Pendahuluan
Menurut Ibnu Khaldun seorang ahli sejarah perlulah mempunyai ilmu yang komprehensif perihal zamannya. Ini termasuklah kefahaman dan asas-asas dalam politik, cara hidup, amalan, adat, dan perbezaan yang terdapat pada bangsa-bangsa. Kemudian, seharusnya dia dapat membandingkan persamaan antara masa lalu dan masa kini. (Ibn Khaldun, 1969) Tanpa adanya kefahaman-kefahaman perihal latar belakang zaman dan perbezaan suasana politik, seseorang penulis mudah melakukan kesilapan dengan mengadakan perbandingan yang silap. Dia mungkin mentafsir cara hidup sesuatu kawasan melalui lensa penilaian yang salah.
Hal ini menjadi lebih kritikal dengan adanya unsur kolonial dalam pensejarahan. Sejarah yang ditulis oleh pihak penjajah, kolonial, dan imperialis perihal bangsa yang dijajahnya perlu digunakan dengan berhati-hati dan kritikal agar kefahaman perihal sejarah tidak menjadi berat sebelah dan hanya mengambil sudut pandang satu pihak sahaja.
Inilah yang telah diperingatkan oleh Edward Said dalam karya monumental beliau, Orientalism yang menilai penulisan-penulisan orang Eropah perihal bangsa Timur. Antara metodologi yang digunakan Said adalah apa yang beliau ungkapkan sebagai strategic location. Iaitu penilaian perihal kedudukan penulis dengan subjek yang ditulisnya. (Said, 1991) Dalam sejarah Tanah Melayu yang sangat pekat dengan pengaruh kolonial ini, kedudukan seorang penulis itu sangatlah kritikal untuk dipertimbangkan dalam penggunaan sumber. Kerana tanpa penilaian kepada kedudukan penulis, kita mungkin akan mengambil pandangan-pandangan yang tidak adil dan tidak menggambarkan keadaan sebenar. Hal ini kerana, penulis-penulis kolonial tidak boleh dianggap objektif kerana mereka mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu terhadap bangsa yang dijajahnya. Oleh itu ulasan buku ini akan mendalami hujah-hujah Cheah Boon Kheng perihal feudalisme Melayu dengan mengambil kira latar belakang zaman, keadaan dan juga kedudukan penulis-penulisnya yang digunakan sebagai sumber sesuai dengan saranan yang dibawakan oleh Ibnu Khaldun dan Edward Said.
Kelemahan Pada Definisi
Tulisan Cheah Boon Kheng bertajuk Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya dimulakan dengan petikan ucapan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamed pada tahun 1990 perihal adanya sistem feudal di Negeri-Negeri Melayu sebelum kedatangan penjajah. (Cheah Boon Kheng, 1995) Mahathir antara lain dipetik mendakwa bahawa hanya keluarga diraja dan pembesar terlibat dalam politik, manakala rakyat tidak berperanan, keadaan politik dikatakan jarang stabil, dan suasana negeri sering berada dalam keadaan lemah dengan rusuhan kerap berlaku. Walaubagaimanapun, dakwaan Mahathir ini tidak diulas dengan terperinci dan tidak dihuraikan dengan contoh-contoh spesifik oleh Cheah.
Feudalisme boleh didefinisikan dengan pelbagai maksud. Menurut pandangan sarjana Marxis, ia adalah berkait dengan sistem ekonomi yang menggunakan feudal mode of production. Ada juga yang mengertikannya sebagai satu bentuk sosial masyarakat dalam sejarah. Juga ada pandangan yang mengertikan feudalisme dari sudut undang-undang dengan adanya perjanjian berasaskan fief. (Roach, 2015) Namun perbahasan ini akan memfokus pada definisi Cheah sendiri.
Cheah mengakui bahawa istilah feudalisme itu merupakan pinjaman dari Eropah, dalam kata lain ia tidak asli di Tanah Melayu dan merupakan konsep yang asing. Faktor penting munculnya feudalisme di Eropah adalah kerana kerajaan yang berpusat dan kuat telah runtuh, ini telah menyebabkan kawasan-kawasan dalam kerajaan tersebut terpecah dan diketuai oleh seorang ketua yang mempunyai kuasa ketenteraannya sendiri (militarisme) untuk melindungi rakyat. Ketua ini dikenali dengan pelbagai nama seperti lord, duke, count, dan baron.
