Buku ini merupakan kumpulan tulisan Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang membicarakan berkenaan dengan politik orang melayu dan Islam. Kebetulan saya menghabiskan pembacaan ini selepas PRU14 di mana buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, UMNO hilang kuasa pemerintahan negara. Buku ini saya kira baik bagi ahli UMNO jika mereka ingin bermuhasabah dan bangkit kembali. Saya kira ia merupakan penulisan yang baik, namun dalam banyak bab penulis sering kali mengulangi tragedi 13 Mei sebagai hujah sehingga ia seolah-olah kedengaran seperti sebuah propaganda.
Antara kritikan awal beliau adalah amalan politik wang dan rasuah yang membarah di dalam UMNO. Amalan ini menyebabkan pemimpin-pemimpin yang rosak dan penyangak dilantik mengemudi parti yang akhirnya menyimpang dari agenda perjuangan. Tidak lagi membela bangsa tetapi mengayakan diri dan kroni. Pemimpin lebih mengutamakan projek sehingga timbul kata-kata terkenal “satu undi untuk UMNO adalah satu undi untuk kontraktor”.
Beliau juga memetik kata-kata Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA) berkenaan dengan kepentingan tajdid (pembaharuan). Dari sudut agama ia bukan bererti membawa agama baru, tetapi pemahaman baru berkenaan dengan agama agar ia segar dan bersesuaian dengan keadaan semasa. Dari perspektif parti, ia bermakna untuk kekal relevan UMNO perlu menarik lebih ramai golongan muda, agar ia terus segar bagi generasi mendatang. Kehilangan generasi muda ini adalah disebabkan perjuangan yang sudah lari dari maksud asal. Sibuk dengan urusan kebendaan sehingga bakti kepada rakyat diperkesampingkan. Malah anak-anak pemimpin UMNO sendiri menjauhkan diri mereka dari parti.
Beliau mengungkapkan bahawa “kehancuran UMNO adalah kehancuran melayu”. Saya kira kenyataan ini boleh dilihat dari dua sudut. Dari satu sudut, ya, kerana tidak ada parti lain yang memperjuangkan bangsa melayu secara eksklusif (mungkin kini sudah ada dengan penubuhan Parti Peribumi Bersatu). Dari sudut yang lain, melayu akan terus wujud namun ia tidak lagi dominan dan eksklusif. Hari ini kita melihat kerajaan baru cuba membawa agenda ‘Malaysian Malaysia’ dengan menggunakan slogan ‘Malaysia Baharu”. Sejauh mana konsep ini boleh mengekalkan keharmonian kaum di Malaysia, akan boleh dilihat dalam tahun-tahun yang akan datang.
Beliau juga memuji semangat sukarela yang ada di dalam aktivis PAS, sesuatu yang hilang di dalam UMNO. PAS dilihat aktif mengadakan ceramah menerangkan isu pada rakyat, sementara pemuda UMNO hanya mampu menghimpunkan penunggang motosikal. Tokoh-tokoh wanita juga tidak menonjol kerana hanya melakukan program bersama kakitangan tadika KEMAS sahaja. Akhirnya UMNO hilang peranan di dalam masyarakat dan tiada kekuatan akar umbi.
Dr. Asyraf Wajdi juga menyangkal hujah yang mengatakan perjuangan bangsa adalah rasis. Hal ini kerana setiap manusia di lahirkan di dalam sesuatu bangsa dan secara fitrah dia akan cenderung dan sayang terhadap bangsanya. Apa yang menjadi kesalahan adalah sekiranya perjuangan itu menafikan hak bangsa lain dengan zalim. Hakikatnya UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu yang miskin satu ketika dahulu, dengan pegangan ekonomi yang tidak seimbang sehingga menimbulkan konflik kaum. Oleh itu perjuangan bangsa tidak boleh dilihat sebagai rasis selagi ia berlandaskan perlembagaan dan menjamin hak kaum minoriti.
