Apabila helaian yang ke enam itu,
tergantung kukuh di dahan ragu,
apakah kau masih mengingatkan,
ia akan terus selamanya begitu? (49)
Saya merasakan saya membaca dan menghabiskan buku ini pada matahari yang salah. Mungkin terlalu awal atau lambat, kerana yang ada kini hanya matahari November ketika Malaysia dilanda Pilihanraya Ke-15. Tetapi pada matahari ini juga signifikan, seperti madah sajak Petak Daud perihal keguguran kuasa. Apa pun kuasa itu, sekukuh mana pun ia, apabila sejarah bertiup, ia akan gugur juga dari dahan ragunya. Dahulu mungkin saya minat bersorak, namun usia semakin lama membuatkan saya semakin agnostik perihal politik. Mungkin begitu lebih mengamankan, bak kata orang Kedah, I don’t have a dog in this fight. Wallahualam, saya ingin menulis perihal buku puisi bukan politik.
Sebelum itu, saya pun tidak tahu sebenarnya sama ada puisi itu boleh diulas atau tidak. Kerana ia bersifat bebas, tambahan lagi puisi moden, bukan sahaja tidak terikat pada undang-undang dari segi bentuk dan gaya bahasa, maknanya juga bebas. Tapi bagi saya, kebebasan itu harus juga dipanjangkan, bukan pada pemuisi yang menulis, tetapi juga kepada pembaca yang membaca. Seperti yang dikatakan Ehrman, akhirnya pembacalah yang akan memberikan makna kepada teks.[1]
Naskah ini bagi saya melankolik, banyak bait-baitnya menggambarkan perasaan terbuang dalam percintaan. Namun ada juga tema-tema lain, menyentuh hal ketuhanan, alam, keluarga, kuasa, dan sejarah. Sebenarnya ketika membaca naskah ini, minda saya terlalu cergas, berlari ke sana ke mari, jadi sukar untuk memaksanya duduk dan berfikir, sering sahaja apabila ditangkap, ia lari semula. Perlu bermain kejar-kejar untuk fokus. Namun akhirnya ada juga beberapa bait yang maknanya sangkut di kepala saya. Maka saya mahu memetik beberapa.
baju mu mahal sekali.
Berbanding tubuh badan ku;
disarung-sarungkan apa pun,
yang jelas dan nyata,
hanyalah dosa. (22)
Entah kenapa bait ini sangat saya minati. Mungkin kerana ada elemen muhasabah dan introspeksi diri. Tentang bagaimana dosa-dosa yang kita kumpul sebagai manusia, tidak dapat kita tanggalkan dengan jubah-jubah yang mahal. Mungkin juga pada nadanya, yang menyanggah faktor-faktor harta, dalam memberikan ketenangan dan kejernihan hati, dalam usaha memadam segala kegelisahan dosa.
Duri di kaki ibu,
tercucuk di kaki saya.
Jika ibu lebih sakit,
saya tak kisah sakit sedikit. (23)
Melihat orang yang kita sayang sakit, kadang membuatkan kita tertanya, oh Tuhan, berikanlah kesakitan itu padaku sedikit. Mungkin itu lebih dekat dengan makna cinta, bahawa kita mahu berkongsi bukan sekadar suka, tetapi juga kesakitan. Jika boleh, dengan segala upaya, kita mahu mereka tidak merasa sakit, tidak merasa sedih. Walaupun mustahil, tetapi kitakan boleh berharap? Harapan itu percuma. Kita pasti berusaha menghilangkan kesakitan orang yang kita sayang, apatah lagi jika orang itu kita sebut sebagai ibu. Ada juga sebuah puisi dimana penulis memohon agar Tuhan memanjangkan masa, agar dia dapat terus menatap, wajah seorang ibu. (41)
Saya juga mendapati banyak sekali sajak yang ditulis Petak perihal hujan. Sebagai seorang yang pluviophile, saya merasakan tema-tema alam ini sememangnya menyamankan jiwa. Ada sesuatu yang ada pada hujan yang bisa membuatkan jiwa manusia terasa aman, terasa rindu dan ingin bernostalgia. Saya kira, penyajak, penyair, pemuisi, begitu banyak sekali yang menyukai hujan, kerana itu ia sering menjadi tema-tema penulisan mereka.
Aku seperti pernah merasa,
perasaan yang serupa.
Lagu ini,
lirik ini;
yang mengembalikan kau,
di dalam rangkulan gurau. (48)
Rangkap ini berbekas dihati saya kerana saya juga sering menghadapi perasaan yang sama. Saya juga pernah menulis puisi yang bertajuk Muzika tatkala ada lagu yang masuk ke dalam telinga meresapkan perasaan ingin bernostalgia.[2] Membuahkan perasaan-perasaan silam yang saya sendiri sudah terlupa. Kadang-kadang ia berjaya memutikkan bahagia dan gembira dalam hati secara semulajadi. Walaupun mungkin kesannya hanya sebentar, namun sebentar sebenarnya sudah cukup untuk bahagia.
Mungkin sejarah yang banyak,
lunak ataupun tidak,
akan memberikan perancangan,
sebuah rapian yang kemas,
dan cerdas,
kepada ilham,
yang karam. (80)
Sebagai pelajar sejarah, ini mungkin bait puisi kegemaran saya. Pertama ia memberikan gambaran sifat sejarah yang tepat. Kadang ada orang yang mahukan sejarah itu bersifat inklusif, tetapi ini bertentangan dengan kebebasan dan keobjektifan sejarah. Sejarah itu untuk dipelajari, baik atau buruknya, seadanya berdasarkan bukti-bukti yang ada. Ia bukan ditulis untuk menyedapkan telinga atau membahagiakan jiwa. Kadangkala membaca sejarah membuatkan kita sedih, kecewa, marah, ada juga tikanya ia membangun rasa bersemangat. Ia perlu kita terima keseluruhannya.
Kedua rangkap “memberikan perancangan…kepada ilham”, rangkap ini mungkin agak argumentatif dalam sejarah. Pemaknaan bahawa sejarah mampu mengajar kita sesuatu untuk digunakan di masa hadapan. Seolah sejarah boleh berulang. Namun ada juga pendapat yang merasakan setiap peristiwa sejarah itu unik, tidak ada pattern dalam sejarah, masing-masing punya hujah yang tersendiri. Manapun yang benar, ulasan saya bukan perihal argumen sejarah, tetapi kekuatan puisi ini yang berjaya invoke perbahasan ini.
Kesimpulan
Kesimpulannya, saya merasakan naskah ini sangat menyegarkan. Sesuai diselitkan ditengah-tengah pembacaan yang berat untuk meregangkan kembali urat-urat otak. Membaca puisi juga bagi saya merupakan latihan untuk kita cuba memberikan satu fokus, pada aksara-aksara di depan mata. Kerana tanpa fokus, perenungan tidak akan dapat kita lakukan. Dan tanpa renungan tiada makna yang bisa kita tafsirkan. Puisi yang baik bagi saya adalah yang mampu mengusik hati, bahasanya mudah tetapi maknanya dalam, meresap jauh ke dalam jiwa kita walaupun naskahnya telah kita lama hadam.
Nota
Bagi memudahkan rujukan, setiap bait puisi yang disentuh dan dihuraikan dalam penulisan ini disertakan dengan nombor mukasurat dalam kurungan dari naskah buku asal. Versi yang dirujuk adalah buku yang bertajuk Merenung Matahari Mac. Puisi oleh Petak Daud. Terbitan Selut Press, 2017
[1] Bart D. Ehrman. Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. HarperOne, 2005. Lihat halaman 216-218.
[2] Syed Ahmad Fathi. Muzika. Meniti Jambatan Masa, 22 September 2022. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2022/09/muzika.html
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.