Beberapa hari lepas, saya ada melihat video yang kini sedang viral di pelbagai medium media sosial; video tentang seorang pelawak bernama Jocelyn Chia yang mencarut dan menjadikan nama negara Malaysia sebagai modal lawak jenakanya di sebuah rancangan komedi di Amerika. Pada waktu saya menonton video itu, situasinya tidaklah teruk seperti sekarang kerana mungkin ramai yang masih belum tahu kewujudan video itu.
Hari ini, hal mengenai Jocelyn Chia ini turut dikemukakan di sidang parlimen Malaysia dan pihak kedutaan Singapura di Malaysia pula telah tampil memberikan kenyataan rasminya.
Jujur saya katakan bahawa saya boleh dikatakan sebagai salah seorang pencinta stand-up comedy yang sering menonton rancangan-rancangan seperti ini di Netflix. Antara yang menjadi pilihan saya adalah Dave Chappelle kerana cara penyampaiannya lebih kearah diskusi santai berbanding dengan konsep tipikal komedi dan isinya pula menyentuh perkara-perkara semasa yang berkaitan dengan Amerika. Bagi saya Dave adalah figura unik dan intelligent dalam dunia komedi. Dia berhasil menyampaikan pendapatnya bagi sesuatu perkara yang kadang kala memberikan kita pandangan baharu dari perspektif yang berbeza dalam gaya yang penuh humor.
Antara komedi yang saya boleh bagi 5 bintang adalah Delirious, oleh pelawak Eddie Murphy pada tahun 1983. Komedi ini boleh dikatakan antara komedi yang terbaik pernah dihasilkan sehingga hari ini. Tidak pula saya dengar Eddie memaki hamun orang lain dalam persembahannya yang berdurasi satu jam lebih itu.
Jocelyn pula kononnya membawa karakter seorang komedian yang lebih agresif dan menggunakan ayat yang kasar dalam material penyampaiannya. Tidak dinafikan dalam dunia komedi, penggunaan ayat seperti ini kadang kala lebih tepat dan membantu dalam menyampaikan material lawak oleh komedian. Namun bila sebuah tragedi yang melibatkan nyawa manusia seperti kehilangan pesawat MH370 dijadikan bahan lawak dan sindiran, maka menurut saya (dan jutaan rakyat Malaysia yang lain) Jocelyn telah ‘crossed the line’.
Apa yang membuatkan saya lebih marah adalah bila ada rakyat Malaysia yang lain seperti Dr. Jason Leong yang seakan-akan setuju dan suka dengan apa yang disampaikan oleh Jocelyn. Walhal nama baik negara kita telah dicarik-carik dan dipijak-pijak atas nama komedi oleh orang luar yang tiada kena mengena dengan negara tercinta ini. Maka Dr. Jason ini bolehlah saya umpamakan seperti si Kitol zaman moden. Jika ada seribu lagi orang seperti dia, maka gelaplah masa depan dan identiti negara kita.
Seharusnya sebagai seorang pelawak profesional dan pernah menjadi warganegara Singapura, Jocelyn patut tahu membezakan apa yang boleh dijadikan bahan jenaka dan apa yang harus dijauhi, seiring dengan cara dan budaya bila berbicara tentang negara ini. Mungkin perkara ini tidak menjadi masalah di sana, namun harus diingat bahawa Amerika dan Malaysia berdaulat ini adalah dua negara yang berbeza.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.