The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Pendekatan Dalam Memahami Falsafah Barat Menurut Pandangan Pemikir Islam

March 1, 2025 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Sejak sekian lama, kita memahami bahawa tamadun Barat dan tamadun Islam itu merupakan dua tamadun yang berbeza, mereka mempunyai dua akar falsafah yang berbeza dan saling bertentangan. Pandangan saya akan hal ini mula berubah apabila saya mendengar perbahasan oleh Roy Casagranda perihal bagaimana pemisahan ini sebenarnya merupakan satu konstruksi imaginatif orang Eropah yang mahu memisahkan diri mereka dengan bangsa Timur di mana sebenarnya falsafah dan tamadun mereka bermula. Jika perkara ini dikaji dengan teliti, kita akan dapati historiografi tamadun Barat ini penuh dengan paradoks, malah permulaannya juga di Timur.[1] Namun kerana konsep pemisahan ini telah disalin dan diulang selama berdekad dan berabad lamanya, ia menjadi satu fakta yang diterima ramai.

Pada 23 November 2024 di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur saya sempat mengikuti diskusi Wacana Kerancuan Falsafah Barat anjuran Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR). Dalam diskusi ini telah diperdalami bentuk-bentuk percanggahan pemikiran yang ada dalam falsafah Barat.[2] Perbentangan-perbentangan dalam diskusi ini kemudian telah dibukukan dalam satu buku kecil bertajuk Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat. Oleh itu, penulisan ini akan meninjau dan membincangkan beberapa idea di dalam buku kecil ini.

Membedah Kerancuan Sebuah Falsafah

Kita sering berkefahaman bahawa falsafah Barat itu berdiri atas faudasi rasional dan saintifik sepenuhnya. Menurut buku ini, dakwaan tersebut adalah satu kerancuan. Dakwaan ini perlu dinilai dengan kritis dan tidak boleh diterima atau ditolak secara bulat-bulat.[3] Ia perlu disaring dan diperincikan. Ditentukan mana yang boleh digunakan dan mana yang perlu disisihkan. Saya teringat akan apa yang ditulis oleh Syed Hussein al-Attas perihal kita seharusnya mempelajari ilmu “racun dan ubat” yang merupakan analogi beliau terhadap keperluan mengetahui ilmu dan falsafah Barat.[4]

Sebenarnya dakwaan bahawa falsafah dan pemikiran Barat merupakan pemikiran yang berlandaskan kefahaman saintifik itu memang boleh dipersoalkan. Malah dalam lapangan sains sendiri, ia dipenuhi dengan kontradiksi, paradoks dan pemikiran yang tidak konsisten. Fahaman saintisme yang merasakan hanya sains merupakan jalan untuk mencapai kebenaran dan pandangan bahawa kehidupan di dunia adalah berbentuk mekanistik telah dikritik hebat oleh para pemikir. Saya meminati penulisan Rupert Sheldrake akan hal ini. Beliau menulis sebuah buku bertajuk The Science Delusion bagi membidas buku tulisan aties militan, Richard Dawkins yang bertajuk The God Delusion. Walaupun Dawkins menyerang kepercayaan kepada Tuhan secara keseluruhan, jika dibaca bukunya itu, serangan beliau lebih terarah kepada agama Kristian.[5] Buku Sheldrake bagi saya menarik dalam membedah saintisme kerana beliau sendiri merupakan seorang saintis yang lahir dari institusi sains perdana Barat.[6] Dalam kata lain, ia adalah perbahasan dan kritikan dari dalam.[7]

Artikel pertama dalam buku ini bertajuk “Kerancuan Falsafah Barat: Satu Penelitian Semula”. Ia merupakan artikel yang paling panjang dalam buku ini. Ia ditulis oleh Mohd Suhail Mohd Sufian, Muhammad Firdaus bin Zalani, Amar Ismat Mohd Nasir, dan Muhamad Amirul Asyraf Ahmad Kamal Zulkhairi. Mereka berpandangan, pertentangan yang dibuat berkenaan dengan perbezaan antara falsafah Islam dan falsafah Barat membuatkan orang Islam merasakan sains adalah ilmu kufur dan menjadikan mereka bersifat anti-sains. Wujud dalam kalangan orang Islam kefahaman tentang pertentangan antara wahyu dan akal, dan menyebabkan mereka melihat solusi kepada masalah ini adalah pembangunan satu sistem dan institusi Islam yang tersendiri.[8] Pemahaman ini sebenarnya kefahaman yang salah kerana Islam tidak bertentangan dengan sains. Malah jika kita membaca Al-Qur’an itu sendiri, banyak ayat-ayatnya bersifat sains dalam menganjurkan manusia berfikir, melihat, dan mengkaji alam. Mereka menerangkan bahawa dalam epistemologi Islam, kedua-dua wahyu dan akal itu diiktiraf sebagai sumber ilmu yang sah. Ia boleh digunakan dan diharmonikan dalam kerangka yang betul.[9] Ini saya kira merupakan inti utama buku ini.

