The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Forum Warisan Pulau Pinang Singkap Asal-Usul Sejarah Awal Pulau Pinang

October 30, 2025 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

PULAU PINANG, 30 Okt — Forum Warisan Pulau Pinang 2025 bertemakan “Sejarah Awal Pulau Pinang: Arkeologi, Persejarahan dan Komuniti” telah berlangsung dengan jayanya pada Khamis, bertempat di Dewan Utama, Desasiswa M08 RST, Universiti Sains Malaysia (USM). Forum yang bermula jam 8:30 pagi hingga 2:00 petang itu menghimpunkan para sarjana dan pengkaji warisan bagi menyelusuri lapisan sejarah awal Pulau Pinang dari perspektif arkeologi, kolonial dan kemasyarakatan.

Program ilmiah anjuran Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM ini menampilkan empat pembentangan utama oleh tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang masing-masing, yang memperkukuh pemahaman terhadap asal-usul Pulau Pinang sebagai sebuah wilayah yang kaya dengan sejarah pelbagai tamadun dan bangsa.

Penemuan Arkeologi Guar Kepah

Pembentangan pertama bertajuk “Kronologi Sejarah Awal Pulau Pinang” disampaikan oleh Prof. Dr. Stephen Chia Ming Soon, yang menelusuri aspek arkeologi penting di Guar Kepah, Seberang Perai Utara. Beliau menjelaskan tentang penemuan rangka manusia yang dianggarkan berusia antara 4,000 hingga 5,000 tahun, sekali gus membuktikan kewujudan komuniti prasejarah di kawasan berkenaan.

Prof. Chia turut memperincikan penyelidikan terdahulu oleh beberapa arkeologis ternama seperti George Winsor Earl, F.W. Huxley, I.H.N. Evans, P.V. Van Stein Callenfels, W.A. Mijsberg dan J.M. Matthews, serta membandingkan penemuan di Guar Kepah dengan lokasi lain di Malaysia termasuk penemuan terkenal “Deep Skull” berusia 40,000 tahun dari Gua Niah, Miri, Sarawak.

Hubungan Awal Pulau Pinang–Kedah Berdasarkan Surat-Surat Francis Light

Kertas kedua oleh Prof. Datin Dr. Mahani Musa pula menumpukan kepada hubungan diplomatik dan sejarah antara Pulau Pinang dan Kedah dari tahun 1786 hingga 1794, berdasarkan surat-surat Francis Light. Kajian ini menyingkap sudut pandang sejarah yang jarang dibicarakan mengenai rundingan, peranan serta impak kehadiran British terhadap Kedah dan pembentukan identiti awal Pulau Pinang.

Menurut Prof. Mahani, persoalan yang ingin dijawabnya adalah apabila Kedah kehilangan satu kawasan yang sangat signifikan seperti Pulau Pinang, apakah yang dilakukan Sultan dan apakah yang ditulis oleh orang Kedah perihal kehilangan besar ini. Dalam rekod sejarah, sebenarnya rampasan Pulau Pinang yang dilakukan oleh Francis Light sebenarnya telah dikutuk oleh pentadbir British seperti Anderson dan Swettenham. Dalam bukunya British Malaya, Swettenham menyifatkan tindakan Light sebagai “pengecut”. Antara perkara menarik yang diterangkan oleh Prof. Mahani adalah perihal R. Bonney yang merupakan pengkaji awal perihal peristiwa rampasan Pulau Pinang dari Kedah. Bonney bukanlah seorang berketurunan British, tetapi seorang Ceylonese. Dalam analisisnya, Prof. Mahani Musa mendapati bahawa Sultan Kedah bertahan dengan perangai buruk Francis Light sebagai satu imbangan yang perlu dilakukan bagi melindunginya dari ancaman Siam.

Bahagian Sejarah USM bergambar dengan Prof. Mahani Musa. Dari kiri, Dr. Abdul Rahman bin Mad Ali, Syed Ahmad Fathi, Dr. Tan Chee Seng, Dr. Dunita Nabila A. Rahimin, Prof. Mahani, Dr. Siti Noor Hafizah binti Mohamed Sharif, dan Dr. Norasmahani binti Hussain.

Era Presidency East India Company (1805–1830)

Sesi ketiga menampilkan Marcus Langdon, seorang penyelidik sejarah kolonial yang membentangkan topik bertajuk “East India Company Penang – The Presidency Era (1805–1830)”. Beliau menghuraikan tentang Regulating Act 1773 yang meletakkan Syarikat Hindia Timur sebagai wakil kedaulatan British di Timur, serta mengupas perkembangan politik dan sosial Pulau Pinang ketika di bawah pentadbiran Presidency.

Marcus turut berkongsi dapatan menarik daripada bancian tahun 1809 dan 1828 yang mencatatkan pertumbuhan populasi Pulau Pinang dan Seberang Perai (Province Wellesley), serta meneliti lakaran tahun 1830 oleh Lt. Woore R.N. yang menggambarkan landskap awal Pulau pinang termasuk Kuil Kuan Yin di Pitt Street, Kuil Siam di Burmah Lane, Makam Chewan (Koh Lay Huan) di Batu Lanchang, serta perkampungan nelayan Melayu dan pelabuhan awal di sekitar George Town.

Kepelbagaian Komuniti Awal di Pulau Pinang

Forum diakhiri dengan pembentangan oleh Clement Liang dari Penang Heritage Trust bertajuk “Settling in Penang: The Story of Migration”. Beliau menelusuri sejarah kemasukan pelbagai bangsa dan komuniti ke Pulau Pinang, termasuk masyarakat Cina Laokeh dan Sinkeh, serta komuniti Jepun, Armenia, Yahudi, Siam, Jerman, Perancis, Acheh, dan India. Pembentangan ini menonjolkan Pulau Pinang sebagai sebuah titik pertemuan budaya yang unik dan inklusif sejak abad ke-18.

Forum Warisan Pulau Pinang 2025 bukan sahaja memperkukuh wacana akademik tentang sejarah awal negeri ini, malah membuka ruang baharu untuk memahami kepelbagaian identiti, peradaban dan warisan Pulau Pinang sebagai sebuah entiti sejarah yang terus hidup hingga kini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: Bahagian Sejarah, Clement Liang, Forum Warisan Pulau Pinang, Marcus Langdon, Prof. Datin Dr. Mahani Musa, Prof. Dr. Stephen Chia Ming Soon, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Sejarah Awal Pulau Pinang, syed ahmad fathi, usm

Recent Posts

  • Forum Warisan Pulau Pinang Singkap Asal-Usul Sejarah Awal Pulau Pinang
  • Teks Penuh Perjanjian Dagang Amerika Syarikat – Malaysia 26 Oktober 2025
  • Book Review: A Short Mental Break with Ibnu Khaldun
  • Diskusi Ilmiah dan Pelancaran Buku “Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida” di Astaka Fikir
  • Kita Tidak Akan Sujud Mencium Kaki Anjing Imperial Jahiliyah

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight