Attack on Titan asalnya merupakan siri manga Jepun yang ditulis dan dilukis oleh Hajime Isayama. Kisah ini berlatarkan dunia di mana manusia hidup dan berlindung disebalik dinding daripada serangan humanoid gergasi yang digelar Titan yang memakan manusia. Kisah ini berkisar tentang kehidupan Eren Yeager yang bertekad menghapuskan semua Titan setelah melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana ibunya mati dimakan oleh Titan dengan begitu tragis dan sadis. Dalam perjuangan Eren untuk menghapuskan Titan ini beliau akhirnya berjaya melihat dunia dengan lensa yang lebih besar, plot anime ini bukan sahaja membahaskan perihal perjuangan survival manusia, ia juga mengetengahkan pelbagai sudut falsafah lain termasuklah falsafah politik, hubungan manusia, juga sistem sosial. Siri anime yang diadaptasi dari manga ini diterbitkan oleh Wit Studio dan MAPPA.
Terdapat penulis yang melihat latar politik yang digambarkan dalam anime Attack on Titan mirip kepada teori falsafah politik yang dibawa oleh ahli falsafah Nazi iaitu Carl Schmitt. Menurut Schmitt ketidaksamaan dalam masyarakat, konflik dan penindasan adalah perkara biasa dalam sesuatu politi. Apa yang diperlukan bukanlah untuk mengubah perkara ini yang merupakan lumrah kehidupan manusia, sebaliknya mengalihkan pandangan dalam masyarakat terhadap musuh yang sama untuk mengelakkan konflik sivil dalaman. Walaupun falsafah politik Schmitt dikatakan digunakan sebagai latar anime ini, temanya tidaklah mempromosikan Nazi atau Fasisma, sebaliknya ia cuba mempamerkan manusia dengan sifat-sifatnya, yang baik dan yang buruk.
Anime boleh dikategorikan sebagai satu seni visual yang sangat popular di Jepun. Anime (animasi Jepun) mempunyai sejarah dan perkaitan rapat dengan manga (komik Jepun). Penggunaan seni visual sebagai kaedah penceritaan boleh ditelusuri semenjak zaman pramoden Jepun iaitu sebelum tahun 1600 lagi. Perkembangan ini tidak sama dengan perkembangan di Nusantara. Komik Melayu cuma boleh dirujuk bermula seawal tahun 1950.
Antara kefahaman yang salah dalam masyarakat adalah anime merupakan satu bentuk hiburan kepada kanak-kanak. Sebaliknya kajian mengatakan bahawa ia bukan terhad kepada hiburan kanak-kanak, ia juga digunakan oleh pelajar sekolah dan universiti untuk mempelajari teori dan sejarah yang kompleks, malah terdapat banyak anime yang berbentuk serius dan spesifik merangkumi genre pembelajaran, maklumat, politik, perniagaan, dan sebagainya. Penggunaan seni visual Jepun tidak terhad kepada masyarakat umum sahaja. Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942-1945, pelbagai jenis lukisan, imej, foto, yang digunakan Jepun sebagai propaganda kepada penduduk tempatan untuk menyokong Imperial Jepun serta membenci musuh mereka iaitu British dan Amerika Syarikat. Bagi tujuan propaganda, pihak imperial Jepun mempunyai jabatan propaganda khas yang dipanggil Senden-Bu. Selain kartunis Jepun, imej propaganda ada juga dihasilkan oleh kartunis tempatan, antaranya Abdullah Arif dari Pulau Pinang yang melukis ilustrasi perayaan “Tentyo Setsu di Syonan” ia menggambarkan sokongan orang Melayu dalam sambutan hari lahir Maharaja Hirohito. Di sini dapat kita fahami bahawa anime sebagai satu seni visual bukan sahaja berperanan sebagai hiburan, ia malah boleh digunakan sebagai bahan pendidikan hinggalah kepada alat bagi propaganda.
Perkaitan antara anime dan falsafah bukanlah satu perkara yang baru. Hitoshi Ogawa ada menulis perihal konsep anime philosophy. Menurut beliau falsafah mempunyai makna yang lebih luas, ia bukannya satu proses untuk memahami karya klasik berat. Sebaliknya falsafah menurut beliau adalah pencarian makna melalui proses berfikir. Malah menurut beliau sebahagian anime lebih banyak unsur falsafah dari sebahagian buku falsafah tradisional. Beliau memberikan contoh bagaimana anime yang dihasilkan oleh Miyazaki Hayao, yang merupakan salah seorang pengasas Studio Ghibli, membuatkan manusia berfikir dengan fikiran yang dalam perihal maksud-maksud karyanya. Bagi Ogawa, anime adalah sumber yang baik bagi falsafah.
Terdapat tiga metodologi yang kita boleh gunakan untuk mengaitkan anime dengan falsafah menurut Ogawa. Pertama, kita membahaskan kesuluruhan anime (sebagai satu bidang animasi) dari sudut falsafah. Contoh kepada cara yang pertama ini adalah pertanyaan “apakah itu anime?”. Kedua, kita memilih satu anime yang spesifik dan memperbahaskan falsafah di dalamnya. Contohnya kita bertanyakan “apakah yang dimaksudkan oleh cerita ini?”. Yang ketiga adalah berfalsafah dalam kerja-kerja penghasilan anime. Kertas kajian ini memilih metodologi yang kedua, iaitu memilih satu anime yang spesifik iaitu Attack on Titan, kemudian cuba berfikir untuk memahami maksud-maksudnya melalui pemikiran.
Falsafah dalam bahasa Yunani disebut sebagai philosophy membawa erti kecintaan kepada kebijaksanaan (love of wisdom), dalam bahasa Arab disebut sebagai falsafa. Ia merangkumi subjek dan metodologi yang luas termasuk upaya manusia untuk cuba memahami realiti, sifat-sifat manusia, sifat ketuhanan dan pelbagai bidang lagi. Metodologi falsafah termasuklah penggunaan hujah rasional dan penyiasatan, juga penggunaan kapasiti intelektual dalam pencarian kebenaran dalam ruang lingkup alam sekitar, metafizik dan etika.
Pada thesis yang ke-11 di dalam Theses on Feuerbach Karl Marx menulis “Die Philosophen haben die Welt nur verschieden interpretiert; es kommt aber darauf an, sie zu verändern” yang bermaksud bahawa ahli falsafah hanya mentafsir dunia dalam pelbagai cara, namun, apa yang perlu dilakukan adalah mengubah dunia, Oleh itu, dari kata-kata Marx ini bolehlah kita fahami bahawa falsafah merupakan tafsiran perihal apa yang ada di dalam dunia ini, apa yang berlaku, mengapa ia berlaku, serta bagaimana ia sepatutnya berlaku. Definisi Marx ini tidak banyak berbeza dengan definisi yang dibawakan oleh Hitoshi Ogawa. Oleh kerana anime wujud secara visual di dalam dunia yang material, kita boleh mengatakan bahawa anime adalah salah satu objek falsafah.
Tafsiran kepada subjek dan objek yang ada diatas muka bumi inilah yang didefinisikan sebagai falsafah. Proses ini tidak semestinya tepat, kerana setiap ahli falsafah, pentafsir, dan penulis mempunyai pemikiran mereka sendiri, mereka dibentuk oleh budaya dan perspektif lingkungan mereka yang kemudiannya mempengaruhi pemikiran mereka. Mereka juga melihat dunia dari zamannya, penulis silam tidak mempunyai kefahaman sejarah seperti yang kita ada pada hari ini. Permasalahan tafsiran yang bergantung pada persekitaran ini menjadi lebih rumit apabila ia melibatkan ketidaksamaan dari sudut kuasa. Terutamanya jika pihak yang menjadi pentafsir mempunyai kekuasaan ke atas golongan yang ditafsir. Dalam bukunya Orientalism, Edward Said menulis:
“Perhaps the most important task of all would be to undertake studies in contemporary alternatives to Orientalism, to ask how one can study other cultures and peoples from a libertarian, or a nonrepressive and nonmanipulative, perspective. But then one would have to rethink the whole complex problem of knowledge and power.”
Dalam perbahasan Orientalism, Edward Said mengkritik sarjana-sarjana Barat dalam tafsiran-tafsiran mereka terhadap budaya, masyarakat, dan peradaban orang-orang Timur. Tafsiran reduktif dan bias ini menurut beliau bermula dari prejudis agama. Prejudis ini kemudian berkekalan dalam penulisan sarjana terkemudian dengan dalil-dalil yang lebih sekular dan moden.
Oleh itu, maksud falsafah dalam konteks kajian ini adalah tafsiran-tafsiran yang dibuat ke atas tema, persoalan, dan dialog yang ada dalam anime Attack on Titan seperti definisi Marx yang menyatakan falsafah sebagai tafsiran kepada dunia. Juga falsafah menurut apa yang diutarakan oleh Hitoshi Ogawa, iaitu pencarian makna melalui proses berfikir. Tafsiran ini dibuat berdasarkan metodologi Ogawa yang kedua, apabila tafsiran dibuat, ia akan mewujudkan falsafah disekeliling anime ini. Namun dalam masa yang sama, tafsiran yang dibuat cuba untuk dilakukan dengan objektif tanpa sebarang bias dan prejudis. Antara falsafah yang dibincangkan termasuklah sifat semulajadi manusia, falsafah kelangsungan hidup, pemikiran Machiavelli, orientalisma, rasisma, falsafah ilmu, dan falsafah kebebasan.
Dalam episod ke-5 musim pertama yang bertajuk First Battle: Battle of Trost District, Part 1, kita dikejutkan dengan apa yang dilihat sebagai seolah-olah kematian watak utama, Eren Yeager apabila beliau menyelamatkan rakannya Armin Arlelt dari dimakan Titan. Kita melihat bagaimana sebelum Eren ditelan, beliau teringat akan impian-impiannya, mengapa beliau masih belum boleh mati, iaitu kerana beliau masih belum memahami dunia dan masih belum sempat meneroka dunia luar disebalik dinding-dinding yang melindungi mereka dari Titan. Bagi Eren, hidup aman tetapi terpuruk dan tersembunyi merupakan sifat lemah seperti binatang ternakan dan tidak cocok dengan sifat semulajadi manusia.