Pengaruh Agama Mithra Dalam Falsafah Barat

Dalam mengkritik falsafah Barat dan menunjukkan bahawa ianya tidaklah bersumberkan rasional semata-mata, pengaruh ajaran Mithra diketengahkan. Ajaran ini mempunyai pengaruh kepada pemikiran Plato dan Aristotle dan melahirkan pemikiran berbentuk politeistik dan panteistik.[10] Selain itu, pemikiran mistik dan bersifat occult juga dapat dikesan dalam pemikiran tokoh-tokoh sains seperti Newton, Boyle, dan Locke.[11] Kepercayaan Mithraisme ini bukan sahaja masuk ke dalam pemikiran pemikir sains dan pemikir rasional sahaja, ia juga menyusup masuk ke dalam ajaran Kristian. Ini dapat dilihat dari unsur-unsur sinkretik dalam agama Kristian yang menyerap masuk unsur-unsur kepercayaan pagan seperti yang dilakukan oleh Paul the Apostle dan Council of Nicaea. Oleh kerana bercampur-aduknya unsur-unsur pagan ini, Syed Naquib al-Attas berpandangan, apa yang ditentang oleh orang Eropah semasa era Enlightenment itu bukan wahyu tetapi pemikiran manusia sendiri yang sebenarnya berasal dari kepercayaan pagan.[12]

Walaupun saya merasakan pengaruh ajaran Mithraisme dan pagan itu memang ada dalam beberapa pemikir dan ahli falsafah Barat, ia bukanlah hujah yang kuat dalam kita mengkritik falsafah Barat. Kerana pada pandangan saya ia bukan dianuti oleh ke semua pendokong falsafah Barat tetapi dipercayai oleh sebahagian sahaja. Kefahaman sebahagian tokoh-tokoh ini juga tidak dijadikan faundasi kepada falsafah Barat yang lebih moden dan terkemudian. Oleh itu, kritikan yang menggunakan pendekatan ini bukan kritikan yang menyeluruh sebaliknya hanya menyentuh keperibadian sebahagian tokoh sahaja menurut pandangan saya. Pada pandangan saya, mengkritik substance pemikiran dan falsafah itu lebih berkesan dalam kita melakukan dekonstruksi terhadap pemikiran Barat. Sebab itu saya merasakan penulisan Sheldrake dalam hal ini lebih berkesan dalam menjawab dikotomi pemikiran rasional terutamanya dalam hal saintisme.

Ideologi di Sebalik Teknologi dan Perlaksanaan

Artikel kedua dalam buku Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat ini bertajuk “Perlunya Dimensi Teknokratik Dalam Membatasi Kesan Reduksionisme Liar” tulisan Fakri Zaky Jaafar dan Bahbibi Rahmatullah. Artikel ini bagi saya merupakan satu cubaan untuk melihat bahawa sebenarnya teknologi yang kita gunakan dalam kehidupan seharian kita bukanlah bersifat neutral. Ia mempunyai ideologi yang tersendiri serta memberi kesan kepada budaya dan kehidupan kita.

Menurut Fakri dan Bahbibi, dalam pembinaan sesebuah tamadun, ia memerlukan barisan teknokrat. Namun masalah timbul apabila teknokrat ini tidak mempunyai kefahaman yang sama dengan ahli falsafah yang membuahkan falsafah sebuah tamadun. Maka wujudlah jurang antara dua golongan ini. Para teknokrat ini adalah golongan pelaksana yang menggunakan teknologi. Apabila mereka mereka melaksanakan sesuatu, sebenarnya pemilihan teknik dan pendekatan yang digunakan itu mempunyai kesan kepada corak sejarah dunia yang sedang dibina.[13]

Contoh yang diketengahkan dalam artikel ini adalah bidang pendidikan. Di Malaysia, pendidikan didirikan di atas Falsafah Pendidikan Negara yang cantik dan menyeluruh. Namun disebabkan pemilihan teknik reduksionisme dalam menjayakan falsafah ini oleh para teknokrat, natijah yang ingin dihasilkan dari falsafah tadi tidak terlaksana. Antara teknik reduksionis yang digunakan dalam pendidikan adalah penaksiran berdasarkan taksonomi Bloom.[14]

Reduksionisme sebenarnya hanya merupakan satu kerangka fikir dalam membantu manusia berfikir. Namun, masalah timbul apabila ia diangkat seolah menjadi falsafah asas yang digunakan sebagai satu-satunya cara berfikir, melihat, dan menyelesaikan masalah dunia. Inilah yang ditakrifkan sebagai “reduksionisme liar”. Cara berfikir yang memecahkan gagasan besar kepada komponen kecil ini mungkin berguna bagi memahami struktur mekanikal. Namun ia bermasalah apabila diaplikasikan dalam memahami kehidupan.[15] Sekali lagi saya merasakan perkara ini diterangkan dengan baik oleh Rupert Sheldrake. Dalam bukunya beliau menerangkan bagaimana dengan membedah haiwan kepada komponen-komponen kecil menjadikan kita tidak dapat mengkaji kehidupan itu secara lengkap. Ini menyebabkan beliau meninggalkan kajian biologi yang dirasakan kejam dan bersifat reduktif.[16] Kajian ini menggunakan sudut pandang bahawa kehidupan itu boleh dikaji seperti kajian mekanikal.

Cara menggunakan pemikiran reduksionisme adalah mengaplikasikannya dalam masalah tertentu sahaja. Misalnya ketika kita mahu menyelesaikan masalah perihal mesin, robot, atau komputer. Selepas masalah itu diselesaikan, kita berlu berhenti berfikir secara reduktif dan menggunakan kerangka fikir lain untuk menyelesaikan masalah lain.[17] Ini mengingatkan saya akan idea yang diutarakan oleh Eckhart Tolle perihal bagaimana untuk berfikir. Bagi Tolle kita tidak perlu berfikir setiap masa, berfikir hanya ketika perlu sahaja. Apabila tidak berlu, kita perlu berhenti berfikir.[18] Jika tidak, kita mungkin boleh jadi gila. Kemampuan berhenti berfikir adalah kemampuan yang sangat penting bagi membantu manusia berehat dan juga berasa bahagia.

Sekularisme dan Kematian Kemanusiaan

Artikel terakhir dalam naskah Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat bertajuk “Manusia Sekular dan Krisis Nilai” tulisan Mohd Nasir bin Mohd Tap. Artikel ini sangat keras dalam kritikannya terhadap sekularisme dan sekularisasi yang akhirnya menatijahkan kematian kemanusiaan.