Dalam usahanya untuk cuba mencipta konsep feudalisme Melayu, Cheah telah membawakan dua definisi. Definisi pertama merupakan definisi yang umum dimana feudalisme difahami sebagai bentuk politik dan sosial dimana terdapat satu kelas pemerintah hulubalang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Kelas ini diberikan hak-hak istimewa seperti kuasa politik, jawatan, juga harta benda. Namun definisi ini terlalu umum hingga menjadikan ia seolah tidak bermakna. Kerana hampir semua masyarakat mempunyai kelas hulubalang dengan hak yang istemewa berbanding rakyat biasa. Tidak ada raja, presiden atau diktator yang mampu memerintah bersendirian menurut Bueno de Mesquita, maka pastilah setiap kerajaan mempunyai bentuk pembesarnya. (Mesquita & Smith, 2011) Adakah ini bermaksud semua masyarakat itu bersifat feudal? Jika begitu, istilah ini tidak bererti kerana ia tidak dapat membezakan masyarakat feudal dengan sistem lain.
Takrifan yang kedua saya kira lebih spesifik dan bermakna dimana feudalisme dimaksudkan dengan wujudnya perjanjian antara vassal dan lord yang disahkan melalui perjanjian vassalage yang dinamakan charter. Dimana vassal memberikan kesetiaan dan khidmat ketenteraan dalam masa yang sama mengerjakan tanah lord. Sebagai balasan, lord akan memberikan vassal satu fief atau feud dalam bentuk tanah, manor, ladang dan perlindungan. Bagi saya takrifan kedua ini sahaja yang bermakna dan dapat digunakan untuk mengukur sama ada masyarakat Melayu ada mengamalkan sistem feudal, jika Cheah dapat membuktikan adanya perjanjian vassalage antara rakyat dan kelas hulubalang, kita boleh katakan di Tanah Melayu wujud sistem feudal yang tersendiri dan mirip kepada sistem feudal Eropah.
Kebergantungan Pada Sumber Kolonial Inggeris
Sesuatu fakta sejarah itu boleh kita katakan kuat dan dapat dipertahankan jika ia dapat dibuktikan oleh pelbagai sumber, dan sumber-sumber ini bersifat independent dan tersendiri. Contohnya perang yang berlaku antara kaum Yunani dan Parsi, jika ia dicatatkan oleh sumber Yunani dalam masa yang sama ada dicatatkan dalam sumber Parsi, kita boleh katakan perang ini memang terjadi dalam sejarah, ia adalah fakta yang kuat kerana ia disokong oleh lebih dari satu sumber yang masing-masing terpisah dan tersendiri.
Meneliti aspek sumber yang digunakan Cheah, beliau sendiri mengakui bahawa pencatat awal yang menggunakan istilah feudal adalah Inggeris dan kebanyakan penulisan ini hanya muncul apabila Inggeris mula campur tangan di negeri-negeri Melayu hinggalah mereka menjajah keseluruhan Tanah Melayu. Kita juga akan berasa pelik dengan tulisan Cheah yang mengagungkan penulis kolonial, contohnya Clifford dikatakan sebagai pengarang unggul dan pemikir yang matang manakala Maxwell dikatakan berpandangan bijak.
Sebelum kita membahaskan isinya, mari kita telusuri sumber-sumber yang digunakan oleh Cheah bagi membuktikan adanya feudalisme Melayu. Sumber yang digunakan Cheah adalah T.J. Newbold seorang pegawai tentera British, John Cameron pengarang akhbar Inggeris, J.F. McNair pegawai tentera Inggeris, William Maxwell pegawai Inggeris, Isabella Bird pengembara Inggeris, Hugh Clifford gabenor Inggeris, Harry Lake penulis Inggeris, Winstedt dan Wilkinson pegawai Inggeris. Dalam kata lain, feudalisme wujud di Tanah Melayu kerana orang-orang Inggeris yang menjadi sumber Cheah mengatakan ia wujud. Ini merupakan masalah terbesar dalam hujah Cheah, sumbernya untuk mencipta adanya feudalisme Melayu semunya sumber Inggeris dan ia tidak disahkan oleh sumber lain yang independent.