Pemikiran Eren ini dipersetujui oleh falsafah yang dikemukakan oleh Carl Sagan yang merupakan seorang astronomer terkenal. Dalam bab permulaan di dalam bukunya Pale Blue Dot, Sagan menyifatkan bahawa manusia mempunyai sifat semulajadi sebagai wanderer ataupun pengembara. Beliau menulis:
“We were wanderers from the beginning. We knew every strand of tree for a hundred miles. When the fruits or nuts were ripe, we were there. We followed the herds in their annual migrations.”
Sifat ini yang menyebabkan manusia meneroka alam ini, hampir setiap pelusuk bumi, di lautan paling dalam, kutub paling sejuk, padang pasir paling kering dan berbahaya, hutan belantara, semuanya diteroka manusia yang akhirnya hidup di seluruh benua yang ada di bumi ini. Sagan yakin bahawa manusia akan meneroka angkasa lepas di masa depan, malah beliau yakin bahawa masa depan kemanusiaan adalah di angkasa lepas, kerana bumi ini bakal menemui kehancuran. Beliau menulis bahawa “the human future lies far beyond the Earth”.
Oleh itu perasaan Eren untuk meneroka dunia, sebuah impian yang dikongsi bersama sahabatnya, Armin Arlert, merupakan naluri semulajadi manusia yang ingin meneroka dan menjadi wanderer. Mirip kepada sifat manusia seperti yang diutarakan oleh Carl Sagan.
Walaupun kita melihat karakter Eren dan tulisan Sagan yang membawakan naratif bahawa sifat ingin meneroka ini merupakan sifat semulajadi manusia. Dalam perbahasan falsafah, sifat semulajadi manusia, atau apa yang sering disebut sebagai human nature merupakan satu perbahasan yang panjang malah berterusan sehingga ke hari ini. Malah sebahagian pemikir terutamanya dalam kem evolutionary biologist menolak kewujudan apa yang dipanggil sebagai human nature. Yuval Noah Harari misalnya berhujah bahawa apa sahaja yang boleh dilakukan manusia adalah bersifat semulajadi menurut alam. Beliau menulis bahawa “whatever is possible is by definition also natural”. Pada pandangan beliau sekatan terhadap sesuatu kelakuan adalah disebabkan budaya, bukan biologi. Beliau pergi lebih jauh bahawa pemahaman apa itu “semulajadi” dan “bukan semulajadi” yang ada dalam masyarakat datang dari teologi bukan biologi. Dari sudut pemikiran rasional, hujah ini membuka ruang untuk manusia melakukan apa sahaja, sekalipun jenayah, kerana apa yang boleh dilakukan adalah bersifat semulajadi, oleh itu kita tidak mempunyai sebarang limitasi. Oleh itu, adakah kita boleh katakan bahawa apa yang dilakukan oleh Hitler dan Nazi adalah semulajadi dari sudut biologi kerana ia boleh dilakukan?
Penolakan terhadap wujudnya apa yang disebut sebagai human nature ini adalah hasil dari pemikiran yang materialist dan naturalist, yang menolak hujah-hujah metafizikal. Pemikiran ini sebenarnya telah lama dikritik oleh David Hume yang dianggap sebagai seorang ahli falsafah Inggeris yang paling penting menurut Stanford Encyclopedia of Philosophy. Dalam A treatise of human nature, beliau menulis:
“That all the sciences have a relation, greater or less, to human nature; and that however wide any of them may seem to run from it, they still return back by one passage or another. Even Mathematics, Natural Philosophy, and Natural Religion, are in some measure dependent on the science of MAN; since they lie under the cognizance of men, and are judged of by their powers and faculties.”
Menurut Hume bukan sahaja human nature itu wujud, malah sains bergantung kepadanya. Kerana untuk memahami sains, manusia perlu menggunakan fakulti-fakulti mereka. Dengan memahami dan menguasai sifat semulajadi manusia menurut Hume, kita dapat menguasai cabang-cabang sains. Pemahaman terhadap sifat manusia, atau apa yang disebut Hume sebagai science of man, merupakan asas yang kukuh untuk memahami sains, kerana akhirnya pemahaman sains bergantung kepada pengalaman dan pemerhatian manusia. Jadi berasaskan hujah Hume ini dapatlah kita katakan bahawa sifat semulajadi manusia itu wujud dan salah satu dari sifat ini adalah kesukaan pada pengembaraan dan penerokaan.
