Sejarah melayu tradisional secara umumnya tidak sama corak historiografinya dengan historiografi sejarah moden. Jika historiografi sejarah moden mementingkan bukti dokumen dan fakta, yang menjadikan ia satu bentuk historiografi yang objektif, sejarah melayu tradisional tidak mementingkan aspek keobjektifan. Terdapat pelbagai pendapat perihal corak historiografi melayu tradisional, J. C. Bottoms misalnya mengatakan bahawa pensejarahan melayu tradisional itu bersifat hiburan, legenda, fantasi, dan gossip. Manakala Roolvink mengatakan ia bersifat dogeng serta mencatatkan pengalaman peribadi.
Menurut Raja Hassan Raja Noor, pensejarahan zaman silam tidak akan mempunyai erti yang sama dengan erti sejarah seperti fahaman moden. Sejarah melayu tradisional tidak boleh dikatakan sebagai satu sains jika kita melihatnya seperti yang ditulis oleh Collingwood yang menekankan pemisahan antara penulis sejarah dan perasaaannya, sejarah dalam faham Collingwood dikaji untuk memberi pengetahuan yang sebenar terhadap manusia, manakala sejarah melayu tradisional mahu memberi pengajaran, dan memperlihatkan kemegahan generasinya serta keturunan pengarang. Ia adalah pengumpulan tradisi masyarakat istana. Namun, bukan sejarah melayu tradisional sahaja yang bersifat tidak objektif, perkara yang sama kita lihat dalam pensejarahan tua lain di dunia. Contohnya pensejarahan lama orang Sumeria, Yunani Kuno, China, semuanya mempunyai unsur dan pengaruh dari tuhan dan dewa-dewi.
Menurut Muhd Yusof Ibrahim, dari tahun 1800 hingga 1960 terdapat lebih dari 160 karya penulisan yang boleh diklasifikasikan sebagai pensejarahan Melayu, ini tidak termasuk manuskrip yang tidak dipastikan yang disimpan di seluruh dunia. Menurut beliau, naskah-naskah ini perlu dikaji semuanya dengan teliti.
Ciri-Ciri Historiografi Melayu Tradisional
Persejarahan melayu tradisional dapat dikenali dengan beberapa ciri. Contohnya kewujudan pengaruh Hindhu-Buddha dan Islam dalam bentuk kesusasteraan dan kebudayaan di dalamnya. Juga terdapat unsur-unsur tempatan yang menjadikannya sejarah berbentuk tradisi setempat. Atas faktor selang masa yang lama, pengumpulan bahan dari tradisi oral, juga riwayat orang tua-tua, semua faktor ini menyumbang kepada kemasukan banyaknya unsur legenda dalam pensejarahan melayu tradisional.
Menurut Raja Hassan lagi, persejarahan melayu tradisional juga mempunyai ciri-ciri region-centric dan ethno-centric, kerana ia berkisar perihal kesultanan di sesebuah daerah. Ini dapat kita lihat dalam penulisan hikayat yang spesifik, contohnya Hikayat Aceh membicarakan hal-hal di Aceh, Misa Melayu perihal Perak, dan lain-lain.
Ciri lain yang dapat dilihat dalam penulisan sejarah melayu tradisional adalah penulisan tersebut kebanyakannya tidak menggambarkan sejarah realiti, tetapi bersifat kosmos keagamaan dan magis. Ditulis dengan gambaran fantastik, imaginatif dan dogeng. Ini dapat dilihat dalam penulisan nasab dan salasilah. Contohnya jurai keturunan dinasti Melaka yang dikaitkan dengan Sultan Iskandar Zulkarnain dalam Sulalatus Salatin, yang mahu memperlihatkan kedudukan istimewa raja. Juga Hikayat Merong Mahawangsa di mana salasilahnya ditelusuri bermula dari Buluh Betung. Contoh lain adalah kejadian-kejadian aneh dalam pensejarahan, dalam Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya nama Sumadra dan Pasai dikatakan berasal dari semut raya dan salak anjing Pasai. Nama-nama negeri seperti Melaka dan Singapura pula dikisahkan berasal dari motif haiwan, pokok atau kesalahan sebutan.
