Oleh: Nuraqal Auji
Seringkali kita tidak sedar bahawa apabila timbulnya rasa geram, benci, meluat, marah, kecewa dan apa-apa jua perasaan yang diekspressikan dengan perkataan yang berkonotasi negatif kepada Si Pembuat, Pencipta kepada alam dan manusia, The Architect, Si Jurutera, The Intellect, The One atau sesetengah dipanggil dengan gelaran The Unmoved Mover. Sedar atau tidak sedar, ini merupakan suatu penetapan minda (mindset) yang disalurkan menjadi suatu perasaan yang geram dan marah pada Tuhan, itulah dipanggil sebagai Misotheism.
Apa sebenarnya Misotheism?
Misotheism adalah “suatu mindset yang kecenderungannya dipaparkan melalui perasaan secara berterusan atau perasaan secara berselang seli timbulnya rasa amarah atau rasa geram pada Tuhan apabila timbulnya sesuatu peristiwa atau situasi atau keadaan yang tidak enak dan tidak menyenangkan manusia samada dari seluruh aspek atau sesetengah aspek sahaja”.
Boleh jadi asalnya Misotheism ini adalah berpunca dari kepercayaan pada banyak dewa dewi (Polytheism), dimana sesetengah dewa dewi ini mempunyai separuh sikap baik dan separuh sikap buruk. Akibat adanya sikap buruk dewa dewi, maka manusia memikirkan cara bahawa ianya sesuatu yang mungkin untuk mengenakan hukuman bagi dewa dewi dengan cara berhenti dari melakukan sebarang penyembahan dari segala apa jua bentuk. Samada berhenti dari melakukan sebarang pengorbanan jiwa ataupun pengorbanan harta.
Selain itu, secara ringkasnya dalam versi yang lain, Misotheism juga lahir dari suatu persoalan dari tamadun greek kuno, iaitu Epicurus, atau disebut sebagai “Teka Teki Epicurus” yang telah menzahirkan tentang persoalan “Asal-usul masalah kejahatan”, iaitu secara ringkasnya menyatakan jika Tuhan itu Maha Baik, Maha Perkasa dan Maha Mengetahui, kenapa Tuhan membiarkan segala Kejahatan berlaku (“Kejahatan/Evil” disini termasuklah linkungan kemiskinan, sengsara, kesakitan, pembunuhan, kebuluran, penyakit atau wabak, kehodohan, kekejaman dan seumpamanya). Atas dasar ini, maka lahirnya sejumlah manusia yang merasakan geram, marah dan benci pada Tuhan.
Perkaitan Misotheism kebiasannya akan “melahirkan” kembar akrabnya yang disebut sebagai “Dystheism” dan “Atheism”
Kita tak perlu fokus kepada Atheism dalam penulisan saya kali ini, tapi kita masuk sedikit dengan pemahaman tentang Dystheism dan penekanan kepada Misotheism.
Dystheism adalah suatu pemahaman dimana Tuhan itu tidaklah Maha Sempurna, Dia tidak mempunyai kualiti-kualiti sebagai Tuhan yang sepatutnya, dan antara linkungan lain yang terkandung dalam sesetengah mazhab Dystheism yang lain mengatakan adalah tak mustahil Tuhan itu juga jahat, ada juga mazhab Dystheism yang mengatakan Tuhan itu baik, tapi dalam perkara lain cenderung mengatakan Tuhan itu juga tak mengetahui segala-galanya, yang pasti apa pun mazhab Dystheism, semua setuju dengan satu poin utama iaitu “Tuhan ada kekurangan dan mungkin salah dalam membuat prediction” cuma samada kekurangan itu dalam semua perkara atau hanya kekurangan dalam bab-bab tertentu.
Maka perlu diingat disini, bermula dengan persoalan “asal usul masalah kejahatan” yang ditimbulkan Epicurus dan disertai dengan apabila ada rasa perasaan geram pada Tuhan atas segala musibah samada secara berterusan atau perasaan geram itu timbul berselang seli, maka itu adalah sikap yang cenderung kepada seorang Misotheist, kebiasaannya dari individu Misotheist akan melahirkan pula fahaman Dystheism.
Kenapa penting tahu pasal Misotheism dan Dystheism? Ada kaitankah dengan kita?
Jika kita telusuri dengan lebih cermat, kita akan dapati ada juga segolongan manusia yang mengamalkan sikap Misotheist iaitu percaya adanya Tuhan tapi membenci Tuhan, contohnya:
1. Kenapa Allah jahat pada aku? Aku berupa hodoh, tak cukup dengan itu keluarga aku miskin tak mampu menanggung kos pembelajaran yang mahal belaka. Ada juga yang secara konteks global mengatakan, kenapa Allah yang Maha Perkasa tak turunkan pertolongan pada Palestin, Rohingnya dan sebagainya dari langit?
2. Ada Misotheist yang menyampaikan rasa marahnya pada Tuhan dengan cara penulisan (kalau zaman dulu cara mereka buat adalah berhenti melakukan penyembahan). Zaman sekarang dilakukan dengan cara menulis novel, boleh jadi menulis artikel, atau membuat filem-filem yang menjurus kepada membenci atau meluat pada Tuhan.
3. Ada Misotheist yang apabila dia solat atau beribadat, dan tak dapat apa-apa, maka dia menyatakan “buat apa aku solat kalau mungkar masih aku buat dan buat apa kalau aku solat, kalau aku tak pun menjadi kaya”. Bunyinya macam pernah kedengaran jika sesiapa yang rajin terlibat dalam medan dakwah, ada bunyi rasa kecewa kerana tak terpenuhi harapan tertentu dari apa jua ibadah yang dibuat pada Dia. Seseorang itu mungkin percaya pada Allah, tapi jika adanya rasa marah dan rasa kecewa itu kemudiannya ditonjolkan dengan meninggalkan solat (atau hal-hal wajib yang lain) secara berterusan. Ini adalah sikap seorang misotheist samada sedar atau tidak.
Dan macam-macam lagi contoh lain. Dapat disimpulkan sedikit secara ringkas Misotheism boleh dipaparkan dalam berbagai bentuk, samada membenci Tuhan dalam bentuk penulisan, dalam bentuk filem, dalam bentuk meninggalkan ibadah kepada Dia samada secara sebahagian atau meninggalkan ibadah secara keseluruhan yang disertai ada rasa kecewa dan meluat. Adakah ada sikap Misotheism dan Dystheism ini dipaparkan dalam al-Quran? Perhatikan sikap manusia sebelum ini, semoga menjadi benteng untuk diri kita dan diambil pengajaran:
“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil – kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah)…”
(Al-Maidah:64)
Orang terdahulu berkata Allah itu kedekut ( boleh jadi individu tersebut seorang yang mengaku Allah/Deus/Elohim itu Maha Kaya, tapi dengan nada marah dan geram mengatakan Allah itu kikir dan membuat aniaya, maka sedar atau tidak dialah seorang misotheist dan boleh jadi juga dia seorang dystheist apabila dia yakin Allah atau elohim itu bukanlah Maha Kaya, ada sifat kekurangan, sebab itu Dia kedekut atau kikir dalam memberi)
Ayat seterusnya yang lebih menjurus kepada sikap Misotheism adalah:
“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan- ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. ”
(At-Taubah: 32)
Jama’ah Jum’at rahimakumullah, dalam Tafsir Ibnu Katsir dijelaskan, orang-orang kafir yaitu musyrikin dan ahli kitab (Yahudi dan Nasni) ingin memadamkan cahaya (agama) Allah, ertinya (ingin memadamkan) apa yang dibawa utusan Allah yaitu petunjuk dan agama yang haq (benar) ingin mereka padamkan dengan bantahan-bantahan dan kebohongan-kebohongan mereka. Jika dilihat dalam konteks zaman sekarang, mereka dan golongan murtad serta Atheist berusaha memadamkan cahaya Allah dengan penulisan-penulisan dan filem-filem mereka, mereka (Misotheist dan Dystheist) yakin wujudnya Tuhan, tapi membenci Tuhan atas kedengkian mereka, salah satu mindset dan sikap seorang misotheist ada dipaparkan dalam diri mereka.
Rentetan dari persoalan “Asal usul masalah kejahatan” yang dari persoalan itu kemudiannya melahirkan Misotheism, dan dari Misotheism kebiasannya ia juga turut melahirkan Dystheism. Tetapi Dystheism boleh juga lahir walaupun tanpa melalui pemahaman Misotheism, dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua fahaman itu juga menjadi kunci manusia juga menuju menjadi atheist, harap tak rasa keliru disini.
Apa itu Dystheism?
Ia adalah konsep atau mindset bahawa “Tuhan tidaklah Maha Sempurna” , jika dicermati dengan sebenar-benarnya, bukan sahaja wajib dipaparkan hanya melalui Percakapan mulut semata-mata dengan berkata:
“Tuhan tak Maha Perkasa, sebab sengsara mangsa Rohingya tak selesai, Tuhan tak Maha Kayalah sebab aku minta kekayaan sejak sekian lama, tapi aku belum dapat, tapi bila aku usaha sendiri baru aku dapat”
Ataupun cuba berfikir seperti:
“Dimana ketepatan Allah apabila perihal ramalan hujan dan kandungan bayi pada zaman sekarang manusia dah semakin hampir membina suatu teknologi yang membolehkan manusia kadang-kadang tepat dalam meramal cuaca dan melihat kandungan dalam perut ibu menggunakan scanning technology”
Tetapi konsep atau pemahaman Dystheism “Tuhan tidak Maha Sempurna” itu juga termasuk apabila dizahirkan melalui perbuatan yang bercanggah dengan apa yang dicakap oleh mulut, contohnya:
Contoh Dystheism dalam aspek hablumminallah (hubungan manusia dengan Allah):
“Aku solat, tapi Dia seakan tak beri aku kekayaan, mana Maha Kaya kalau macam tu, lebih baik tak solat” atau “Aku solat, tapi tetap aku buat kemungkaran, sedangkan Dia janji kalau solat aku tak buat kemungkaran, mana bijaksana Dia”
Contoh Dystheism dalam aspek hablumminafsih (hubungan manusia dengan diri sendiri)
“Ya lah, Allah memang Maha Memelihara, tapi Kalau aku pakai tudung pun rasa riak buatapa, atau kalau kau pakai tudung pun hipokrit buat apa, bukan ada jaminan pun pakai tudung tu terpelihara maksiat, walaupun Allah kata terpelihara maruah dan dari maksiat, tapi tengok yang pakai tudung lebih mengada ngada tak jaga maruah dan lagi kuat buat maksiat, bercanggah dengan seperti yang Allah firman, tengok sahaja dalam aplikasi terkenal sekarang bernama Tik Tok, majoriti yang pakai tudung itu tak seperti yang Maha Memelihara dan yang Maha Bijaksana itu firman dalam quran, tak sama dengan realiti, jangan cakap nak tegur saya pula untuk pakai tudung ya”
Contoh Dystheism dalam aspek hablumminannaas (hubungan manusia dengan manusia yang lain):
“Aku yakin Allah itu Maha Sempurna dan Maha Bijaksana, tapi dalam konteks bagaimana ingin menerapkan Islam sebagai suatu sistem Pemerintahan dan dalam konteks sistem ekonomi lebih relevant memegang capitalism yang asasnya ribawi, kerana tanpanya bagaimana ekonomi negara hendak survive.
Dilihat percakapan itu bercanggah dengan apa yang diperbuat, maka walaupun mulut berkata “Aku yakin” tak kira samada dalam konteks hablumminallah, dalam konteks hablumminafsih dan dalam konteks hablumminanaas tapi secara perbuatan mengzahirkan tidak yakin dengan “Kesempunaan Allah dan tidak yakin dengan Allah yang Maha Bijaksana” yang telah menurunkan Rasulullah dan menunjukkan kepada orang-orang beriman metod khusus dalam ruling system dan sistem ekonomi, bukan dengan sistem lain yang tidak diwahyukan dan memegang erat dengan sistem yang sedang digunapakai sekarang ini sehingga begitu dipertahankan dengan bermatian-matian, walhal dari sistem sekaranglah, lahirnya beribu kefasadan, kesyirikkan dn segala jenis isme-isme yang semakin tampak dari semasa ke semasa seperti kanser.
Tanya diri, adakah Allah ada kekurangan hingga tak menurunkan suatu metod dan tak menurunkan ruling system dan sistem ekonomi khusus dalam mengatur sebesar besar perkara bagi kestabilan dan keselamatan manusia sejagat?
Fikir-fikirkan adakah kita sebagai orang-orang yang mengaku beriman ini begitu loser dan pessimist hingga termasuk dalam kalangan Misotheism dan Dystheism samada secara partial atau secara keseluruhan?
Disclaimer: Penulisan artikel ini ada kemungkinan terdapat jaiz aqli dari saya dan bertujuan untuk mengintrospeksi diri samada diri ini pernah mempunyai mindset sedemikian atau masih mempunyai mindset sedemikian, jika masih sedemikian maka belum terlambat untuk berubah sesuai dengan keyakian penuh kepada Allah dan melaksanakan perintah Allah dan rasul secara menyeluruh, artikel ini tidak berniat untuk menghukum para pembaca, tapi para pembaca termasuk diri sayalah yang boleh membuat self-analysis setakat mana dan dimana kita sebenarnya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Semoga tidak disalah mengerti.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.