Beliau juga menafikan persepsi yang dibawa oleh PAS bahawa UMNO menolak Islam. Beliau membandingkan kepesatan penyebaran syiar Islam di Malaysia berbanding negara lain seperti Tunisia, di mana negara mereka digenggam sekularisme walaupun 90% rakyatnya adalah Muslim. Beliau memetik kata-kata Sheikh Rachid Ghannouchi yang datang melawat Malaysia pada era pemerintahan Mahathir kali pertama (sekarang kali ke dua). Ghannouchi berkata “ternyata ruang dan peluang dakwah begitu luas sekali bahkan dibantu oleh kerajaan secara terbuka”.
Menyentuh hal ekonomi, beliau mempertahankan penyusunan semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pegangan ekuiti korporat bumiputra pada tahun 1970 hanya sekadar 2%, DEB mensasarkan peningkatan jumlah ekuiti kepada 30% menjelang 1990. Namun pegangan ekuiti bumiputra hanya mencapai sekitar 20.4% pada tahun 1990. Walaupun target asal tidak dicapai, namun paras kemiskinan dapat diturunkan dengan ketara, dari 49.3% pada tahun 1970 kepada hanya 5.1% pada tahun 2002.
Malaysia juga adalah antara pelopor sistem keewangan Islam yang berjaya. Ia diiktiraf oleh negara-negara Arab, Iran, Sudan malah UK. Iran walaupun antara negara awal yang memperkenalkan perbankan Islam tidak dapat menyaingi Malaysia kerana pendekatan yang diambil terlalu drastik, terburu-buru melalui revolusi. Manakala Malaysia mengambil jalan yang lebih perlahan namun berterusan, melalui proses evolusi, agar sistem baru dapat diterima masyarakat dalam masa yang sama, tenaga pakar dan infrastuktur dibangunkan secara bertahap.
Menyentul hal bahasa, beliau berdiri teguh mempertahankan penggunaan bahasa Melayu didalam pendidikan. Beliau membawa hujah sejarah dimana selepas tragedi 13 Mei, Majlis Perundingan Negara dibentuk. Antara resolusi yang dibentangkan adalah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diasaskan dari Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Keperluan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah penting bagi membentuk identiti kenegaraan. Ia merupakan salah satu asas yang mengikat pelbagai bangsa bagi mewujudkan kefahaman, toleransi dan keharmonian.
Antara perkara lain yang disentuh adalah perbezaan pemikiran. Ia merupakan perkara semulajadi yang harus diiktiraf dan tidak diperbalahkan. Malah Islam tidak menghalang perbezaan pandangan dan mengiktiraf fungsi akal. Keghairahan me niru model negara lain seperti Turki juga di bincangkan. Hakikatnya ahli akademik dari Turki sendiri mengakui suasana politik sekular di Turki mengekang Islam, dan Malaysia mempunyai tapak yang lebih subur dan harus bergerak dengan model kita sendiri. Beliau juga menolak perubahan sistem secara total. Beliau berhujah bahawa setiap perkara yang baik biarpun dari tamadun lain boleh kita guna dan sesuaikan dengan situasi kita di Malaysia. Mengambil contoh sejarah, cendiakawan Islam sendiri menterjemah karya Yunani dan Parsi bagi dikaji dan digunakan. Seharusnya kita membuat perubahan secara bertahap, memperbaiki sistem sedia ada sesuai dengan perkembangan masyarakat.
Akhir sekali, beliau membicarakan berkenaan dengan muzakarah (perbincangan) antara UMNO-PAS. Beliau menekankan bahawa matlamatnya bukanlah untuk membubarkan parti dan bernaung di bawah satu parti sahaja, tetapi mencari ruang dan peluang bekerjasama dalam perkara yang disepakati untuk kebaikan bersama.
Artikel ini adalah ulasan buku ‘Politik Islam dan Melayu’ tulisan Asyraf Wajdi Dusuki yang diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada tahun 2014.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.
Online Clothes Shopping says
Well I truly liked reading it. This article offered by you is very effective for proper planning.