Apabila manusia itu diputuskan hubungannya dengan kekudusan, maka melatarlah mereka cuba mencari apa yang hendak mereka perbuat di atas muka bumi ini. Mereka cuba mencipta pelbagai konsep bagi mengisi matlamat kewujudan mereka. Antaranya adalah usaha menjadi adimanusia (ubermensch) seperti yang dibawakan oleh Nietzsche.[19] Manusia sekular menjadikan manusia sebagai matlamatnya, dan manusia sebagai pusat bagi realiti.[20] Nilai-nilai pula dianggap relatif dan kebenaran dikatakan tidak wujud. Seperti yang diungkapkan oleh Jacques Derrida bahawa kebenaran itu tidak mungkin dicapai.[21]

Hasilnya adalah lahirnya manusia tanpa kemanusiaan.[22] Di mana manusia dianggap sebagai sebuah organisme tanpa jiwa.[23] Dari sekularisme lahirnya pemikiran yang merosakkan. Misalnya seperti apa yang disebutkan oleh Yuval Noah Harari bahawa apa sahaja yang boleh dilakukan adalah sebahagian dari alam semulajadi (all that is possible is natural).[24] Jika kita menerima idea ini, maka manusia boleh melakukan apa sahaja dan undang-undang itu sendiri tidak bernilai. Maka tidak hairanlah jika kita melihat hari ini negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, Britain, dan Jerman boleh membantu Zionis membunuh lebih 40,000 manusia di Gaza, Palestin. Mereka tidak berasa bersalah kerana mereka adalah produk dari proses sekularisasi yang melahirkan moral-nihilisme.

Kesimpulan

Falsafah Barat dan akar sejarahnya sememangnya mempunyai dikotomi dan paradoks yang serius. Oleh itu, umat Islam perlu mengambilnya dengan berhati-hati dan tidak menerimanya secara bulat-bulat. Falsafah Barat itu ada sumbangannya terhadap peradaban dan pemikiran manusia. Namun ia bukanlah satu model yang sempurna yang boleh kita laksanakan. Sebaliknya kita memerlukan ilmuan yang dapat membantu kita menyaring dan memilih kebaikannya dan menyisihkan penyakit-penyakitnya. Jika tidak, kita akan mengikuti orang-orang Barat dan menjadi masyarakat yang bangkap dari sudut nilai dan kemanusiaan. Kita juga perlu menyedari bahawa kita sudah mempunyai akar falsafah yang lebih lengkap dan holistik di mana wahyu dan akal itu diterima sebagai sumber ilmu dan kebenaran. Falsafah baharu kita bukan membawa kepada pemikiran anti-sains, sebaliknya mengharmonikan rasional dan pemikiran saintifik dengan nilai-nilai jiwa dan keinsanan yang ada dalam agama Islam. Hanya dengan pendekatan inilah kita mampu membentuk manusia yang holistik, yang mampu berfikir secara rasional dalam masa yang sama mempunyai jiwa dan nilai keinsanan. Saya berfahaman, itulah pendekatan pemikir-pemikir Islam dalam kita mendepani falsafah Barat setelah saya membaca buku kecil ini.

Bibliografi

Dawkins, R. (2007). The God Delusion. Black Swan.

Harari, Y. N. (2015). Sapiens: A Brief History of Humankind. Vintage.

Mohd Suhail Mohd Sufian, Muhammad Firdaus bin Zalani, Amar Ismat Mohd Nasir, Muhamad Amirul Asyraf Ahmad Kamal Zulkhairi, Fakri Zaky Jaafar, Bahbibi Rahmatullah, & Mohd Nasir Bin Mohd Tap. (2025). Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat. Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR).

Sheldrake, R. (2013). The Science Delusion. London: Coronet.

Syed Ahmad Fathi. (2023). Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat. Academia Book Review.

Syed Ahmad Fathi. (2024). Menganalisa Sains Sebagai Sumber Ilmu Dalam Lapangan Epistemologi. Reviu Epistemologi, 1-11.

Syed Ahmad Fathi. (2024). Nota Wacana Kerancuan Falsafah Barat. Diskusi Meja Bulat: Pemikiran Peradaban Baharu Siri 2, 1-8.

Syed Hussein Alatas. (2015). Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tolle, E. (2001). The Power of Now: A Guide to Spiritual Enlightenment. Hodder & Stoughton.


[1] Lihat tulisan saya bertajuk “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat” untuk memahami dengan lebih terperinci lagi perihal paradoks ini.

[2] Nota perjumpaan ini boleh dirujuk dalam tulisan saya bertajuk “Nota Wacana Kerancuan Falsafah Barat.” Diskusi Meja Bulat: Pemikiran Peradaban Baharu Siri 2, 2024.

[3] Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat. Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR), 2025., hlm. x.

[4] Syed Hussein Alatas. Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015., hlm. 161.

[5] Richard Dawkins. The God Delusion.

[6] Rupert Sheldrake. The Science Delusion.

[7] Lihat juga tulisan saya yang bertajuk “Menganalisa Sains Sebagai Sumber Ilmu Dalam Lapangan Epistemologi.” Reviu Epistemologi, 2024.

[8] Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat., hlm. 3.

[9] Ibid., hlm. 13.

[10] Ibid., hlm. 17.

[11] Ibid., hlm. 19.

[12] Ibid., hlm. 20-21.

[13] Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat., hlm. 36-37.

[14] Ibid., hlm. 39.

[15] Ibid., hlm. 40.

[16] Rupert Sheldrake. The Science Delusion., hlm. 46-54.

[17] Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat., hlm. 44.

[18] Eckhart Tolle. The Power of Now.

[19] Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat., hlm. 56.

[20] Ibid., hlm. 57.

[21] Ibid., hlm. 60.

[22] Ibid., hlm. 63.

[23] Ibid., hlm. 65.

[24] Yuval Noah Harari. Sapiens: A Brief History of Humankind.

Pendekatan-Dalam-Memahami-Falsafah-Barat-Menurut-Pandangan-Pemikir-IslamDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: Epistemologi, Falsafah Barat, Falsafah Islam

Nota Wacana Kerancuan Falsafah Barat

November 24, 2024 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Penulisan nota ini merupakan tulisan dan hadaman saya kepada diskusi Wacana Kerancuan Falsafah Barat yang berlangsung pada 23 November 2024 di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur anjuran Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR). Ia bukanlah transkrip verbatim kepada perbincangan yang telah berlangsung. Ia juga tidak merangkumi segala yang diperkatakan secara syumul dan menyeluruh, ada bahagian dalam perbincangan yang tidak dirakamkan mungkin kerana penulis terleka, termenung atau sedang micro-sleeping. Nota-nota ini juga mengandungi huraian penulis yang telah dicampur adukkan dalam usaha penulis untuk cuba memahami maudhuk kompleks yang diperbahaskan oleh para pembentang. Untuk tujuan kejelasan, bahagian yang ditokok-tambah oleh penulis akan dimulakan dengan kata “saya”. Pada mulanya tokok tambah ini dimuatkan di dalam teks, tapi untuk mengelak kekeliruan berpanjangan sehingga beratus tahun akan datang, kebanyakannya telah dipindahkan ke nota kaki. Nota ini tidak boleh dianggap sebagai kata-kata asal yang datang dari pembentang. Untuk mengetahui apakah kata-kata asal pembentang, para pengkaji disarankan untuk merujuk kepada video rakaman wacana.[1] Di akhir nota ini, penulis akan merakamkan rumusan penulis sendiri, rumusan yang dimuatkan bukanlah rumusan yang dibuat oleh pihak penganjur atau pembentang, tetapi adalah hasil hadaman penulis nota ini. Akhirul kalam, moga nota ini sedikit sebanyak menyumbang kepada khazanah falsafah pemikiran baharu umat akhir zaman.

Pengerusi Majlis

Ustaz Firdaus

Kerancuan falsafah Barat bukan satu perkara yang baharu. Prof. Naquib al-Attas misalnya pernah membahaskan persoalan sekularisme.[2]

Ucapan Pembukaan Majlis

Ustaz Muhammad Firdaus Zalani, Pengarah Pemikir

Generasi pemikir baharu perlu kepada intelectual circle baharu. Perlu reformasi baharu dalam ummah. Abdul Rahman Azzam mengatakan kebangkitan Salahuddin al-Ayubi sebagai sunni revival yang dipelopori dua pemikar besar iaitu Imam Ghazali dan Nizhom al-Mulk. Oleh itu kita melihat bahawa perubahan umat itu mempunyai dasar intelektual. Kita mahu mematangkan pemikiran berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan dan isu yang menjalari umat pada hari ini. Tema besar perbincangan wacana kali ini ialah falsafah ilmu. Kita akan cuba simpulkan wacana ini dengan beberapa nota asas.

Kerancuan Falsafah Barat: Satu Penelitian Semula

Ustaz Mohd Suhail Sufian, Felo Pemikir

Peristiwa sejarah yang disepakati ialah penjajahan fizikal, aqidah, dan pemikiran. Persoalannya, selepas penjajahan ini, adakah kita menjadi diri kita yang sebenar? Selepas berlakunya penjajahan, ada golongan yang menerima sepenuhnya pemikiran Barat, mereka ini digelar oleh Amerika Syarikat sebagai moderate Muslim. Ada juga golongan yang menolak sepenuhnya kemasukan pemikiran Barat, dan cuba membangunkan negara mereka dalam satu model yang terpisah, contohnya Taliban di Afghanistan. Tetapi, kita juga tidak dapat menolak kemajuan yang dibawa Barat kepada dunia.

Pendirian Islam mestilah adil. Kita lihat dalam sirah sendiri, Rasulullah tidak menolak semua apa yang ada dalam Arab Jahiliyah apabila beliau datang membawa risalah Islam. Namun, kita tidak boleh juga mengambil semua dari Barat itu secara keseluruhan. Jika kita telan kesemuanya, apakah yang akan terjadi kepada nilai akidah, syari’at dan tasawwur Islam? Persoalan yang perlu kita jawab pada hari ini ialah:

  1. Adakah pemikiran Barat ini berdasarkan paksi akal yang mutlak?
  2. Adakah ia lahir dari progres sains sahaja?

Barat melawan gereja dan merasakan manusia boleh menentukan nasib mereka sendiri. Manusia menurut Barat boleh menggunakan “ratio” untuk mengukir takdir mereka. Perkataan yang digunakan ulama’ dalam melabel kekeliruan pemikiran Barat adalah al-tahafut, istilah ini tidak bermaksud kesesatan atau penolakan mutlak. Maka istilah yang lebih adil dalam kita bersifat dengan falsafah Barat juga bukan penolakan tetapi istilah “kerancuan” itu lebih sesuai digunakan, yang mengambarkan adanya kekeliruan dalam pemikiran mereka.

Apakah masalah kemajuan? Antaranya adalah depresi dan kenaikan harga barang, ini adalah masalah yang kita perlu selesaikan dalam kita cuba melahirkan satu pemikiran baharu yang tidak dapat diselesaikan oleh model pemikiran falsafah Barat. Dalam kita menafsir falsafah Barat, kita tidak boleh hanya menggunakan Al-Qur’an dan Sunnah, kerana berlakunya perubahan sejarah dan suasana, kita perlu menggunakan metodologi yang lebih luas dan bersesuaian. Walaubagaimanapun, Al-Qur’an dan Sunnah akan sentiasa dijadikan asas dalam metodologi kita. Ibnu Rushd misalnya, apabila menafsir Aristotle, tafsiran yang dibuat adalah secara keseluruhan, bukan sekadar memilih apa yang dirasakan betul sahaja, di sini kita melihat beliau lebih jujur dari tafsiran Barat yang selektif, metodologi Ibnu Rushd ini adalah satu penghargaan kepada penulis yang ditafsirkannya. Kerancuan falsafah Barat bukan kerana pengunaan akal secara mutlak, tetapi kerana adanya unsur lain seperti Mithraisme. Ada penyelewangan yang menyebabkan ia tidak selari dengan falsafah Islam yang bersepadu.

