Sejarah
Kapal Van der Wijck sangat sinonim dengan salah satu karya tulisan Hamka, iaitu Tenggelamnya Kapal Van der Wicjk yang di terbitkan pada 1939. Karya ini begitu popular pada waktu itu bukan hanya kerana plotnya yang sangat menyentuh perasaan malah pernah menjadi kontroversi kerana dikatakan sebuah plagiat dari karya Jean-Baptiste Alphonse yang berjudul Sous les Tilleuls.
Namun, adakah kapal Van der Wijck ini merupakan kapal sebenar atau hanya sekadar rekaan dari Buya Hamka?
Jawapannya ya, kapal ini memang wujud di dunia nyata. Kapal Van der Wijck ini merupakan sebuah kapal penumpang yang dimiliki oleh syarikat Belanda, Koninklijke Paketvaart Maatschappij (KPM) Amsterdam. Nama kapal ini diambil sempena nama Gabenor Jeneral Hindia-Belanda yang ke-56 iaitu Carel Herman Aart van der Wijck yang berkhidmat dari tahun 1893 hingga 1899.
Kapal ini dibina pada tahun 1921 di Maatschappij Fijenoord N.V. Rotterdam. Seperti kapal-kapal lain pada zaman itu, kapal Van der Wijck ini merupakan kapal yang menggunakan enjin wap. Kapal ini juga mempunyai panjang 97.5 meter, lebar 13.4 meter, dan tinggi 8.5 meter disamping mampu membawa 60 orang penumpang kelas pertama, 34 orang penumpang kelas kedua dan kira-kira 1000 penumpang biasa.
Tragedi Westgat
Pada 20 Oktober 1936, kapal ini dijadualkan untuk berlayar dari Surabaya ke Tanjung Priok. Mengikut laporan akhbar Pandji Poestaka yang bertarikh 23 Oktober 1936, kapal ini dikemudi oleh B.C Akkerman selaku kapten kapal pada waktu itu. Menurut akhbar yang lain, kapal Van der Wijck ini juga dilaporkan membawa kira-kira 250 orang penumpang berserta kargo yang terdiri dari kayu dan besi ketika mula berlayar dari Surabaya.
Setelah beroperasi selama 15 tahun, akhirnya kapal ini tenggelam kira-kira 22 batu nautika di sebelah barat laut Surabaya, di kawasan yang dikenali sebagai Westgat. 8 buah pesawat jenis Dornier Seaplane yang berupaya untuk mendarat di permukaan air telah dikerahkan untuk usaha mencari dan menyelamat disamping dibantu oleh bot-bot nelayan tempatan yang berhampiran.
Menurut akhbar The Queenslander yang bertarikh 22 Oktober 1936, seramai 153 penumpang telah berjaya diselamatkan manakala 70 penumpang dilaporkan hilang.
Sebuah persidangan telah diadakan di Betawi oleh lembaga perkapalan pada waktu itu untuk menyiasat punca kemalangan ini. Keupayaan Kapten B.C Akkerman menjadi salah satu faktor yang dipersoalkan pada waktu itu kerana beliau hanya sempat mengendalikan S.S Van der Wijck selama 2 minggu sahaja sebelum tragedi malang ini.
Namun hasil siasatan lanjut membuktikan bahawa tahap kompetensi kru kapal dan keadaan kapal itu sendiri berada dalam keadaan baik dan bukanlah penyebab kemalangan itu berlaku. Menurut Llyods Register of Shipping, tragedi Van der Wijck ini disebabkan oleh faktor cuaca dan angin kencang.
Sebuah tugu telah didirikan di Pelabuhan Brondong demi memperingati jasa para penyelamat masih boleh dilihat hingga hari ini.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.