Dalam Historiografi Astronomi, di bahagian akhir, saya ada menulis perihal minat pemerhatian saya untuk melihat dengan lebih teliti akan apa yang disebut sebagai zaman gelap.[1] Zaman gelap ini mempunyai pelbagai nama, ada sebahagian ahli sejarah moden yang menolak penggunaan terma “zaman gelap” kerana ia mempunyai konotasi negatif dan memberi satu bentuk pengadilan moral kepada sebuah period masa. Terma ini dilihat melambangkan perspektif pensejarahan zaman pencerahan yang telah lapuk dan tidak tepat.[2] Mereka menyarankan penggunaan terma yang kurang judgemental seperti zaman “pertengahan” atau “medieval”.
Namun buku yang saya berikan perhatian kali ini tidak bersetuju dengan perkara ini. Sebaliknya, penulisnya, iaitu Catherine Nixey memilih tajuk yang lebih sensasi iaitu The Darkening Age.[3] Bukan lagi zaman gelap, tetapi zaman penggelapan yang menggambarkan ia sebagai satu zaman yang memulakan satu proses pemadaman keilmuan, pemadaman ketamadunan, dan juga pemadaman pemikiran dan kebebasan hidup. Nixey tidak bersifat apologetik dalam polemik yang dibawakannya dalam buku ini, beliau tidak berselindung disebalik sebarang euphemism, beliau menulis dengan jelas dan keras tentang siapa yang menghancurkan dunia klasik orang-orang Romawi dan Yunani, bagi Nixey ia dihancurkan oleh agama Kristian.
Dalam satu aspek, saya turut merasakan bahawa penulisan Nixey tidak seimbang, ia hanya memaparkan sisi buruk Kristian dalam menghancurkan ketamadunan klasik dan mengetepikan sebarang kebaikan yang dibawa oleh agama Kristian. Saya kira pendekatan ini mirip dengan apa yang dikatakan oleh Robert Fisk, di mana dalam melaporkan sejarah, kita seharusnya memihak dan menulis tanpa apologetik tentang siapa sebenarnya yang bersalah. Kita tidak perlu menjadi seimbang dengan memaparkan pandangan kedua-dua belah pihak, sebaliknya kita harus sentiasa berpihak kepada golongan yang tertindas dan menjadi mangsa.[4]
Walaupun saya memahami pegangan pemikiran seperti ini, bahawa kita perlu berpihak, saya juga merasakan ia mempunyai kekurangan. Kekurangan utama dalam penulisan Nixey pada pandangan saya adalah generalisasi. Dengan menyalahkan kehancuran dunia klasik semuanya kepada Kristian, Nixey membuat generalisasi bahawa hanya terdapat satu jenis Kristian sahaja. Hanya ada satu sebab, dan sebab-sebab lain diketepikan. Namun jika kita mengikuti pandangan sarjana-sarjana yang mengkaji gerakan awal Kristian seperti Bart D. Ehrman, kita akan dapati bahawa sejak awal lagi, gerakan Kristian itu bukanlah satu tetapi mempunyai pelbagai aliran, pelbagai kefahaman dan bentuk. Kristian pada peringkat awal sangat rencam sehingga sarjana mengungkapkan mereka dengan menggunakan terma pluralistik. Ada Kristian yang percaya hanya ada 1 tuhan, ada yang percaya kepada 2 tuhan, ada yang percaya bahawa adanya 12 tuhan, malah ada yang berpegang bahawa adanya 365 tuhan. Namun, kebanyakan aliran ini akhirnya pupus. Aliran Kristian yang menang ini kemudian menulis semula sejarah, dan memadamkan sejarah aliran-aliran Kristian yang lain.[5]
Namun dari sudut lain, saya juga faham, bahawa ada ketikanya generalisasi diperlukan dalam meninjau sesuatu dalam sejarah. Sarjana seperti E.H. Carr sebagai contoh, mengatakan bahawa untuk sejarah berfungsi sebagai satu subjek yang dapat memberi manusia pengajaran, kita perlu melakukan generalisasi.[6] Jika sesuatu itu bersifat unik, maka ia tidak boleh memberi pelajaran, pastinya sesuatu yang unik itu hanya terjadi sekali sahaja dan ia tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Dengan membuat generalisasi, kita akan mempermudahkan sesuatu keadaan menjadi sesuatu yang umum dan boleh terjadi lagi pada masa hadapan apabila keadaan-keadaan tertentu dikecapi. Ini akan membuka peluang kepada pelajaran dalam sejarah.
Pandangan Nixey Terhadap Sejarah
Nixey mengakui bahawa menulis sejarah adalah satu proses yang sukar, beliau memetik kata-kata Hilary Mantel bahawa sejarah bukanlah masa lalu, tetapi apa yang berbaki dalam penapis setelah ratusan tahun berlalu.[7] Masa adalah satu kuasa penghancur yang hebat, maka sejarah adalah cebisan-cebisan yang tertinggal setelah banjir masa berlalu. Maka cubaan untuk mencipta masa lalu adalah mustahil, kita hanya mampu memahami sebahagiannya sahaja berdasarkan sedikit kesan yang tertinggal.
Sejarah juga bukan perihal tarikh dan jangka masa yang tersusun seperti yang sering ditulis oleh ahli sejarah. Ahli sejarah selalu membahagikan jangka masa dengan terma-terma tertentu seperti zaman klasik, zaman gelap, zaman pencerahan, namun pembahagian ini sebenarnya lebih kepada alat bantu dan juga teknik minda untuk mempermudahkan peristiwa disusun, diingati, dan difahami. Apa yang berlaku sebenar tidak mengikuti pembahagian seperti yang ditulis oleh ahli sejarah dalam keadaan kemas dan tersusun. Sejarah adalah perihal manusia, oleh itu Nixey menulis pensejarahannya dengan cuba untuk mereka semula elemen-elemen kehidupan walaupun ini sememangnya tidak mungkin dapat diketahui dengan tepat seperti elemen-elemen emosi dan perasaan.
Tesis Utama Nixey
Buku tulisan Nixey ini hanya ingin memaparkan satu pandangan sahaja iaitu kehancuran dunia klasik Yunani dan Romawi adalah disebabkan oleh kemunculan agama Kristian. Bagaimana Kristian yang pada asalnya merupakan pecahan kepada agama Yahudi dapat menjadi agama yang begitu dominan pada ketika itu serta menghancurkan dunia klasik? Soalan ini adalah soalan yang penting kerana ia adalah inti utama pengkajian sejarah. Pengkajian sejarah adalah sebuah kejadian yang ingin mengkaji sebab musabab berlakunya sesebuah peristiwa.[8] Oleh itu, penentuan sebab kehancuran dunia klasik ini, adalah satu subjek pengkajian yang penting di sudut sejarah.
Pandangan tradisional mengatakan bahawa perkembangan agama Kristian dengan meluas adalah disebabkan agama Kristian membawakan doktrin bahawa adanya hidup selepas mati, ini memberikan sedikit ketenangan kepada manusia terutamanya bagi mereka yang kehilangan insan tersayang. Kedua, pandangan tradisional menyatakan bahawa ia merebak selepas Raja Konstantin memeluk Kristian, ini menjadikan golongan agamawan sebagai golongan yang tinggi status sosialnya, juga mereka mendapat laba yang banyak hasil dukungan politik dari Empayar Rom pada ketika itu. Walaupun Nixey memperakui kebenaran penyebaban tradisional ini, beliau menolaknya sebagai kebenaran yang menyeluruh. Bagi Nixey apa yang berlaku adalah peperangan. Dunia klasik dengan fahaman pagan dianggap sebagai sebuah kegelapan oleh agama Kristian, kegelapan yang diketuai oleh syaitan, dan ia perlu diperangi.[9] Walaupun ahli sejarah moden sering mengabaikan faktor syaitan kerana ia dianggap sebagai sebab yang memalukan, bagi Nixey, ia perlu diberikan perhatian yang serius kerana gerakan awal Kristian tidak memahami syaitan secara metaforikal, tetapi syaitan dianggap sesuatu yang benar dan wujud secara literal.[10]
Menurut Nixey, kepercayaan pagan pada zaman klasik tidak mempunyai masalah dengan tuhan yang berbeza. Jika sesuatu kaum mempunyai tuhan mereka sendiri, semasa zaman pemerintahan Rom, tuhan baharu ini akan ditambah ke dalam senarai tuhan-tuhan sedia ada. Namun menurut pandangan Nixey, Kristian tidak mempunyai sikap ini. Penyembahan tuhan lain dianggap satu perlakuan bersekongkol dengan syaitan, ia sama sekali tidak dapat diterima.[11] Pada mulanya, sikap tidak bertoleransi ini hanya diungkapkan oleh penceramah-penceramah Kristian, namun, lama-kelamaan ia mula didengari dan diikuti oleh orang kebanyakan, maka proses Kristianisasi bermula.[12]
Penolakan Dunia Klasik Terhadap Kristian
Apabila Kristian mendominasi Empayar Rom, penolakan terhadap mereka bukan sahaja berjaya dikalahkan, malah ia dipadamkan oleh penulisan pensejarahan Kristian. Ini menatijahkan banyak kesimpulan yang salah di masa hadapan bahawa penyebarannya diterima dengan meluas pada peringkat awal tanpa sebarang tentangan. Antara penulis awal yang mengkritik Kristian adalah Celsus, walaupun kesuluruhan tulisan Celsus dipadamkan dan bukunya diharamkan. Penulisannya terpelihara dari tulisan kritikan balas yang dibuat Origen terhadapnya iaitu Contra Celsum. Di dalamnya, Origen menulis semula tulisan Celsus dan mengkritiknya perenggan demi perenggan, buku Origen ini akhirnya menyelamatkan sebahagian tulisan Celsus dari hilang ditelan zaman.
Celsus mengkaji Kristian dengan mendalam sebelum mengkritiknya. Apabila membaca Kitab Perjanjian Lama, Celsus menyimpulkan bahawa ianya adalah “utter trash”.[13] Bagi Celsus, Kristian bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi beliau bimbang bahawa agama yang dianggapnya tidak cerdik ini akan tersebar dan merosakkan Rom. 1,500 tahun selepas Celsus, kerisauannya ini diperakui oleh Edward Gibbon yang menyimpulkan bahawa keruntuhan Empayar Rom adalah disebabkan oleh agama Kristian.[14] Walaupun penulisan sejarah Rom pada peringkat awal menunjukkan kebencian mereka kepada agama Kristian, bagi ahli sejarah moden, penulisan mereka sangat penting. Hal ini kerana, dalam metodologi sejarah moden, kepelbagaian sumber diperlukan sebagai verifikasi kebenaran sesuatu peristiwa. Jika peristiwa yang sama ditulis oleh dua pihak yang berlawanan, maka ahli sejarah dapat menentukan dengan keyakinan yang tinggi bahawa peristiwa itu memang berlaku.
Ahli sejarah Rom, Tacitus, sebagai contoh, menulis bahawa “seorang bernama Christus telah dihukum bunuh oleh gabenor Pontius Pilatus di zaman Tiberius berkuasa”. Penulisan Tacitus ini sangat penting, walaupun Tacitus sendiri tidak menyukai Kristian. Tulisan Tacitus ini merupakan satu-satunya tulisan dari sumber sejarah bukan Kristian pada zaman tersebut yang menulis tentang peristiwa ini, iaitu peristiwa pembunuhan Jesus yang menjadi permulaan kepada gerakan Kristian.[15] Walaupun orang-orang Rom pada peringkat permulaan tidak menyukai Kristian, seperti Tacitus, menurut Nixey, penguasa Rom tidak berhasrat untuk menindas mereka. Sebaliknya mereka menentang Kristian kerana tidak mahu keadaan aman terganggu. Sebagai contoh, pertembungan awal antara orang Rom dan Kristian seperti yang difahami dari penulisan Pliny, bukan merupakan pertembungan agama. Sebaliknya merupakan usaha Pliny sebagai gabenor untuk menjaga undang-undang dan keamanan.[16]
Perang Ke Atas Buku dan Perpustakaan
Selain memusnahkan kuil dan juga patung-patung tuhan dunia klasik, bahagian yang paling menyayat hati dan memberikan luka yang paling dalam pada saya secara peribadi adalah penghancuran buku, ilmu, perpustakaan, dan khazanah tamadun manusia. Menurut Nixey, puluhan ribu buku hilang apabila Kristian mendominasi dunia klasik. Buku-buku yang sebelum ini menjadi kebanggaan perpustakaan kuno tidak muncul kembali selepas kehilangannya. Namun Nixey tidak begitu yakin bahawa semuanya dimusnahkan oleh Kristian, beliau menulis bahawa “mungkin” ia telah dibakar. Beliau memetik pandangan sarjana seperti Luciano Canfora yang menyatakan bahawa pembakaran buku merupakan sebahagian dari penguasaan Kristian, kerana buku-buku biasanya disimpan di kuil. Dalam kata lain, peperangan yang dilancarkan Kristian terhadap kebudayaan dunia klasik adalah peperangan ke atas perpustakaan. Penghapusan buku-buku ini dikesali oleh sejarawan seperti Edward Gibbon yang mengatakan bahawa ia adalah kehilangan yang sangat besar terutamanya bagi golongan yang tidak menyimpan sebarang prejudis terhadap agama.[17]
