sumber foto : Jakarta Globe
IMDB Rating : 7.6/10
Author Rating: 9/10
Sejujurnya jiwa saya tersentuh dengan lakonan Cut Mini Theo sebagai “Bu Mus” di dalam filem “Laskar Pelangi”. Lalu ia membuatkan saya terpanggil untuk menonton filem ini yang watak utamanya iaitu Athirah juga diterajui oleh Cut Mini Theo, di samping posternya yang penuh teka-teki.
Filem Athirah ini atau judul lainnya “Emma” di pentas internasional (atau dalam bahasa melayunya “Emak”) merupakan filem tahun 2016 arahan sutradara Indonesia, Riri Riza. Filem ini diadaptasi dari novel biografi Hajjah Athirah Kalla, iaitu ibu kepada Jusuf Kalla (Wakil Presiden Indonesia ke-12) karangan Alberthiene Endah.
Filem ini berkisar tentang kehidupan Athirah sebagai seorang isteri dan ibu bersama suaminya Puang Ajji yang pada awalnya berhijrah ke Makassar. Mereka lalu mendirikan sebuah perniagaan di Kota Makassar sehingga berjaya dan digelar saudagar paling kaya di kota itu.
Puang Ajji digambarkan sebagai seorang yang taat pada tuntutan agama dan sering menyumbang pada badan kebajikan. Akhirnya pada suatu masa, Puang Ajji sering lewat pulang ke rumah dan kadangkala kerap ke luar kota dengan alasan kerja.
Keadaan ini menimbulkan buah mulut orang ramai. Athirah mengesyaki seperti ada yang tidak kena lalu dia menyelidik perkara sebenar dengan menyoal pekerja Puang Ajji, Daeng Rusdi. Akhirnya Daeng Rusdi meceritakan bahawa Puang Ajji telah berkahwin dengan isteri yang ke dua di Jakarta.
Mengetahui hal sebenar, Athirah mula berperang dengan perasaannya sendiri. Dia berada di dalam konflik demi mempertahankan keluarga tercintanya. Puang Ajji cuba untuk memujuk isterinya dengan alasan bahawa dia tidak sesekali lupa pada tanggungjawabnya dan sering mengingatkan anak-anaknya tentang soal agama.
Kehidupan Athirah dan anak-anaknya mulai berubah.
Di sinilah titik tolak konflik kehidupan yang sering melanda Athirah serta anak lelakinya, Ucu. Akhirnya Athirah membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya untuk menenangkan fikiran.
Di kampung, ibunya menceritakan bagaimana kesusahan yang menimpanya di zaman penjajah Belanda dan kisah bagaimana asal-usul keluarganya sebagai penenun kain. Dari situ Athirah tertarik dengan seni tenunan sutera dan akhirnya dia menjadi seorang usahawan kain yang berjaya. Athirah kerap membeli emas dari hasil jualannya untuk di simpan sebagai tabungan.
Pada suatu masa, Indonesia mengalami kegawatan ekonomi yang sangat teruk. Nilai mata wangnya jatuh merudum. Perniagaan Puang Ajji merosot dan akhirnya beliau tidak mampu membayar gaji pekerjanya.
Di akhir cerita, Puang Ajji kembali ke rumah dan Athirah menyerahkan kesemua barang kemas, hasil titik peluhnya kepada Puang Ajji. Melihat kesetiaan Athirah, dia tertunduk malu dan menangis.
Mesej yang dibawakan filem ini begitu jelas menggambarkan pengorbanan seorang isteri yang setia dan taat pada suaminya. Ia juga memberikan suatu gambaran bahawa poligami sedikit sebanyak mampu memberikan kesan kepada institusi kekeluargaan kerana tentangan adat dan budaya.
Filem ini telah berjaya meraih 6 Piala Citra di Festival Film Indonesia 2016. Filem ini juga telah dipilih dan ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa seperti Kanada, Korea dan Jepun.
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.