlukan dalam perang persepsi untuk menjatuhkan PH berbanding BN. Tetapi saya tidak percaya 1 faktor sahaja yang menyebabkan kerajaan ini jatuh. Jadi ia lebih dari sekadar persepsi.
Discourse berkenaan dengan kejatuhan PH di dalam bulatan liberal, jemaah yang menyokong PH, pejuang sosial media PH, kebanyakannya berorbitkan “pengkhianatan”. Ya betul, perubahan pendirian sebilangan besar ahli parlimen PH, serta Parti Bersatu ini adalah faktor yang zahir yang menyebabkan kerajaan mereka jatuh. Tetapi pada saya observasi zahir ini tidak menceritakan keseluruhan cerita. Persoalan besar yang perlu ditanya adalah ini “Kenapa perlu ‘khianat’ apabila sudah di puncak kuasa?”. Dalam bahasa ekonomi kita perlu mencari apa “insentif” dari perbuatan ini. Jika lompatan ketua pemuda parti kalah untuk masuk parti menang itu mudah difahami, tapi kenapa perlu “khianat” jika sudah pun menjadi menteri?
Persoalan ini adalah persoalan yang menjadikan teori “khianat” ini benar tapi simplistik, true but not the whole truth, ataupun boleh dikata “half-truth“.
Untuk menjawab persoalan ini kita perlu cuba menjenguk sedikit kehadapan dan melangkah sedikit ke belakang. Kita boleh melemparkan banyak teori, tetapi bagi tulisan ini cukuplah kita menimbang dua teori. Teori pertama memerlukan kita untuk meninjau ke hadapan, teori strategi yang bersifat Machiavellian, yang mana keperluan strategi mengatasi neraca moral. Pakatan Harapan dari awal bukanlah pakatan yang stabil untuk jangka panjang, dari awal pakatan yang didominasi PKR-DAP ini memerlukan parti pro-Melayu untuk memenangi pilihanraya yang masih bersifat identity politics walaupun ia merupakan antonim kepada naratif multi-culturism mereka. Di sini Bersatu masuk mengisi ruang itu.
Tetapi Bersatu tidak mempunyai pegangan yang kuat dalam PH. Walaupun mengisi banyak jawatan penting seperti PM dan MB, kerusi mereka terlalu tidak signifikan jika hendak dibandingkan dengan penguasaan kerusi PKR-DAP. Situasi ini dipanggil “punya jawatan tetapi tidak punya kuasa”. Maszlee merupakan contoh yang sangat baik dalam hal ini, walaupun dia menteri, hendak laksanakan dasar pun ditentang oleh komponen sendiri. Jadi apabila didesak untuk menyerahkan jawatan PM, Bersatu sedar bahawa survival mereka terancam. Jika hilang jawatan, maka mereka bukan sahaja tidak punya kuasa dengan penguasaan kerusi, mereka juga tiada kuasa dari jawatan. Jadi buah catur perlu digerakkan untuk memastikan mereka dapat mengekalkan survival politik mereka, mereka memilih memposisikan diri dengan parti-parti yang dekat dengan ideologi mereka.
Teori kedua memerlukan kita melangkah ke belakang, melihat perjalanan pakatan yang dibina oleh PKR-DAP. Sepanjang sejarah coalition mereka sememangnya akan berakhir dengan perpecahan, veteran politik PKR saudara Tian Chua pernah mengutarakan perkara ini dalam satu forum anjuran SAMM, bahawa pakatan baru akan “mengulangi kesilapan yang sama”. Cuma lebih memalukan, perpecahan kali ini berlaku ketika sudah menjadi kerajaan. Bagi Tian Chua, DAP terlalu ideologikal dan sukar berkompromi, kata beliau DAP akan “meloncat” tiap kali apa-apa yang berkaitan Islam dibangkitkan.
Barisan Alternatif (BA) merupakan siri perpecahan pertama. Walaupun Jelutong sering memetik nama Arwah Tuan Guru Nik Aziz, kononnya sebagai tokoh yang dia hormati. Perpecahan BA adalah ketika zaman Nik Aziz menjadi Murshidul Am PAS. BA lahir selepas tercetusnya gerakan Reformasi 1998. Pada PRU tahun 1999, PAS adalah parti yang berjaya dalam BA, mereka menawan Kelantan dan Terengganu serta menambah kerusi dari 7 kepada 27, sementara DAP menyaksikan nama besar seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh kalah merebut kerusi. Kerana PAS istiqomah dengan negara Islam, dan DAP menyusut sokongan kerana berkerjasama dengan parti yang mempunyai ideologi “negara Islam”, DAP keluar dari BA selepas serangan 11 September pada tahun 2001.
Perpecahan kedua adalah selepas tertubuhnya Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuhkan pada tahun 2008. Antara kontroversi pada era PR ini adalah Langkah Kajang 2013-2014, apabila PKR bertindak memfitnah Khalid Ibrahim bagi menjatuhkan beliau sebagai MB Selangor. PKR akhirnya terpaksa memohon maaf secara terbuka pada Khalid selepas dibawa ke mahkamah. Tindakan PAS tidak mahu bersekongkol dengan finah PKR yang ingin menaikkan Anwar sebagai MB meretakkan hubungan mereka. Ditambah dengan perbezaan ideologi dengan DAP, akhirnya pakatan ini berpecah apabila DAP mengumumkan pada 2015 bahawa pakatan ini telah “mati” kerana tidak boleh berkerjasama dengan PAS.
Mereka kemudian mencipta Pakatan Harapan (PH), namun seperti apa yang dikatakan Tian Chua, mereka “mengulangi kesilapan”. Walaupun sudah menang dan menubuhkan kerajaan. Perbezaan ideologi dan kesukaran DAP untuk berkompromi menyebabkan kerajaan yang dibina sangat rapuh. Cumanya perpecahan kali ini tidak boleh disalahkan kepada PAS. Rakan mereka Bersatu dikritik secara terbuka oleh PKR dan DAP atas dasar-dasar yang mereka perkenalkan. Menjadikan Bersatu tidak selesa kerana setiap hari dikritik dan didesak, mereka tidak merasakan mereka sebahagian dari “rakan” dalam kerajaan. Namun Bersatu yang mempunyai strategis veteran seperti Mahathir ini kelihatan bijak, jika sebelum ini pakatan PKR-DAP berpecah apabila DAP umum keluar dan ishtihar “mati” mereka mengambil langkah awal untuk keluar dahulu dan membentuk perikatan baru.
Kedua-dua teori inilah yang mengisi kekosongan naratif “pengkhianatan” yang kini cuba diketengahkan. Hakikatnya pakatan yang dibina sebelum ini tidak bernafas panjang, tidak mampu berkompromi, dan tidak lestari dari perspektif ideologi. Tapi tiada apa yang kekal di dalam dunia ini, mungkin juga Perikatan baru ini akan bergaduh sesama sendiri merebut jawatan dan berpecah, mungkin juga ia akan ditewaskan melalui undi tidak percaya, tapi biarlah drama itu kita simpan untuk anekdot seterusnya.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.