Historiografi melayu tradisional juga dipengaruhi unsur-unsur Hindhu, ini dapat dilihat dengan adanya unsur kedewaan, mitos, dan legenda. Selepas kedatangan Islam, unsur yang berbentuk fiksyen dan tidak bertepatan dengan logik masih ada seperti kepercayaan pada mimpi. Contohnya dalam Hikayat Raja Pasai, Merah Silu dikatakan memeluk Islam selepas baginda bermimpi bertemu Nabi Muhammad. Pada zaman pra-Islam, karya-karya yang ditulis tidak mementingkan nama pengarang, hal ini kerana, kebanyakkan penulisan itu berbentuk kolektif, begitu juga perihal tarikh, ia tidak dianggap penting. Selepas kedatangan Islam, historiografi melayu dilihat berubah dengan mula merekodkan nama pengarang dan juga penentuan tarikh pada peristiwa yang dicatatkan. Pensejarahan melayu tradisional selepas kedatangan Islam juga banyak menyerap pengaruh Parsi, contohnya Hikayat Aceh banyak dipengaruhi oleh karya Parsi Akbarnama.
Sumber Pensejarahan
Sumber persejarahan melayu tradisional kebanyakannya datang dari empat jenis sumber, iaitu inskripsi, prasasti, monumen, dan buku-buku dalam bentuk hikayat. Sumber inskripsi di alam nusantara yang menjadi sumber sejarah sebagai contoh adalah batu-batu bersurat. Misalnya inskripsi di Bangka yang bertarikh 683 masehi.
Walaubagaimanapun, sumber sejarah yang paling dominan dan utama bagi historiografi melayu tradisional adalah dalam bentuk penulisan hikayat. Contohnya Sulalatus Salatin, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Acheh, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Sri Kelantan, Syair Perang Makassar, Salasilah Melayu dan Bugis, Salasilah Kutai, Misa Melayu, Al-Tarikh Salasilah Kedah, dan lain-lain. Penulisan hikayat ini biasanya dirangkaikan walaupun kisahnya saling tiada perkaitan, ini merupakan ciri penulisan yang dapat dilihat dalam hikayat. Ia ditulis bagi mengagungkan kesultanan yang ada, dan selepas sesebuah negeri itu dilanggar kuasa asing, ia disalin dan ditokok tambah.
Hikayat juga mempunyai pertalian rapat dengan istana, contohnya Tun Sri Lanang yang diarahkan sultan untuk menulis Sulalatus Salatin. Penaung akan membiayai penulisan karya tersebut, dan disini wujudnya hubungan antara penulis dan penaung. Kerana adanya hubungan ini, karya hikayat dilihat mempunyai unsur raja-centric atau istana-centric. Dalam bentuk pensejarahan hikayat ini, ekonomi rakyat, gerakan massa, tidak diberikan penekanan. Walau bagaimana pun, ada juga yang tiada kaitan dengan istana, contohnya ketika Raffles meminta Munsyi Abdullah menulis hikayat. Ada juga hikayat yang ditulis atas kesedaran sendiri, seperti yang dilakukan oleh Raja Ali Haji yang mengarang Tuhfat al-Nafis. Penulisan Raja Ali Haji ini menggambarkan sudah wujudnya kesedaran sejarah dalam kalangan orang Melayu pada tahun 1865.
Isi dan Bentuk Sejarah Melayu Tradisional
Seperti yang dibahaskan sebelum ini perihal ciri dan sumber pensejarahan melayu tradisional yang bersifat keistanaan dan kenegerian, isinya juga melambangkan sifat-sifat ini. Antara isi biasa yang didapati dalam pensejarahan melayu tradisional adalah:
- Salasilah dan asal-usul raja dan pembesar
- Sejarah pembentukan negeri dalam bentuk babad
- Biografi dan riwayat hidup tokoh
- Kisah kedatangan agama Islam
- Hal ehwal raja-raja
- Perintah-perintah raja
- Sosiopolitik, ekonomi, peperangan, terjemahan dan catatan perjalanan
Menurut Mohd Taib Osman, ciri utama yang membezakan satu penulisan sejarah dengan kisah dongeng ialah kewujudan salasilah. Namun jurai keturunan raja-raja ini, akan kelihatan seperti satu legenda dan bersifat mitos bagi pembaca hari ini. Contohnya dalam Hikayat Aceh, terdapat unsur sinkretisme dengan penulisan nasab Nabi Adam dan Visnu.
