Saya membaca tulisan ramai rakan-rakan aktivis perihal apa yang berlaku dalam negara hari ini. Namun, cuma sekadar menjadi pembaca pasif. Tidak banyak yang saya tambah mungkin kerana kesibukan-kesibukan peribadi. Namun di kesempatan kali ini ingin saya coretkan sedikit pandangan perihal apa yang berlaku dalam negara kita hari ini.
Ramai rakan-rakan yang menulis perihal bagaimana negara Madani yang mereka bersama dukung selama ini tidak menjadi refleksi kepada teori dan idea reformasi yang sebelum ini mereka junjung dan jaja ke seluruh negara. Terutamanya dalam hal akta yang menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi, juga dalam soal memberikan keadilan kepada semua tanpa mengira kasta sosial dan politik. Pembebasan aktor yang selama ini dimusuhi dan disebut sebagai penyamun, insiden rampasan buku, dan mungkin yang terbaharu adalah pemenjaraan rakan aktivis mereka sendiri.
Siapa yang mengenali saya pasti tahu bahawa saya sejak dahulu tidaklah terlalu tergiur dengan idea reformasi yang dibawa, atas sebab-sebab yang tidak mahu saya bahaskan di sini. Jadi saya tidak mempunyai sebarang delusi bahawa apa yang terjadi sekarang boleh terjadi. Tujuan penulisan ini bukan untuk memberi justifikasi kepada regim yang ada, kerana saya tidak punya apa-apa kepentingan di dalamnya. Tetapi cuma mahu melihat sudut rasionalnya. Sama ada saya berjaya atau tidak, terpulanglah kepada budi bicara pembaca yang budiman.
Untuk melakukan perubahan atau revolusi, kita memerlukan kuasa. Untuk mendapat kuasa kita perlu mengesan potensinya. Potensi ini mungkin wujud dalam bentuk kemarahan rakyat, atau apa yang ditulis oleh Slavoj Žižek sebagai “rage capital”. Jika rakyat tidak marah, maka kemarahan ini perlu dibentuk, dipupuk, dan dipropagandakan. Seperti kata Milton Friedman, krisis akan melahirkan perubahan, tetapi krisis tidak semestinya bersifat semulajadi, krisis juga boleh dicipta.
Bagi saya pakatan sebelum ini berjaya menggunakan kemarahan ini untuk mengambil alih kuasa. Namun mengambil alih kuasa tidak cukup. Kerana selepas surutnya euphoria dan delusi perubahan, pemegang takhta perlu mempertahankan kuasanya. Žižek menulis bagaimana pasca perubahan, apparatus represif perlu digunakan bagi menutup semua peluang pihak lawan bagi mengambil alih kuasa. Agar apabila masyarakat sudah mula sedar, dan debu revolusi sudah tidak lagi mengaburi udara, tiada apa yang dapat mereka lakukan kerana kaki penguasa baharu sudah kukuh tertanam.
Jadi saya kira inilah yang sedang dilakukan oleh regim hari ini. Mungkin mereka akan kedengaran hipokrit kerana menggunakan akta-akta “draconian” yang selama ini mereka kecam. Tetapi itulah adat resam sebuah hirarki, setiap hirarki memerlukan tirani untuk mengekalkan dominasi. Untuk menjadi stabil, undang-undang mestilah berpihak kepada mereka dan kekerasan perlulah dimonopoli. Jika tidak, kuasa dan takhta akan menjadi longgar dan mudah dirampas semula.
Hakikatnya para idealis yang sebelum ini berwacana perihal syurga reformasi, mereka sebenarnya baru tersedar dari delusi yang panjang. Atau mungkin lebih tepat, mereka buat-buat tersedar dan terkejut. Kerana apabila elaun dan gaji sudah masuk, cerita reformasi ini adalah sejarah lama untuk kita tonton di layar pawagam sahaja.
“Tak usahlah diungkit-ungkit” kata mereka.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.