(Ulasan antologi ‘Mendidik Untuk Bahagia’)
Oleh : Izzuddin Khalis
Tulisan ini mungkin sedikit panjang atau overwritten bagi sebahagian pembaca. Kerana sepanjang saya membaca buku ini, kerap kali muncul berbagai persoalan tertentu di dalam benak fikir saya. Ia memaksa saya untuk merenung dan berfikir lama untuk memprosesnya. Jadi, penulisan saya ini mungkin tidak hanya terbatas kepada ulasan saya terhadap buku ini, tetapi turut menyentuh isu-isu dan persoalan tertentu yang berkait dengan intipati-intipati yang terkandung di dalamnya.
Tanggal 9 Disember tahun yang lalu, buku Mendidik Untuk Bahagia yang saya pesan dari senior merangkap penyusun dan penyunting bagi naskhah ini, Syed Ahmad Fathi, telah sampai ke tangan saya. Malangnya, sepanjang baki-baki hari penghujung tahun lalu, di atas kesibukan untuk melangsaikan tugasan-tugasan universiti yang tertangguh, saya hanya sempat membelek-belek naskhah ini di samping menghirup bau harum helaian-helaian kertas yang baru sahaja dicetak ini.
Alhamdulillah, pada awal Januari tahun ini dengan izin Allah, saya punya sedikit ruang untuk meluangkan masa-masa kosong untuk diisikan dengan bacaan-bacaan santai (leisure reading) sebagai terapi dan escapism buat diri setelah penat lelah minggu-minggu beraktivisma menyantuni mangsa-mangsa banjir di Hulu Langat dan waktu selebihnya bersengkang mata menatap skrin bagi menghabiskan assignment. Setelah menamatkan ‘Stigma’, sebuah novel fiksyen karangan Muharikah yang telah saya tulis resensinya (boleh dibaca di laman sesawang kalamkehidupan.home.blog) beberapa hari yang lalu, terus saya mencapai naskhah ini untuk meneruskan pembacaan saya.
Antologi Mendidik Untuk Bahagia ini, seperti yang dijelaskan oleh penyunting di dalam pengenalan buku ini, merupakan kumpulan tulisan, pengalaman, kisah, juga perkongsian perasaan para sukarelawan pendidikan SukaDidik. Bagi yang belum mengenali apa itu SukaDidik, ia adalah sebuah projek sukarelawan pendidikan yang dianjurkan oleh Biro Sukarelawan Pendidikan Persatuan Lepasan Matri (PLM) bagi pelajar-pelajar Marhalah Khassah (Tingkatan 6) dari Ma’had at-Tarbiyah al-Islamiyah (MATRI). Sepanjang setahun setengah mereka di MATRI, mereka perlu melalui dan lulus kesemua modul-modul Turuq Tadris (teknik-teknik mengajar) atau juga dikenali sebagai Latihan Asas Mendidik (LAM) yang merangkumi kelas-kelas teori dan amali bagi melayakkan mereka untuk dihantar sebagai sukarelawan pendidikan ke beberapa kawasan terpencil di Sabah seperti Lahad Datu dan Semporna, ataupun ke Satun (Thailand), Pulau Tuba (Langkawi) dan juga beberapa tempat lain mengikut permintaan dan keadaan tertentu setiap kali pasukan SukaDidik dihantar.
Jika di Sabah, kebanyakan sukarelawan SukaDidik akan ditempatkan di cawangan-cawangan Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang ada di sana. PPMI yang ditubuhkan pada 16 September 2011 merupakan sebuah pusat pendidikan alternatif yang menyasarkan anak-anak etnik minoriti (khususnya Bajau Laut atau Palauh) dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pembangunan aliran arus perdana negara. Uniknya PPMI ini, ia ditubuhkan dan dibina oleh komuniti setempat bahkan dioperasikan oleh mereka sendiri dengan bimbingan sebuah NGO yang dikenali sebagai HALUAN yang turut melibatkan badan serta agensi kerajaan. Antara cawangan PPMI yang telah ditubuhkan di Sabah adalah seperti di Kg. Tagupi Laut, Kg. Simuning, Kg. Hidayat (Semporna) dan banyak lagi yang tidak dapat saya sebutkan disini. Jika para pembaca ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan hal-hal yang telah disebutkan di atas, saya menyarankan anda untuk mendapatkan naskhah antologi ini dari media sosial SukaDidik.
Sejujurnya, saya amat mencemburui barisan penulis yang terlibat dengan penghasilan buku ini kerana saya tidak berpeluang untuk berkongsi pengalaman dengan mereka walaupun pernah menjejakkan kaki dan melihat sendiri anak-anak Sabah ini pada tahun 2015 sewaktu bertugas sebagai seorang jurufoto “tidak bertauliah” ketika mengiringi delegasi sebuah NGO tempatan. Tambahan pula, seperti mereka, saya turut melalui susur galur pendidikan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Marhalah Khassah, MATRI. Bahkan, sebahagian daripada mereka adalah segenerasi dengan saya ketika di MATRI. Tetapi sepanjang saya bergelar “budak Khassah” selama kurang lebih setahun setengah, saya belum cukup “tercerah” untuk menyedari betapa pentingnya sebuah proses untuk melayakkan diri menjadi seorang pendidik ummat. Saya akui sepanjang menuntut di MATRI, saya tidak dapat memberi komitmen yang baik ketika mengikuti pengajian Turuq Tadris. Tak dapat dinafikan ada ketika saya ponteng kelas oleh kerana guru kami, Ustaz Yazib bin Noh memberi kelonggaran kepada para pelajar untuk tidak menghadirkan diri ke kelasnya jika tidak berminat. Alhasilnya, saya tidak layak untuk mengikuti pasukan Sukadidik pada tahun tersebut. Maka, pesanan ikhlas dan tulus dari saya buat generasi Khassah hari ini dan yang akan datang agar tidak mengulangi kenaifan dan kesilapan yang sama.
Sejurus membaca kisah-kisah yang terkandung di dalam buku ini, saya seakan-akan dibawa mengembara bersama mereka di dalam menyantuni warga-warga tercicir dari pendidikan mainstream tanah air. Saya percaya penamaan judul buku ini sendiri sudah cukup untuk merumuskan perasaan yang boleh dikongsi bersama oleh penulis mahupun pembaca. “Bahagia”.
Bagi anak-anak bandar dan yang bernasib baik (privileged), mungkin rata-ratanya mengagumi watak-watak fiksi dari filem-filem atau animasi-animasi kegemaran mereka dan menganggapnya sebagai wira, idol, hero dan heroine bagi kehidupan mereka. Sebahagian daripada mereka mungkin meminati fiksi-fiksi dari Timur seperti Anime, mungkin karakter-karakter seperti Luffy (One Piece), Eren (Attack on Titan), Tanjiro (Demon Slayer) dan Saitama (One Punch Man) dan ada juga yang turut menggemari fiksi-fiksi barat seperti watak-watak dari Marvel Studios dan DC Comics.
Tetapi saya yakin, bagi anak-anak yang kurang bernasib baik ini pula, watak-watak relawan SukaDidik inilah yang menjadi wira dan wirawati mereka. Wajah-wajah inilah yang pernah hadir di dalam hidup mereka lalu mendidik, membimbing serta membebaskan mereka daripada peri peritnya kejahilan kepada nikmatnya berpendidikan. Istimewanya mereka, wira dan wirawati anak-anak ini wujud di dunia nyata. Mereka secara langsung dapat merasai sentuhan, kasih sayang, teguran, bebelan dan segala interaksi yang menghidupkan bersama wira-wira mereka. Berbanding dengan kita di sini, kita sejak dari kecil diasuh dan dibesarkan dengan wira-wira fiksi dan animasi yang pada hakikatnya tidak pun wujud di alam realiti (yang mungkin menginspirasikan, tetapi tidak dapat menghidupkan). Naif kan kita?