Dari perspektif Nusantara, sifat manusia yang suka pada pengembaraan, penerokaan, dan penghijrahan ini, seperti yang wujud dalam karakter Eren, juga dalam perbincangan Sagan, merupakan asas kepada pembentukan kemanusiaan dan ketamadunan Nusantara. Ahmad Jelani Halimi dalam bukunya Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu ada membincangkan apa yang dikatakan sebagai “teori penghijrahan”. Teori ini berusaha menjelaskan permulaan tamadun Nusantara adalah berasal dari penghijrahan beramai-ramai manusia dari kawasan utara ke Asia Tenggara. Ahli antropologi yang pertama kali mengetengahkan teori ini adalah F. Sarasin dan P.E. Sarasin. Terdapat dua kelompok utama manusia yang berhijrah secara berperingkat. Yang pertama adalah Melayu Proto (sekitar 3000-2500 SM) yang membawa kebudayaan neolitik, kemudian Melayu Deutro (sekitar 1500-300 SM) yang membawa kebudayaan gangsa dan besi. Walaubagaimanapun teori penghijrahan besar-besaran ini ditolak oleh kebanyakan penyelidik terkemudian, mereka berpendapat perpindahan berlaku perlahan-lahan dalam jangka masa ribuan tahun.
Sama ada kita mahu menerima teori penghijrahan besar-besaran atau penghijrahan secara perlahan, kedua-duanya mengiktiraf berlakunya perpindahan dan penerokaan. Inilah sifat wanderer yang ada dalam diri manusia seperti yang diutarakan Carl Sagan dalam bukunya, sifat inilah yang memulakan ketamadunan Nusantara. Sifat ini dapat kita amati melalui karakter Eren Yeager dalam anime Attack on Titan.
Dalam Episod 6 Musim 1 yang bertajuk The World She Saw: Battle of Trost District, Part 2 kita didedahkan akan kisah disebalik diterminasi Mikasa Ackerman yang berjuang untuk kelangsungan hidup, bagaimana ketika kecil ibu dan bapanya dibunuh di depan matanya. Dia diculik sebelum diselamatkan Eren Yeager yang pada ketika itu juga masih kanak-kanak. Dalam babak ini, Eren memberi Mikasa makna kehidupan dalam dunia yang kejam ini, bahawa hukum alam menetapkan bahawa yang yang kuat akan hidup dan menang, persis falsafah yang di bawa oleh Charles Darwin dalam teori evolusinya yang sering diungkapkan dengan terma survival of the fittest.
Oleh itu Mikasa harus membunuh pembunuh ibu bapanya jika dia mahu hidup. Falsafah ini diulang ingat oleh Mikasa semasa Battle of Trost ketika dia sudah hampir berputus asa. Untuk kelangsungan kemanusiaan, Mikasa perlu terus melawan, jika tidak hukum alam menetapkan bahawa Titan yang akan mendominasi, dan akan duduk lebih tinggi dalam piramid survival makhluk-makhluk.
Survival sebagai falsafah asas telah dibahaskan sekian lama oleh ahli falsafah. Contohnya, di dalam magnum opus tulisan Francis Fukuyama, The End of History and the Last Man beliau membincangkan falsafah sejarah berkenaan dengan kewujudan kelas dan hiraki di antara manusia. Dalam perbahasan ini, Fukuyama membentangkan idea yang diketengahkan oleh ahli falsafah German, Georg Wilhelm Friedrich Hegel iaitu “the Battle of Pure Prestige”. Fukuyama turut membincangkan idea ini yang dibahaskan dengan lebih panjang oleh pentafsir falsafah Hegel iaitu Alexandre Kojeve, seorang ahli falsafah Perancis.
Falsafah Hegel-Kojeve dalam Battle of Pure Prestige mengisahkan dua manusia pertama dalam sejarah kemanusiaan. Manusia pertama bertarung dan mempertaruhkan nyawanya untuk menjadi penguasa, manakala manusia kedua memilih untuk tidak mempertaruhkan nyawanya dan menjadi hamba. Dari pertarungan inilah menurut falsafah Hegel-Kojeve lahirnya keadaan penguasa-hamba, pemerintah-rakyat dan seterusnya membina hiraki dalam sistem sosial manusia.
Idea manusia kedua dalam falsafah Hegel-Kojeve inilah yang sering ditentang Eren dalam anime Attack on Titan, beliau melihat pengunduran manusia disebalik dinding-dinding sebagai sifat yang merendahkan taraf manusia berbanding Titan. Pemikiran Eren ini sedikit sebanyak mempengaruhi sikap survival Mikasa, sementara dalam falsafah Battle of Pure Prestige matlamatnya adalah untuk menjadi penguasa, dalam anime ini sifat survival yang sering dipaparkan dalam diri Mikasa dan juga watak-watak lain adalah untuk manusia menguasai nasib mereka, menguasai masa depan mereka, juga menguasai sifat semulajadi mereka untuk meneroka dunia luar dan tidak dipenjara di sebalik dinding-dinding kota.
Upaya survival dan perasaan ingin bebas merupakan tema sentral dalam animasi Attack on Titan. Hal ini bukan sahaja dapat dilihat dalam determinasi Mikasa untuk melawan dan terus hidup, ia juga merupakan tema pokok bagi watak utama, Eren yang mewarnai keseluruhan tema anime ini. Malah apabila plot anime ini berterusan, kita diperkenalkan dengan Bangsa Eldia yang ditindas di negara Marley. Malah bangsa Eldia mempunyai gerakan pembebasan mereka sendiri bagi melawan hegemoni Marley yang disebut sebagai Eldian Restorationists.