Kesan Modenisme Terhadap Krisis Nilai Barat

Mohd Nasir bin Mohd Tap, Kolej Dar al-Hikmah

Perbentangan ini adalah berdasarkan petikan dari buku Sekularisasi: Dari Kematian Tuhan ke Kematian Insan.[3] Lazimnya, apabila disebut moden, ia adalah satu fenomena yang diukur dengan kemajuan material. Permasalahan asas dalam moral adalah keadilan dan kezaliman, antara kezaliman terbesar adalah syirik kepada Allah. Kezaliman ini membawa bencana kepada hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar. Barat pada asalnya memiliki agama, pada peringkat primitif ia bersifat animisme dan dinamisme. Dari semangat ia berkembang kepada kepercayaan polytheisme dan kepercayaan dewa-dewi menurut John B. Taylor. Kepercayaan Barat kemudian berkembang lagi selepas Council of Nicaea, di mana agama Kristian menguasai Eropah. Namun agama ini mendapat kritikan daripada orang-orang Yahudi dan Islam. Kemudian lahir pula kritikan dari dalam Kristian sendiri seperti Martin Luther. Selain itu, wujud juga kritikan ahli sains dan falsafah yang merasakan konsep triniti sebagai tidak logik.[4]

Penghakisan kepada kepercayaan agama di Eropah disebabkan oleh sikap institusi gereja yang bersifat dogmatik. Gereja mendogmakan fahaman sains, padahal asalnya ia adalah fahaman yang berdasarkan kajian dan eksperimen. Auguste Comte dalam menyifatkan kehilangan agama mengatakan berlakunya perubahan dari tafsiran agama kepada tafsiran falsafah. Kemudian wujud pula idea penolakan Tuhan seperti yang ditulis oleh Voltaire dan dilihat dari munculnya idea kematian Tuhan oleh Nitzche, dari “power of will” kepada “will of power”. Hujungnya adalah peninggalan agama, tiadanya nilai yang tsabit, semuanya adalah subjektif, apa yang disebutkan sebagai zaman post-modernisme.  Juga wujudnya fahaman seperti positivisme yang  menganggap apa yang benar adalah apa yang boleh diukur dan dicerap sahaja.

Perlunya Dimensi Teknokratik Bagi Membendung Kesan Reduksionisme Liar

Prof. Madya Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja’afar, UPM

“The Great Chasm” atau jurang besar sebenarnya berlaku juga dalam bentuk diri kita sendiri dalam peringkat individu. Jika dalam kajian keselesaan dalam bangunan, keselesaan itu dipecahkan kepada suhu, kelembapan, aliran udara, pakaian – ini adalah kaedah saintisme yang bersifat reduksionis.[5] Tetapi manusia ada kebolehan adaptif. Manusia bukan mesin seperti yang difahami oleh pemikiran atomistik dan mekanistik.

Reduksionisme hanya mengukur perkara yang boleh diukur. Sains merupakan salah satu cara untuk mencari kebenaran, tetapi saintisme merupakan ideologi yang mengatakan sains adalah satu-satunya cara untuk mencapai kebenaran dan menolak metodologi lain. Reduksionisme adalah salah satu cara fikir yang relevan, namun apabila ia tidak bertuan dan tidak bertuhan, ia boleh menjadi satu bentuk keganasan dan bersifat liar.

Metod reduktionisme ini boleh kita lihat dalam aplikasi harian, Blooms taxonomy misalnya, yang memecahkan pencapaian manusia kepada domain-domain yang berasingan. Apabila diaplikasikan dalam pendidikan, ia melahirkan manusia yang tidak menyeluruh. Kita juga boleh melihat kepada apa yang disebut sebagai Mac Namara fallacy, di mana polisi dibuat berdasarkan nombor-nombor tanpa mengambil kira keadaan setempat dan strategi semasa. Masalah masyarakat tidak boleh diselesaikan dalam kepakaran-kepakaran yang terpisah tetapi mesti ada penyatuan dalam satu design thinking. Perlu kembalikan penulisan esei dan buku di universiti, kerana ia dalam sejarah berjaya menjentik dan menyentuh manusia.[6]

Saintisme Dalam Pembentukan Konsep Kebenaran Barat

Dr. Muhammad Ikhwan Azlan, UIS

Apakah definisi Barat? Satu pandangan alam tertentu berdasarkan satu proses sejarah. Walaupun dalam sejarah Barat mereka berseteru dengan Islam, ia juga dalam beberapa ketika mempunyai hubungan harmoni dengan Islam di beberapa tempat. Universiti kita juga sebenarnya dari Barat, walaupun ada institusi universiti Islam kuno, kerana rangka dan falsafahnya telah berbeza. Memahami masalah adalah sebahagian dari penyelesaian.

Barat juga tidak statik, mereka sentiasa re-invent itself. Dalam tradisi turath, tiada konsep pembahagian epistemologi kepada konsep correspondence, coherance, atau pragmatic. Banyak tokoh-tokoh Barat sebenarnya lahir dari institusi, mereka mempunyai patron. Barat juga mempunyai tradisi humanities yang kuat, dan Bible Studies mereka adalah antara bidang kajian terbesar dalam universiti mereka. Sains juga memerlukan imaginasi dan ia kadang kala dipandu oleh fiksyen. Pengislaman ilmu bukan bermaksud mengislamkan komputer, tetapi mengislamkan akal, yang merupakan unsur rohani, mengembalikan akal alam pemikiran Islam.[7]

Sesi Diskusi, Kritik Balas dan Soal Jawab

Prof. Madya Dr. Saiful Akram Che Cob

Kerancuan seolah memberi satu konotasi negatif terhadap falsafah Barat. Imanuel Kant dalam mengkritik akal budi mengatakan “wahyu menang total tatkala akal kalah mutlak”. Ada sumbangan Barat yang tidak boleh kita nafikan.

