Otak manusia merupakan satu ciptaan yang mengkagumkan. Kita bukan sahaja boleh mengawal pergerakan badan dari dalam, tetapi mampu menganalisa dunia luar. Otak kita berbeza dengan makhluk lain seperti haiwan yang tidak mampu mencipta konsep dan teori abstrak melangkaui batasan dunia fizikal. Contohnya konsep kenegaraan tidak dapat difahami oleh monyet, jadi monyet dari Indonesia tidak berasa takut atau bersalah merentasi sempadan hutan dan memasuki hutan negara Malaysia.
Namun otak yang kompleks ini mempunyai batasan, kita mempunyai batasan dari sudut memori sebagai contoh. Kita mungkin dapat mengingati sesuatu peristiwa sebagai contoh, tetapi kita akan melupainya beberapa tahun akan datang. Atau kita mengingati peristiwa tersebut, tetapi kita lupa akan setiap perincian peristiwa itu. Contohnya kita ingat bahawa kita pernah memasuki sekolah rendah, tetapi lupa akan warna beg sekolah kita pada masa tersebut.
Disebabkan keterbatasan otak dan memori, manusia mula mencipta sistem tulisan, agar peristiwa, maklumat, dan ilmu dapat dikumpulkan, dipelihara, dan diwariskan kepada generasi akan datang. Seorang tabib yang hidup 100,000 tahun yang lampau sebagai contoh, ilmu tabibnya akan mati dan hilang selepas matinya dia. Generasi selepasnya perlu mengumpul semula maklumat dari sifar, membuat kesilapan yang sama, mungkin hanya sedikit ilmu yang dapat diwariskan secara oral. Tetapi tabib yang hidup pada tahun 2019 boleh mewariskan ilmu dan pengalamannya dalam tulisan jurnal, buku, blog dan sebagainya. Manakala generasi seterusnya boleh mendapat ilmu dari tinggalan tulisan ini, dan pengumpulan ilmu itu boleh ditambah pada peringkat baru yang lebih tinggi, tidak perlu dimulai dari sifar semula.
Penciptaan tulisan dan pembukuan merupakan satu revolusi yang mengubah bagaimana manusia hidup pada hari ini. Carl Sagan ketika membicarakan berkenaan dengan buku dan pembacaan menyatakan bahawa buku merupakan sesuatu yang bersifat magikal, yang membolehkan seseorang manusia berinteraksi dengan manusia di abad lain, yang mungkin sudah ratusan tahun meninggalkan dunia. Sebagai contoh, kita boleh mengetahui apa yang difikirkan oleh Annelies Frank 74 tahun yang lalu ketika dia bersembunyi dari tentera Nazi. Kita dapat tahu apa perasaannya, bagaimana emosinya setiap hari walaupun kita mungkin belum wujud pada ketika itu, kita tidak pernah berjumpa dengannya, malah kita tidak fasih berbahasa German. Perkara ini dibolehkan dengan penulisan diari, melalui usaha penterjemahan dan pembukuan.
Namun mungkin kebanyakan dari kita merasakan bahawa menulis dan membaca merupakan sesuatu benda yang biasa. Apa yang magikal tentang pembacaan sedangkan kita sudah pandai membaca sejak dari tadika?
Kita telah terbiasa dengan menggunakan membaca dalam aktiviti harian, seperti membaca papan tanda untuk mencari arah, membaca arahan kerja untuk melakukan tugas, tiada yang unik. Seperti kita telah terbiasa mengangkat gelas berisi kopi latte, ia tidak ajaib kecuali jika tangan kita telah diishtiharkan lumpuh oleh doktor. Kita akan merasakan ia sesuatu yang ajaib, seperti yang dirasai oleh Sagan jika kita menggunakannya untuk membaca bahan ilmu yang dikumpul manusia zaman berzaman melalui penulisan dan pembukuan.
Kita tidak perlu menjadi panglima perang untuk mengetahui bahawa dalam peperangan sistem logistik merupakan antara faktor penentu menang atau kalahnya sesebuah tentera. Kita tidak perlu mengambil risiko menyertai perang yang mungkin boleh mengorbankan nyawa kita. Kita boleh belajar dari kesilapan orang lain melalui pembacaan. Kita boleh membaca kisah kegagalan Jeneral Alexander Samsonov dalam pertembungan di Tannenburg dalam buku yang ditulis oleh Barbara Tuchman dalam bukunya The Gun of August sebagai contoh.
Kita juga tidak perlu mencipta mesin masa untuk kembali melihat peradaban manusia zaman silam, kita dapat memahami kehidupan tamadun silam dengan membaca tulisan pengembaraan Ibnu Khaldun dalam bukunya Muqaddimah. Atau mungkin kita hendak membaca nasihat tentang kehidupan dari seorang tua yang sedang terlantar sakit, kita tidak perlu ke hospital, kita boleh membaca buku Tuesday with Morrie.
Jika manusia yang telah mati tetapi masih hidup digelar hantu. Kebanyakan buku sebenarnya adalah hantu, ia merupakan cebisan minda manusia yang masih mampu berkomunikasi dengan manusia lain, walaupun jasad asal penulis telah mereput lama di makam-makam perkuburan.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.