- Sejarah Berbentuk Kesusasteraan
Karya sejarah tradisional juga disebut sebagai “sastera sejarah” kerana ia merupakan satu penulisan sastera yang mempunyai unsur sejarah yang kuat. Walaupun begitu, menurut Yusof Ibrahim, karya seperti ini wajar dilihat sebagai satu penulisan sejarah dan bukan dianggap sebagai bahan sastera sahaja. Dalam kategori ini beliau memberi contoh Misa Melayu yang ditulis oleh Raja Chulan, ia merupakan penulisan yang penting perihal sejarah negeri Perak dari tahun 1742 hingga 1778 bermula dari Sultan Jalilullah hingga ke Sultan Alauddin Mansur Syah. Karya ini merangkumi hal pergolakan politik kerabat diraja Perak, kegiatan sosial, keagamaan dan ekonomi. Misa Melayu juga memperlihatkan penulisan sejarah berbentuk sastera, hampir separuh kandungannya adalah dalam bentuk syair. Selain Misa Melayu, terdapat juga manuskrip Salasilah Perak yang tidak diketahui penulisnya, selain merekodkan keturunan raja, ia juga merakamkan serangan Aceh (1573, 1619) dan Bugis (1740, 1770) ke atas negeri Perak.
Karya sejarah yang berbentuk sastera lain adalah Hikayat Merong Mahawangsa yang tidak diketahui siapa penulisnya dan tarikh sebenar ia ditulis. Menurut Yusof Ibrahim, motif penulisannya adalah motif sejarah, iaitu ditulis bagi kegunaan generasi akan datang. Hikayat ini menceritakan kisah pembukaan kerajaan Langkasuka oleh Raja Merong Mahawangsa yang mana kerajaan ini kemudiannya dikenali sebagai negeri Kedah. Hikayat ini turut merekodkan salasilah raja-raja Kedah. Hikayat ini turut menceritakan bagaimana Raja Pra’ Ong Mahawangsa (raja ke-8) memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Mudzalfah Syah. Hikayat ini dianggap penting kerana ia menceritakan corak masyarakat serta sistem pentadbiran Melayu tradisional sejak zaman pra-Islam.
Walaubagaimanapun, Hikayat Merong Mahawangsa ini tidak boleh diambil sebagai bahan sejarah secara kesuluruhan kerana unsur mitosnya yang kuat, kajian silang perlu dilakukan dengan membandingkannya dengan sumber-sumber lain bagi memastikan ketepatan unsur sejarahnya. Mitos utama dalam hikayat ini adalah perihal penubuhan negeri yang mengisahkan bagaimana seekor burung Garuda mahu menghalang perkahwinan antara putera Rom dan puteri China, juga pelayaran Raja Merong Mahawangsa ke Kuala Merbok dan menubuhkan negeri Langkasuka. Namun tiada bukti kukuh lain ditemukan perihal pengasasan Langkasuka ini. Contoh mitos lain dalam hikayat ini adalah kedatangan iblis kepada Raja Phra Ong, dikisahkan bahawa ketika Raja Phra Ong Mahawangsa mahu meminum arak, iblis telah datang dan kencing ke dalam piala minuman baginda dan kemudian Raja Phra Ong meminumnya.
2. Pensejarahan Negeri
Antara penulisan berbentuk pensejarahan negeri adalah Hikayat Pahang yang diterbitkan pada 1932, menurut Yusof Ibrahim, hikayat ini bukan karya moden walaupun zaman tersebut sudah mula muncul penulisan sejarah negeri berbentuk moden seperti Pesaka Selangor pada tahun 1937. Pesaka Selangor memuatkan salasilah keturunan raja Selangor, Perang Kelang I (1866) dan Perang Kelang II (1870), serta campur tangan British di Selangor. Pesaka Selangor menampakkan sudah adalanya elemen mementingkan sumber, bukan sekadar bergantung pada ingatan pengarang, juga dimuatkan tarikh-tarikh peristiwa penting, oleh itu ia menampakkan ciri pensejarahan moden.
3. Pensejarahan Dalam Bentuk Puisi, Syair dan Prosa
Menurut Yusof Ibrahim, penulisan sejarah dalam bentuk puisi sangat popular dalam kalangan orang Melayu hingga zaman menjelangnya Perang Dunia Kedua. Penulisan seperti ini bagi Yusof Ibrahim dapat diterima sebagai karya sejarah jika dilakukan kajian dan dapat dipastikan bahawa penulis merupakan saksi kepada peristiwa sejarah yang ditulisnya, tulisannya mempunyai sumber dan bukan sekadar khayalan pengarang. Contohnya adalah syair dalam Misa Melayu pada bahagian kedua yang mengisahkan pelayaran Sultan Iskandar sepanjang Sungai Perak ke kuala kemudian menyusur pantai hingga ke Matang. Terdapat juga penulisan seperti ini yang memfokuskan peristiwa yang berlaku di sebuah negeri, contohnya Syaer Singapura di Makan Api.
