
Pendahuluan
Tulisan ini merupakan hadaman saya terhadap naskah bertajuk Melayu & Konservatisme: Wacana Kritis Terhadap Agama, Politik dan Ekonomi tulisan Mohd Jamizal Zainol. Saya mula berminat membaca secara serius pada zaman pasca-siswazah sebelum mula tenggelam dalam alam pekerjaan. Pada peringkat awal, saya suka membaca buku-buku dalam bahasa Inggeris. Hingga sampai ke satu tahap, saya merasakan seperti ada kekosongan besar dalam kotak fikir saya, saya sedar bahawa saya mempunyai kelompongan tentang lanskap pemikiran masyarakat saya sendiri. Maka, ini telah menolak saya untuk melakukan perubahan, saya mula membaca buku-buku tempatan dalam bahasa Melayu. Baik tulisan sarjana, aktivis, atau sesiapa sahaja. Sepanjang pembacaan saya dalam helaian buku tempatan, sudah lama rasanya saya tidak menjumpai satu naskah yang membawa idea yang segar, dengan laras aksara yang indah, dalam masa yang sama membawa ma’ana yang mendalam.
Sehinggalah saya membaca buku Melayu & Konservatisme tulisan Mohd Jamizal. Membaca bahagian awal buku ini sangat mengasyikkan hingga menyebabkan saya melekat dengannya. Jamizal membawakan wacana konservatisme dalam bentuk yang wasatiyah, tidak ekstrem ke kiri atau kanan. Tidak memotong akar tradisi, tidak juga membungkam pemikiran dalam kejumudan. Idea ini saya kira segar, dan perlu dihadam di zaman kita yang memperlihatkan manusia itu hilang rasionaliti dan hanyut dengan fanatisme politik warna masing-masing. Naskah ini turut memperhalusi persoalan falsafah, agama, politik, ekonomi, dan kenegaraan yang dibahaskan dalam konteks konservatisme Melayu. Bahasa dan ulasannya malar dan segar membuatkan buku ini satu naskah pemula yang baik dalam memahami wacana konservatisme Melayu dalam rangka yang sederhana dan rasional.
Pandangan Alam Konservatisme Melayu
Apabila membahaskan perihal konservatisme Melayu, di dalam bukunya, Jamizal banyak menekankan aspek pentingnya pandangan alam (worldview) yang betul apabila kita menimbang sesuatu itu baik atau buruk. Ini merupakan tema yang beliau ulang-ulangkan agar pembaca benar-benar menghadami perkara ini. Sebagai contoh, apabila memperkatakan perihal ketempangan pandangan alam Barat, beliau menyatakan hal ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai model kehidupan yang tetap untuk diikuti. Beliau memetik pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menyatakan bahawa umat Islam tidak mempunyai krisis identiti kerana mereka mempunyai Nabi Muhammad SAW sebagai model kehidupan untuk dicontohi dalam setiap kata-kata dan perbuatan.[1]
Jamizal dalam wacananya banyak melihat perkaitan Melayu dan sifat konservatifnya dengan agama Islam. Disebabkan itu, kita melihat, banyak isu-isu yang dibahaskan akan dimasukkan perspektif agama Islam di dalamnya. Dalam kata lain, dalam wacana konservatisme Melayu, aspek Islam itu adalah aspek utama yang tidak boleh dipisahkan dari orang Melayu. Namun tidaklah berma’na dengan wujudnya aspek agama yang kuat, aspek akal dan rasional diketepikan. Islam sememangnya mengiktiraf peranan akal manusia dalam kehidupan. Kepentingan akal ini dapat dilihat apabila Jamizal membahaskan persoalan penafsiran teks al-Qur’an. Beliau menulis:
“…falsafah merupakan qa’idah kritis rasional dalam mencari kebenaran haqiqi dalam agama. Ini dinamakan kaedah “Burhan”, kerana melalui ‘aqal, manusia dapat membuat kesimpulan…Begitu juga dalam memahami teks al-Qur’an – kerana tanpa akal – teks hanya tinggal teks.”[2]
Walaupun Islam mempunyai pandangan alam yang mengiktiraf akal dan mempunyai tradisi falsafah yang panjang dan dalam, peranannya sering disingkirkan, dipadamkan, dan disenyapkan. Hal ini disebut sebagai “universalisme yang palsu” oleh Prof. Syed Farid al-Attas di mana orang-orang Eropah menggunakan kaedah penyenyapan (silencing) dalam merendahkan orang-orang Timur.[3] Di dalam bukunya, Jamizal mengkritik pengabaian falsafah Islam sejak Hegel hingga ke Coplestone dan Russell, yang hanya melihat falsafah Islam sebagai kulturvermittler dari Zaman Gelap ke Zaman Pencerahan.[4] Pengabaian ini melihat sumbangan falsafah Islam sekadar penghubung, bukannya satu sumbangan pemikiran yang original dan tersendiri.