Dr. Ikhwan Azlan

Bagaimana kita hendak meng-Islam-kan semula pandangan alam (worldview)? Pandangan alam ini adalah berdasarkan akal, yang kadang kala disebut sebagai aksiom, cara kita memahami realiti. Barat bukan merujuk kepada masyarakat dan geografi, tetapi satu pemikiran tertentu. “Barat” digunakan sebagai label sahaja. Kita kena fahami semula bagaimana pandangan Islam terhadap alam. Kita juga perlu akui Barat kuat daya self-criticsim, yang perlu kita contohi.

Ustaz Suhail Sufian

Dalam kita melihat perbezaan-perbezaan pemikiran perihal ilmu yang kita rasa berlainan dan berlawanan antara satu sama lain, sebenarnya “hanya orang kurang ilmu sahaja kata lain”. Ini kita dapat lihat dalam aliran pemikiran Islam sendiri, Muktazilah misalnya merupakan frontliner dalam sejarah Islam melawan Kristian. Muktazilah mengatakan bahawa akidah Kristian merupakan satu yang mustahil mengikut akal. Dalam Al-Qur’an sendiri kita disuruh melihat alam. Salah faham kita pada konsep ilmu itu menyebabkan kita merasakan ia rancu. Sintesisnya adalah kepada falsafah ilmu. Kita akan adil pada Barat berbanding Barat terhadap diri mereka sendiri jika kita memahami falsafah ilmu sebenar.

Mohd Nasir bin Mohd Tap

Kita tidak mengikut Al-Qur’an jika kita merendahkan akal, kerana Al-Qur’an tidak merendahkan akal bahkan meninggikan akal. Akal ada hijabnya seperti yang disebut oleh Ibnu Qayyim, contoh hijab-hijab akal adalah syahwat dan kekeliruan. Muktazilah selalu disebut secara negatif sahaja, walhal ia hanya berkuasa pada tempoh singkat belasan tahun sahaja. Teori atom sebenarnya ada dalam Islam dengan tafsirannya sendiri, jadi perlu dibawa semula pengajian ilmu kalam. Kita boleh belajar misalnya dari Hassan Hanafi di Mesir tentang bagaimana kita mahu menilai Barat.

Rohaizir Abdul Rais, Pengasas Sekolah Islam Nur Al-Azhar, Port Dickson

Pelajar yang didedahkan kepada falsafah melahirkan pemikiran yang berbeza. Sains diajarkan pada peringkat awal, tanpa diketahui adanya ideologi dan falsafah Barat didalamnya oleh guru-guru yang mengajarkan sains itu. Falsafah juga perlu diajarkan kepada pelajar pada peringkat awal bagi membantu mereka menapis falsafah yang salah ini. Islamization of Knowledge itu akan menjadi dalam bentuk tempelan sahaja jika falsafah Islam itu tidak dibawa sekali dalam pendidikan.

Dr. Imran, Ahli Fizik, Universiti Malaya

Sejak Decartes, pemisahan manusia dan alam menjadi mutlak, ia diperkuatkan lagi oleh Kant. Isu falsafah hari ini menjadi isu seputar kebebasan buat manusia. Perlu mengembalikan peranan insan dalam ilmu.

Saudara Aqil

Masalah pemikir Islam, kita hanya tunjuk kerancuan pemikir dalam pemikiran Barat, tetapi kita tidak tunjuk bagaimana falsafah Barat itu contadict dengan aksiom mereka sendiri. Misalnya enlightment itu sendiri bersifat self-contradictory terutamanya dalam persoalan kebebasan.

Rumusan Oleh Para Pembentang

Dr. Muhammad Ikhwan Azlan

Self-criticism Barat tidak sampai kepada mereka menolak keseluruhan worldview mereka. Persoalan yang perlu kita rungkai adalah bagaimana kita hendak berdepan dengan Tamadun Saintifik pada hari ini? Universiti Islam dalam erti kata sebenar itu sendiri belum terjelma, kerana kita sendiri tidak faham apa yang al-Attas gagaskan.

Prof. Madya Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja’afar

Memang penting kita mengulas dalam pemikiran dalam domain falsafah, namun perlu juga kita berbahas dengan golongan teknokrat, saintis, dan teknologis, kerana mereka yang akhirnya akan melaksanakan falsafah ini dalam susunan kehidupan harian. Jika tidak, seratus tahun lagi kita akan membahaskan benda yang sama.

Mohd Nasir bin Mohd Tap

Islam sudah deal dengan tamadun luar sejak sekian lama. Kita tidak boleh jadi seperti golongan tradisionalis yang menjadikan Barat seperti mambang yang perlu kita jauhi, kita juga tidak boleh peluk, cinta, dan menyatu dengan falsafah Barat. Tetapi kita perlu menilai mereka dengan adil.

Ustaz Mohd Suhail Sufian

Jika kita keluar dengan 10 pandangan yang berbeza, maka itu adalah perkara yang biasa. Kita mahu wujudkan satu platform tempat kita boleh bincangkan topik yang taboo. Untuk lahirkan pemikiran baharu kita mesti berani bincangkan topik-topik yang dihindari. Siapa yang menanam pokok, dia akan dapat manfaat selagi pokok itu berbuah. Pokok yang paling bertahan lama adalah falsafah.