Kritikan Terhadap Isi Sumber Inggeris
Kita telah ketahui dan lihat dengan jelas bahawa semua sumber-sumber ini tidak dapat digunakan tanpa pengesahan dari sumber lain kerana pastilah orang-orang Inggeris ini mempunyai kedudukan strategik (strategic location) seperti yang dikatakan oleh Edward Said. Mereka ingin menguasai dan menjajah, oleh itu masyarakat yang dijajah perlu direndahkan dan diletakkan label yang buruk. Jika tidak, Inggeris akan kehilangan sebab untuk datang menjajah. Mari pula kita perhalusi apa yang ditulis oleh Inggeris ini, dan adakah ia bersesuaian dengan takrifan kedua yang telah dikemukakan oleh Cheah sendiri.
Pemerhatian orang Inggeris ke atas masyarakat Melayu pada masa itu sangat berkait rapat dengan keadaan zaman tersebut di Eropah. Di sini kita perlu memahami latar belakang zaman. Zaman tersebut merupakan zaman dimana orang Eropah mula mempercayai teori evolusi Darwin. Walaupun Darwin mengasaskan teorinya kepada spesis hidupan, teori ini telah dikembangkan kepada perubahan masyarakat seperti yang dibawa oleh Karl Marx. Bagi Marx semua masyarakat berevolusi dari purbakala, dan masyarakat feudal merupakan salah satu tahap evolusi masyarakat. Evolusi masyarakat ini disebut sebagai the law of social evolution. Cheah dalam hal ini memetik ucapan Clifford yang mengatakan masyarakat Melayu telah berevolusi secara tersendiri namun proses evolusi ini terhenti pada tahap feudal.
Walaubagaimanapun, ahli antropologi moden telah menolak teori evolusi sosial ini sebagai tidak saintifik. Lucy Mair sebagai contoh telah membahaskan hal ini, menurut beliau apa yang dipanggil the law of social evolution telah terbukti salah apabila kajian lanjutan dilakukan, dan sejak awal lagi, metodologi yang digunakan untuk membangunkan hukum ini tidak saintifik. (Mair, 1972)
Kita melihat pelbagai pemerhatian Inggeris yang tidak konsisten dengan definisi yang dibawakan Cheah. Sebagai contoh, Newbold yang mengatakan Temenggong sebagai vassal kepada Sultan Johor. Ini kontradik sekali dengan definisi feudal yang dibawakan yang mengatakan bahawa sistem feudal itu wujud apabila kerajaan pusat telah melemah dan hulubalang-hulubalang mempunyai kuasa ketenteraan yang lebih kuat dari raja. Jika Temenggong menjadi vassal kepada Sultan, maka Sultanlah yang mempunyai kuasa ketenteraan bukan hulubalang. Dan jika Sultan mempunyai kuasa ketenteraan, tentulah ini bermakna kerajaan pusat masih kuat dan utuh.
Kemudian Cheah memetik pula tulisan Cameron yang mengatakan bahawa orang Melayu itu suka kepada keadaan yang aman dan kerajaan yang stabil. Ini sekali lagi kontradik dengan definisi yang dibawa, jika keadaan aman dan kerajaan stabil, apa perlu pemecahan kawasan kepada para hulubalang? Cheah mengakui, Cameron hanya menyebut sistem hierarki orang Melayu mirip sistem feudal Inggeris tetapi tidak menghuraikan sifat-sifat feudalnya. Lebih lemah adalah petikan tulisan McNair yang mengatakan orang Melayu itu sukar dikuasai kerana mereka mempunyai “kebanggaan diri yang bersifat feudal”. Adakah kerana mereka mengikut pemimpin mereka dan enggan mengikuti Inggeris mereka menjadi feudal? Ini sama sekali tidak masuk akal.
