Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT di atas nikmatnya yang melimpah ruah buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
Penantian kita kepada Saiyidus Syuhur hanya berbaki 3 hari lagi. Sebagai umat Islam, kita seharusnya berasa gembira dengan kedatangan satu bulan yang penuh dengan barakah sebagai tanda kasih dan cinta dari Allah SWT kepada hamba-hambanya.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadhan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.”
Sabda Nabi Muhammad SAW di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Ramadhan ini adalah bulan yang mulia dan istimewa bagi seluruh umat Islam. Sedangkan ada diantara kita yang merasa terbeban dengan tuntutan ibadah puasa yang bakal menjelma. Apakah kita mahu tergolong dikalangan orang yang zalim dan kufur pada nikmat Allah SWT?
Sebagai seorang hamba yang tiada daya, kita sering kali lalai dan tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Di dalam kita berusaha untuk menjadi seorang hamba Allah yang taat dan patuh pada suruhannya, ada kalanya jasad dan rohani ini tetap terikat dengan dosa. Maka perlulah kita sedar bahawa bulan Ramadhan ini merupakan satu nikmat dan peluang yang dikurniakan Allah untuk kita memohon ampun kepadanya disamping mengubah diri untuk menjadi seorang mukmin yang soleh.
Daripada Abu Hurairah RA lagi bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Apabila sampai bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis.” HR Bukhari & Muslim.
Sama-sama kita perbanyakkan amal di sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga kita semua dilindungi dan diredhai Allah sentiasa.
Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.