Penulisan syair dalam pemaparan sejarah tidak hanya berkisar pada pensejarahan negeri. Terdapat juga syair-syair yang merekodkan riwayat hidup tokoh. Contohnya Syaer Tuan Humphreys Terengganu yang ditulis oleh Hajah Wok Aisyah binti Haji Nik Idris bagi memperingati J.L. Humphreys yang merupakan Ejen British dan Penasihat British yang mentadbir Terengganu. Syair ini terbahagi kepada dua bahagian, satu perihal J.L. Humphreys, manakala bahagian kedua tentang Sultan Zainal Abidin III.
Penulisan riwayat hidup dalam bentuk prosa sudah wujud sejak zaman Empayar Melayu Melaka, ini dapat dilihat contohnya dengan adanya disebut tentang Hikayat Amir Hamzah dalam Sulalatus Salatin. Namun riwayat hidup tokoh ini tidak dapat disamakan dengan bentuk biografi atau catatan riwayat hidup moden, ia lebih menjurus kepada catatan pengembaraan. Corak penulisan yang betul menepati riwayat hidup boleh dikatakan muncul pada tahun 1849 dalam bentuk autobiografi yang ditulis oleh Abdullah Munsyi iaitu Hikayat Abdullah. Selain menulis perihal dirinya, Abdullah Munsyi juga menulis perihal perkembangan yang berlaku di Melaka dan Singapura semasa zamannya dan juga kritikan-kritikannya terhadap masyarakat.
4. Pensejarahan Keagamaan
Karya yang berbentuk sejarah-sejarah agama dan kisah para nabi merupakan antara pensejarahan yang banyak ditulis kerana ia dipercayai merupakan tanggungjawab yang dituntut agama serta mendapat pahala apabila menulisnya. Maka karya berbentuk keagamaan ini terutamanya agama Islam banyak dihasilkan sejak abad ke-15. Antara karya yang terkenal adalah Hikayat Nur Muhammad. Hikayat ini merupakan satu sastera sufi yang menceritakan tentang permulaan kejadian alam yang berasal dari Nur Muhammad. Hikayat ini juga mempunyai unsur kefahaman Syiah yang kuat.
Dengan kedatangan Islam di Tanah Melayu, pensejarahan melayu tradisional mula menyerap masuk pengaruh dari Arab dan Parsi. Sesetengah karya menterjemah karya asal Arab dan Parsi ke dalam bahasa Melayu, sesetengah lain menyadur terus dengan memasukkannya ke dalam karya karangan mereka. Antara pensejarahan Islam terjemahan yang popular di kalangan masyarakat Melayu adalah Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Iskandar Zulkarnain. Kisah kegagahan Iskandar Zulkarnain sebagai contoh, dapat dilihat pengaruhnya dalam penulisan pensejarahan melayu tradisional seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Banjar. Malah salasilah raja-raja Melayu turut disusur galurkan kepada Iskandar Zulkarnain. Selain dari salasilah, unsur-unsur Islam turut ditulis dalam bentuk puisi dan prosa untuk menjadikannya satu karya sastera dalam masa yang sama sebagai kaedah dakwah untuk menyampaikan mesej Islam di Alam Melayu.
Penelitian Kepada Karya-Karya Melayu Tradisional Utama
Setelah dibahaskan ciri, sumber, dan bentuk pensejarahan melayu tradisional. Kita akan meninjau beberapa karya tradisional utama dengan memberi penekanan kepada pengarangnya, masa ia ditulis dan diterbitkan, juga kandungan-kandungan utamanya.
