Pemikiran gerakan Islam Haraki adalah pemikiran yang lahir dari kefahaman Islam yang syumul. Islam yang syumul tidak hanya mencakup persoalan akidah, fiqah dan ibadah ritual tetapi merangkumi keseluruhan kehidupan manusia termasuklah aspek sosial, ekonomi, dan politik. Pemikiran ini boleh ditelusuri dari penulisan pemikir-pemikir seperti Imam Hassan Al-Banna, Fathi Yakan, Abul A’la Al-Maududi, Syed Qutb dan pemikir seangkatan dengan mereka. Kebanyakan tokoh pemikir ini menggeluti dunia Islam sesudah jatuhnya Khilafah Uthmaniyah dan dunia Islam dijalari penjajahan kolonial Barat. Mereka membawa pemikiran bahawa perlunya memartabatkan Islam semula sebagai pemegang kuasa politik. Artikel ini akan membuat tinjauan perihal kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada pemikiran Islam Haraki, sumbangan Islam Haraki kepada umat Islam terutamanya dalam mendepani ghazwatul fikr, serta masa depan Islam Haraki di era moden.
Kritikan Terhadap Pemikiran Islam Haraki
Walaupun pemikiran ini berakar dari konsep kesyumulan Islam yang menyentuh semua aspek hidup, aspek politik merupakan aspek yang sering ditonjolkan baik oleh sarjana Barat atau sarjana dunia Islam sendiri. Hal ini kerana sarjana Barat melihat kebangkitan politik Islam sebagai ancaman kepada sistem politik Barat sedia ada. Sebagai contoh, pemikir sains politik seperti Samuel Huntington menganggap kebangkitan semula Islam ini merupakan musuh baru bagi peradaban Barat. Begitu juga tokoh politik seperti bekas ketua setiausaha Amerika Syarikat, Henry Kissinger yang menulis perihal revolusi pemikiran yang dibawa oleh Hassan Al-Banna melalui Ikhwan Muslimin, Kissinger mengkritik tulisan Syed Qutb didalam buku Milestones, beliau menulis tulisan ini sebagai pengishtiharan perang oleh Islam ke atas fahaman lain, katanya “a declaration of war against the existing world order that became a foundational text of modern Islamism”. Penulisan Huntington dan Kissinger ini antara penyumbang kepada polisi-polisi moden Barat yang memerangi Islam.
Kritikan terhadap aliran fikir gerakan Islam Haraki ini bukan sahaja datang dari sarjana Barat. Ia turut dikritik oleh sarjana Islam dan sarjana tempatan. Kritikan sarjana Islam lebih kepada perbezaan fahaman dan tafsiran, bukan kerana ancaman politik. Contohnya Syed Hussein Alatas ada menulis kritikan panjang lebar terhadap pemikiran Maududi. Bagi Alatas, slogan kembali pada Al-Qur’an Maududi itu beliau setujui, namun penafsirannya tidak beliau persetujui. Beliau mengkritik penafsiran dan pandangan-pandangan Maududi, antaranya yang melarang wanita dilantik menjadi wakil dalam badan perundangan dan parlimen. Juga pandangan Maududi perihal larangan menghiasi rumah dengan gambar. Bagi Alatas, Maududi mewakili aliran pemikiran yang kolot dan tulisan-tulisannya bersifat propaganda. Alatas menggolongkan bersama Maududi tokoh-tokoh lain seperti Muhammad Qutb, Nadvi, dan Muhammad Asad. Pada Alatas mereka semua ini adalah propagandis.
Sumbangan Pemikiran Islam Haraki
Walaupun pemikiran Islam Haraki ini mendapat pelbagai kritikan dari sarjana Barat dan sarjana Islam sendiri, tidaklah bermakna ia tidak mempunyai sumbangan. Di sini saya ingin mengutarakan beberapa sumbangan yang saya kira merupakan perkara yang positif yang lahir dari pemikiran dan gerakan Islam Haraki.
Pertama, oleh kerana kemunculan pemikiran ini yang hadir semasa zaman kolonial, pemikiran Islam Haraki mempunyai sumbangan dalam menggerakkan umat Islam untuk menentang penjajahan kolonial ke atas dunia Islam. Walaupun dalam sejarah, yang selalu diketengahkan adalah golongan nasionalis. Di Timur Tengah sebagai contoh, semasa zaman kolonial, Ikhwanul Muslimin merupakan pasukan tentera yang sangat efektif dalam melawan penjajahan Zionis ke atas Palestin pada tahun 1948. Hal ini dirakam dan diiktiraf oleh sejarawan Israel sendiri seperti Ilan Pappe.
Begitu juga dalam sejarah tempatan, yang selalu diketengahkan adalah golongan nasionalis kanan yang berjuang menuntut kemerdekaan. Namun menurut sejarawan tempatan seperti Azmi Arifin, yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu adalah kebanyakannya golongan agama kiri. Namun pengaruh dan sumbangan mereka tidak ditonjolkan dalam silibus sejarah arus perdana disebabkan faktor politik semasa.
Kedua, sumbangan pemikiran Islam Haraki adalah seruan penyatuan umat. Pemikiran ini telah mengajak umat bersatu untuk melaksanakan matlamat yang lebih besar dan berlapang dada terhadap perkara-perkara yang berbentuk khilafiyah dalam agama. Umat diberi matlamat yang lebih besar dari hanya bergaduh sesama mereka perihal perbezaan pandangan dalam fiqah dan ibadah. Ini merupakan sumbangan yang penting bagi menyelamatkan tenaga umat dari dihabiskan dalam perkara-perkara remeh temeh dan memfokuskan tenaga mereka pada misi yang lebih besar.
Ketiga adalah sumbangan Islam Haraki dalam menyemai semula identiti Islam dalam masyarakat. Antara produk kolonialisme adalah lahirnya golongan elit terpelajar yang kulit dan wajahnya berbentuk tempatan, namun pemikiran dan hatinya sudah terpaut dan terpesona dengan nilai-nilai Barat. Segala yang datang dari Barat dianggap moden manakala nilai tempatan dianggap kolot dan mundur. Gerakan Islam Haraki tidak hanya beretorik tetapi mereka masuk dan berkerja dalam masyarakat, mereka membina institusi pendidikan, perniagaan, dan persatuan untuk memperlihatkan pemikiran Islam mereka dalam bentuk praktik. Hasilnya adalah masyarakat yang cenderung pada Islam dan juga lahirnya identiti Islam dalam masyarakat. Hal ini penting kerana sebenarnya umat ini boleh menjadi moden tanpa perlu menjadi Barat.
Sumbangan Dalam Melawan Serangan Pemikiran
Selepas surutnya penjajahan-penjajahan kolonial di kebanyakan negara-negara termasuk di negara-negara Islam. Bentuk serangan tidak lagi disusun dalam bentuk fizikal, tetapi dalam bentuk pemikiran. Serangan pemikiran inilah yang cuba dijawab oleh banyak tokoh-tokoh pemikir Islam moden termasuklah pemikir dalam kalangan Islam Haraki. Serangan pemikiran ini juga sering disebut sebagai perang pemikiran (ghazwatul fikr). Walaupun ada bentuk-bentuk pemikiran yang boleh kita katakan pemikiran moden, namun banyak juga bentuk pemikiran yang sebenarnya merupakan pemikiran lama yang diberi nafas moden. Contohnya pemikiran logik, falsafah, dan rasional yang menolak wahyu sudah diperbahaskan oleh pemikir silam seperti Imam Ghazali dan Rumi.
Antara gerakan pemikiran moden yang menyerang pemikiran Islam adalah gerakan ateis baharu ataupun disebut sebagai The New Atheist. Gerakan ini dipelopori oleh cendiakawan dan pemikir seperti Richard Dawkins, Christopher Hitchens dan Sam Harris. Gerakan ini menggalakkan pemikiran ateis yang lebih militan dan agresif terhadap agama. Walaupun mereka menggunakan hujah-hujah intelektual, ada juga pemikir yang merasakan bahawa golongan ini hanya menggunakan hujah-hujah intelektual bagi mengaburi sikap Islamophobik sebenar mereka. Hal ini boleh dilihat dari sokongan mereka terhadap polisi-polisi zalim seperti penjajahan Palestin dan penjajahan ke atas Iraq.
Hakikatnya Islam tidak menolak falsafah, sains ataupun logik akal. Malah ayat-ayat Al-Qur’an penuh dengan seruan untuk manusia menggunakan akal dan berfikir. Syed Hussein Alatas menyebutkan bahawa ayat-ayat Al-Qur’an perihal alam itu lebih banyak dari ayat-ayat perihal hukum ibadah, ini menunjukkan bahawa Islam memandang berat pada keperluan untuk kita melihat, memahami, dan mengkaji alam. Kajian perihal alam inilah yang dikatakan sebagai sains. Mana mungkin Islam menolak sains sedangkan dalam Al-Qur’an penuh dengan ayat-ayat yang menyuruh manusia berfikir, mengkaji alam – dalam kata lain, boleh juga kita katakan bahawa Islam menyuruh umatnya menjadi saintis.
Namun Islam juga menegaskan bahawa akal manusia dalam memahami sains dan alam ini terbatas. Ada perkara yang tidak mampu dijawab oleh sains. Sains mungkin boleh menjawab soal bagaimana manusia itu hidup dan berfungsi, tetapi sains tidak dapat menjawab persoalan mengapa manusia itu wujud? Apakah tujuan kehidupan? Soalan-soalan ini berada diluar batasan sains, oleh itu Islam datang dengan membawakan panduan wahyu.
Hari ini kita melihat banyak pemikiran-pemikiran baharu yang lebih moden yang menjalari umat. Untuk membincangkan kesemuanya memerlukan masa yang lama dan ruang yang panjang. Oleh itu, kita akan mengambil beberapa contoh sahaja untuk dibincangkan. Dalam kita mengamati pemikiran-pemikiran moden yang ada, kita haruslah sedar bahawa bukan semuanya bersifat buruk dan bertentangan dengan Islam. Inilah kaedah yang ditunjukkan oleh Imam Hassan Al-Banna dalam pemikiran beliau, beliau menggunakan kaedah pemurnian dan mendefinisikan semula sesuatu konsep agar ia bersesuaian dengan Islam. Contohnya dalam membahaskan pemikiran nasionalisme, beliau berkata:
“Jika nasionalis yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi hari ini yang perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, cemerlang, dihormati, berkeyakinan tinggi lalu menjadikan mereka (generasi dahulu) sebagai contoh yang baik, dan jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lalu menjadi pembakar semangat dan perangsang kepadanya (anak). Jika ini yang dimaksudkan, maka ia adalah suatu tujuan yang baik yang disokong dan digalakkan.”
Dalam masa yang sama, Imam Hasan Al-Banna menjelaskan pemikiran-pemikiran nasionalisme yang ditolaknya. Beliau menyambung:
“Namun, jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus. Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh. Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah negara yang fanatik, sehingga ke tahap menghancurkan semua imej Islam dan Arab (bangsa setempat), termasuklah mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya jahiliyyah yang telah sekian lama pupus, jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang amat buruk.”
Melalui kaedah Imam Hassan Al-Banna ini, kita dapat fahami bahawa dalam setiap pemikiran, baik yang kuno atau moden, yang lama atau baharu, terdapat perkara baik yang boleh kita ambil, dan perkara buruk yang mesti kita tinggalkan. Hal yang sama ditekankan oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya akan keperluan umat ini mempelajari “ilmu ubat dan juga ilmu racun”.
Hari ini kita terdedah dengan pemikiran yang mengangkat kebebasan misalnya, yang sering diungkapkan sebagai liberalisme. Islam sendiri mengiktiraf nilai kebebasan sebagai satu nilai penting bagi manusia. Contohnya bagaimana Rasulullah didatangkan untuk menghapuskan perhambaan sesama makhluk dan mengubah perkara ini kepada perhambaan hanya kepada Tuhan yang satu. Islam menggalakkan pembebasan hamba semasa zaman perhambaan. Islam membenarkan umatnya memerangi kezaliman dan penjajahan. Dalam hal ini kita boleh katakan bahawa Islam juga mempunyai nilai-nilai liberal (kebebasan) dalam ajarannya.
Namun kebebasan dalam Islam bukanlah satu kebebasan yang mutlak. Manusia sentiasa dipagari moral, hukum syariat, dan ketentuan wahyu ilahi. Sebenarnya manusia itu memang tidak akan boleh hidup dalam satu suasana kebebasan yang mutlak. Pasti akan ada peraturan yang mengikat manusia untuk mereka hidup bersama. Jika tiadanya satu peraturan, manusia tidak mampu wujud dalam bentuk masyarakat dan bentuk-bentuk sosial yang lain. Perlu ada persetujuan tentang bagaimana untuk mengatur kehidupan – inilah asas untuk pembentukan mana-mana fabrik sosial. Dalam mana-mana masyarakat pun, hatta dalam negara yang paling liberal hari ini, ada perkara yang tidak boleh kita lakukan kerana bertentangan dengan peraturan dan undang-undang. Ketiadaan kebebasan mutlak ini diakui oleh ahli falsafah, contohnya Jean-Jacques Rousseau menulis bahawa:
“Man was born free, and he is everywhere in chains.”
Begitu juga hak sama rata. Islam memperkenalkan idea bahawa semua manusia haruslah dihukum secara sama menurut satu undang-undang. Pembinaan kerajaan Islam pertama di Madinah merupakan pembentukan sebuah masyarakat yang egalitarian.
Kaedah Imam Hassan Al-Banna, dengan pendefinisian semula, menilai sesuatu pemikiran dalam bentuk pecahan-pecahan ideanya, boleh diaplikasikan dalam semua bentuk pemikiran moden. Di sini datangnya keperluan para intelektual muslim untuk mengkaji pemikiran-pemikiran yang ada serta mencerakinkan mana idea yang bertentangan dengan Islam dan mana yang bersesuaian dengan Islam. Dalam ekonomi misalnya, idea pemilikan harta dalam sistem kapitalis tidak ditolak Islam, maksudnya ada cerakinan idea dalam kapitalisme itu yang boleh kita terima. Begitu juga dalam pemikiran sosialisme misalnya, idea perihal hak pekerja, keadilan sosial, itu tidak mempunyai percanggahan dengan Islam. Oleh itu tiada masalah kita untuk menerimanya.
Jadi ini adalah sumbangan pemikiran gerakan Islam Haraki dalam mengharmonikan pemikiran umat dan menangkis ghazwatul fikr. Kita tidak boleh menolak semua pemikiran moden, jika kita melakukan sedemikian, ia akan mengakibatkan umat menjadi mundur. Kita juga tidak boleh menerima kesemuanya hingga umat ini tiada jati diri, tiada identiti, dan tiada kekuatan rohani. Maka Imam Hassan Al-Banna datang dengan membawa pemikiran yang seimbang, dengan aliran fikir ini umat Islam boleh berubah menjadi umat Islam yang moden tanpa perlu menjadi western.
Masa Depan Pemikiran Islam Haraki
Masa depan mana-mana pemikiran atau gerakan bergantung kepada sambutan generasi seterusnya kepada pemikiran dan gerakan tersebut. Jika ia mampu melahirkan barisan pelapis muda baharu yang dapat menyambung kesinambungannya juga keharmoniannya dengan suasana baharu, maka ia akan terus kekal relevan. Jika tidak, ia akan menjadi satu helaian dalam mukasurat sejarah. Oleh sebab itu saya pernah menulis sebuah artikel yang membincangkan fenomena pupusnya kaum muda dalam gerakan Islam Haraki agar persoalan masa depan ini dilihat dengan serius.
Pada hari ini, gerakan Islam Haraki telah memasuki fasa generasi kedua dan ketiga. Fasa di mana generasinya kini berada dalam suasana yang berbeza, di kebanyakan negara, termasuk negara kita Malaysia, kita kini bukan lagi berada dalam era kolonial tetapi fasa pasca-kolonial. Oleh itu, banyak pemikiran-pemikiran dan slogan-slogan perlu difikir semula dan dibuat pembaharuan. Jika tidak, generasi baharu tidak dapat merasakan bahawa pemikiran ini merupakan pemikiran yang ingin menyelesaikan masalah yang ada pada zamannya. Ia akan kelihatan lebih kepada retorik berbanding solusi yang praktikal.
Kesimpulan
Hasil dari tinjauan kita, dapatlah kita fahami bahawa pemikiran Islam Haraki ini mendapat kritikan dan tentangan dari Barat kerana ia mempunyai unsur politik hasil dari kefahaman konsep kesyumulan Islam. Para pendokong Barat tentunya tidak mahu dominasi dan hegemoni kuasa politik mereka dicabar oleh orang lain. Sementara itu, ia juga dikritik oleh sebahagian sarjana Islam sendiri yang mempunyai fahaman dan tafsiran yang berbeza terhadap konsep-konsep agama. Namun, pemikiran Islam Haraki tetap mempunyai sumbangan dalam melawan kuasa kolonial yang menjajah dunia Islam, menyatukan umat dengan solidariti Ukhuwah Islamiyah, dan penyegaran semula identiti Islam dalam pemikiran dan jiwa umat. Masa depan pemikiran Islam Haraki ini bergantung kepada kebolehannya dalam melahirkan pendokong-pendokong baharu dari generasi muda. Untuk itu berlaku, pemikiran Islam Haraki perlulah terbuka dengan proses penyegaran dan pemurnian.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.