
Buku-buku berkenaan dengan ulasan buku sememangnya menarik bagi saya. Pertama, kerana ia dapat membantu kita memahami dengan ringkas kandungan buku-buku yang ada di pasaran, jadi kita boleh membuat pilihan yang lebih baik apabila hendak membeli buku. Kedua, kita dapat mendapat maklumat perihal buku-buku yang mungkin bukan dalam lingkaran kita. Ada orang minatnya pada buku sejarah, jadi lingkarannya akan mengorbit pada buku sejarah, dia mungkin tidak sedar akan kewujudan buku-buku yang baik dalam genre lain. Dengan membaca buku perihal ulasan buku, kita sedikit sebanyak dapat membesarkan orbit pengetahuan kita perihal katalog buku yang wujud di pasaran.
Bagi saya, buku tulisan Asha Rashid ini merupakan karya persuratan bibliofil, iaitu buku yang membincangkan buku-buku yang dibaca. Saya pernah menulis sebuah artikel perihal karya persuratan bibliofil di dalam Jurnal Jawhar.[1] Asha dalam buku Pascabaca ini banyak melihat buku-buku yang dibacanya dari lensa seorang ibu dan juga ahli perniagaan. Pembacaan bagi beliau adalah cara untuk membaiki diri menjadi ibu yang lebih baik dan peniaga yang lebih berkesan. Apabila kita membaca sebuah buku, kita tidak akan menyerap keseluruhan isinya, sebaliknya kita akan menyerap apa yang kita rasakan menarik dan sesuai dengan perspektif kita. Saya kira fenomena ini sesuai dengan fitrah otak kita, yang akan menyimpan informasi yang dirasakan penting, dan menyisihkan apa yang dirasakan tidak penting. Asha menulis:
“Jika kita membaca dari sudut pandang seorang ibu atau ayah, ia akan menjadi buku keibubapaan. Jika kita membaca dari sudut pandang seorang peniaga, ia akan menjadi buku bisnes. Jika kita membaca dari sudut pandang seorang guru atau motivator, ia akan menjadi buku psikologi”.[2]
Saya teringat akan sebuah syarahan. Dalam syarahan tersebut, pengerusi majlis telah memperkenalkan Edward Said yang akan bersyarah, beliau memperkenalkan Edward Said sebagai sebuah universiti bukan sebagai seorang individu.[3] Ini menggambarkan bahawa beliau mempunyai banyak sisi, dan kita boleh belajar dari beliau banyak perkara mengikut perspektif apa yang kita mahu belajar. Sebuah buku juga boleh kita katakan sebagai sebuah universiti, kita boleh belajar darinya mengikut perspektif yang kita pilih. Dari bacaan saya, saya merasakan perspektif yang dipilih Asha adalah sebagai seorang ibu dan peniaga.
Antara isi yang menarik yang diulas oleh Asha adalah keperluan kita untuk bertindak.[4] Ulasan ini berdasarkan buku yang ditulis oleh Spencer Johnson. Ketika membaca bab ini, saya baru selesai menjadi panel dalam sebuah program industri di sebuah sekolah, antara perkara yang dikongsikan oleh panel industri lain dalam program tersebut adalah keperluan bertindak. Berfikir dan berangan sahaja tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sebaliknya dengan bertindak kita akan mencapai sesuatu. Saya sendiri merasakan dalam hidup, banyak benda yang saya tidak sangka terjadi, namun terjadi setelah tindakan dilakukan. Bagi saya ulasan ini sangat baik dari sudut praktikalnya di dalam hidup.
Kepentingan tindakan tidaklah menafikan kepentingan berfikir. Asha juga ada membincangkan teori berfikir secara perlahan seperti yang ditulis oleh Daniel Kahneman.[5] Berfikir secara perlahan memerlukan tenaga dan masa yang lebih lama, namun ia menatijahkan tindakan yang lebih teliti dan berjangka panjang.
