Kemunculan Sekularisme Moden
Teori sekularisme wujud apabila terjadinya cubaan pemisahan agama Kristian dari urusan harian oleh pemikir dan ahli falsafah Barat dan penolakan terhadap ajaran Taurat pada abad ke-18 (zaman pembaharuan Eropah). Sekularisme terus menular dengan pantas selepas negara Barat menyaksikan kemajuan sains dan teknologi yang dianggap lebih relevan dari ajaran dan pandangan gereja yang karut dan tidak masuk akal.
Namun begitu, agama-agama tetap berkembang bukan sahaja di kalangan negara Barat, malah di negara Timur, walaupun berhadapan dengan penentangan idea yang kuat dari kumpulan sekularis. Ini kerana agama masih lagi memainkan peranan penting demi memenuhi tuntutan rohani manusia.
Radikal Sekularisme
Menurut fahaman yang lebih radikal, sebarang bentuk kepercayaan dan agama perlu ditolak dari kehidupan kerana ia bertentangan dengan akal dan logik. Nilai agama perlu dipisahkan dari sistem pentadbiran dan pengurusan atas alasan agama mempunyai banyak nilai yang karut dan tidak masuk akal. Golongan sekularis ini seringkali membandingkan keadaan Eropah semasa Zaman Gelap yang penuh penindasan terhadap rakyat oleh Gereja yang mendapat sokongan penuh oleh raja-raja Eropah yang mendakwa menjadi wakil tuhan.
Pada sekitar tahun 1400M hingga 1800M, tiga Mahkamah Penyiasatan (Inquisition Court) telah ditubuhkan oleh tribunal Gereja Roman Katolik untuk menyiasat dan menghukum golongan yang dituduh menentang ideologi Gereja Katolik. Seramai 340,000 orang telah dihukum mati dan hampir 32,000 telah dibakar hidup-hidup, termasuklah ahli sains termasyhur seperti Jurdano Branos hanya kerana beliau memperkenalkan teori kewujudan planet-planet lain selain Bumi.
Begitu juga dengan Nicolaus Copernicus dengan idea di dalam bukunya yang bertajuk “On the Revolutions of the Celestial Spheres” (1543) yang mengatakan bahawa matahari adalah pusat bagi sistem solar dan bukannya bumi seperti mana ajaran Gereja Katolik. Idea yang sama diambil oleh Galileo Galilei lalu berkembang menjadi teori heliosentris yang mengatakan bahawa bumi bergerak mengelilingi matahari.
Teori ini di tentang hebat oleh Gereja Katolik pada masa itu kerana bertentangan dengan ajaran Kitab Bible yang menyatakan bahawa: “Tuhan telah menciptakan dunia ini, dan ia tidak boleh bergerak selama-lamanya” (Psalm 104:5). Akhirnya Galileo dihukum secara “Villa Arrest” hingga ke penghujung hayatnya selepas mengaku bersalah dan menarik balik teorinya.
Prinsip Sekularisme
Menurut George Holyoake di dalam bukunya yang bertajuk “The Principle of Secularism” (1870), terdapat beberapa prisip utama yang di ketengahkan beliau yang menjadi panduan golongan sekularis hingga kini seperti :
- Sains sebagai panduan hidup Manusia. Holyoake menyatakan bahawa hanya sains dan logik patut dijadikan panduan dalam kehidupan.
- Memperbaiki kehidupan dengan cara kebendaan dan mengukur kebajikan manusia mengikut hukum utilitarian.
- Apa sahaja yang baik adalah baik untuk dilakukan sama ada mempunyai kebaikan atau tidak.
- Prinsip moral liberal untuk membolehkan manusia mencapai matlamat tersendiri.
George Holyoake dengan jelas berpendapat bahawa agama patut diasingkan. Beliau menegaskan bahawa kehidupan sosial dan agama merupakan dua perkara berbeza dan tidak mungkin boleh bergerak selari.
Sekularisme di Malaysia
Menurut kajian Haslinda Hasan (UM, 2000), di Malaysia, sekularisme telah dibawa masuk menerusi beberapa tahap sejarah tertentu. Antaranya ialah melalui penjajahan, kemerdekaan dan pemodenan. Tiga tahap sejarah ini adalah alat atau mekanisme utama sekularisme di Malaysia.
