Lama juga saya tidak menulis apa-apa perihal politik di laman ini, mungkin penat dengan situasi politik, mungkin sudah tidak berminat, entah, saya tak punya jawapan untuk persoalan itu. Tapi apa yang tidak boleh kita tolak adalah, minat atau tidak, penat atau tidak, politik akan sentiasa mempengaruhi kehidupan kita hari ini (kecuali mungkin jika anda duduk dalam isolasi di satu kawasan, self-sustain tanpa campur tangan luar). Harga roti, harga air, harga sesudu minyak sawit untuk diminum setiap hari, ekonomi, kesemuanya dipengaruhi oleh politik. Malah ahli ekonomi seperti Ha Joon-Chang sendiri berpendapat bahawa polisi ekonomi seperti pasaran bebas juga bergantung kepada faktor politik, bukan faktor pasaran semata-mata. Dan banyak dasar ekonomi adalah dasar politik. Ini boleh dibaca dalam buku beliau 23 Things They Don’t Tell You About Capitalism.
Saya tidak bersetuju jika pilihanraya umum diadakan dalam masa terdekat, bukan kerana saya setuju dengan kerajaan Muhyidin sekarang, bagi saya sama ada ia kerajaan Mahathir, atau Anwar, atau Zahid, atau Ustaz Hadi, atau RSN Rayer, atau sesiapa sahaja, tidak banyak yang akan berubah dari segi polisi. Yang berubah mungkin muka perdana menteri, bendera parti pemerintah, yang lain tetap sama.
Dalam buku The Future of Freedom tulisan Fareed Zakaria beliau ada membincangkan masalah “too much democracy”, yang mana sering kali apabila berdepan dengan sebarang masalah, cadangan yang diberikan adalah untuk “mendemokrasikan” sesuatu, namun akhirnya ia tidak menyelesaikan masalah. Saya bersetuju dengan pandangan ini, demokrasi punya limit, ada ketika ia berfungsi, ada ketika ia tidak berfungsi sebagai penyelesaian. Ia bukan “a cure to all problems”.
Saya pernah ditanya oleh Mel Van Dyk dalam podcast pertama di Kultura Podcast sama ada kekacauan politik ini akan selesai jika diadakan pilihanraya semula. Saya menjawab bahawa jika pilihanraya semula pun, jika keputusannya sama, tiada mana-mana blok mendapat majoriti besar, ia tetap akan melahirkan kerajaan yang tak stabil.
Mungkin sebagai contoh lain selain contoh Sabah yang saya sebutkan dalam podcast tersebut, kita boleh lihat pilihanraya Israel pada April 2019. Selepas pilihanraya ini diadakan, tiada kerajaan stabil dapat dibentuk pada waktu itu, maka, diadakan pilihanraya sekali lagi pada September 2019. Juga tiada majoriti stabil dan tiada kerajaan stabil dapat dibentuk. Pilihanraya ketiga dibuat pada Mac 2020, tetapi tetap juga tidak dapat membentuk kerajaan yang stabil hingga perjanjian terpaksa dibuat antara dua blok utama (Likud dan Blue & White) untuk jawatan perdana menteri disandang secara “rotation”. Disini kita belajar sesuatu, demokrasi punya limitasi dan tidak selalunya akan berjaya membentuk kerajaan yang stabil.
Dalam perbahasan Fareed Zakaria, beliau ada menyebut tentang perlunya ada institusi yang tidak demokratik, yang boleh berfungsi tanpa tekanan politik. Beliau memberi contoh bagaimana institusi mahkamah yang lebih dihormati berbanding badan eksekutif dan legislatif. Walaupun beliau membahaskan situasi di Amerika Syarikat, saya merasakan perkara yang sama di negara kita, di mana badan kehakiman kita dilihat berfungsi dengan lebih baik dari badan eksekutif dan legislatif. Di Malaysia, kita punyai institusi raja yang punya kuasa untuk campur tangan apabila sistem demokrasi tidak dapat berfungsi. Mungkin ada yang berpandangan bahawa ia adalah amalan tidak demokratik, tetapi saya berpandangan ia punya kebaikan yang lebih besar dari sudut praktik.
Jadi saya berpandangan, selepas kita selesai pilihanraya umum yang lalu pada tahun 2018, kita mendapat kerajaan yang tidak stabil, yang akhirnya runtuh pada bulan Febuari 2020. Ia digantikan dengan kerajaan baru yang juga tidak stabil. Tapi adakah penyelesaiannya dengan melakukan pilihanraya baru? Saya berpandangan tidak, meskipun mungkin pandangan ini tidak popular. Kerana, tiada jaminan pilihanraya baru akan menatijahkan kestabilan. Itu belum kita bincangkan dengan lebih lanjut bagaimana demokrasi melahirkan polisi jangka pendek yang sering berubah-rubah seiring dengan berubahnya kerajaan.
Jika ada yang mengatakan langkah darurat ini tidak demokratik, saya setuju. Tapi bagi saya ia perlu sebagai “remedy” sementara mengikut keadaan semasa, apabila kaedah demokratik tidak dapat menyelesaikan masalah. Jika ada yang mengatakan tindakan menggantung parlimen adalah tidak demokratik, saya setuju. Dan saya juga bertanya adakah parlimen berjaya menyelesaikan masalah rakyat? Pandangan ini mungkin tidak popular, mungkin juga salah (kerana ia pandangan bukan fakta). Untuk menyeru rakyat beratur juga bagi saya satu perkara yang tidak masuk akal ketika mana kita masih lagi ditimpa bala hasil gelombang penularan wabak “berkat pilihanraya” yang lalu.
Maka, selamat ber-darurat diucapkan kepada semua, moga-moga kita semua dilindungi dari sebarang wabak dan bencana. Jika hendak membeli goreng pisang, pastikan guna penyepit yang disediakan, dan pakai pelitup muka.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.