Kehilangan karya-karya dari dunia klasik mungkin ditangisi oleh Gibbon dan banyak sarjana moden, tetapi bagi Nixey, ia tidak ditangisi oleh kuasa Kristian yang menghancurkannya. Malah mereka bergembira dengan penghancuran keilmuan ini, Nixey memetik tulisan John Chrysostom yang menyatakan bahawa tulisan orang Yunani semuanya telah pupus dan berjaya dihancurkan. Di mana tulisan Plato? tanya Chrysostom secara retorik. Tiada, walhal kata-kata Paul berada dalam mulut setiap manusia ujar Chrysostom.[18] Dalam merayakan kehancuran dunia klasik, Chrysostom juga menghiasi tulisannya dan pandai menggunakan perkataan untuk memberi makna yang berlainan. Contohnya orang-orang pagan yang suka bergembira dan berfestival, apabila kebudayaan mereka berjaya dipadamkan, Chrysostom menulis bahawa tyranny of joy telah berjaya dihancurkan. Di sini kita melihat bagaimana untuk memperlihatkan sesuatu yang buruk sebagai baik, Chrysostom memutar belit makna perkataan, kegembiraan dikaitkan dengan tirani dan penindasan.[19]
Walaupun tidak semua buku dibakar semasa zaman Kristian, Nixey membawakan beberapa contoh di mana buku dibakar atas sebab-sebab agama. Zachariah of Mytilene sebagai contoh ada mengarahkan seorang lelaki yang dijumpainya untuk membakar buku dan sebahagian dari perpustakaannya untuk membersihkan dirinya dari syaitan. Hal ini bukan terhenti setakat apa yang berlaku antara orang awam. Kuasa negara turut digunakan, contohnya Raja Konstantin telah mengarahkan buku-buku yang ditulis oleh Arius dibakar kerana dianggap sesat dan heretik. Malah sesiapa yang didapati menyorokkan buku heretik akan dijatuhkan hukuman bunuh.[20]
Bahan-bahan bacaan dan tulisan orang-orang pagan bukan sahaja dibakar, malah menurut Nixey, ia telah disekat. Censorship merupakan alat yang digunakan oleh Kristian untuk memastikan tulisan mereka terutamanya perihal hal-hal agama Kristian mencapai supremasi. Nixey memberi contoh seperti apa yang ditulis oleh Basil of Caesarea yang mempertahankan censorship, bagi Basil ia bukan dilakukan untuk menyekat kebebasan berfikir, tetapi dilakukan untuk menjaga kesucian jiwa manusia. Dalam kata lain, ia dilakukan atas dasar kasih sayang. Namun bagi Nixey, alasan Basil ini adalah mengarut.[21] Menurut Nixey, Kristian meraikan kejahilan. Golongan intelektual dianggap heretik, beliau memberi contoh gerakan Gnosticism yang mengambil nama mereka dari perkataan Yunani “gnostic” yang bermaksud ilmu, gerakan ini telah diisytiharkan sebagai menyeleweng (heretik).[22]
Kemenangan Kristian dan Kelahiran Historiografi Baru
Walaupun Nixey banyak memetik Gibbon di dalam bukunya, namun beliau mempunyai pandangan yang berbeza dari Gibbon tentang orang-orang pagan. Bagi Gibbon, orang-orang pagan tidak begitu mempercayai agama dan tuhan mereka, oleh itu mereka menerima agama Kristian.[23] Namun bagi Nixey, hal ini tidak benar, orang-orang pagan menurut beliau mengambil serius akan hal-hal agama dan kepercayaan mereka. Namun pandangan Nixey ini tidak mendominasi penulisan sejarah. Hal ini kerana sejarah ditulis oleh orang yang menang, dan bagi Nixey, kemenangan Kristian adalah mutlak (absolute). Historiografi kristian kemudian menjadi dominan dan mendominasi penulisan sejarah lebih dari satu millennium. Sejarah dan kesengsaraan orang-orang pagan sering diperkecilkan dan disisihkan. Sejarah permulaan Kristian hampir kesemuanya hanya bersumberkan sumber-sumber Kristian. Walaubagaimanapun, sekiranya seseorang itu cuba melihat period masa ini dari perspektif sumber bukan Kristian, menurut Nixey, perspektif lain akan muncul. Bukan lagi gambaran mudah yang penuh kegembiraan, sebaliknya apa yang berlaku adalah paksaan untuk menukar agama dan juga penindasan kerajaan.[24]
Bagi Nixey, keganasan yang dilakukan dengan pemusnahan kuil dan patung-patung tuhan yang dibuat secara terang-terangan menyebabkan masyarakat menjadi takut untuk kekal bersama agama asal mereka. Nixey memetik penulisan-penulisan orang-orang Rom seperti Libanius dan Themistius yang mengkritik keganasan yang dilakukan orang-orang Kristian. Bagi mereka, memaksa orang menukar agama menggunakan ketakutan tidak bermakna kerana hati mereka yang dipaksa tidak berubah, apa yang diperlukan adalah toleransi.[25]
Kemusnahan Falsafah Yunani
Meskipun penulis Kristian seperti Chrysostom mengisytiharkan bahawa tulisan orang Yunani berjaya dihancurkan, hal ini bukanlah sebuah fakta yang berpijak di bumi realiti yang nyata. Sebaliknya, ia lebih berbentuk retorika. Sebahagian penulisan orang Yunani berjaya sampai ke zaman moden, termasuklah Plato. Falsafah orang Yunani bersifat rencam dan pelbagai, antaranya adalah falsafah stoik. Walaupun Nixey tidak menulis secara langsung perihal falsafah stoik, atau tokoh-tokohnya seperti Zeno dan Seneca, saya kira falsafah ini ada disentuh melalui puisi Horace.
“Quam minimum credula postero, carpe diem”.
Jangan dipercayai hari esok melainkan hanya sedikit tulis Horace, sebaliknya hiduplah untuk hari ini. Saya bersetuju dengan Nixey dalam hal ini, bahawa puisi Horace ini sangat elegan.[26] Bagi saya puisi ini bukan sahaja elegan, malah ia membawakan nilai falsafah stoik yang sangat tinggi. Tentang bagaimana untuk hidup dengan bahagia, kita perlu menikmati masa sekarang bukan asyik merisaui apa yang bakal berlaku, atau mengenang peristiwa yang telah berlalu. Pemikiran seperti ini versi moden mungkin boleh kita samakan dengan apa yang ditulis oleh Eckhart Tolle perihal “kuasa sekarang”, manusia yang bahagia adalah manusia yang sedar dia hidup sekarang, bukan semalam atau esok hari.[27]
Nixey menutup bukunya dengan kisah penutupan sekolah falsafah Yunani iaitu Akademi Athen pada zaman pemerintahan Raja Justinian. Beliau telah membuat undang-undang mengharamkan pengajaran sebarang doktrin pagan. Undang-undang ini sangat signifikan kerana ia memadamkan tradisi falsafah Yunani. Akademi Athen terpaksa ditutup, dan ahli falsafahnya yang terakhir iaitu Damascius terpaksa meninggalkan Athen yang menjadi pusat falsafah dunia pada ketika itu. Bagi Edward Gibbon, kerosakan yang dibawa oleh Kristian terhadap falsafah ini jauh lebih teruk dari serangan orang-orang Barbarian ke atas Empayar Rom.[28]
Damascius merupakan seorang ahli falsafah yang cekal dan tidak mudah berputus asa. Akibat dari sikap Raja Justinian yang telah menutup pintu kepada falsafahnya, dia akhirnya keluar dan mencari rumah baharu bagi falsafahnya. Beliau mengambil keputusan untuk berlindung dalam Empayar Parsi di bawah Raja Khosrow. Walaupun perjalanan ke Parsi sukar dan jauh, Damascius tidak berputus asa, baginya apa yang paling penting adalah kebenaran, ketakutan atau kesusahan tidak boleh diberi keutamaan melebihi kebenaran, dan Damascius berazam untuk menyelamatkan falsafahnya yang dianggap benar.[29]
Di akhir bukunya, Nixey memetik kata-kata dan pemerhatian oleh seorang pengembara Arab dan pencatat sejarah berkenaan dengan apa yang menimpa Empayar Rum. Pengembara tersebut adalah al-Mas’udi. Beliau menulis:
“Pada peringkat awal Empayar Rom, sains dan keilmuan dihargai dan mendapat penghormatan yang tinggi. Dari asas yang kukuh dan hebat, ia dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi setiap hari. Hinggalah Kristian muncul, ia membawa kemusnahan yang dahsyat kepada bangunan ilmu, tinggalan ilmu hilang dan jalan-jalan keilmuan dimusnahkan”.
Pemerhatian Mas’udi ini sangat menarik sekali. Beliau sendiri bukanlah insan sebarangan, kitabnya, The Meadows of Gold menjadi sumbangan yang besar pada sejarah. Tulisan dan historiografi al-Mas’udi ada dipuji dan dikritik oleh sejarawan lain, contohnya dalam Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengkritik dengan panjang lebar dalam bab-bab pengenalan perihal penulisan sejarah yang sekadar mengulang apa yang mereka dapati dari sumber mereka tanpa sebarang saringan, antara tulisan yang dikritiknya termasuklah tulisan al-Mas’udi.[30]
Kesimpulan
Bagi Nixey, memori orang-orang yang merasa takut dengan penyebaran agama Kristian yang tidak toleran akhirnya tidak diingati oleh sejarah. Begitu juga dengan para ahli falsafah yang bertarung untuk menyelamatkan pemikiran mereka. Nixey ingin membawakan semula pandangan orang-orang yang merasa jijik dengan sikap tidak toleran Kristian yang menghancurkan kuil mereka dan membakar buku-buku mereka. Nixey mahu melawan naratif bahawa semua orang pada zaman klasik menerima dan bergembira dengan kemenangan Kristian.[31] Sebaliknya ada mangsa yang sejarahnya dipadamkan dan kisah mereka tidak diketengahkan. Nixey ingin mengangkat semula suara mereka.
Bagi saya, tulisan Catherine Nixey ini boleh dikatakan sebagai tulisan sejarah aliran revisionist. Ia ingin mencabar naratif pensejarahan tradisional yang banyak mengutamakan pandangan dan sumber-sumber Kristian. Nixey ingin mengetengahkan suara golongan yang kalah. Walaubagaimana pun, saya merasakan tulisan Nixey ini tidaklah berbentuk sejarah yang objektif secara keseluruhan kerana beliau memilih untuk memihak dan bersifat bias. Nixey pada saya tidak berselindung dan menyatakan posisinya sejak awal lagi. Berpihak atau tidak, objektif atau tidak, saya tetap merasakan bahawa ia adalah satu penulisan yang baik, teliti, dan disertakan dengan bukti dan sumber-sumbernya. Ia berjaya menimbulkan perasaan sedih, marah, dan kecewa dalam diri pembaca. Dalam masa yang sama ia menyumbang kepada pengayaan sudut pandang sejarah perihal apa yang menyebabkan dunia klasik musnah.
[1] Syed Ahmad Fathi. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review, 2023.
[2] Bridgette Byrd O’Connor. The “Dark Ages” Debate. World History Project.
[3] Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.
[4] Robert Fisk interview by Harry Kreisler. Conversations with History: Foreign Correspondent in the Middle East. 8 Februari 2008.
[6] E. H. Carr. What is History? Penguin Books, 1964.
[7] Catherine Nixey. The Darkening Age, hlm. xxxvi.
[8] Syed Ahmad Fathi. Perihal Penyebaban Dalam Sejarah. Nota Pengajian Sejarah, 2023.
[9] Catherine Nixey. The Darkening Age, hlm. 8-9.
[10] Ibid., hlm. 14.
[11] Ibid., hlm. 21.
[12] Ibid., hlm. 23.
[13] Ibid., hlm. 25.
[14] Ibid., hlm. 31.
[15] Ibid., hlm. 55.
[16] Ibid., hlm. 70.
[17] Ibid., hlm. 88.
[18] Ibid., hlm. 165-166.
[19] Ibid., hlm. 208.
[20] Ibid., hlm. 157.
[21] Ibid., hlm. 144.
[22] Ibid., hlm. 148.
[23] Ibid., hlm. 98.
[24] Ibid., hlm. 100.
[25] Ibid., hlm. 116.
[26] Ibid., hlm. 178.
[27] Eckhart Tolle. The Power of Now: A Guide to Spiritual Enlightenment. Hodder & Stoughton, 2001.
[28] Catherine Nixey. The Darkening Age, hlm. 236.
[29] Ibid., hlm. 243.
[30] Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), Bruce B. Lawrence (Introduction). The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics, 2015.
[31] Catherine Nixey. The Darkening Age, hlm. 246.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.