Antara pemikiran Howard Zinn yang sangat mengesani pemikiran saya sehingga ke hari ini adalah dekonstruk terhadap konsep kepentingan negara (national interest). Dalam melihat dan menilai sesuatu keputusan, soalan yang pertama yang perlu ditanya adalah ianya baik untuk siapa?
Dalam dekonstruksi pemikiran ini, Zinn menerangkan bahawa konsep kepentingan negara adalah satu konsep yang digunakan oleh golongan elit pemerintah untuk mendapat sokongan dari rakyat majoriti. Walaupun pada hakikatnya setiap lapis dan golongan masyarakat mempunyai kepentingan tersendiri. Bagi golongan miskin apa yang penting adalah menaiktaraf keadaan hidup. Bagi golongan peniaga apa yang penting adalah keuntungan berterusan dan kelangsungan perniagaan. Bagi ahli politik kepentingan mereka adalah kuasa pemerintahan. Bagi golongan pengemis kepentingan mereka adalah makanan esok hari.
Jadi setiap lapis dan golongan masyarakat mempunyai kepentingan yang berbeza, apa yang mereka anggap sebagai prioriti dan keperluan mendesak. Menggunakan terma ‘kepentingan negara’ bermakna mencampurkan semua lapis ini dalam satu bekas, seolah-olah mereka semua mempunyai kepentingan yang sama. Ia adalah salah, Zinn menulis “we are not one happy family”.
Kenapa dekonstruksi pemikiran ini penting? Kerana ia akan membantu kita menilai setiap polisi yang diketengahkan. Bila ahli politik memberitahu kita bahawa sesuatu itu baik untuk negara, kita perlu bertanya “baik untuk siapa?”
Dalam landskap politik negara hari ini, kita melihat status quo telah berubah. Kita mempunyai golongan elit baru (walaupun bukan semuanya baru) menggantikan golongan elit lama. Namun masih ada sebahagian besar masih belum boleh keluar dari realiti lama, mereka masih sibuk memuji dan memuja kerajaan, walaupun kerajaan lama telah ditumbangkan.
Sekiranya mereka faham, misi untuk menjatuhkan kerajaan lama telah tercapai. Apa yang kita perlukan sekarang bukan lagi kata-kata ampu untuk menyedapkan hati elit pemerintah, tetapi proses semakan. Rakyat perlu sentiasa menyemak kerajaan, setiap keputusan salah perlu diberi kritikan keras, bukan lagi dibelai dengan ampuan yang akhirnya akan menjadikan kerajaan baru ini berperangai seperti kerajaan lama dalam sekelip mata. Apa guna mengampu parti politik andai kepentingan rakyat tergadai.
Kerajaan tidak mempunyai kepentingan yang sama dengan rakyat, mungkin kenyataan ini kedengaran ekstrem dan sukar dihadam, namun ia adalah realiti yang konsisten sepanjang sejarah peradaban manusia.
“The game is not a fair one. It is rigged. What you call profit, I call exploitation” – The Young Karl Marx, 2017.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.
Leave a Reply