Sebagai seorang penulis jalanan yang tidak popular, saya sangat tertarik apabila Asha turut membincangkan apa yang menyebabkan sebuah buku menjadi sebuah buku yang bagus. Dalam aspek ini beliau membincangkan idea Bahruddin Bekri.[6] Bagi Bahruddin, buku yang baik perlu mengadunkan tiga perkara iaitu ilmu, imaginasi, dan pengalaman. Bagi beliau, rumus ini terpakai untuk karya fiksyen dan bukan fiksyen. Saya sangat bersetuju dengan hal ini. Dalam penulisan sejarah misalnya, saya mendapati bahawa tulisan yang menarik mempunyai kesemua elemen ini walaupun sejarah sifatnya objektif dan bersumberkan fakta. Sejarah yang menarik mesti mempunyai sebuah naratif penceritaan, ini memerlukan imaginasi. Sejarah yang menarik juga memerlukan ulasan yang mendalam serta dapat mengaitkan sesuatu peristiwa dengan konteks masa dan zaman yang lebih luas, ini memerlukan pengalaman. Akhir sekali, sejarah yang baik pastilah memerlukan ilmu, terutamanya dalam menyaring dan menganalisis sumber-sumber yang ada.
Kritik kecil saya pada buku ini adalah setiap buku yang diulas itu kebanyakannya diulas dari sudut yang positif sahaja. Saya berfikiran bahawa setiap buku itu pastilah ada kekuatan dan kelemahan. Asha dilihat sangat berhati-hati dalam memberi kritikan. Bukan tiada langsung, ada kritikan dalam buku yang dibaca, misalnya pada terjemahan buku Muro Saisei yang dianggap tidak mengambarkan budaya Jepun dalam dialog-dialognya.[7] Tetapi saya merasakan kritikan-kritikan di dalam buku ini tidak begitu mendalam. Saya secara peribadi, meminati ulasan yang ada unsur kritikan. Tapi mungkin itu preference saya, Asha mungkin memilih damai. Tidak semua orang berminat menjadi kritikus.
Secara keseluruhan, buku Pascabaca ini bagi saya sangat menarik untuk meregangkan otot-otot minda. Tidak terlalu berat, dan boleh dibaca dengan santai sahaja. Ia juga memberi banyak ruang dalam halamannya untuk pembaca mencatatkan nota sepanjang pembacaan. Satu feature yang saya kira unik dan sangat baik. Buku-buku ringan seperti ini juga bagi saya sangat berguna terutamanya bagi meredakan sedikit tekanan membaca jika kita sedang membaca bahan-bahan berat. Ia memberi kita ruang meneruskan pembacaan dalam masa yang sama berehat seketika.
Bibliografi
Asha Rashid. 2025. Pascabaca. Kajang: Legasi Oakheart.
Syed Ahmad Fathi. 2024. “Meneliti Karya-Karya Persuratan Bibliofil di Malaysia.” Jawhar: Jurnal Kajian Ketamadunan 20 83-97.
[1] Lihat Syed Ahmad Fathi. “Meneliti Karya-Karya Persuratan Bibliofil di Malaysia”. JAWHAR: Jurnal Kajian Ketamadunan 20: 83-97, 2024.
[2] Asha Rashid. Pascabaca. Kajang: Legasi Oakheart, 2025., hlm. 71.
[3] Ungkapan “Edward Said is the university” dari syarahan di Universiti Columbia pada 16 April 2003. Lihat pautan: https://www.youtube.com/watch?v=JncXpQQoZAo&list=PLK0dT6P03f1UaH7c6cZWEfq3k1CjHCFTd&index=9
[4] Asha Rashid. Pascabaca. Kajang: Legasi Oakheart, 2025., hlm. 11.
[5] Ibid., hlm. 23-26.
[6] Ibid., hlm. 55-57.
[7] Ibid., hlm. 77.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.