Hal yang berkaitan dengan agama merupakan isu yang besar dan sensitif di Malaysia kerana lebih dari 55 peratus rakyat di negara ini merupakan penganut agama Islam. Maka disebabkan itu, Islam dijadikan agama rasmi persekutuan atas kehendak majoriti orang Melayu yang disuarakan melalui UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam usaha memerdekakan Malaya pada tahun 1957. Gagasan pembangkang masa itu yang dipimpin oleh Partai Rakyat Malaya (yang lebih berpengaruh daripada Parti Islam Se-Tanah Melayu PAS) juga tidak membantah. Namun, faktanya adalah Malaya tidak langsung di iktiraf sebagai sebuah kerajaan Islam. Atas faktor inilah yang menggerakkan sebahagian golongan konservatif Melayu yang mahu Malaya di jadikan sebagai sebuah kerajaan Islam.
Pengaruh Timur Tengah
Era kebangkitan Islam yang berlaku di negara kita pada lewat 70-an berkait rapat dengan lahirnya golongan-golongan ilmuan dari Mesir, Pakistan, Syria, Tunisia dan beberapa negara dari Timur Tengah. Pada ketika itu, pengaruh penentangan masyarakat Arab dan Parsi terhadap kerajaan mereka semasa perang dingin sangat kuat dikalangan pelajar Melayu di sana. Mereka merasakan proses modenisasi telah mengabaikan nilai-nilai Islam. Apabila mereka pulang ke tanah air, maka bermulalah era kebangkitan Islam di negara ini.
Gerakan kebangkitan Islam di negara ini juga dipacu oleh fahaman Gerakan Islah yang berlaku di Timur Tengah yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup. Istilah pembaharuan agama atau Islah al-Din merujuk kepada pembaharuan cara berfikir dan cara hidup umat Islam.
Revolusi Iran 1972 juga menjadi faktor kebangkitan Islam secara global dan sedikit sebanyak mempengaruhi cara pemikiran gerakan Islam di Malaysia seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi, dan Syeikh Abu Bakar Al-Asy’ari.
Proses Islamisasi Malaysia
Semasa proses Islamisasi pada awal 1980-an, PAS mengambil tindakan drastik dengan mengusir pemimpinnya, Datuk Asri Muda kerana dianggap sebagai pemimpin yang lemah dan tidak radikal. PAS ketika itu dilihat berubah dari parti politik yang berteraskan agama kepada parti nasionalis Melayu, lalu mengakibatkan PAS kehilangan sokongan orang ramai. Pada 1982, Dewan Ulamak PAS melantik Yusuf Rawa bagi menerajui kepimpinan PAS, sekali gus menyaksikan PAS kembali menjadi parti berteraskan agama yang lebih radikal.
Manakala UMNO juga mempunyai dasar Islamisasi tersendiri. Antaranya seperti konsep Islam Hadhari (Islamic Civilazation) yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Badawi, prinsip wasatiyyah sebagai penghubung antara etnik berbilang kaum di Malaysia, Indeks Syariah Malaysia sebagai tanda ukur komitmen negara dalam mengurus tadbir berlandaskan prinsip Maqasid Syariah, dan terkini adalah hubungan kerjasama UMNO-PAS dibawah konsep penyatuan ummah.
Biarpun usaha penyatuan ummah antara UMNO dan PAS masih dalam fasa terlalu muda, namun tidak dinafikan bahawa kerjasama ini merupakan satu sejarah baru dalam dunia politik Malaysia khususnya buat orang Melayu. Mahupun begitu, penyatuan ummah ini juga tidak akan mengabaikan kuasa politik bukan Melayu seperti MCA dan MIC dari komponen Barisan Nasional dan juga Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang terdiri dari ahli bukan Melayu.
Jalan Terbaik
Sistem demokrasi Malaysia tidak perlu diselarikan dengan sekularisme dengan apa jua alasan sekali pun. Prinsip sekularisme ini bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah penindasan dan perpecahan rakyat yang sering diperkatakan, malah ideologinya tidak akan pernah sesuai untuk kebanyakkan orang Melayu dan Islam di negara ini.
Kita tidak mahu nasib anak bangsa dicaturkan oleh sesetengah pihak demi kepentingan peribadi. Apa yang kita perlukan adalah dasar penyatuan pada skala yang lebih besar yang bukan sahaja melibatkan orang Melayu, malah seluruh etnik dan bangsa yang lain dengan berpandukan pada Perlembagaan Persekutuan demi kestabilan sosio-politik Malaysia.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.