Membahaskan fahaman konservatisme Melayu dalam kerangka Islam ini bagi saya mirip dengan apa yang ditulis oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy perihal kebangsaan Melayu. Bagi beliau, asas politik Melayu adalah Islam. Beliau menulis bahawa politik Melayu mesti dipandu oleh al-Qur’an, beliau menulis:
“Dalam kita memperjuangkan kemerdekaan bangsa kita, kebangsaan Melayu sekarang, pedoman kita al-Qur’an, jalan kita al-sirat al-mustaqim. Hendaklah tiap diri yang beriman itu, hendaklah menjadi angkatan pelopor kebangsaan hari ini, kebangsaan untuk kemerdekaan, kemanusiaan dan kesejahteraan abadi.”[5]
Jamizal dalam wacananya menolak fahaman-fahaman sekularisme, liberalisme, dan relativisme yang memisahkan kehidupan dari agama serta menolak hierarki dan autoriti. Beliau menolak hujah sebahagian parti politik yang menyatakan Malaysia adalah negara sekular. Bagi beliau, Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai negara sekular kerana Malaysia menggunakan wang rakyat untuk memajukan agama Islam, ini berbeza dengan negara sekular yang tidak memihak kepada mana-mana agama. Beliau juga menolak amalan takfiri dalam beragama, bagi beliau kedua-dua “ekstrem kanan dan ekstrem kiri” wajar ditolak dalam ufuk politik.[6] Oleh itu, menurut beliau, fahaman konservatisme Melayu itu perlu duduk di jalan tengah yang sederhana.
Dalam membawakan pandangan politik konservatisme Melayu, bagi Jamizal tidak ada satu falsafah politik yang dianggap tetap dan boleh diaplikasikan secara universal. Falsafah politik perlu mengambil kira kesesuaian tradisi, adat, dan budaya setempat. Oleh itu, falsafah politik untuk menyelesaikan masalah masyarakat di Hijaz atau di Amerika Syarikat tidak boleh ditempelkan ke Malaysia.[7] Sebaliknya falsafah politik Malaysia perlulah bersifat tempatan dalam menyelesaikan masalah politik tempatan.
Wacana Demokrasi Konservatisme Melayu
Dalam membincangkan persoalan struktur politik Melayu moden, Jamizal menerima demokrasi sebagai satu sistem untuk diamalkan. Malah beliau berpandangan sistem demokrasi itu “ibarat sistem shura”.[8] Saya tidak bersetuju dengan hal ini, bagi saya sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia ini adalah legasi kolonial, maka ia melahirkan masalah-masalah yang sama seperti yang kita lihat di metropole kolonial seperti di London dan Washington. Saya telah menghuraikan dengan terperinci penolakan saya kepada sistem demokrasi melalui buku saya DemokRasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi.[9] Terutamanya selepas melihat bagaimana sistem-sistem demokrasi membenarkan jenayah genosida belaku di Gaza bermula 2023, saya merasakan ia adalah sistem yang korup dan tidak bermoral, serta tidak harus diyakini. Ada beberapa masalah apabila kita mahu mengatakan bahawa sistem demokrasi itu ibarat sistem shura.
Pertama, asas shura adalah perbincangan yang menggunakan al-Qur’an dan Sunnah sebagai sumber utama pandangan alam dalam kita menilai baik dan buruk bagi menentukan hukum yang sesuai untuk dilaksanakan. Namun apakah sumber utama yang digunakan dalam demokrasi kita hari ini? Perlembagaan yang dirangka oleh British. Ya, hatta perlembagaan kita pun adalah apa yang diberikan oleh British dan bukan kita sendiri yang menggubalnya. Kita pernah menggubal perlembagaan kita sendiri yang dinamakan Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947, berbeza dengan perlembagaan kita sekarang yang merupakan warisan British, Perlembagaan Rakyat itu digubal oleh anak peribumi Melayu seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ishak haji Muhammad, dan Ahmad Boestamam. Ia juga dirunding dan disokong oleh bangsa lain seperti Tan Cheng Lock, J.A. Thivy, Chan Loo, dan Gerald de Cruz. Namun perlembagaan ini telah ditolak.[10]
Kedua, dalam sistem shura, ahlinya merupakan ahli-ahli yang dipilih dalam kalangan ilmuan, bijak pandai dan mempunyai kepakaran. Tetapi dalam demokrasi yang kita guna hari ini, ahlinya merupakan ahli yang naik dengan usaha lobi-melobi, politik wang, juga tangan-tangan ghaib pemodal. Sebenarnya ahli parlimen itu bukan dipilih oleh rakyat pun. Proses ini dinamakan tweedism di mana calon-calon telah dipilih awal dan pilihanraya hanyalah menjadi wayang untuk mempersembahkan satu pilihan palsu.[11] Dalam kata lain, sukar sebenarnya kita hendak mengatakan bahawa sistem demokrasi itu persis shura kerana kita sendiri tidak tahu siapa sebenarnya yang memilih wakil rakyat tersebut. Malah dalam polisi-polisi yang digubal itu, adakah ia benar-benar menguntungkan rakyat atau hanya sebahagian kecil pemodal.
Jamizal sendiri bersetuju bahawa ahli parlimen yang dipilih tidak mempunyai kriteria objektif perihal ilmu dan kemahiran yang diperlukan. Ini menyebabkan banyak yang terpilih adalah dari kalangan pembodek dan pengampu, bukan mereka yang berilmu dan berkemahiran. Oleh itu bagaimana kita boleh mengatakan bahawa segerombolan pembodek ini sebagai ahli sistem shura? Jamizal dalam usahanya untuk meleraikan permasalahan ini mencadangkan undang-undang digubal supaya secara minima, ahli parlimen itu mempunyai ijazah sarjana muda. Beliau memberikan rasional bahawa sedang yang memandu kapal terbang pun memerlukan ilmu dan kemahiran, bagaimana pemandu sesebuah negara boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja walaupun kepada mereka yang tidak berkemahiran? Selain pemimpin, bagi Jamizal, pengundi juga perlu dari kalangan mereka yang berilmu, ini bagi menghasilkan pilihan yang berilmu. Untuk rakyat mendapat hak seperti mengundi, menurut beliau, rakyat perlu terlebih dahulu bersedia untuk memikul tanggungjawab.[12]
Kesan Undang-Undang Antarabangsa Terhadap Konservatisme Melayu
Politik orang Melayu di Malaysia merupakan politik yang unik dengan cabarannya yang tersendiri. Oleh itu, ia memerlukan pendekatan yang sesuai dengan permasalahannya. Dalam wacana konservatisme Melayu, Jamizal melihat tidak semua undang-undang antarabangsa itu sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia. Bagi beliau, ratifikasi terhadap undang-undang antarabangsa perlu dilakukan dengan berhati-hati agar ia tidak berlawanan dengan perlembagaan sedia ada. Ratifikasi ini juga mungkin boleh menggugat kedaulatan negara, oleh itu, tidak kesemuanya sesuai untuk diratifikasi.[13] Jamizal melihat penerimaan undang-undang antarabangsa itu, jika tidak dilakukan dengan berhati-hati, berpotensi menggugat kedaulatan Malaysia.
