Sejarah adalah kumpulan cerita berkenaan dengan peristiwa dan manusia di masa lalu. Howard Zinn berkata bahawa orang yang tidak mempelajari sejarah umpama anak kecil, yang tidak mempunyai pengalaman lampau. Dia mudah diperdaya oleh orang lain. Dalam susur galur sejarah kita membaca bagaimana pemimpin-pemimpin megah jatuh dari takhta kuasa. Kuasa yang dipegang seolah-olah kebal akhirnya runtuh umpama tanah di lereng bukit yang dimajukan di Pulau Pinang. Nampak gah diluar tetapi asasnya terhakis, kuasa yang korup akhirnya akan jatuh juga.
Ferdinand Marcos di Filipina merupakan antara kisah sejarah yang wajar kita ambil pengajaran. Marcos merupakan presiden Filipina ke-10 bermula pada tahun 1965. Beliau memerintah secara diktator dan mengunakan undang-undang tentera. Beliau terkenal dengan korupsi, kemewahan dan pemerintahan yang brutal. Beliau jatuh dari takhta kuasa pada tahun 1986 melalui People Power Revolution. Beliau kemudian lari meninggalkan Filipina dan tinggal di Hawaii. Isteri beliau, Imelda Marcos meninggalkan 508 baju gowns, 888 beg tangan dan 1060 pasang kasut di Istana Malacanang. Marcos menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1989 di Honolulu, Hawaii.
Viktor Yanukovych juga merupakan kisah sejarah yang wajar kita pelajari. Yanukovych dilantik menjadi presiden Ukraine ke-4 pada tahun 2010. Yanukovych tinggal di sebuah kompleks mewah yang dinamakan Mezhyhirya yang bernilai 300 juta USD, yang kini telah diubah menjadi muzium yang memaparkan kehidupan mewah beliau. Kejatuhan beliau dari kuasa bermula dengan protes kecil yang dipanggil Euromaidan, yang menolak polisi pro-Moscow beliau, protes ini merebak ke skala nasional apabila polis mula menggunakan kekerasan. Beliau kemudian melarikan diri ke Russia pada tahun 2014.
Zine El Abidine Ben Ali merupakan presiden Tunisia ke-2 dari tahun 1987 hinggalah beliau digulingkan pada tahun 2011. Beliau dianggarkan mengumpul kekayaan sebanyak 17 billion USD di akaun-akaun luar negara termasuk Argentina, Cayman Islands, Virgin Islands, Qatar dan UAE. Protes rakyat bermula apabila Mohamed Bouazizi, seorang peniaga sayur jalanan membakar diri apabila barang jualannya dirampas pihak berkuasa. Protes ini kemudian merebak menjadi revolusi rakyat yang marah dengan kadar pengangguran tinggi, harga barang makan yang mahal, korupsi dan sekatan kebebasan politik dan bersuara. Ben Ali kemudiannya melarikan diri ke Arab Saudi dan mendapat suaka politik.
Najib Razak merupakan perdana menteri Malaysia ke-6 dari tahun 2009 hingga 2018. Beliau telah memperkenalkan GST pada era pemerintahan beliau bagi mengimbangi pendapatan kerajaan yang berkurangan apabila harga petrol dunia menurun. Langkah ini tidak disenangi kebanyakan rakyat. Semasa pemerintahan beliau juga telah berlaku skandal 1MDB yang mengumpulkan hutang yang dianggarkan sebanyak 12 billion USD. Serbuan polis ke rumah beliau mendapati 1400 tali leher, 567 beg tangan, 2200 cincin, dan 423 jam tangan dirampas. Najib tewas dalam pilihanraya ke-14 pada 9 Mei 2018. Setelah tewas Najib melarikan diri ke facebook dan mula memuat naik status troll terhadap Lim Guan Eng.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.
Leave a Reply