“The history of the world is none other than the progress of the consciousness of freedom.”
– Georg Wilhelm Friedrich Hegel, The Philosophy of History.
Tema survival dan kebebasan ini tidak lari dari falsafah sejarah seperti yang diketengahkan oleh Hegel dalam karyanya The Philosophy of History. Bagi Hegel, sejarah dunia adalah tidak lain dan tidak bukan merupakan satu perubahan kesedaran manusia akan kebebasan. Dalam kata lain, sejarah merekodkan aktiviti dan peristiwa manusia yang bergolak untuk meraih kebebasan. Dari perspektif Nusantara, kita tidak miskin dari sudut sejarah perjuangan pembebasan. Sebelum pembentukan negara bangsa bermodelkan nasionalisma Eropah, kepulauan Nusantara sudah mempunyai pelbagai rekod bertulis perihal perjuangan pembebasan dari penjajahan dan campur tangan asing.
Antara contoh tokoh pembebasan Nusantara adalah Laksamana Wan Ismail bin Wan Muhammad Long yang merupakan pahlawan Kedah di Kerian dalam Perang Musuh Bisik (1821-1842). [19] Beliau merupakan salah seorang dari ribuan pahlawan yang berjuang untuk membebaskan negeri Kedah dari penaklukan tentera Siam Sukhotai. Perjuangan yang dilakukan secara gerila ini mendapat sokongan dari pelbagai kerajaan Nusantara ketika itu. Daripada contoh ini, dapatlah kita fahami bahawa falsafah survival dan kebebasan bukanlah merupakan satu kefahaman yang asing, malah ia bersifat universal dan dapat kita temui dengan banyak sekali dalam penulisan dan pensejarahan Nusantara.
Dalam kesusasteraan Islam juga falsafah kebebasan sering menjadi tema penulisan. Rumi sebagai contoh merupakan antara sasterawan agung bukan sahaja dalam dunia Islam, malah penulisan beliau berjaya menerobos masuk kedalam dunia kesusasteraan Barat malah masih hidup di era moden ini. Antara puisi beliau yang mempunyai pengaruh falsafah kebebasan yang sangat kuat adalah puisi yang bertajuk A community of the spirit, beliau menulis:
“Close both eyes
To see with the other eye…
Why do you stay in prison
When the door is so wide open?”
– Rumi.
Melalui rangkap puisi ini Rumi melihat mengajak manusia melihat kehidupan dalam kaca mata non-material. Keyakinan manusia sering berakar pada perkara yang boleh dilihat, apa yang dapat dipandang, dipegang, dan dirasai. Namun hidup ini pada Rumi lebih misteri dari sekadar objek fizikal. Hidup manusia turut dicorak dengan emosi dan perasaan, sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara emperikal. Seperti apa yang disebut Hume perihal sifat semulajadi manusia yang menjadi foundasi kepada sains. Oleh itu Rumi menganjurkan manusia untuk mengambil kira perasaan merdeka yang ada dalam diri mereka dengan menutup mata. Bagi Rumi tiada yang dapat memenjarakan manusia secara keseluruhannya melainkan fikiran mereka sendiri. Puisi Rumi ini mengajak manusia membebaskan fikiran mereka, ia adalah puisi berfalsafahkan kebebasan.
Tema pembebasan yang merupakan tema sentral anime Attack on Titan merupakan satu tema yang sangat tepat dari sudut falsafah sejarah dalam menggambarkan konflik dan pergolakan manusia seperti yang diungkapkan oleh Hegel dalam teori falsafahnya. Oleh kerana tema falsafah ini merupakan tema universal dalam sejarah manusia, ia boleh dijumpai dengan mudah dalam penulisan-penulisan sejarah Nusantara dan Islam.
Pada penghujung Musim 1 kita menyaksikan pertarungan Eren Yeager dalam bentuk Titan-nya bertarung dengan Annie Leonhart dalam bentuk Female Titan. Pertarungan ini menyaksikan bagaimana Eren masih teragak-agak untuk bertarung mengenangkan persahabatannya dengan Annie yang merupakan salah seorang komrad semasa menjadi kadet di akademi. Disini kita melihat peranan yang dimainkan oleh teman rapat Eren, iaitu Armin Arlert dalam meyakinkan Eren akan keperluannya mengetepikan sentimental persahabatannya untuk maslahat yang lebih besar dalam menyelamatkan kemanusiaan.
“A person who cannot give up anything, can change nothing” kata-kata falsafah ini, yang sering diulang-ulang oleh Armin sangat mirip dengan falsafah yang ditulis oleh ahli falsafah Itali, Nicollo Machiavelli dalam naskah Il Principe atau lebih dikenali dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris dengan tajuk The Prince. Ia pertama kali diterbitkan pada tahun 1532, 5 tahun selepas kematian Machiavelli. Tulisan Machiavelli sangat terkenal sebagai batu asas falsafah politik realism, yang mana untuk berjaya dalam politik menurut Machiavelli seseorang itu perlu berpijak di bumi nyata, menggunakan segala cara yang berkesan, bukan terperangkap dalam dilema moral dan etika. Kemenangan adalah strategi untuk mengalahkan musuh, medapatkan kuasa, dan mengekalkan kuasa.