Rumusan Kepada Nota

Saya telah salin dan huraikan dengan ringkas sedikit sebanyak isi perbahasan yang dikeluarkan oleh pembentang dan pendiskusi dalam wacana ini. Di bahagian rumusan ini, saya mahu mengeluarkan pandangan sesuka hati saya sahaja perihal apa yang saya hadam, faham, dan rasa. Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ustaz Muhammad Amirul Asyraf bin Ahmad Kamal Zulkhairi yang menjemput saya ke wacana ini, baru saya sedar bahawa di Malaysia juga ada sebenarnya golongan pemikir. Saya sememangnya sudah sekian lama ingin bertemu beliau, akhirnya hasrat ini berjaya direalisasikan melalui wacana ini. Selain Ustaz Amirul, melalui wacana ini, saya juga akhirnya dapat bertemu dengan Dr. Saiful Akram buat kali pertama. Walaupun Dr. Akram banyak menulis dan berbahas dalam lapangan falsafah, saya pertama kali mengenali ranah pemikiran beliau melalui buku sejarah yang ditulis beliau.[8] Walaupun saya tidak pernah bertemu secara peribadi dengan beliau, beliau sudi memberi kata aluan kepada buku saya yang berjudul Lalang di Lautan Ideologi.[9] Setelah sekian lama berutusan di bumi maya, akhirnya dapat juga saya bertemu dengan Dr. Saiful Akram di bumi nyata.

Pada wacana kali ini, saya memilih untuk menjadi pendengar berbanding menjadi pembahas atau pendebat. Memang salah satu metodologi penghasilan ilmu itu adalah melalui kaedah argumentasi.[10] Tetapi saya merasakan ada kalanya metodologi yang lebih sesuai adalah dengan mendengar dan cuba memahami perbahasan. Saya tertarik dengan perbahasan ini kerana saya merasakan konsep sejarah tamadun Barat itu sendiri bermasalah dan mempunyai paradoks. Mauduk ini ada saya bentangkan dalam penulisan saya yang bertajuk Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.[11] Di dalamnya saya ada membawakan beberapa kontradiksi dalam pembentukan sejarah tamadun Barat itu, terutamanya dalam menyoroti akar tamadunnya yang dikatakan bermula dari Mesir Purba dan Mesopotamia, padahal kedua-dua tamadun kuno ini bukan berada di kawasan yang boleh dikatakan sebagai “Barat”. Selain itu, Barat juga banyak mengambil idea sains dan falsafahnya dari alam dunia lain termasuklah alam Islam, dan sering berlaku tidak jujur dalam menyatakan sumber idea mereka. Saya juga bersetuju dengan pandangan Edward Said bahawa konsep “Barat” dan “Orient” ini hanyalah merupakan ciptaan semata-mata.[12] Saya lebih cenderung kepada fahaman bahawa semua tamadun-tamadun ini adalah tamadun yang sama kerana mereka berinteraksi dan saling meminjam antara satu sama lain. Tetapi dalam tamadun yang satu ini, ada aliran fikir yang berbeza. Dalam wacana ini, saya meminati definisi yang dibawakan oleh Dr. Muhammad Ikhwan Azlan yang tidak menyempitkan falsafah Barat itu dalam ruang geografi tertentu, tetapi ia didasari oleh sifat-sifat tertentu.

Dalam isu saintisme, baik dari sudut apa yang dibahaskan di dalam wacana dan juga dari sorotan literatur dalam kertas kerja yang dibekalkan, semuanya dibahaskan dari sudut falsafah. Saya kira terdapat satu buku yang penting yang tidak disentuh oleh mana-mana pembentang. Buku yang saya maksudkan adalah buku yang bertajuk The Science Delusion tulisan Rupert Sheldrake. Buku ini saya rasakan penting dalam membahaskan saintisme kerana ia membahaskan subjek ini dari sudut pandangan ahli sains dan bukan sekadar dari pandangan falsafah. Misalnya dalam apa yang disebut sebagai fundamental constant dalam lapangan fizik. Sheldrake telah membahaskan bagaimana sebenarnya nilai-nilai ini tidak constant jika dibaca melalui eksperimen sebenar, tetapi ia kemudiannya telah disamakan melalui standard yang ditetapkan oleh ahli metrologi. Oleh itu nilai constant fizik yang digunakan bukanlah nilai dari alam realiti, tetapi dari ketetapan ahli metrologi.[13] Buku Sheldarake ini sangat menarik, sebab itulah saya telah memasukkannya dan mengulas panjang tulisan beliau dalam buku saya Intelektual Yang Membosankan.[14] Saya merasakan tulisan Sheldrake adalah bacaan wajib bagi memahami saintisme dan berasa sedikit janggal apabila ia tidak langsung disentuh.

Wacana ini secara keseluruhannya merupakan satu perbincangan yang sangat subur dalam mencambahkan pemikiran. Menjadi pemikir merupakan satu perkara yang dituntut oleh Islam. Ini boleh difahami dari pelbagai ayat Al-Qur’an yang bertanya “tidakkah kamu berfikir?”. Namun harus juga diingat, Al-Qur’an juga sarat dengan ayat-ayat tentang beramal. Seharusnya fikiran kita yang sudah lurus dan bersih akan menghasilkan amal yang lurus dan bersih juga. Setelah dibentangkan tesis dan anti-tesis, saya kira sintesisnya adalah amal kehidupan kita, natijah kejayaan falsafah adalah bertambah baik hubungan sesama manusia dan juga hubungan manusia dengan alamnya. Meminjam kata-kata seorang young Hegelian bernama Karl Marx “The philosophers have only interpreted the world; the point, however, is to change it”.[15] Maka marilah kita beramal dan mengubah dunia kepada yang lebih baik.

Bibliografi

Marx, K. (1969). “Theses On Feuerbach”, First Published: As an appendix to Ludwig Feuerbach and the End of Classical German Philosophy in 1888. Moscow, USSR: Progress Publishers.