- Sulalatus Salatin
Penulisan ini merupakan penulisan yang paling penting dalam pensejarahan melayu tradisional. Ia dikenali dengan pelbagai nama seperti Hikayat Melayu dan Sejarah Melayu, juga tajuknya telah diterjemahkan dengan salah kepada Malay Annals. Ia dipercayai ditulis pada abad ke-16 sekitar tahun 1612 dan mempunyai pelbagai variasi. Kandungan utamanya adalah penceritaan perihal pemerintahan sultan-sultan di Melaka. Menurut Ahmat Adam penulis sebenar tulisan ini masih diperdebatkan oleh sarjana, namun majoriti berpandangan bahawa ia ditulis oleh Tun Seri Lanang. Menurut Ahmat Adam lagi, Sulalatus Salatin tidak boleh dianggap sebagai penulisan sejarah jika kita memakai definisi sejarah seperti yang ditetapkan oleh Ibnu Khaldun dan Herodotus. Sebaliknya ia adalah campuran antara sejarah, legenda, dan mitos. Ia tidak boleh diambil secara tidak kritis dan perlu dibandingkan dengan penulisan lain seperti catatan China dan Portugis bagi mendapatkan pandangan sejarah yang lebih tepat perihal Melaka. Ini memang dapat kita lihat jika kita membaca sendiri tulisan Sulalatus Salatin, memang terdapat banyak kisah yang tidak masuk akal, antaranya terdapat kisah Badang yang memakan muntah hantu untuk menjadi kuat dan perkasa.
Sulalatus Salatin dimulakan dengan menasabkan raja melayu dari Raja Iskandar Zulkarnain yang berjaya mengalahkan Raja Kida Hindi dan mengahwini anaknya yang dinikahkan oleh Nabi Khidzir. Dari keturunan inilah datangnya kisah raja-raja terkemudian. Contohnya Raja Suran yang mahu menawan negeri China. Kemudian dikisahkan bagaimana Islam datang ke nusantara dengan pengislaman Merah Silu yang bermimpi berjumpa Nabi Muhammad. Juga dimuatkan kisah Singapura dilanggar Todak, bagaimana kerajaan Melaka diasaskan, kisah Hang Tuah dan Hang Jebat. Di bahagian akhir dikisahkan bagaimana Portugis datang dan menyerang Melaka sehinggalah akhirnya Melaka jatuh.
2. Misa Melayu
Misa Melayu merupakan penulisan sejarah berbentuk kenegerian yang memfokus pada negeri Perak. Menurut Winstedt ia dianggarkan dikarang atau disunting pada sekitar tahun 1836. Misa Melayu merekodkan salasilah raja-raja yang memerintah Perak bermula dari mangkatnya Al-Marhum Jalilullah dan digantikan Sultan Mahmud Syah. Kemudian Perak diperintah pula oleh Sultan Alauddin Riayat Syah. Selepas itu berlaku huru hara ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Syah di mana Perak berpecah dua, Sultan Muzaffar Syah memerintah dari Berahman Indera sebelum berpindah ke Kuala Kangsar, manakala Sultan Muhammad Syah memerintah dari Pulau Tiga. Kemudian Perak kembali bersatu di bawah kebijaksanaan Sultan Iskandar Zulkarnain (Raja Muda). Ia diakhiri dengan pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Syah. Pada bahagian kedua, ditulis syair perihal pelayaran Sultan Iskandar sepanjang Sungai Perak ke kuala kemudian menyusur pantai hingga ke Matang.
Kesimpulan
Setelah kita telusuri historiografi dan pensejarahan melayu tradisional, dari ciri-cirinya, bentuk-bentuknya, sumbernya, serta beberapa penulisan sejarah yang utama, persoalan akhir yang tinggal adalah, adakah penulisan-penulisan tradisional ini dapat digunakan atau dianggap sebagai bahan sejarah? Ahmat Adam misalnya, mengatakan karya seperti Sulalatus Salatin tidak boleh dianggap sebagai bahan sejarah. Bagi menjawab persoalan ini, suka saya menukilkan pendapat Anthony Milner di dalam kesimpulan bukunya, Kerajaan.
Milner menulis bukunya dengan mengkaji Hikayat Deli dan Hikayat Pahang. Menurut Milner, hikayat pada mulanya merupakan kategori penulisan yang tidak menarik bagi ahli sejarah yang sudah terbiasa dengan bahan-bahan versi Eropah. Namun menurut Milner, bahan-bahan pensejarahan tradisional seperti hikayat merupakan bahan yang paling berharga untuk memahami kehidupan orang Melayu. Jika bahan-bahan ini tidak digunakan, kita akan melihat sejarah Melayu dengan perspektif yang salah serta membuat kesimpulan-kesimpulan yang salah. Walaupun unsur-unsur mitos dan legenda tidak dapat diterima sebagai satu perkara yang bersejarah, ia tetap penting dalam memberikan kita kefahaman tentang pemikiran, budaya, kepercayaan dan juga cara hidup masyarakat melayu tradisional. Oleh itu, wajarlah ia dikaji dan diselidiki dengan kritis oleh generasi hari ini.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.