Kehadapan YB yang dikasihi,
Semoga YB dalam keadaan waras dan sihat hendaknya. Pertama sekali saya nak meluahkan rasa simpati kepada YB kerana lately ni YB sering menjadi bualan orang ramai. Sejujurnya saya nampak benar keikhlasan YB dalam membentuk masyarakat Malaysia Baharu ni. Kadang-kadang bila YB cemas dan mati akal bila dihujani soalan-soalan cepumas dari wartawan-wartawan yang entah dari mana tu, saya pun jadi sedih. Alah, jangan pedulikan lah mereka-mereka tu YB. Mereka tu bukan tahu pun maksud seni sebenar. Bagi saya warna stokin hitam tu memang idea yang bernas. Bak kata Rain dalam iklan shampoo dulu: “Hitam itu kemas, Hitam itu menawan”.
Tapi hal stokin ni bukanlah maksud sebenar saya mengirimkan surat ini. Begini kisahnya YB:
Tengahari tadi dalam pukul 1 lebih, usai menghantar surat di Tasek Gelugor saya pun singgah la di kedai nasi campur bersebelahan sekolah tahfiz. Cuaca pun asyik mendung dari pagi tadi, saya fikir elok benar la saya isi perut sebelum ke Kubang Menerong. Elok je saya duduk, ada seorang ustaz tiba-tiba mengamuk sambil hentak meja. Sikit lagi nak tertumpah milo ais saya. Ini semua berpunca dari Timbalan Menteri YB yang mengatakan bahawa program MyBrain15 tidak akan disambung. Terkejut saya YB, tapi saya maintain cool and handle the surprise. Tak mungkin jabatan dibawah kelolaan YB akan membuat keputusan membabi buta macam ni. Saya bertanya la pada ustaz yang mengamuk tu untuk kepastian. Alangkah pilu hati saya melihat berita yang disiarkan di Utusan Online tu YB.
YB kata program MyBrain15 tu takkan disambung dengan alasan tak mendapat kelulusan peruntukan. Saya baru je memasang hajat nak menyambung pengajian dalam jurusan logistik tahun depan. Cita-cita saya adalah untuk memastikan Pos Malaysia terus berkembang pesat dalam industri logistik dan mampu menaja pasukan bola gergasi Inggeris yang unggul seperti Liverpool FC contohnya. Tapi apa kan daya, angan-angan saya jatuh berderai, layu di tasik madu.
YB,
Saya masih ingat pada 17 September lepas, rakan DAP YB di Sabah, Datuk Wong Tien Fatt berkata bahawa Sabah kekurangan tenaga doktor. Beliau juga mengakui bahawa bukan sahaja Sabah malah seluruh negara memerlukan lebih tenaga doktor untuk mengatasi masalah 1:600 ratio doktor dan pesakit. Selepas itu, pada 26 September pula rakan YB dari AMANAH, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah selaku Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata bahawa negara kita memerlukan lebih ramai arborist untuk menjaga keseimbangan alam sekitar. Tiba-tiba pada bulan ini, Timbalan YB, Teo Nie Ching pulak mengumumkan tidak akan menawarkan lagi program MyBrain15 pada tahun ini untuk rakyat dan diakui oleh YB sendiri. Apa semua ini YB?!
YB,
Macam ni lah, saya terangkan dengan konsep yang mudah nak faham. Umpamanya YB ada 2 ekor anak ayam. YB nak kembangkan dari 2 ekor tu kepada 2.6 billion ekor. Jadi YB kena lah jaga ayam yang YB ada tu dengan membeli makanan terbaik, panggil veterinar datang check up, supaya ayam-ayam YB boleh beranak pinak. Ini tidak, YB buat relax, bagi alasan tiada modal. Memang sampai bila-bila lah Pakatan Har… maksud saya harapan YB hanya tinggal harapan.
YB,
Akhir kata, apa pun terjadi, saya tetap di belakang YB. Selaku seorang pemuda yang berdedikasi, saya akan teguh menyokong wadah perjuangan YB dan rakan-rakan walaupun kadang-kadang penyataan YB membuatkan saya confuse lalu hilang fokus saya ketika menunggang motosikal dalam perjalanan menghantar surat. Mungkin level pemikiran seorang Posmen biasa macam saya ni tak berupaya nak menghadam hal politik Malaysia Baharu ni. Maafkan saya YB.
Oh ya satu lagi perkara YB. Kalau plan stokin YB berjaya, saya ingat nak jadi supplier di zon utara ni. What say you? Maklumlah harga stokin di Padang Besar murah-murah. Boleh juga tambah-tambah pendapatan ye tak?
Yang Benar,
Jefryzal Talib
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.