Cheah memetik pemerhatian seorang pengembara wanita Inggeris yang bernama Isabella Bird. Bird menyatakan antara lain, Sultan tidak dapat mengawal pembesarnya, dan pembesar ini telah menindas kaum tani dengan mengenakan cukai, memaksa mereka bekerja, dan memaksa mereka menjadi askar ketika perang. Jika pemerhatian Bird ini benar, ia tetap tidak membuktikan kewujudan feudalisme Melayu, ia hanya membuktikan berlakunya penindasan pembesar ke atas rakyat. Penindasan pembesar ini tidak unik kepada pemerintahan berbentuk feudal. Bird juga tidak menyatakan adanya charter antara rakyat yang ditindas ini kepada pembesar dalam sistem vassalage. Juga tiada dinyatakan apa bentuk fief atau feud yang diberikan oleh pembesar kepada rakyat. Jika sekadar mengutip cukai, maka itu hanya sistem administrasi biasa. Majlis bandaraya juga mengukip cukai pintu hari ini, dan kita tidak menyatakan majlis bandaraya menindas atau bersifat feudal. Cheah kemudian memetik tulisan Maxwell yang menyatakan pembesar Melayu itu menindas dengan berkadaran dan tidak melebihi kesabaran petani. Bagaimana Maxwell mengukur perkara ini tidak dinyatakan, tetapi bagi Cheah pandangan Maxwell ini bijak dan menarik.
Saya kira contoh-contoh petikan Inggeris yang lain juga begitu, seperti Clifford yang banyak meminjam istilah Eropah seperti fief, vassal, baron dan fealty namun dalam makna dan konteks yang sangat berbeza dengan Eropah. Jika di Eropah vassalage ini merupakan hubungan antara rakyat dan pembesar, Clifford menyamakannya antara pembesar dan Sultan, satu perbandingan yang jauh berbeza dan menunjukkan bahawa di Tanah Melayu kerajaan pusat di bawah Sultan masih kukuh. Malah Clifford sendiri mengakui bahawa Sultan secara teorinya berkuasa penuh. Disini kita harus bertanya, apa gunanya sistem feudal jika Sultan berkuasa penuh? Cheah juga mengatakan sistem pembahagian kuasa yang membentuk desentralisasi sebagai satu ciri menarik feudal. Ini langsung tidak bertepatan dengan takrif beliau sendiri, jika desentralisasi adalah ciri feudal yang menarik, semua negara hari ini masih feudal kerana masing-masing ada bentuk desentralisasi dalam pentadbiran negara. Perkara yang sama diulang R.J. Wilkinson yang mengatakan kesultanan Melaka memberi fief kepada pembesar, ini bermaksud Sultan dan kerajaan pusat bersifat kuat bukan feudal.
Apabila dibaca tulisan Cheah berkali-kali, kita akan lebih keliru dari mendapat fahaman yang jelas. Semua aspek kehidupan Melayu itu dikatakan feudal walaupun ia langsung tiada kena mengena dengan takrif feudal yang Cheah sendiri berikan. Perlanunan dikatakan separa feudal. Apa pula takrif separa feudal? Tidak diterangkan. Penentangan terhadap J.W.W. Birch yang ingin merampas hak cukai pembesar dikatakan feudal? Adakah cukai Inggeris sahaja tidak feudal? Dalam takrif tidak dinyatakan pengutipan cukai sebagai ciri feudal. Namun bagi Cheah, semua penulisan kolonial Inggeris yang prejudis ini memadai untuk mengatakan adanya sistem feudalisme Melayu.
Dihujung bahagian tulisan Cheah perihal pensejarahan kolonial, Cheah bersetuju bahawa terdapat hanya beberapa ciri feudal sahaja di Tanah Melayu iaitu hubungan antara tuan dan anak buah. Saya berpendapat hal ini sama sekali tidak dapat diterima kerana ia terlalu umum dan tidak bertepatan langsung dengan takrifan yang dikemukakan. Tidak terdapat perjanjian vassalage antara rakyat dan hulubalang, malah pembesar-pembesar ini semua dikatakan memberi ketaatan kepada Sultan, menunjukkan tidak berlakunya perpecahan kerana kerajaan pusat masih kuat. Ini diakui sendiri oleh Cheah dihujung penelitiannya. Malah Cheah turut mengakui pembesar tidak memiliki ladang besar dan manor, malah ekonomi penduduk tidak bergantung kepada pemilikan tanah seperti di Eropah. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan dengan yakin bahawa tidak wujud apa yang disebut sebagai feudalisme Melayu dalam sejarah, melainkan ia hanya ciptaan dan imaginasi penjajah kolonial Inggeris yang cuba menciptanya bagi mengabsahkan penjajahan mereka.
Sistem Kerah Sebagai Hujah Feudalisme Melayu
Dalam tulisan Cheah, selain kekeliruan takrif dan juga kepincangan ciri-ciri feudalisme Melayu dalam catatan kolonial yang telah kita bahaskan, antara hujah penting dan diulang-ulang dalam tulisan Cheah adalah wujudnya sistem kerah yang menindas rakyat. Ia seolah-olah menjadi tesis utama penulisan kolonial dalam menunjukkan wujudnya feudalisme Melayu. Inilah yang diulang-ulang oleh Isabella Bird, Maxwell, dan Clifford.
Namun sistem ini telah dikupas oleh sarjana tempatan. Azmi Arifin misalnya telah menerangkan bahawa sistem ini tidak boleh disamakan dengan perhambaan atau serfdom di Eropah. Ia tidak didasari sebarang bentuk penindasan atau kezaliman. Jika ditelusuri sumber-sumber sejarah tempatan, rakyat sering diajak untuk ‘berkerah’ untuk membina masjid dan istana. Ajakan ini telah disambut dengan senang hati oleh masyarakat tempatan. Hal ini tidaklah pelik kerana amalan gotong-royong memang terdapat secara meluas dalam kampung-kampung Melayu. Malah ia sering diadakan dengah meriah seperti sebuah sambutan atau pesta. (Azmi Arifin, 2012)
Oleh itu tidak adil Cheah hanya memetik sumber-sumber pensejarahan kolonial yang memaparkan sistem kerah sebagai sistem yang menindas dalam masa yang sama meninggalkan sumber-sumber tempatan. Sekurang-kurangnya kedua-duanya perlulah dipaparkan agar gambaran yang lebih seimbang dapat dilihat.
Masalah Sumber Dalam Pensejarahan Prapenjajahan
Kita telah bincangkan bahawa masalah terbesar dalam penulisan Cheah perihal pembangunan konsep feudalisme Melayu adalah kebergantungan yang terlalu besar kepada sumber kolonial Inggeris. Namun persoalannya, adakah kita mampu memahami bentuk kerajaan Melayu sebelum penjajahan tanpa merujuk kepada sumber-sumber Inggeris?
Sebenarnya terdapat kajian perihal bentuk kerajaan dan pemerintahan di Tanah Melayu sebelum zaman kolonial yang menggunakan sumber-sumber selain dari catatan Inggeris. Contohnya tulisan Anthony Milner. Beliau merasakan sumber-sumber kolonial Inggeris tidak memberi gambaran yang benar, bahkan ia sering melihat keadaan tempatan dalam kacamata Eropah. Oleh itu Milner telah menulis sejarah kerajaan Melayu sebelum penjajahan Inggeris menggunakan sumber-sumber tulisan dari hikayat. Antara hikayat yang digunakan termasuklah Hikayat Deli, Hikayat Iskandar, dan Hikayat Pahang.
Malah Milner mengkritik penulisan sejarah oleh pihak kolonial seperti Gullick yang baginya memesongkan realiti politik sebenar orang Melayu. Menurut Milner lagi, pengalaman politik orang Melayu tidak dapat diberikan kategori yang betul jika ia dinilai dari perspektif Eropah. (Milner, 2016) Hal ini menurut pandangan saya telah cukup untuk membuktikan bahawa penulisan Cheah yang hanya bergantung pada pandangan kolonial tidak memadai dalam membuktikan wujudnya feudalisme Melayu jika dilihat dari kekuatan sumber.
Perbincangan Feudalisme
Di hujung penelitian Cheah, beliau telah membawakan perbincangan-perbincangan kontemporari dari golongan sarjana dan penulis sekitar tajuk ini. Namun semua yang dibawakan oleh Cheah adalah tulisan-tulisan berbentuk petikan dan bukan kajian yang mendalam yang dapat membuktikan kewujudan feudalisme Melayu. Setakat ini, jika kita tinjau pensejarahan kolonial yang dibawa Cheah, kebanyakannya tidak menepati takrif asal feudalisme, yang ada hanya ciri-ciri umum yang dikaitkan. Namun bagi Cheah ciri-ciri umum ini sukar dinafikan bahawa ia punya persamaan dengan feudalisme Eropah, baginya ia perlu diterima dan diiktiraf.
Dalam perbincangan, Cheah memetik penulisan Kassim Ahmad yang mengatakan penentangan Hang Jebat terhadap Sultan Mansur sebagai melawan susunan feudal. Pertama, ini langsung tidak bertepatan dengan takrif. Kedua, melawan sultan patutnya disebut sebagai anti-monarki, pro-kebebasan, atau perjuangan kiri dan anarki. Mengapa perlu disebut sebagai melawan susunan feudal?
Kassim juga menyebut wujudnya ketaatan mutlak pada Sultan, jika ini berlaku, bukankah ia bertentangan dengan takrif yang mengatakan wujudnya kelas hulubalang yang lebih berkuasa dari Sultan? Huraian Kassim terhadap konsep feudal seperti sultan yang disembah, kesetiaan tidak berbelah bahagi, bantuan pegawai kepada Sultan untuk menjaga kampung, ini semua bukanlah dsfinisi feudal tetapi bentuk pemerintahan monarki. Maka lebih tepat bagi Kassim untuk menggunakan istilah monarki berbanding feudal, kerana yang berkuasa adalah Sultan bukan kelas hulubalang.
Kemudian Cheah membawa tulisan Syed Hussein Alatas yang membawa konsep psikologi feudal. Kita perlu bertanya satu soalan yang penting. Bagaimana psikologi feudal itu boleh wujud tanpa adanya asas sejarah? Dari mana ia datang? Amat pelik jika ketaatan dikatakan feudal seperti yang dikatakan oleh Chandra Muzaffar, murid kepada Syed Hussein, ini merupakan satu konsep yang sangat terkeliru. Adakah jika kita taat kepada ibubapa, kita juga menjadi feudal?
Syed Hussein dalam usahanya untuk mewujudkan konsep feudalisme Melayu mengatakan wujudnya sistem ekonomi manor. (Syed Hussein Alatas, 1968) Namun menurut Cheah sendiri, pembesar Melayu tidak memiliki ladang besar atau manor. Disini kita dihidangkan dengan kontradiksi. Syed Hussein Alatas seorang ahli sosiologi mengatakan wujud sistem manor, manakala Cheah seorang ahli sejarah mengatakan pembesar Melayu tidak memiliki manor. Syed Hussein cuba menyamakan sistem manor dengan kawasan kampung, namun dua perkara ini sangat berbeza sekali. Syed Hussein menurut pandangan saya menggunakan pandangan yang terlalu umum untuk mendakwa adanya feudalisme Melayu. Keumuman ini terlalu longgar sehingga ia tidak bermakna. Mungkin itulah sebabnya ia hanya disebut sebagai psikologi Feudal, sesuatu pemikiran yang abstrak sahaja, kerana tiada bukti sejarah yang objektif bagi mengabsahkan kewujudannya.
Walaupun feudalisme dalam sejarah itu tidak wujud. Melainkan sifat-sifat yang terlalu umum dan hal-hal abstrak seberti psikologi feudal yang telah kita bahaskan. Naratif bahawa orang Melayu itu bersifat feudal terus menjadi tema penulisan hingga ke hari ini. Malah ada penulis yang menggambarkan masyarakat Melayu hari ini bersifat neo-feudal dan pertisipan neo-feudal. (Mohd Mahadee Ismail, 2018) Sekali lagi kita harus bertanya, bagaimana sesuatu masyarakat boleh menjadi neo-feudal tanpa adanya feudalisme dalam sejarahnya? Penulisan-penulisan seperti ini pada hemat saya merupakan penulisan yang tidak kritis dalam menilai sumber. Ia sekadar menjadi penyambung lidah kolonial dalam memburukkan masyarakat peribumi.
Penutup
Sebagai kesimpulannya, dapatlah kita katakan tidak wujud apa yang dikatakan sebagai feudalisme Melayu dalam sejarah. Apa yang ada hanyalah ciri-ciri umum sahaja, ciri-ciri umum ini tidak berjaya mewujudkan sebuah sistem feudalisme yang sama seperti di Eropah. Apa yang disebut sebagai feudalisme Melayu itu timbul apabila orang Eropah terutamanya Inggeris mengaitkan ciri-ciri umum ini dengan keadaan feudal mereka dahulu. Jika Inggeris tidak datang, dan kaitan ini tidak ditulis, maka ia sama sekali tidak akan wujud.
Seperti yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun, kita perlulah memahami dengan terperinci struktur politik yang ada pada zaman tertentu. Dari sudut ini, kerajaan Melayu dahulu kebanyakannya bersifat monarki bukan feudal, mereka tidak berpecah kepada daerah yang akhirnya mewujudkan satu kelas hulubalang. Dan tidak ada perjanjian ketenteraan antara rakyat di Tanah Melayu dengan para pembesar dan hulubalang dalam bentuk vassalage. Cheah menulis bahawa feudalime itu adalah konsep yang dipinjam dari Eropah, oleh itu ia perlu dihormati dan digunakan dengan takrifnya yang tulen. Dan jika kita setia pada takrifan yang tulen, maka kita akan dapati feudalisme Melayu itu langsung tidak wujud.
Ada empat ciri utama dalam takrifan feudalisme Eropah, iaitu militarisme, hubungan timbal balas vassalage, fief, dan pembahagian kuasa antara hulubalang dan pembesar. (Azmi Arifin, 2006) Jika konsep feudalisme Melayu itu ingin digagaskan, maka ia hendaklah memenuhi kesemua ciri-ciri ini. Barulah boleh kita katakan ia wujud secara tulen. Jika ia hanya menggunakan ciri-ciri umum sahaja, bersifat abstrak secara psikologi sahaja, maka ini bukanlah hujah yang kukuh untuk mengatakan ia wujud secara benar dalam sejarah kerajaan di Tanah Melayu. Apatah lagi jika sumber-sumbernya sangat diragui, seperti Inggeris yang mempunyai kepentingan strategik sebagai penjajah. Inggeris sebagai penjajah mempunyai pemikiran Eurosentrik yang sering memaparkan masyarakat peribumi sebagai asiatik, despotik, dan feudal. (Siti Mahani binti Majid, 2016) Pemilihan sumber kolonial Inggeris sahaja, tanpa ada sumber lain yang bersifat bebas dan tersendiri, menjadikan hujah kewujudan feudalisme Melayu itu sangat-sangat lemah dari sudut sejarah.
Bibliografi
Azmi Arifin. (2006). Konsep feudalisme: Takrif, Ciri-ciri dan garis sempadan. Jebat, 33, 45-72.
Azmi Arifin. (2012). Syed Hussein Alatas: Pemikiran Kolonial dan Gagasan ‘Feudalisme Melayu’. Akademika, 82(1), 21-30.
Cheah Boon Kheng. (1995). Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya. In Cheah Boon Kheng, & Abu Talib Ahmad, Isu-Isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam) (pp. 1-24). Pulau Pinang: Penerbit USM.
Ibn Khaldun. (1969). The Muqaddimah: An Introduction to History. Princeton University Press.
Mair, L. (1972). An Introduction to Social Anthropology (Second Edition). Oxford University Press.
Mesquita, B. B., & Smith, A. (2011). The Dictator’s Handbook: Why Bad Behavior is Almost Always Good Politics. Public Affairs.
Milner, A. (2016). Kerajaan: Malay political Culture on the Eve of Colonial Rule (Second Edition). Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre.
Mohd Mahadee Ismail. (2018). Budaya Politik Kontemporari Masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia: Satu Penilaian Kritis. Contemporary Malays Political Culture In Peninsular Malaysia: A Critical Evaluation. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Special Issue), 470-482.
Roach, L. (2015). Feudalism. International Encyclopedia of the Social & Behavioral Sciences (Second Edition), 111-116.
Said, E. W. (n.d.). Orientalism: Western Conception of the Orient. 1991: Penguin Books.
Siti Mahani binti Majid. (2016). Eurosentrisme dan Pemaparan Imej Orang Melayu Zaman Kolonial British Sehingga 1900 (Tesis Ijazah Sarjana Sastera). Universiti Sains Malaysia.
Syed Hussein Alatas. (1968). Feudalism in Malaysian society: A study in historical continuity/Feodalite Dans La Societe Malaise: Etude De Sa Persistance Historique. Civilisations, 579-592.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.