Setelah menyelami kisah-kisah mereka, saya percaya para sukarelawan ini tidak sekadar “sukadidik”, tetapi mereka adalah pasukan “cintadidik”. Mereka tidak mendidik hanya sebatas “suka-suka”, bahkan mereka mendidik dengan penuh rasa cinta. Dari rasa cinta inilah, muncul pengorbanan dan iltizam (kesungguhan luar biasa). Biar terpaksa meninggalkan keluarga tercinta, terpisah dan terasing dari kehidupan kota yang selesa, hidup di dalam keadaan yang serba kurang, sumber bekalan air bersih yang terhad, tempat menetap yang sering diceroboh kera, pagi dan petang berulang-alik ke perigi malah perlu bekerja serta mendidik di dalam suasana dhaif dan kurang kondusif. Kesemua cabaran ini telah menjadi rutin yang perlu mereka harungi sepanjang di sana. Betapa besarnya nilai cinta mereka kepada anak-anak tercicir ini yang telah mereka terjemahkan dengan beramal (bekerja) di medan realiti. Penulisan mereka bukanlah manifestasi yang berupa madah-madah kosong dan retorik semata. Penulisan mereka ini dibayar dengan harga pengalaman, titik peluh dan pengorbanan yang tidak boleh ditafsirkan lewat kata-kata.
Jika para ulama’ dahulu, mereka bermusafir dan merantau untuk mencari guru untuk bertalaqqi dan menuntut ilmu’, mereka ini pula berkelana untuk mendidik dan menyampaikan ‘ilmu kepada anak-anak terpinggir yang dahagakan pendidikan dan perhatian. Persis seperti penceritaan yang sering digambarkan oleh novelis Indonesia, Andrea Hirata di dalam karya-karyanya, khususnya novel “Guru Aini”. Jika watak utama di dalam novel tersebut, Desi Istiqomah, bermusafir jauh meninggalkan ibu, ayah dan tempat tinggalnya demi mencurah bakti dan ilmu kepada anak-anak kampungan dengan idealisme “matematik”nya. Mereka ini pula menyasarkan objektif yang lebih besar, iaitu membawa visi pendidikan asasi manusia, iaitu untuk membaca, menulis dan mengira, seiring dengan menyemaikan pendidikan agama. Memetik sepotong ayat yang diungkapkan oleh Guru Desi, “Seseorang tidak patut mendapat penghargaan kerana melakukan pekerjaan yang memang kewajipannya, seorang guru harusnya berbuat lebih daripada sekadar mendidik.”
Kerana itu saya berpandangan bahawa, kesanggupan generasi muda watan ini untuk menempuh getir dan perih dengan merantau jauh demi kemaslahatan pendidikan anak-anak bangsa yang tercicir, seiring dengan keghairahan dan tekad anak-anak tercicir ini untuk menuntut ilmu sedaya upaya mereka; telah menjadi bukti bahawa pribumi tanah ini tidak malas! Hanya elitis yang Eurosentris dan bersikap apologetik terhadap kolonialisme sahaja yang masih terkurung di dalam naratif “pribumi malas” itu.
Suka saya untuk membawa para pembaca menaakuli pemikiran seorang intelektual pendidikan yang berasal dari Brazil, Paulo Freire yang terkandung di dalam magnum opusnya, Pedagogy of The Oppressed (Pendidikan Kaum Tertindas). Freire bukanlah seorang aristokrat yang datang dari keluarga borjuis yang hidup serba senang dan selesa. Cukuplah untuk digambarkan kehidupannya ketika kecil tidak lebih dari sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bahkan, beliau membesar di sebuah perkampungan yang dihuni oleh masyarakat yang miskin, tersisih dan terabai kebajikan mereka, khususnya dalam soal pendidikan. Maka, dengan pengalaman dan pemerhatian secara empiris Freire terhadap masyarakat yang menjadi sebahagian dari hidupnya, dia merasakan bahawa perlunya kepada sebuah anjakan paradigma yang radikal bagi mereformasi sistem pendidikan sedia ada kepada sebuah pedagogi pendidikan yang membebaskan.
Bagi Freire, sebuah proses pendidikan itu tidak boleh terjadi secara autoritarian. Beliau memberi perumpamaan pendidikan yang autoritarian ini adalah seperti proses transaksi perbankan. Pemindahan ilmu dari seorang pendidik (guru) kepada yang dididik (pelajar) tidak seharusnya berlaku seperti proses pemindahan wang dari suatu akaun bank yang berisi kepada akaun bank lain yang tidak berisi. Jika pendidikan difahami dengan cara ini, maka ia akan menisbahkan guru sebagai pihak yang cerdik dan berkuasa manakala pelajar pula sebagai pihak yang bodoh dan lemah. Dikotomi “cerdik” dan “bodoh” inilah yang akan membuka ruang kepada pendidik untuk bersikap autoritarian dan dominan sejurus memaksa pelajar untuk menerima bulat-bulat serta menjadi tukang angguk terhadap segala ilmu dan pandangan gurunya tanpa banyak soal. Sami’na wa atho’na.
Matlamat pendidikan menurut Freire, seharusnya berakhir dengan terbentuknya sebuah masyarakat yang mempunyai kesedaran kritikal (critical conciousness). Daripada kesedaran itu, mereka mampu mengeluarkan diri mereka daripada ketidakadilan secara mandiri. Oleh itu, proses pendidikan yang autoritarian tidak terpakai buat kaum tertindas bagi mencapai matlamat ini. Kerana ia akan membuka ruang penindasan yang akan terus berlaku secara sistemik, menggagalkan matlamat pendidikan serta melumpuhkan emansipasi (kebebasan) sejagat.
Jadi apakah jalan keluar kita daripada pedagogi yang menindas ini?
Dialog, tambah Freire, adalah jalan keluar bagi mengatasi permasalahan pedagogi yang autoritarian ini. Kata beliau, “through dialogue, the teacher of the students and the students of the teacher cease to exist and a new term emerges: teacher-student with students-teachers…. [T]he teacher is no longer merely the one who teachers, but one who is himself taught in dialogue with the students, who in their turn while being taught also teach”. “Dialog” di sini bukanlah bermaksud kebiasaan orang-orang ternama berbahas dan beretorik di pentas wacana. Tetapi, dialog yang dimaksudkan oleh Freire ialah interaksi antara pendidik dan pelajar yang bebas dari sebarang elemen hierarki dan autoriti. Guru mahupun anak murid, kedua-dua posisi tersebut menggalas amanah kemanusiaan yang sama, iaitu saling mempelajari antara satu sama yang lain. Bukan hanya si pelajar yang harus belajar, tetapi si guru pun turut sama belajar dari anak didiknya. Oleh yang demikian, saya melihat bahawa hakikat menjadi sukarelawan pendidikan sangat berkait rapat dengan deskripsi pedagogi yang Freire bawakan.
Khulasahnya, saya berterima kasih kepada para sukarelawan SukaDidik yang telah berani untuk berkarya biarpun mungkin ada dari kalangan mereka baru kali pertama menulis. Saya percaya dengan penerbitan naskhah antologi ini, mereka tidak sekadar berjaya mendidik anak-anak bangsa yang tersisih dari arus perdana, mereka juga telah berjaya menyedarkan masyarakat awam yang lainnya tentang ketidakadilan sosial yang masih berlaku hingga ke hari ini. Seperti yang telah ditegaskan oleh penyunting di dalam antologi ini, “Penulisan yang jujur sebenarnya adalah penulisan yang paling berharga, paling mudah berjaya untuk masuk ke dalam hati-hati manusia…nasihat yang telah kita tinta ini akan lebih bernafas panjang.”
Tamat.
Siapa aku? Aku pun tidak tahu.