Beliau juga mengkritik mereka yang memperjuangkan hak asasi manusia melalui konvensi antarabangsa dengan perspektif yang selektif. Beliau memberi contoh Artikel 29 (2) di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB yang mengiktiraf tugas kerajaan menjaga kepentingan awam dan memastikan rakyat hidup di dalam kompas moral yang betul.[14] Artikel ini membolehkan kerajaan mengambil langkah-langkah bagi menjaga moral masyarakat. Namun hal ini sering disenyapkan oleh golongan yang sering menuntut hak asasi itu dilaksanakan.
Konservatisme Melayu Dalam Menanggapi Ekonomi
Apabila disebut keadilan dan kesaksamaan, bagi Jamizal kesaksamaan ini harus diberikan juga kepada golongan peniaga dan pemodal. Menurut beliau:
“Walhal peniaga dan pemodal juga ialah rakyat yang juga mempunyai hak untuk menikmati polisi yang baik dan menguntungkan mereka.”[15]
Hal ini saya kira sangat menarik kerana jika kita melihat perbahasan ekonomi dari sudut pandang alam Marxis, sosialis dan kaum kiri, golongan peniaga dan pemodal sering dikonotasikan sebagai musuh yang sentiasa perlu ditentang. Walhal Jamizal menyatakan bahawa mereka juga merupakan rakyat yang layak mendapat hasil kenikmatan dari pembangunan ekonomi. Cuma mungkin khilaf yang patut kita bahaskan adalah sejauh mana kebebasan itu wajar kita berikan. Adakah kita tidak patut meletakkan apa-apa halangan sehingga wujud jurang perbezaan kekayaan yang sangat besar antara yang miskin dan kaya? Apakah kita tidak patut meletakkan sebarang halangan bagi amalan monopoli yang membebankan rakyat kebanyakan? Ini merupakan khilaf yang perlu diperincikan, agar kesamaan hak yang kita berikan itu tidak menjerumus kepada jurang yang sangat besar, atau kepada amalan monopoli menindas, yang akhirnya akan melahirkan penentangan dan ketidakstabilan negara.
Dalam hal ini, Jamizal memilih untuk mengetengahkan keperluan untuk mengutamakan kepentingan golongan majoriti dan pihak yang ramai. Mustahil kerajaan dapat memuskan hati semua pihak. Beliau meminjam idea utilitarianisme seperti yang dihuraikan oleh ahli falsafah Inggeris, Jeremy Bentham.[16] Oleh itu, bagi Jamizal, apa yang penting bukan ideologi ekonomi yang ketat, tetapi mengamalkan polisi ekonomi yang berkesan. Beliau membawakan kalam mantan Perdana Menteri China, Deng Xiao Ping:
“Tidak kiralah sama ada kucing itu berwarna putih atau hitam, yang penting adalah kucing itu boleh menangkap tikus.”[17]
Dalam kata yang lain, apabila sampai pada persoalan ekonomi, apa yang harus diutamakan adalah pengurangan jurang kekayaan, dan polisi yang berkesan. Bukan ideologi yang sempit dan utopia.
Khilaf Feudalisme Melayu & Teori Perubahan
Dalam wacana konservatismenya, Jamizal dilihat masih memaparkan masyarakat Melayu sebagai pengamal sistem feudal. Pemaparan ini saya lihat sebagai saki baki pemikiran kolonial yang belum betul-betul dibersihkan dalam pemikiran inteligensia masyarakat Melayu walaupun sudah banyak kajian-kajian baharu yang menolak teori feudal Melayu itu.[18] Menurut Jamizal, orang Melayu itu feudal kerana mereka menjunjung tinggi pemerintah dan menyanjungi mereka.[19] Namun apabila memperihalkan tentang teori perubahan masyarakat, bagi beliau “perubahan mestilah bermula daripada pemimpin Melayu”.[20] Bagi saya di sini ada satu simpulan yang agak ironik yang harus dileraikan, di mana dibawakan teori bahawa orang Melayu feudal kerana menyanjung pemimpin mereka dalam masa yang sama menganjurkan pemimpin dahulu yang berubah.
Bagi saya, sepatutnya jika kita menganjurkan bahawa pemimpin itu tidak harus disanjung tinggi, masyarakat seharusnya dianjurkan berubah tanpa perlu menunggu pemimpin mereka berubah. Bagi saya teori perubahan yang lebih effektif adalah perubahan dari bawah seperti yang dianjurkan oleh pemikir Islam seperti Sayyid Qutb.[21] Menganjurkan diadakan program tarbiyah dan pendidikan yang berkesan dalam masyarakat untuk menghapuskan kejahilan. Jika kita menunggu pemimpin untuk berubah baru kita mahu berubah, kita mungkin terpaksa menunggu selama-lamanya.
Namun Jamizal juga tidaklah menolak bahawa keperluan kepada masyarakat yang “faham” untuk sesuatu perubahan itu berjaya, ini dapat dilihat apabila beliau menyatakan bahawa apa-apa gagasan yang dibawa oleh perdana menteri tidak akan bermakna jika masyarakat tidak memahaminya.[22] Oleh itu, pandangan saya dalam menanggapi teori perubahan, ia memerlukan kepada kedua-duanya. Perubahan pemimpin dan masyarakat, namun untuk memastikan perubahan itu bertahan lama, ia mesti mengutamakan perubahan masyarakat. Kerana siapa pun memerintah, mereka tidak akan dapat bertahan jika tiada satu mass base yang menyokongnya.
Beberapa Penambahbaikan Teknikal
Sepanjang pembacaan buku tulisan Jamizal, saya mendapati kesalahan yang minima dalam aspek-aspek teknikal. Namun ada juga yang berjaya saya kesan terutamanya di bahagian akhir. Mungkin di peringkat akhir editornya sudah keletihan. Misalnya di halaman 205, ada pengulangan “Melayu Melayu”. Di halaman 213, ayat “…perbincangan hangat tentang keperluan dan keperluan merotan pesalah…”, selain pengulangan, di halaman ini reka letak aksaranya dilihat berubah saiznya. Di halaman 221, ada kesalahan ejaan “autonaminya”. Kesalahan ejaan juga berlaku di halaman 227, iaitu perkataan “berraja” dan “hli parlimen”.
Saya juga merasakan beberapa perbahasan di dalam buku ini sedikit Covid-19-centric, oleh itu ia kedengaran seperti sudah outdated perbahasan itu, namun mungkin ia sesuai untuk rujukan dari sudut sejarah dan juga latar perbahasan.[23] Namun ini tidaklah mengurangkan keenakan buku ini untuk dibaca.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya saya merasakan gagasan yang dibawakan oleh Jamizal merupakan satu gagasan yang baik untuk Malaysia. Ia adalah satu perbahasan yang memberi kepentingan yang tinggi untuk mempunyai sebuah pandangan alam yang benar. Ini kerana pandangan alam ini yang akhirnya akan meresap kepada polisi dan pemerintahan. Saya juga sangat bersetuju dengan gagasan kesederhanaan yang dibawakan oleh Jamizal. Perlu kita bersifat terbuka, terutamanya dalam soal ekonomi, apa yang penting bukan ideologi tetapi apa yang baik dan memberi kebaikan kepada manusia kebanyakan. Disebabkan itulah sebenarnya saya sendiri menulis buku Lalang di Lautan Ideologi, untuk menanggapi bahawa kebenaran itu sentiasa lebih besar dari ideologi. Saya berfikiran bahawa Jamizal berjaya membawa satu wacana konservatisme Melayu yang baik, tidak ekstrem dan sederhana.
Bibliografi
Azmi Arifin. 2023. Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Burhanuddin Al-Helmy. 2024. Falsafah Kebangsaan Melayu. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.
Ishak Saat. 2010. “Caturan politik pelbagai kaum di Tanah Melayu 1946-1957.” Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies 37 68-85.
Maksudoglu, Mehmet. 2023. The Untold History of Ottoman. Jakarta Timur: Pustaka Al-Kautsar.
Mohd Jamizal Zainol. 2025. Melayu & Konservatisme: Wacana Kritis Terhadap Agama, Politik dan Ekonomi. Petaling Jaya: The Biblio Press.
Sayyid Qutb. 2012. Milestones (Ma’alim fi’l-tareeq). Kuala Lumpur: Dar Al Wahi Publication.
Syed Ahmad Fathi. 2025. Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi. Seremban: Rabak-Lit.
—. 2023. Lalang di Lautan Ideologi (Edisi Kemaskini). Cukong Press.
Syed Farid al-Attas. 2025. “Kuliah Nyahjajah Ilmu Pengetahuan.” Menganyam Nusa anjuran Kawah Buku, Team Selangor, dan MyCatalyz. 06 September. https://www.facebook.com/kawahbuku/videos/24401693786124279.
[1] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme: Wacana Kritis Terhadap Agama, Politik dan Ekonomi (Petaling Jaya: The Biblio Press, 2025)., hlm. 42.
[2] Ibid., hlm. 49-50.
[3] Huraian Prof. Syed Farid al-Attas perihal universalisme palsu oleh orang-orang Eropah serta kaedah penyenyapan ini boleh diteliti melalui wacana yang disampaikan beliau dalam siri Menganyam Nusa yang bertajuk “Kuliah Nyahjajah Ilmu Pengetahuan” pada 06 September 2025 anjuran Kawah Buku, Team Selangor, dan MyCatalyz. Pautan rakaman wacana: https://www.facebook.com/kawahbuku/videos/24401693786124279
[4] Kulturvermittler bermaksud jambatan peradaban, lihat penerangan oleh Mohd Jamizal Zainol di dalam Melayu & Konservatisme., hlm. 52.
[5] Burhanuddin Al-Helmy. Falsafah Kebangsaan Melayu. (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 2024)., hlm. 100.
[6] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme., hlm. 232.
[7] Ibid., hlm. 234.
[8] Ibid., hlm. 100.
[9] Syed Ahmad Fathi, Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi (Seremban: Rabak-Lit, 2025).
[10] Ishak Saat. “Caturan politik pelbagai kaum di Tanah Melayu 1946-1957.” Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies 37 (2010): 68-85.
[11] Perihal proses tweedism dalam demokrasi, lihat tulisan saya dalam Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi (Seremban: Rabak-Lit, 2025)., hlm. 57-68.
[12] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme., hlm. 100-102.
[13] Ibid., hlm. 103.
[14] Ibid., hlm. 223.
[15] Ibid., hlm. 121-122.
[16] Ibid., hlm. 129.
[18] Antara yang terkenal menolak teori feudalisme Melayu adalah Azmi Arifin, lihat tulisannya Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2023). Teori feudalisme sebenarnya ditolak juga oleh masyarakat Islam lain, Prof. Mehmet Maksudoglu misalnya menolak pandangan yang menyatakan masyarakat Uthmaniyah mengamalkan sistem feudal, menurut beliau sistem timar yang diamalkan Uthmaniyah tidak mempunyai kaitan dengan sistem feudal Eropah seperti yang didakwa. Lihat tulisannya The Untold History of Ottoman (Jakarta Timur: Pustaka Al-Kautsar, 2023)., hlm 7-8. Judul asalnya bertajuk Osmanly History and Institutions (Ensar, 2011).
[19] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme., hlm. 178.
[20] Ibid., hlm. 178.
[21] Lihat tulisan Sayyid Qutb. Milestones (Ma’alim fi’l-tareeq) (Kuala Lumpur: Dar Al Wahi Publication, 2012)
[22] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme., hlm. 194.
[23] Ibid., hlm. 219.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.