The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Membaca Sekeping Zine

July 22, 2025 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Hidup beberapa hari yang lalu terasa begitu sibuk. Kesibukan menyedut seluruh masa dan tenagaku, kiri dan kanan, atas dan bawah. Akhirnya yang tinggal hanyalah tulang lesu yang kepenatan dengan degupan jantung yang semakin melemah. Tapi dalam layup mata kuyu itu aku tetap tarikan jari jemari di atas papan kekunci. Terasa ingin berkongsi beberapa dapatan bacaan dari sekeping zine.

Zine Dari Johor edisi terbaharu telah memilih “egoisme” sebagai tema mereka. Saya merasakan ini merupakan tema yang diambil dari penulisan Max Stirner yang menulis tentang pemikirannya bahawa manusia itulah yang menciptakan sifat dan makna tentang dirinya sendiri.[1] Stirner menolak sesuatu yang dikatakan suci dan bersifat tetap.[2] Ada beberapa idea Stirner yang saya rasa bermasalah, misalnya idea bahawa kita bebas bertindak berdasarkan kehendak peribadi atas pilihan sendiri.[3] Dari satu sudut ia kelihatan seperti idea kebebasan mutlak, namun masalahnya siapa yang akan menghalang kebebasan itu dari menindas orang lain? Bagaimana jika seseorang itu memilih untuk menindas? Akhirnya tetap akan lahir peraturan dan perundangan yang akan mengawal manusia. Begitulah sebenarnya lapangan idea, pasti ada kontradiksi.

Namun ada juga idea Stirner yang dibincangkan dalam ZDJ kali ini yang saya boleh bersetuju. Misalnya apabila disebutkan perihal kebebasan mengundi yang sebenarnya merupakan ilusi, hakikatnya ia merupakan sebuah sangkar yang memakai baju kebebasan.[4] Bagi saya idea ini mirip dengan fahaman saya perihal demokrasi yang telah saya bukukan.[5] Demokrasi itu adalah kebebasan untuk kita berpolitik dalam sangkar yang sudah dibina untuk kita, satu ilusi dan penipuan untuk kelangsungan hegemoni elit tertentu. Jika kita keluar dari sangkar itu, kita tidak akan dibiarkan bebas, kita akan digelar sebagai subversif, radikal, pengganas, dan ekstremis.

Saya juga bersetuju dengan idea yang dibawa bahawa dalam penulisan kita tidak perlu mengikut selera pembaca, kerana ini akan menjadikan kita hamba.[6] Bagi saya penulisan yang bebas itu lebih membahagiakan, apa pun kritikan pembaca. Jika kita hanya menulis apa yang pembaca mahu baca, sebenarnya kita bukanlah bebas berfikir, kita masih dirantai.

Perkara lain yang saya minat dalam ZDJ adalah perkongsian laporan-laporan dan aktiviti mandiri yang dilakukan.[7] Saya rasa ia merupakan catatan yang sangat bermakna, banyak yang kita boleh belajar berkenaan dengan cara menganjurkan acara dengan bebas. Laporan-laporan ini kadangkala ditulis dengan santai dan kelakar, menjadikan ia lebih menarik dan tidak kaku. Antaranya laporan kelakar yang ditulis oleh Pakteh, bagi saya sangat menyeronokkan.[8] Ada juga penulisan yang saya rasakan bersifat ironis, misalnya laporan berkenaan dengan kehebatan pembesar Melayu oleh golongan yang sering memburukkan pembesar Melayu sebagai kolot dan bersifat feudal.[9] Saya tertanya, adakah golongan ini berubah-ubah pendiriannya? Apabila acara itu dianjur oleh negeri, tiba-tiba pembesar Melayiu itu terus menjadi baik dan hebat. Ironis.

ZDJ ini turut memuatkan beberapa cerpen. Ada cerpen yang saya faham, ada juga yang saya tidak faham. Ada juga yang tulisannya tergantung, mungkin sebagai pancing untuk pembaca membeli edisi seterusnya. Ada juga ulasan filem pendek yang saya rasakan menarik.[10] Filem-filem pendek ini mungkin saya tidak akan tahu ia wujud kalau saya tidak membaca zine ini. Ulasan filem yang menarik ini telah membuatkan saya layan juga beberapa filem yang diulas.

Banyak lagi tulisan-tulisan yang menarik dalam zine ini. Kalau nak baca kenalah beli sendiri. Saya rasa kekuatan zine ini adalah ia mengumpulkan penulisan-penulisan luar kotak yang tidak diterbitkan di publikasi lain. Tidak rigid berformat skema yang akhirnya menjadikan bacaan membosankan. Sebaliknya ia bersifat terbuka dan meraikan semua tulisan dan pandangan. Harap editor ZDJ iaitu Redo terus konsisten dan akan mengeluarkan lagi edisi seterusnya.

Bibliografi

Redo (Editor), and Safeena (Editor). 2025. Zine Dari Johor “Egoisme” Bil. 02. Kulai: Studio Kolektif Naratif.

Syed Ahmad Fathi. 2025. Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi. Seremban: Rabak-Lit.


[1] Redo (Editor) dan Safeena (Editor) Zine Dari Johor (ZDJ) Bil. 02 (Kulai: Studio Kolektif Naratif, 2025)., hlm. 2

[2] ZDJ., hlm. 7.

[3] ZDJ., hlm. 9

[4] ZDJ., hlm. 10.

[5] Lihat Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi.

[6] ZDJ., hlm. 8.

[7] ZDJ., hlm. 32.

[8] ZDJ., hlm. 34.

[9] ZDJ., hlm. 30-31.

[10] ZDJ., hlm. 83

Membaca-Sekeping-ZineDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: Aktivisme, Anarkisme, Egoisme, Kolektivisme, ZDJ, Zine Dari Johor

Alip Moose: “Beginilah Bila Bercakap Tak Tahu Apa-Apa”

March 22, 2025 By Editor The Independent Insight

Seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama Alip Moose telah berkongsikan di media sosial perihal rasa tidak puas hatinya berkenaan dengan sebuah artikel yang ditulis oleh Syed Ahmad Fathi bertajuk “Peranan Satira Dalam Memahami Politik di Malaysia” yang tersiar dalam Zine Dari Johor. Artikel ini merupakan ulasan kepada buku yang ditulis oleh wartawan veteran Malaysia, saudara Wan Hamidi yang bertajuk Harapan Sang Pesimis. Alip Moose menulis:

Beginilah bila bercakap tak tahu apa-apa, tapi nak kata diri sudah serba tahu. Entah macam mana sebenarnya mereka berdua ini memahami DIAMAT & Kapital sebaiknya. Tapi tak hairan kalau seorang itu masuk parti DAP, seorang lagi lalang. ????
Membaca Zine Dari Johor, #01, 2025. Redo

Alip Moose, 20 Mac 2025.

Tulisan ini menunjukkan bahawa Alip Moose lebih mahir dalam memahami idea-idea Karl Marx seperti dialectic materialism (yang disingkatkan sebagai ‘diamat’) dan juga idea Marx dalam bukunya Kapital. Bagi beliau, tindakan Wan Hamidi bersama dengan Parti DAP dan Syed Ahmad Fathi yang bersifat ‘lalang’ menunjukkan mereka tidak memahami idea yang dibincangkan. Gelaran ‘lalang’ ini merupakan reference kepada buku yang ditulis oleh Syed Ahmad Fathi bertajuk Lalang di Lautan Ideologi. Bagi menguatkan hujahnya, Alip Moose telah menambah sebuah emoji bersama love bagi menunjukkan komen yang dibuat dilakukan dengan tenang dan cool.

Alip Moose juga berkongsikan sebuah paparan gambar cebisan tulisan Syed Ahmad Fathi dalam perkongsiannya. Walau pun tidak disebutkan secara jelas bahagian mana yang tidak dipersetujuinya, ini dapat ditelah dari cebisan penulisan yang dikongsikan. Dalam cebisan tersebut, Syed Ahmad Fathi bersetuju dengan kritikan Wan Hamidi yang menyatakan gerakan kiri hari ini sudah menjadi caca merba kerana percampuran ideologi wokism, politik alam sekitar, politik identiti, politik bilik tidur, dan intersectionality. Percampuran ini menyebabkan ia telah lari dari idea politik kiri asal yang memperjuangkan hak pekerja dan petani.

Perenggan ZDJ yang dikongsikan oleh Alip Moose pada 20 Mac 2025.

Sebelum ini, Alip Moose pernah bertukar-tukar kritikan dengan Syed Ahmad Fathi dalam soal cancel culture. Walau pun pada peringkat awal beliau cuba mempertahankan cancel culture, namun akhirnya Alip Moose mengakui bahawa “cancel culture adalah toksik”. Debat perihal cancel culture ini direkodkan dalam Zine Dari Johor Bil. 07 pada tahun 2022.

Komen Alip Moose yang mengkritik Syed Ahmad Fathi dan Wan Hamidi ini walau bagaimanapun tidak dipersetujui oleh pengguna media sosial lain. Sebuah komen telah ditulis di sebuah hantaran oleh Syed Ahmad Fathi di Facebook oleh seorang pengguna media sosial dari Austria, Jefry Musa, beliau menulis:

Hg lalang ka, sampah ka, hg ada buku. Tulis buku bukan senang. Cuba tanya mamat ni pulak sepanjang dia hidup dia buat apa? Kalau hg dia kata lalang, mamat ni tak lebih dari debu, ada menyemak, takdak nyaman.

Jefry Musa, 22 Mac 2025.

– Artikel tamat/ The Independent Insight.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita Tagged With: Alip Moose, Jefry Musa, syed ahmad fathi, Wan Hamidi, ZDJ, Zine Dari Johor

Recent Posts

  • Mahasiswa UIN Malang Gelar Pelatihan Pidato Bahasa Arab dan Melayu di Thailand
  • Anak-Anak Kebuluran di Gaza: Neo-Orientalis & Kepalsuan Institusi Islam Moden
  • Neo-Orientalism
  • Membaca Sekeping Zine
  • Pasca Membaca Buku Pascabaca

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight