Saya pertama kali mengenali tulisan al-Mas’udi dari kritikan yang dilemparkan kepadanya oleh Ibnu Khaldun. Bagi Ibnu Khaldun, walaupun hasil tulisan al-Mas’udi merupakan tulisan sejarah yang terkemuka, beliau berpendapat banyak fakta di dalamnya tidak tepat dan disalin semula dengan tidak kritikal. Bagi Ibnu Khaldun, al-Mas’udi tidak mengkritik sumbernya dan tidak menggunakan logik akal dalam menyaring penulisan sejarahnya.[1] Bermula dari kritikan Ibnu Khaldun ini saya mula berkenalan dengan penulisan-penulisan al-Mas’udi dan juga komentar sarjana perihal hasil kerja beliau.
Al-Mas’udi merupakan ahli sejarah yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan historiografi Islam pada zaman klasik. Buku sejarahnya yang terkenal bertajuk Muruj al-Zahab wa Ma’adin al-Jauhar, terjemahan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Meadows of Gold and Mines of Gems dan sering dirujuk dengan tajuk yang lebih pendek iaitu Meadows of Gold. Al-Mas’udi menulis sejarah yang komprehensif, beliau juga menguasai subjek seperti geografi, geologi, dan zoologi. Oleh kerana sumbangan luas beliau dalam historiografi pada zaman klasik, beliau dikira setanding dengan Herodotus, dan digelar sebagai Herodotus bagi orang Arab.[2] Antara orang terawal yang memberi gelaran Herodotus Arab kepada al-Mas’udi adalah sarjana orientalis bernama Alfred von Kremer.[3]
Oleh kerana berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut pemikiran al-Mas’udi dan penulisan sejarah beliau, saya telah mendapatkan bukunya. Tetapi apabila buku itu sampai, rupa-rupanya ia bukanlah keseluruhan karya al-Mas’udi, tetapi adalah cebisan dari tulisan beliau yang telah dipilih, naskhah ini merupakan hasil terjemahan Paul Lunde dan Caroline Stone.[4]
Tujuan dan Metodologi Historiografi al-Mas’udi
Bagi al-Mas’udi, usaha penulisan sejarah beliau adalah sebuah usaha untuk menyelamatkan apa yang dijumpainya dalam lombong keilmuan, dari lombong keilmuan ini beliau ingin menyelamatkan cebisan-cebisan ilmu pada zamannya dari dimusnahkan masa. Bagi beliau, penulisan sejarah adalah usaha menyelamatkan masa lalu dari kemusnahan.[5] Al-Mas’udi juga menekankan bahawa tujuan penulisan beliau adalah sejarah, oleh itu beliau tidak mahu membahaskan teori-teori atau pandangan-pandangan.[6] Membahaskan pandangan mungkin menyebabkan kita cenderung untuk memilih pandangan yang bias pada kecenderungan kita. Ini akan menjadikan penulisan sejarah kurang objektif. Oleh itu al-Mas’udi hanya mahu memfokuskan penulisannya pada fakta sejarah. Walaupun al-Mas’udi menyatakan tujuan sebegini, saya kira ia tidaklah begitu berjaya, kerana ada ketikanya beliau membahaskan sesuatu diluar bidang pengetahuannya dan terpaksa bergantung kepada pandangan dan pendapat mereka yang lebih pakar.
Melalui penulisan beliau, kita dapat melihat bagaimana al-Mas’udi menggunakan pelbagai metodologi pengkajian sejarah. Antaranya adalah dengan merujuk sumber-sumber terdahulu. Beliau juga mengembara ke pelbagai negara dan negeri untuk melihat sendiri keadaan di sana sebelum merekodkannya. Sepanjang pengembaraannya, beliau akan menemuramah sarjana, pedagang, juga orang-orang awam yang ditemuinya. Metodologi temuramah ini saya kira mirip dengan metodologi Socrates yang menggunakan dialog dan argumentasi dalam usaha penghasilan ilmu dan kefahaman.[7] Beliau juga bergantung kepada pengembaraan orang lain untuk menulis perihal tempat-tempat yang tidak dilawatinya. Al-Mas’udi juga menyatakan bahawa pengembaraannya untuk mengumpulkan sejarah ini merupakan pengembaraan yang menyiksakan, dia mengutip mutiara-mutiara sepanjang perjalanannya untuk menghasilkan satu penulisan yang berharga.[8]
Al-Mas’udi juga mengakui sendiri bahawa dalam penulisannya, beliau tidak berpihak, beliau tidak menulis untuk mempertahankan mana-mana mazhab atau doktrin. Tujuan penulisan beliau hanyalah sejarah manusia dan bukan perkara lain.[9] Dari naskhah yang saya baca, saya merasakan al-Mas’udi benar dalam pengakuannya ini, penulisan beliau bersifat objektif, tidak merendahkan mana-mana kumpulan secara berlebihan dan tidak juga mengagungkan yang lain secara berlebihan. Kita boleh katakan bahawa beliau menangguhkan pengadilan, dan menulis sejarah sekadar apa yang dilihatnya berlaku tanpa bias ideologikal. Objektiviti sebenarnya bersifat futuristik, seperti yang diungkapkan Carr, dan kita hari ini dapat melihat dengan lebih objektif apa yang ditulis oleh al-Mas’udi kerana horizon sejarah kita kini yang sudah menjadi lebih luas.[10]
Walaupun Ibnu Khaldun mengkritik al-Mas’udi sebagai tidak kritikal dalam menulis sejarah dan mengambil sumber, jika dibaca penulisan al-Mas’udi, beliau ada berusaha membuat verifikasi terhadap faktanya. Sebagai contoh, Jahiz, seorang penulis terkenal di zamannya ada menulis tentang bagaimana badak sumbu mengandungkan anaknya selama 7 tahun, anak badak tersebut akan mengeluarkan kepala untuk meragut rumput dan masuk semula ke dalam perut ibunya. Al-Mas’udi telah bertanya kepada penduduk setempat yang arif perihal badak sumbu, mereka mengatakan proses mengandung dan melahirkan anak badak sumbu adalah sama seperti lembu dan kerbau. Oleh itu bagi al-Mas’udi, fakta yang dibawa Jahiz ini meragukan.[11]
Skop & Kandungan Penulisan al-Mas’udi
Jika dilihat corak historiografi al-Mas’udi, beliau tidak hanya menulis perihal sejarah pemerintahan dan politik di kawasan-kawasan yang diketahuinya. Tetapi beliau membentangkan batas-batas geografi, nama-nama laut, haiwan-haiwan yang ada di tanah yang berbeza, juga adat dan budaya setiap kaum pada lokaliti yang berbeza. Beliau membahaskan sejarah bangsa-bangsa, struktur sosial, raja, dan hiraki politik mereka. Dalam hal ini kita melihat, historiografinya lebih bercorak sejarah seperti aliran pensejarahan Annales. Namun skop batasan geografi al-Mas’udi tidaklah menyeluruh seperti batasan geografi moden, ia terbatas kepada pengetahuan yang ada di zamannya. Lautan Atlantik misalnya, pada zaman itu masih tidak diteroka, ia dianggap laut yang tidak diketahui apa yang ada di hujungnya.[12]
Al-Mas’udi juga menulis perihal sejarah agama-agama lain. Misalnya beliau ada menulis perihal bagaimana Kitab Injil diterjemahkan dari bahasa Hebrew ke dalam bahasa Yunani oleh 72 sarjana di Alexandria, Mesir. Kemudian ia diterjemahkan oleh sarjana-sarjana lain ke dalam bahasa Arab, contohnya terjemahan yang dibuat oleh Hunayn Ibn Ishaq seorang sarjana Kristian aliran Nestorian, menurut al-Mas’udi terjemahan Hunayn adalah terjemahan yang paling tepat.[13] Sarjana lain berpandangan, penterjemahan dari Hebrew ke Yunani ini berlaku pada abad ke-3 Masehi di Alexandria. Ia dilakukan kerana kaum Yahudi di Alexandria pada ketika itu sudah tidak lagi bertutur dalam bahasa Hebrew, naskah terjemahan ini kemudian diberi nama Septuagint.[14]
Seperti yang dikritik oleh Ibnu Khaldun, dalam penulisan al-Mas’udi memang terdapat fakta yang tidak tepat. Pada naskhah From The Meadows of Gold, yang merupakan terjemahan moden dan seleksi terpilih dari naskhah asal, apabila terdapat kesalahan fakta, perkara ini dinotakan oleh sarjana seterusnya. Contohnya al-Mas’udi menyatakan bahawa Raja Cyrus memerintah Parsi semasa kelahiran Nabi Isa, fakta ini tidak tepat dan ia telah dinotakan.[15]
Al-Mas’udi juga menulis tentang pemerhatiannya tentang bagaimana keilmuan Yunani mengalami keruntuhan. Ilmu-ilmu sains pada awalnya dikembangkan oleh orang-orang Yunani, kemudian ia disambut oleh bangsa Rom. Menurut al-Mas’udi, keilmuan yang dibangunkan itu umpama bangunan yang tinggi, dengan asas yang kukuh. Namun keilmuan ini musnah apabila agama Kristian muncul di Byzantine, api ilmu terpadam dan penemuan-penemuan orang Yunani pupus. Catatan al-Mas’udi berkenaan dengan kemusnahan keilmuan yang berlaku apabila Kristian mula tersebar ini turut mendapat perhatian penulis kontemporari. Sebagai contoh, Catherine Nixey yang menulis tentang bagaimana Kristian menghancurkan dunia Romawi dan Yunani mengambil catatan al-Mas’udi ini dan dimasukkan di hujung bukunya.[16] Nixey dalam bukunya sangat agresif menyerang agama Kristian yang baginya merosakkan bukan sahaja keilmuan, malah budaya, falsafah dan juga seni masyarakat Rom dan Yunani pada zaman klasik.[17]
Menulis perihal Mesir, al-Mas’udi menghuraikan penemuan-penemuan kuil pada zaman dahulu dengan inskripsi yang tidak dapat difahami. Pada zaman tersebut, sarjana masih belum berjaya menafsirkan tulisan hieroglyph yang menjadi inskripsi di kuil-kuil ini. Hari ini perkara ini sudah dapat dilakukan hasil usaha yang dilakukan oleh sarjana seperti Thomas Young dan Jean-Francois Champollion dari tahun 1814 hingga 1823.[18] Namun menurut al-Mas’udi, pada zaman tersebut, ada cubaan untuk memahami hieroglyph, contohnya oleh Dhu al-Nun al-Misri yang menulis bahawa dia dapat memahami beberapa inskripsi, satu inskripsi yang diterjemahkan beliau berbunyi:
“Nasib telah dikunci dan takdir ketawa”.[19]
Nusantara, China dan Negeri Kedah dalam Penulisan al-Mas’udi
Sebagai warganegara Malaysia, tentulah saya berminat apabila al-Mas’udi menyentuh sejarah dan kawasan di Nusantara. Al-Mas’udi tamat menulis bukunya Meadows of Gold pada tahun 947 Masehi di Fustat, Mesir.[20] Menurut kajian kontemporari, jika dibuat perbandingan garis masa, zaman ketika al-Mas’udi mengarang kitabnya, iaitu sekitar abad ke-10 Masehi, di Nusantara pada ketika itu berdirinya Kerajaan Srivijaya di mana ibu kota kerajaan ini terletak di Sungai Merbok, Kedah. Manakala di Lembah Bujang, Kedah, ada dijumpai wang syiling dirham zaman Khalifah al-Mutawalul yang bertarikh 848 Masehi menandakan wujudnya hubungan dagang antara Nusantara dengan dunia Arab.[21] Hubungan Kedah dengan Arab sebenarnya menurut sarjana, telah terjalin sebelum lahirnya Islam lagi.[22] Menurut al-Mas’udi, Kedah merupakan tempat pertemuan kapal-kapal pedagang dari Siraf dan Oman dan juga kapal-kapal pedagang dari China.[23]
Menurut al-Mas’udi, negeri Kalah (Kedah) terletak di lautan yang bernama Kalahbar. Di laut ini terdapat pelbagai pulau yang disebut sebagai surr, yang bermaksud tempat di mana dua teluk bertemu. Al-Mas’udi menyebut kerajaan Srivijaya sebagai Sribuza yang diperintah oleh seorang Maharaja. Maharaja ini menurut al-Mas’udi pernah mengalahkan raja Qimar (Cambodia). Namun Maharaja tersebut tidak memerintah Qimar, beliau hanya mahu membunuh dan mengalahkan raja Qimar yang angkuh, setelah berjaya, dia berundur dan membiarkan negeri Qimar itu dalam keadaan baik tanpa apa-apa kerosakan.[24]
Al-Mas’udi ada menyentuh perihal kepulauan di Nusantara, antaranya al-Ramni iaitu Sumatera yang dikatakan diperintah oleh raja yang kaya dengan lombong emas. Juga Fansur iaitu kota Barus di mana di situ dikatakan kawasan yang kaya dengan kapur barus yang digelar sebagai fansuri.[25] Penulisan beliau tidak hanya berhenti di Nusantara, al-Mas’udi juga ada mengisahkan bagaimana negeri China mempunyai pemerintah yang adil. Beliau mengisahkan bagaimana seorang pedagang telah dilayan dengan tidak adil oleh pegawai istana, dia telah dibawa untuk dibicarakan oleh raja China. Setelah baginda mendapati berlakunya ketidakadilan, baginda telah menghukum pegawainya dan melayan dengan baik pedagang dari Samarkand yang dizalimi itu.
Baginda bertitah “kamu telah menzalimi pedagang yang telah datang dari jauh, merentasi lautan dan pelbagai kerajaan untuk sampai kepadaku tanpa masalah kerana dia percaya akan keadilanku. Kita beruntung kerana pedagang ini tidak pulang untuk memberitahu kepada dunia akan kezaliman yang berlaku, akan kesalahan kerajaanku, juga akan kerendahan darjat negeri ini…” [26]
Di sini kita melihat bagaimana raja China pada ketika itu bukan sekadar berlaku adil, tetapi beliau sangat menjaga maruah dan juga darjat negerinya. Baginda mahu bukan sahaja keadilan tertegak, tetapi dunia mengetahui bahawa dia telah memerintah dengan adil tanpa menzalimi pedagang yang datang ke negerinya.
Kesimpulan
Dari penulisan ringkas ini dapatlah kita membuat beberapa kesimpulan. Pertamanya, memang terdapat kesalahan-kesalahan fakta dalam tulisan al-Mas’udi, kita melihat bahawa kritikan Ibnu Khaldun terhadapnya mempunyai merit. Namun tidaklah al-Mas’udi menulis semuanya secara sewenang-wenang, dalam kes Jahiz contohnya, kita melihat beliau melakukan verifikasi dan kritikal terhadap sumbernya. Kita juga dapati bahawa al-Mas’udi telah berusaha sedaya upaya untuk menulis dengan objektif dan cuba mengelak dari membahaskan sesuatu yang bersifat teori, spekulasi dan pandangan peribadi. Kita juga melihat bahawa cakupan historiografi beliau bersifat luas, tidak hanya terkongkong di Semenanjung Arab, Eropah, dan kawasan di sekitar Mediterranean. Tetapi beliau cuba memuatkan semua lokaliti yang diketahui pada zamannya termasuklah India, Kepulauan Nusantara, Rusia, Korea, dan juga China. Saya merasakan perluasan historiografi terutamanya pada zaman klasik ini sangat penting, kerana sejarawan moden dapat membuat perbandingan. Pensejarahan Melayu tradisional misalnya, banyak dipengaruhi mitos dan legenda.[27] Dengan adanya catatan dan sumber luar, perbandingan dan tapisan dapat dilakukan kepada sejarah tradisional di Tanah Melayu dan Nusantara. Historiografi beliau yang tidak berpusat hanya kepada politik, golongan elit, dan pemerintahan juga menjadikan pensejarahan beliau dekat dengan aliran pensejarahan Annales.
Bibliografi
Ahmad Jelani Halimi. 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd.
al-Mas’udi, Paul Lunde (Translator), and Caroline Stone (Translator). 2007. From The Meadows of Gold. Penguin Books.
Bennaji, Yousef. 2020. “A critical appraisal of al-Masudi’s perception of northern India: A special study on Multan.” European Journal of Language and Literature 6, no. 1 50-58.
Greenspoon, Leonard. 2003. “Hebrew into Greek: Interpretation in, by, and of the Septuagint.” A History of Biblical Interpretation 1 80-113.
Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), and Bruce B. Lawrence (Introduction). 2015. The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics.
Lestari, Rani, Nurul Hak, and M. Nasihudin Ali. 2023. “Al-Mas’udi’s Contribution in the Development of Classic Islamic Historiography.” JUSPI (Jurnal Sejarah Peradaban Islam) 6, no. 2 91-99.
Nixey, Catherine. 2018. The Darkening Age: The Cristian Destruction of the Classical World. Pan Books.
Robinson, Andrew. 2011. “Styles of decipherment: Thomas Young, Jean-François Champollion and the decipherment of the Egyptian hieroglyphs.” SCRIPTA: International Journal of Writing Systems (The Hunminjeongeum Society) 3 123-132.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah.
[1] Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), and Bruce B. Lawrence (Introduction). The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics, 2015.
[2] Lestari, Rani, Nurul Hak, and M. Nasihudin Ali. “Al-Mas’ udi’s Contribution in the Development of Classic Islamic Historiography.” JUSPI (Jurnal Sejarah Peradaban Islam) 6, no. 2 (2023): 91-99.
[3] Bennaji, Yousef. “A critical appraisal of al-Masudi’s perception of northern India: A special study on Multan.” European Journal of Language and Literature 6, no. 1 (2020): 50-58.
[4] Mas’udi, Paul Lunde (Translator), and Caroline Stone (Translator).From The Meadows of Gold. Penguin Books, 2007.
[5] Ibid. Halaman 4.
[6] Ibid. Halaman 69.
[7] Syed Ahmad Fathi. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah, 2023.
[8] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 120.
[9] Ibid. Halaman 4.
[10] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.
[11] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 75.
[12] Ibid. Halaman 6.
[13] Ibid. Halaman 33.
[14] Greenspoon, Leonard. “Hebrew into Greek: Interpretation in, by, and of the Septuagint.” A History of Biblical Interpretation 1 (2003): 80-113.
[15] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 34.
[16] Syed Ahmad Fathi. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review, 2023.
[17] Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.
[18] Robinson, Andrew. “Styles of decipherment: Thomas Young, Jean-François Champollion and the decipherment of the Egyptian hieroglyphs.” SCRIPTA: International Journal of Writing Systems (The Hunminjeongeum Society) 3 (2011): 123-132.
[19] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 51.
[20] Ibid. Halaman 118.
[21] Ahmad Jelani Halimi. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd, 2008. Lihat halaman 102.
[22] Ibid. Halaman 192.
[23] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 104.
[24] Ibid. Halaman 96-103.
[25] Ibid. Halaman 92.
[26] Ibid. Halaman 106.
[27] Syed Ahmad Fathi. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.