Politik Realisma yang dibawa Machiavelli menegaskan bahawa pertarungan politik adalah strategi perebutan kuasa, ia bukan bidang moral, etika, jauh sekali menentukan strategi berdasarkan faktor sentimental. Dalam menguasai mana-mana kawasan, Machiavelli menggariskan bahawa penguasa harus sedar bahawa mereka memerlukan bantuan dari penduduk setempat. Sekuat mana pun tentera, tanpa bantuan populasi setempat, kuasa tidak dapat bertahan. Oleh itu, sangat penting bagi penguasa menguasai mereka dengan kekuatan mahupun tipu helah. Machiavelli membuat analisa berkenaan penaklukan Milan oleh Louis XII, dan bagaimana Louis melakukan kesilapan sehingga dia hilang semula kuasanya. Beberapa perkara perlu dilakukan penakluk untuk kekal berkuasa, terutamanya apabila menakluki satu kawasan baru, yang mempunyai perbezaan budaya. Antaranya memindahkan pusat pemerintahan ke kawasan baru, menanam koloni, menindas hanya golongan miskin yang tidak mampu membalas dendam dan melemahkan kuasa-kuasa pembesar disekeliling. Untuk kekal berkuasa, pemberontakan perlu dihapuskan pada peringkat awal, sebelum ia merebak.
Machiavelli dalam analisanya antara empayar Perancis dan Turki mengakui bahawa terdapat perbezaan dalam dua empayar ini. Perancis mudah ditakluki tetapi sukar untuk dikekalkan kekuasaan disitu. Hal ini kerana, ia mempunyai banyak golongan bangsawan yang mudah dipengaruhi dan digunakan untuk menjatuhkan pemerintah. Namun apabila sudah berjaya dan berkuasa, bangsawan ini akan menjadi ancaman pula pada pemerintah baharu. Berbeza dengan empayar Turki, ia tidak mempunyai golongan bangsawan yang berpengaruh, jadi untuk menewaskannya, penakluk perlu menghadapi rakyat yang seluruhnya bersatu dibawah kuasa sultan. Ia sukar ditewaskan, tetapi jika sudah dikuasai, ia mudah dikekalkan.
Dalam usaha menakluki sesuatu kawasan yang sudah mempunyai struktur budaya dan pemerintahannya sendiri. Terdapat tiga cara bagi kekal menguasai mereka. Yang pertama, memecah belahkan kesatuan mereka. Yang kedua, mengubah pusat kerajaan ke kawasan itu. Dan yang ketiga, melantik kerajaan proksi yang mempunyai hubungan baik. Jika kita lihat didalam sejarah, kesemua taktik ini digunakan oleh kuasa imperial.
Di Nusantara, British sebagai contoh, menggunakan teknik pecah dan perintah di Tanah Melayu dengan mengasingkan Melayu di kampung, Cina di bandar, dan orang India di kawasan ladang. Dasar ini merupakan hasil falsafah politik realisma bawaan Machiavelli. Semasa menguasai negeri-negeri Melayu, British membawa masuk buruh Cina untuk industri bijih timah dan imigran India bagi industri perladangan getah. Industri ini penting untuk menampung bekalan untuk penerusan Revolusi Perindustrian di Eropah. Dasar ini memberi implikasi negatif terhadap struktur politik orang Melayu, mereka tidak digalakkan menyertai ekonomi moden.
Idea politik realisma Machiavelli bukan sahaja dapat dilihat dalam pemikiran watak Armin Arlert dalam anime Attack on Titan, malah apabila tercetusnya konflik antara negara Marley dan Pulau Paradis kita melihat pelbagai bentuk muslihat yang berbentuk Machiavellian antara kedua pihak ini apabila mereka berperang. Kita dapat melihat dari aksi Eren yang mempergunakan Falco Grice, seorang kadet yang masih kanak-kanak dalam mengumpul maklumat. Kita melihat bagaimana Levi Ackerman terpaksa membunuh komrad-komradnya sendiri dalam usaha mengalahkan musuhnya Zeke Yeager. Kita juga melihat babak dimana Armin Arlert terpaksa membunuh rakyat Marley beramai-ramai termasuk kanak-kanak dalam kempen serangan Pulau Paradis terhadap Marley. Semua ini menunjukkan bagaimana moral dan prinsip dikorbankan demi menjayakan matlamat yang lebih besar, persis falsafah realisma Machiavelli.
Sifat prejudis bangsa juga boleh dilihat dalam siri Anime ini. Pertamanya perihal bangsa Oriental. Pada Musim 1 kita melihat bagaimana keluarga Mikasa Ackerman dibunuh. Dalam dialognya, pembunuh tersebut menyatakan bagaimana Mikasa merupakan seorang Oriental, sebagai tanda bahawa dia merupakan bangsa yang berbeza berbanding bangsa Eropah dan layak untuk dibunuh.
Orientalism atau kajian yang mengkaji perihal bagaimana bangsa Timur berbeza dengan bangsa Eropah merupakan satu cabang ilmu yang telah lama wujud dalam bidang keilmuan. Bidang ini dibincangkan secara terperinci berkenaan skopnya, juga sejarah perkembangannya oleh Edward Wadie Said dalam makalah monumental beliau bertajuk Orientalism: Western Conceptions of the Orient, dimana beliau memperincikan bagaimana bangsa Timur dijadikan objek kajian, diberikan definisi, juga diletakkan dalam sejarah sebagai bangsa yang lebih mundur, primitif, dan barbarik. Motif awal akan hal ini menurut Said adalah prejudis agama, namun kemudian ia disekularkan, dijadikan satu bidang yang kelihatan saintifik dan rasional bagi tujuan kolonial dan menghasilkan supremasi bangsa berbentuk Europeanism. Dalam anime Attack on Titan, bangsa Oriental dan juga keluarga Ackerman ditindas dan cuba dihapuskan kerana mereka mempunyai kebolehan untuk mengekalkan memori silam perihal sejarah manusia.
Sifat rasis juga boleh dilihat dipenghujung Musim 3 dan permulaan Musim Akhir apabila anime ini mula menceritakan konflik antara negara Marley dan bangsa Eldia. Penindasan bangsa Eldia di Marley merupakan idea yang dipinjam dari sifat anti-Semitism Nazi German. Bangsa Eldia dalam anime ini dipaksa memakai armband seperti yang dilakukan oleh pihak Nazi kepada kaum Yahudi bagi tujuan isolasi, pengenalan, juga untuk memalukan mereka. Di bawah regim Nazi, bangsa Yahudi diwajibkan untuk memakai lencana atau armband dengan simbol Star of David. Hans Frank, Gabenor Jeneral Nazi yang menduduki Poland sebagai contoh mengishtiharkan bahawa semua bangsa Yahudi perlu memakai armband Star of David di tangan kanan mereka.
Bangsa Eldia juga dipaksa untuk hidup dalam kem konsentrasi (internment camp) yang begitu mirip dengan ghetto dan kem yang dibuat oleh Nazi German untuk mengasingkan bangsa Yahudi. Bangsa Eldia juga dipaksa menjadi buruh dan tentera, nyawa mereka seolah tidak berharga. Hal ini dapat dilihat melalui pembunuhan Faye Yeager, seorang kanak-kanak perempuan kecil yang dimakan oleh anjing tentera Marley. Pembunuhan ini merubah hidup Grisha Yeager yang merupakan ayah kepada Eren.
Hange Zoë merupakan komander ke-14 Regimen Peninjau (Scout Regiment), namun beliau bukanlah seorang askar biasa. Beliau merupakan seorang saintis yang melambangkan falsafah mencintai ilmu dan sentiasa dahagakan jawapan kepada kebenaran. Erwin Smith menamakan Hange sebagai penggantinya, dan beliau dilantik menjadi Komander Regimen peninjau selepas kematian Erwin.
Dalam falsafah ini kita melihat Hange sanggup mengetepikan pegangan utamanya untuk menguji hipotesisnya. Sebagai contoh, pada awalnya semua manusia dalam anime Attack on Titan digambarkan sebagai berpandangan bahawa Titan merupakan musuh mereka. Namun Hange sanggup mengorbankan pegangan ini, dalam eksperimennya beliau memberi nama kepada Titan yang berjaya ditangkap dan cuba untuk berkomunikasi dengan mereka dengan nada yang tidak antagonistik.
Perkara ini sangat dekat dengan tradisi saintifik yang berpegang dengan falsafah agar mempercayai fakta walaupun ia berbeza dengan fahaman dan pegangan sedia ada. Seperti kata-kata saintis terkenal Neil deGrasse Tyson “follow the evidence wherever it leads, and question everything”.
Hange dalam pencarian ilmunya bukan sahaja sanggup membelakangi fahaman sedia ada. Beliau juga sanggup meletakkan nyawanya sebagai taruhan dalam proses mencari kebenaran. Banyak babak dalam eksperimennya yang meletakkan dirinya dalam bahaya. Ini mengingatkan kita perihal kisah saintis terkenal Maria Salomea Sklodowska atau lebih dikenali dengan nama Marie Curie.
Marie Curie terkenal dengan kejayaannya bersama suaminya untuk mengisolasi Radium pada tahun 1902. Mereka berjaya mensintesis 1 gram Radium yang berjaya membuatkan Curie memenangi Anugerah Nobel dalam bidang kimia pada 1911. Radium juga adalah penyebab kematian Curie pada tahun 1934 kerana kerana keracunan radioaktif yang membawa kepada anemia. Bagi Marie Curie, tiada apa yang perlu ditakutkan dalam kehidupan, ianya perlu difahami. Semakin banyak perkara yang kita faham perihal kehidupan, semakin berkurangan ketakutan kita kepadanya.
“Nothing in life is to be feared, it is only to be understood. Now is the time to understand more, so that we may fear less.”
– Marie Curie.
Dari kisah Marie Curie ini dapat kita fahami falsafah keilmuan yang menuntut kita mengorbankan bahkan diri kita sendiri. Manusia sememangnya mempunyai sifat ingin tahu, ingin meneroka, wanderer kata Sagan. Oleh itu karakter Hange Zoë yang memaparkan sikap sanggup mempertaruhkan nyawa untuk mendapat ilmu bukanlah satu depiksi yang lari dari realiti, kita dapat lihat perkara yang sama dalam kisah dan perwatakan Marie Curie dalam usahanya untuk memahami dunia.
Dalam perspektif Nusantara, falsafah ilmu dan keilmuan juga bukanlah sesuatu yang asing. Terdapat pelbagai tokoh dan cendiakawan yang mengajak masyarakat untuk mendalami ilmu, untuk meninggalkan adat dan budaya lama yang mundur kepada budaya keilmuan baru dan ketamadunan ilmu. Antaranya Syed Hussein Alatas yang mengajak masyarakat berfikir dalam bukunya yang bertajuk Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah. Dalam bab ke-5 yang bertajuk Rintangan Kemajuan Berfikir Dalam Masyarakat Islam beliau mengkritik kurangnya ahli fikir dalam masyarakat dan juga tersebarnya fahaman yang salah perihal kepentingan ilmu untuk memahami dunia.
Pada pandangan Syed Hussein Alatas, sikap tidak mementingkan dunia berakar dari tafsiran yang salah terhadap nas-nas Al-Qur’an. Tafsiran ini dibuat oleh “pemberi panduan agama” yang tidak menguasai ilmu semasa, tidak mengauli masyarakat serta tidak berkecimpung dalam ehwal perdagangan dan pentadbiran manusia. Beliau mengajak pada perlunya tafsiran baru yang mengambil kira perkembangan keilmuan dunia semasa. Tafsiran perlu berhubung dengan persoalan hidup serta menambah kehormatan masyarakat.
Syed Hussein Alatas juga membahaskan falsafah ilmu, “apa itu ilm (ilmu)?”. Menurut beliau ilm bukan semata-mata ilmu agama tetapi mencakupi juga keseluruhan ilmu pengetahuan termasuk sains. Beliau memberikan contoh tentang bagaimana Al-Qur’an seringkali mengalihkan pandangan manusia untuk melihat kejadian alam. Selain ilmu alam, ilmu turut mencakupi ilmu manusia, apa yang disebut Hume sebagai science of man, ilmu ini termasuklah mengenali dan memahami kepelbagaian bangsa juga ilmu masyarakat. Beliau memetik kritikan Jamaluddin al-Afghani dan Syakib Arsalan, golongan alim ulama tidak sepatutnya diberikan pada orang yang mendalami ilmu agama sahaja, tetapi ulama sepatutnya turut merangkumi ilmuan dalam bidang sains dan ilmu alam. Menurut Alatas, Imam Ghazali tidak lebih darjatnya dari Ibnu Khaldun. Pada penutup babnya, Alatas memetik kata-kata Saidina Ali.
“Wahai manusia! Dalam alam ini terdapat cukup bidang-bidang penyiasatan bagimu. Gunakanlah tenagamu di situ, dan hentikan pendugaanmu tentang wujud Allah.”
– Saidina Ali
Di sini kita dapat lihat bagaimana dalam anime Attack on Titan, persoalan pencarian ilmu ini merupakan satu tema yang diangkat melalui karakter Hange Zoë, keberanian Hange dalam meneroka ilmu pengetahuan mirip dengan apa yang dapat kita lihat dalam dunia realiti melalui kisah Maria Salomea Sklodowska. Manakala dari perspektif Nusantara, kita dapat melihat perbahasan Syed Hussein Alatas yang mengajak masyarakat kepada pembaharuan dan keberanian berfikir dan mencari ilmu. Hal ini semua adalah satu kesinambungan falsafah ilmu, dari depiksi karakter anime, ke alam realiti, hinggalah kepada perbahasan ilmu di arena Nusantara.
Kajian ini telah membahaskan beberapa tema falsafah utama yang ada dalam anime Attack on Titan. Berdasarkan perbahasan-perbahasan ini dapatlah kita fahami bahawa anime bukanlah hiduran kosong untuk kanak-kanak seperti yang difahami oleh sesetengah masyarakat. Malah pemerhatian kita secara mendalam dalam anime Attack on Titan boleh membangkitkan banyak persoalan-persoalan falsafah perihal sifat manusia, falsafah kebebasan juga falsafah ilmu. Inilah yang disebutkan oleh Hitoshi Ogawa berkenaan dengan anime philosophy, bagaimana anime boleh memberikan manusia falsafah, bahkan mungkin dengan lebih baik dan lebih mudah difahami, melalui pendekatan visual dan dialog yang lebih berkesan pada manusia berbanding buku-buku klasik yang sukar dibaca. Kajian ini juga mendapati banyak falsafah-falsafah yang dibangkitkan dalam anime Attack on Titan boleh dikaitkan dengan penulisan dan sejarah Nusantara. Hal ini kerana falsafah seperti sifat manusia, kebebasan dan keilmuan merupakan falsafah yang bersifat universal.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.