Mohd Nasir Mohd Tap. (2019). Sekularisasi: Dari Kematian Tuhan Ke Kematian Insan. Akademi Kajian Ketamadunan.

Said, E. W. (1991). Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin Books.

Saiful Akram Che Cob. (2018). Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945): Manifestasi Simbolik, Retorik dan Satira Radikal. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Sheldrake, R. (2013). The Science Delusion. London: Coronet.

Syed Ahmad Fathi. (2022). Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press.

Syed Ahmad Fathi. (2022). Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur. Sesi Mengopi Bersama JC IIUM.

Syed Ahmad Fathi. (2023). Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates. Jejak Tarbiah.

Syed Ahmad Fathi. (2023). Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat. Academia Book Review.

Syed Ahmad Fathi. (2024). Intelektual Yang Membosankan. Petaling Jaya: Kenyalang Press.

Syed Hussein Alatas. (2015). Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Dewan Bahasa dan Pustaka.


[1] Rakaman wacana boleh dirujuk melalui pautan: https://www.facebook.com/pusatpemikirummah/videos/508378678824128

[2] Saya merasakan tarik-tali dan cubaan menapis pemikiran Barat dari pemikiran umat Islam ini merupakan satu proses yang sudah berlangsung begitu panjang. Misalnya jika kita membaca buku tulisan Syed Hussein al-Attas beliau ada membicarakan bagaimana terdapat idea-idea Karl Marx yang baik untuk diambil, tetapi kita tidak boleh menjadi Marxis kerana ada ideanya yang bertentangan dengan Islam. Rujuk Syed Hussein Alatas. Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015.

[3] Mohd Nasir Mohd Tap. Sekularisasi: Dari Kematian Tuhan Ke Kematian Insan. Akademi Kajian Ketamadunan, 2019.

[4] Saya berpandangan, di sini Mohd Nasir Mohd Tap cuba meringkaskan perkembangan kepercayaan Barat dari kepercayaan primitif animisme, kepada agama Kristian, dan kemudian kepada ateisme dan humanisme.

[5] Saya merasakan apa yang disebutkan oleh Mohamad Fakri Zaky Ja’afar ini mirip kepada apa yang ditulis oleh Rupert Sheldrake walaupun dalam bidang kajian yang berbeza. Sheldrake yang mengkaji lapangan biologi merasakan kaedah kajian yang membunuh hidupan, membelahnya, dan manganalisanya dari sudut-sudut yang terpisah merupakan metodologi kajian yang salah. Beliau mengkritik misalnya cubaan manusia mengkaji penyakit dari sudut DNA sahaja dalam Human Genome Project, walaupun berbillion dollar dihabiskan, satu perkaitan antara DNA dan penyakit tidak dapat pun dilakukan. Kerana penyakit bukan hanya dipengaruhi DNA. Lihat tulisannya dalam buku The Science Delusion.

[6] Saya merasakan saranan untuk membudayakan penulisan esei ini merupakan cadangan yang menarik dan jarang saya dengar, kerana saya fikir penulisan juga adalah sebuah proses fikir.

[7] Saya merasakan huraian Ikhwan Azlan ini sangat bagus terutamanya dalam memberikan satu definisi kepada Barat, Barat yang bukan diukur kepada batasan geografi tetapi dari sifat-sifat yang tertentu. Jika sifat itu ada dalam masyarakat Timur, mereka pun boleh dikategorikan sebagai Barat, huraian beliau ini banyak memetik pemikiran Naquib al-Attas. Wajar kiranya huraian ini dicermati dalam rakaman kerana nota ini tidak menangkap keseluruhan huraian beliau.

[8] Buku yang saya maksudkan adalah Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945): Manifestasi Simbolik, Retorik dan Satira Radikal. Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2018. Buku ini merupakan buku yang menarik perihal episod sejarah ketika Jepun menduduki Tanah Melayu, banyak juga perkara baharu yang saya belajar dari buku ini terutamanya perihal sosok-sosok nasionalis Melayu yang menyokong Jepun. Ada beberapa penulisan saya yang mana saya memetik idea dari buku ini.

[9] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022 (edisi kemaskini 2023).

[10] Metodologi argumentasi sebenarnya merupakan metodologi penghasilan ilmu sejak zaman kuno. Ini dapat dilihat dalam kaedah penghasilan ilmu dalam masyarakat Yunani misalnya. Rujuk misalnya tulisan saya yang bertajuk “Falsafah dan Metodologi Argumentasi Socrates”. Jejak Tarbiah, 2023.

[11] Syed Ahmad Fathi. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review, 2023.

[12] Edward W. Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin Books, 1991. Huraian panjang saya perihal idea beliau ada saya tulis dalam penulisan yang bertajuk “Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur.” Sesi Mengopi Bersama JC IIUM, 2022.

[13] Rupert Sheldrake. The Science Delusion. Coronet, 2013., hlm. 89-99.

[14] Syed Ahmad Fathi. Intelektual Yang Membosankan. Kenyalang Press, 2024.

[15] Karl Marx. Theses On Feuerbach.

Nota-Wacana-Kerancuan-Falsafah-BaratDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: Alam fikir Islam, Atiesme, Falsafah Barat, Falsafah Islam, Reduksionisme, Saintisme, Tamadun, Tamadun Saintifik, Worldview

Recent Posts

  • Koleksi Refleksi di IABF: Merayakan Seni dan Sastera
  • Book Review: The Devided State: Factional Structures and the Crisis of Democracy (2025) by Joonhong Park
  • Ulasan Buku: Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan
  • Dar al-Suhyuni: Apabila Ulama Islam Menjadi Neo-Orientalis
  • Alip Moose: “Beginilah Bila Bercakap Tak Tahu Apa-Apa”

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight