Oleh: Ainul Mardhiah
Saya merupakan ahli Projek Sukarelawan Pendidikan (SukaDidik) 2019. Dihantar ke Kg. Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah selama 3 bulan. Saya bersama dua orang lagi rakan iaitu Nabila dan Sofwa. Saya sangat berminat untuk menjadi salah seorang sukarelawan sebelum mendaftar diri untuk mengambil STAM di Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah, Perlis (MATRI) lagi. Tambahan pula setelah mendengar pengalaman-pengalaman sukarelawan yang lepas dan menyedari tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada masyarakat yang tidak berpeluang mempelajari ilmu seperti kita.
Walaupun saya masih dalam praktikal. Tapi saya berazam untuk menjadi guru dan murabbi yang terbaik serta menunjukkan akhlak yang baik. Di sana perhimpunan pagi bermula pada jam 7 pagi. Bagi orang semenanjung pukul 7 waktu yang sangat awal. Akan tetapi untuk menjaga nama baik guru, maka saya akan bersiap awal untuk ke sekolah. Demikianlah hasil tunjuk ajar dari Ustaz Omar Salleh Mudir MATRI.
Saya banyak bertanya soalan dari guru-guru MATRI semasa berada di lapangan. Antaranya Cikgu Azmi, Ustaz Yazid, Sir Abduh, Ustazah Khalida, Alumni SukaDidik dan pak cik- pak cik di Sabah. Guru-guru banyak mengajar saya menerima kekurangan dan saling melengkapi dengan kelebihan yang Allah kurniakan. Pengalaman ini juga mengajar saya berorganisasi dan berkomunikasi dengan baik. Cikgu Lajuliadi juga berpesan kepada saya untuk selalu mendoakan anak-anak murid di Tagupi. Maka dengan itu mereka mendidik saya untuk lebih dekat dengan Allah di setiap langkah kehidupan. Allah menghadirkan anak-anak murid di sini untuk meningkatkan lagi hubungan kita dengan Allah dan memperbaiki kekurangan yang terdapat dalam diri kita. Antara nasihat yang paling memberi kesan kepada saya ialah pesanan dari Ustaz Yazid, beliau selalu berpesan untuk bersangka baik dan mempercayai kekuasaan Allah dan meyakini pertolonganNya dalam segala tindakan kita.
Semasa berada di sana saya air mata saya tidak dapat ditahan, seringkali ia terbit membasahi pipi. Tetapi banyak juga dorongan yang diberikan dari keluarga terutama ummi abah. Ummi menasihati bahawa jika saya yang memilih jalan ini maka sebenarnya Allah tahu kemampuan saya dan saya kena teruskan. Abah pula hantar satu video dari Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna berkaitan nasihatnya kepada pemuda. Menjadi guru memerlukan jiwa yang kuat.
2 minggu sebelum penghantaran batch kami ke Sabah, Ustaz Yazid menghantar video wajah-wajah bakal sukarelawan yang berlagu Rindu dari kumpulan Hijjaz. Saya sangat tersentuh dengan lagu ini dan membawa segunung harapan ketika berkhidmat di Sabah. Akan tetapi saya mempelajari hakikat kehidupan bahawa proses perubahan memerlukan masa. الوقت جزء من العلاج. Maka ustaz berpesan jangan berharap pada tanah tapi berharaplah pada langit. Maka pesanan ini mengingatkan saya kepada Al-Khaliq dan Allah yang Maha Membolak-balikkan hati.
Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu
Rindu pada kedamaian
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan
Dan juga kebahagiaan
Para pencinta kebenaran
Rindukan suasana
Masyarakat yang terjalin
Aman dan sejahtera
Merindukan tertegaknya
Kalimah Allah di muka bumi
Dan dalam merindukan
Keampunan TuhannyaRindu pada kedamaian
Hijjaz – Rindu
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan
Dan juga kebahagiaan
Dan seluruh umat itu
Merindukan cahaya
Yang menyinari kehidupan
Rindu kepada Tuhan
Perjalanan kami dari Kota Kinabalu mengambil masa seharian untuk sampai ke Tagupi. Kami bertolak dari KK seawal 7 pagi dan bermalam di Lahad Datu. Lebuh raya di sana tidak sekata kerana faktor geografinya yang berbukit dan beralun. PPMI Tagupi terletak berhampiran dengan pantai. Untuk sampai ke sana kami harus melalui laluan tanah merah lembut dan berlopak selama 1 jam dikelilingi dengan hutan sawit.
Antara sebab saya ingin menyertai aktiviti ini adalah saya ingin merasai kesusahan orang lain dalam kehidupan terutama kesusahan mereka untuk mendapatkan ilmu.
Alhamdullillah saya rasai sendiri antara kesusahan masyarakat Tagupi. Walaupun tak sesusah yang dirasai oleh SukaDidik yang berada di kampung Simuning dan Lok Buani. Seperti tiada air paip. Pendidik di situ mengangkut air dari perigi ke rumah massing-masing untuk kegunaan makan, minum dan membasuh.
Saya ditempatkan bersama keluarga angkat yang juga keluarga pengetua di situ. Muallim Amin dengan isteri bersama ibu ayah dan 3 orang adiknya. Keadaan rumah kami agak senang berbanding rata-rata rumah di sekitar. Walaupun tiada lampu toilet ia tetap baik kerana masih ada lagi rumah-rumah yang tiada toilet.
Penduduk di sini ada yang setiap hari membawa tong-tong besar untuk mengisi air buat makan dan minum berbeza dengan kita hanya mengisi air di water filter.
Makanan di sini agak simple berbanding makanan di semenanjung.
Saya kagum dengan penduduk Asrama Desa kerana walaupun kehidupan daif tetapi mereka akan mengutip duit dari jiran-jiran jika ada lawatan dari luar untuk membuat sedikit jamuan. Antara menu wajib ialah air kelapa dan juga ikan bakar yang merupakan menu special di sini.
Selain itu juga saya sempat mengetahui makanan-makanan tradisional di sini. Antaranya. Sianglag, tiulaitum, piutu, kuih panggik-panggik. Saya juga suka dengan karya kraftangan kaum Suluk. Antaranya sairap, tambusak dan japang. Antara yang sedap juga ialah rumpai laut.
Anak-anak di sini sangat kreatif mempunyai tangan berseni. Ada yang dikurniakan suara yang merdu. Ada juga yang pandai melukis. Walaupun begitu, mereka tidak mendapat peluang seperti saya sebagai contoh mengambil SPM dalam subjek Pendidikan Seni Dan Visual. Yang pasti masyarakat di sini kuat-kuat kerana mereka banyak berjalan dan sudah terbiasa membuat aktiviti lasak seperti menombak sawit dan membuat kerja-kerja berat.
Bangunan sekolah pula tiada dinding, kipas mahupun lampu. Ya, open air. Kadang sambil mengajar dan perhimpunan kami ditemani kambing dan ayam.
Alhamdulillah, pengalaman ini membuatkan saya rasa lebih bersyukur dengan nikmat yang diberikan terutama nikmat iman dan Islam. Juga nikmat ibu, ayah, family, kawan-kawan yang sangat baik. Nikmat kecukupan.
Antara aktiviti yang saya lakukan sepanjang di sana ialah:
1. Mengajar di kelas subjek Bahasa Arab dan Sains.
2. Mengajarkan anak-anak mengaji di surau selepas maghrib dan kelas tahfiz.
3. Melakukan aktiviti luar seperti kem pemantapan sahsiah dan ibadah.
4. Menziarahi penduduk kampung yang berdekatan.
Walaupun masa pengajaran saya mengalahkan masa mengajar seorang lecturer sekalipun. Tetapi alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah beri peluang berharga ini untuk mendidik diri saya menjadi lebih matang dalam kehidupan. Belajar dari mereka sangat berkesan. Walaupun dalam kesusahan tetapi masyarakat lebih kreatif dalam mengurus ekonomi rumah tangga terutama yang berkeluarga ramai.
Kem-kem yang dijalankan setiap minggu membuatkan para pelajar dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, mencabar minda serta menambah pengetahuan agama seperti sirah sahabiyah. Begitu juga ketika karnival Sukan Sekolah. Walaupun saya tidak mahir bersukan tetapi hasil kata-kata semangat yang dikongsikan mampu membuatkan ahli rumah sukan khandaq cemerlang dalam sukan terutama sekali bola tampar.
Antara isu penduduk di sini ialah kesukaran mereka untuk pergi ke sekolah dan belajar seperti kanak-kanak yang lain. Hal ini menyebabkan mereka banyak ketingggalan dari sudut ilmu dan agama. Malah ramai di antara mereka mengambil keputusan untuk tidak bersekolah dan bekerja untuk menyara pendapatan keluarga.
Antara perkara yang menyentuh hati saya sepanjang 3 bulan di sana ialah kanak-kanak begitu berhajat kepada ilmu. Setiap malam datang kelas mengaji dan berlumba-lumba untuk tasmie hatta yang berumur 7 tahun pun sanggup duduk di atas riba untuk mengaji.
Ramai orang boleh jadi sukarelawan untuk mendapat populariti tetapi tidak ramai yang sanggup untuk terjun sendiri merasai kesusahan kehidupan masyarakat di sini.
Setiap hari saya menerima pelukan dari anak-anak perempuan yang ternyata mereka tahu bahawa kami hanya berkesempatan sebentar cuma di sana. Ibu-ibu juga akan mencium saya setiap kali berjumpa kerana berterima kasih atas kedatangan kami mengajar anak-anak mereka mengaji. Mereka tidak menyesal menjadi miskin dan menjadi warganegara yang tidak berdokumen kerana di Pusat Pembangunan Minda Insan ini, anak-anak mereka berpeluang mempelajari ilmu Islam berbanding di tempat-tempat lain.
Selepas kelas mengaji pagi terdapat salah seorang anak murid saya datang memegang tangan sambil mengatakan:
Muallimah (cikgu) janganlah pergi, janganlah tinggalkanku di sini..
Beserta dengan raut wajahnya yang sayu. Saya hanya mampu tersenyum. Kata-katanya seperti dia tahu bahawa aku akan pulang ke tanah air. Kemudian dia mengulangi lagi.
Muallimah janganlah pergi, tinggallah di sini.
Saya hanya membalas.
In Sya’ Allah nanti muallimah datang lagi. Kamu doalah supaya ada lagi SukaDidik yang datang mengajar kamu tahun hadapan.
Saya harapkan kata-kata tadi sudah cukup membuatkan dia berhenti merayu dan saya seupayanya menahan sebak.
Muallimah ajaklah ibu ayah muallimah tinggal di sini. Tinggal dengan kami
Terus dia memelukku erat. Saya hanya mampu tersenyum. Air mata saya menitis akhirnya, tiada lagi daya untuk menahannya.
Di dalam kelas saya suka bersembang dengan para pelajar samada waktu pnp mahupun waktu rehat.
Apa tempat yang awak teringin nak pergi?
Ternyata ramai yang mahu pergi ke MATRI. Kerana mereka tahu erti ilmu dalam kehidupan.
Apa yang kamu rasa bila tiada IC?
Mereka fitrahnya sedih tetapi jiwa mereka telah dididik untuk redha dengan ketentuan dan ujian dari Allah.
Ndak apa Muallimah, nak masuk syurga tak perlu IC pun.
Antara perkara yang mengubah pemikiran saya ialah saya amat simpati dengan anak- anak mangsa cerai. Sebelum ini saya kurang ambil berat dengan perasaan anak-anak yatim. Tapi sejak berada di Tagupi saya tak sanggup meninggalkan mereka. Mereka tidak mendapat nikmat berayah dan beribu. Mereka bekerja untuk menyara kehidupan. Mereka lebih berdikari.
Ramai para pelajar tidak makan kerana tiada duit. Berbeza dengan kita yang setiap hari berbelanja sakan.
Saya pernah belanja seorang adik ABC. kemudian dia bersuara.
Muallimah tahu tak ini pertama kali saya makan ABC.
Saya percaya bahawa untuk membangun sesebuah masyarakat dan negara haruslah dimulai dengan pendidikan. Justeru itu, saya berharap agar aktiviti SukaDidik ini dapat diteruskan bagi membantu, menyantuni dan mendidik anak-anak yang keciciran ini. Terima kasih kepada penyumbang budiman. Semoga sumbangan dari anda menjadi saham terbesar di akhirat. Moga-moga Allah menerima segala amalan kita.
Coretan ini ditulis oleh Ainul Mardhiah sebelum masuk dewan peperiksaan di USIM pada 11:27 pagi dan diterbitkan di laman Facebook beliau pada 06 Januari 2020. Untuk lebih banyak informasi berkenaan dengan aktiviti pendidikan Sabah oleh SukaDidik boleh lawati laman Facebook mereka di Khidmat Bakti Sukarelawan Pendidikan – Sabah.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.